oleh: Mat Zain Mat Isa
Celupar benar mulut Naib Presiden Umno, Dato’ Seri Shafie Apdal, apabila sewenang-wenangnya melabelkan PAS sebagai ‘Parti Ajaran Sesat’. Mungkin bagi beliau menyebut gelaran itu hanya semudah menepati akronim P.A.S. pada ejaan nama parti itu.
Barangkali tidak terlintas pada benaknya ketika menuturkan ungkapan itu, ia boleh dianggap penghinaan kepada umat sesama bangsa dan agama. Atau mungkin otaknya tidak begitu lawas sehingga tidak dapat menjangka sekiranya beliau semudah itu menggelarkan parti lawan sedemikian, maka lebih mudah lagi bagi ahli PAS jika berhasrat memulangkan gelaran lebih tidak enak kepada Umno pula.
Dalam ucapan perasmiannya di Mesyuarat Umno Bahagian Kulai Jaya, minggu lalu, Shafie dilaporkan menuduh PAS sebagai ‘parti ajaran sesat’. Ucapan bodoh itu segera mengundang reaksi tidak senang para pemimpin dan penyokong PAS seluruh negara.
“Apakah beliau sudah kehilangan arah dan celaru dalam pemikiran politik sehingga mengeluarkan kenyataan demikian rupa?”, soal Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad dalam kenyataan balasnya.
Seperti kebanyakan pendokong PAS, Idris menganggap dakwaan Shafie itu sebagai sangat biadab dan keterlaluan. Beliau memberi amaran akan membuat laporan polis sekiranya Shafie tidak menarik balik kenyataannya.
Sebagai seorang OKU (akronim kepada ‘Orang Kuat Umno’), Shafie tidak sepatutnya terlalu boros melontarkan gelaran semahunya kepada parti lawan. Biar pun beliau terlalu benci dan meluat dengan PAS, apakah sudah tidak berbaki walau pun sedikit adab ketimuran dan ajaran agama sehingga sanggup menganggap parti sebangsanya itu sebagai kumpulan ajaran sesat?
Keterlanjuran Shafie itu sudah tentu tidak dapat diterima oleh mana-mana warga negara Malaysia yang waras. Ia bukan sahaja menyalahi adab Melayu dan aturan Islam, malah juga bersalahan dengan hasrat mewujudkan suasana politik lebih budiman dalam negara kita.
Sebagai seorang Melayu, kita sering diajar betapa bahasa adalah jiwa bangsa. Bangsa kita dikenali sebagai kaum beradab. Orang kita menilai kesopanan anak bangsanya menerusi tingkah laku dan tuturkata yang bertertib dan bersopan.
Kerajaan Barisan Nasional (BN) sendiri sering mempromosikan tatasusila di kalangan rakyat. Entah berapa ratus juta RM telah dihabiskan BN sejak kita merdeka hingga kini untuk menjayakan kempen menjadikan budi bahasa sebagai budaya kita. Kempen agar rakyat melemparkan senyum juga diadakan.
Lagi pun, tabiat semulajadi manusia memang mengharapkan digelar atau dipanggil dengan panggilan menyedapkan telinga. Jika semata-mata mahu mewujudkan provokasi, orang PAS juga boleh memikirkan berbagai ungkapan bersesuaian dengan singkatan Umno. Kita percaya bukan hanya Shafie atau ahli Umno yang mampu berbuat demikian.
Sudah tentu jika perkara sebegitu dibiarkan atau dianggap remeh-temeh, ia boleh berlanjutan kepada suasana politik lebih tidak menyenangkan. Tolak tepi sepenuhnya soal perpaduan antara PAS dengan Umno. Secara sinisnya, tentu amat janggal jika Umno masih mahu bersahabat dengan penganut ajaran sesat, bukan?
Ia juga akan menyulitkan sebarang usaha melihat PAS boleh duduk semeja atau bergandingan dengan Umno dalam menangani permasalahan bersama, terutama berkaitan kepentingan Islam. Malah ia akan membuka jalan kepada pertikaian lebih jauh berhubung pegangan dan anutan politik Umno itu sendiri.
Apakah sesat itu diukur berdasarkan nilaian agama? Jika begitu, di antara PAS dan Umno, parti manakah dasar dan perlembagaannya lebih menepati apa yang dikehendaki oleh Islam? Buka dan telitilah kedua-duanya.
“Saya tidak kisah sekiranya kita bercanggah pandangan politik, tetapi kenyataan (Shafie) itu melibatkan agama. Tuduhan ajaran sesat adalah sangat berat dan berkaitan dengan akidah. Sapa dia mahu (melabel) orang lain seperti itu? Lainlah jika ada buat rujukan kepada Majlis Fatwa (Kebangsaan) atau sebagainya,” selar Ahli Parlimen Baling, Ustaz Taib Azamuddin Mohd Taib.
Baginya, jika pemimpin Umno itu berani mengatakan PAS sesat, PAS juga boleh mengatakan perkara sama terhadap Umno.
“PAS pun boleh cakap Umno lebih sesat dan tidak berpegang kepada ajaran Islam. Malah Umno mengamalkan politik perkauman,” sambungnya lagi.
Ya, politik perkauman memang bercanggah dengan ajaran Islam yang meletakkan semua bangsa setaraf di sisi Tuhan. Al-Quran dengan jelas menyebut bahawa yang membezakan kemuliaan di kalangan umat Islam bukannya bangsa mereka tetapi tahap ketaqwaan kepada Allah. Maka jika Umno meletakkan Melayu lebih mulia daripada Cina atau India, pegangan itu bersalahan dengan ajaran Islam. Itu sesat namanya!
Dan lagi, Umno juga berpegang kepada prinsip politik suku agama suku. Apa-apa yang berkaitan agama tidak boleh dicampur dalam urusan pemerintahan. Ada sesiapa di kalangan OKU mahu menafikannya?
Sedangkan menurut ajaran Islam, seluruh ibadat, hidup dan mati kita kesemuanya kerana Allah, kerana agamanya. Bukankah itu satu lagi bukti Umno sebenarnya yang sesat?
“Takkan kerana kita berjuang nak menang kerusi Dun dan kerusi Parlimen, berebut dengan mereka (Umno), kita dianggap sesat,” itu pula ulasan Naib Presiden PAS, Dato’ Mahfuz Omar.
(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1556, 12 Julai 2010 di ruangan 'EDITORIAL', N4 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment