Sunday, July 11, 2010

Apabila nasib Umno diibaratkan pasukan bola


Oleh: Mohd Nasir Awang

Tambah satu lagi dalam senarai panjang alasan kukuh untuk rakyat menolak Umno. Para pemimpin parti itu dihinggapi sindrom primadona dan individualistik. Sifat itu dikaitkan dengan tabiat merasakan dirinya lebih baik dan hanya dia yang layak membuat atau memutuskan sesuatu tanpa mengambilkira peranan dan kemampuan orang lain.

Itulah perangai yang dikatakan dimiliki pemimpin Umno. Lebih baik anda percaya dengan hakikat itu. Sebabnya label itu bukan pandai-pandai pemimpin pembangkang menciptakannya. Ia juga bukan dakwaan penganalisis politik pro-pembangkang atau hasil kajian tidak konkrit mana-mana badan yang tidak mesra Barisan Nasional (BN).

Sifat yang dianggap tidak mesra rakyat dan boleh merosakkan Umno itu didedahkan presiden parti itu, Datuk Seri Najib Razak sendiri. Setakat ini tidak ada mana-mana pemimpin Umno, peringkat tertinggi, pertengahan mahu pun bawahan yang memaklumkan rasa tidak setuju mereka dengan lontaran pemimpin nombor satu parti mereka itu.

Ambil perhatian juga bahawa cerita itu bukan dipetik dari akhbar terbitan pembangkang, atau media baru pro-Pakatan Rakyat (PR). Ertinya jika anda seorang OKU (maksud saya, “orang kuat Umno”) dan terlintas bahawa kenyataan pemimpin kesayangan anda itu ada kemungkinan telah disalahlapor media, elok anda padamkan keraguan itu.

Ia dipaparkan media cetak yang memang diiktiraf dunia sebagai kroni dan talibarut BN. Tidak ada yang tidak baik berkenaan BN pernah disiarkan media-media itu melainkan hanya yang baik-baik belaka. Justeru, mana mungkin media penyokong fanatik parti pemerintah itu akan melaporkan sesuatu yang tidak benar mengenai Umno?

“Kalau dalam parti kita ramai primadona, yang nak sumbat gol sendiri walau pun tidak boleh gol dan tersungkur. Oleh demikian, pentingnya kita bina semangat berpasukan tinggi supaya individu yang ada kebolehan akan lebih berjaya,” saya menyalin semula kata Najib sepertimana dipetik media kroni itu.

Ayat Najib itu mungkin sedikit tidak memenuhi tata bahasa Melayu yang baik, tetapi kita wajar maafkan dia mengambilkira latar belakang pendidikannya dulu. Lagi pun maksudnya boleh difahami. Beliau menekankan perihal ada pemimpin Umno yang mementingkan diri sendiri dan tidak mahu berkongsi tugas secara berpasukan.

Sebab itu beliau membuat analogi kejayaan pasukan bola sepak di Piala Dunia yang sedang berlangsung. Simpulnya, pasukan yang mengamalkan semangat berpasukan yang tinggi mampu menewaskan pasukan yang mempunyai ramai pemain bertaraf primadona.

Perbandingan itu mendorong Najib meluahkan rasa bimbang kekalahan sama berkemungkinan turut menimpa Umno. Beliau akui sifat yang kini melekat pada anak-anak buahnya itu boleh merosakkan Umno dan menjejaskan semangat berpasukan parti itu dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Saya memang setuju kena kerja berpasukan. Kita tidak boleh benarkan seseorang itu berasakan dia lebih daripada segala-gala,” itu reaksi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Media kroni BN memetik katanya, pemimpin Umno sememangnya perlu bekerja secara berkumpulan tanpa memikirkan kepentingan diri jika mahu berjaya dalam pilihan raya nanti. Reaksi senada turut disuarakan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir.

Itulah tabiat dalam politik. Asal ada saja sesuatu kenyataan pemimpin tertinggi, yang di bawahnya akan ikut senada. Macam gerabak keretapi yang setia bergerak ke mana hala kepalanya. Wajar diakui hampir semua parti ada kecenderungan itu, tetapi saya lihat tabiat ‘yes bos’ itu lebih ketara dalam Umno.

Sementara kedua-dua pemimpin tertinggi Umno itu, dan mungkin Najib sendiri, lebih bermaksud membasmi sifat suka bergerak bersendirian dan kurang bekerjasama di kalangan pemimpin Umno, terjemahan terhadap sifat primadona dan individualistik itu jauh lebih lebar daripada apa yang disebutnya.

Ia tidak dinilai setakat kegagalan memupuk kecenderungan bekerjasama dan saling memikul tugas, malah turut mengaitkan sama perihal hubungan tidak mesra pemimpin Umno dengan rakyat bawahan.

Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Moktar Radin yang mengulas kenyataan Najib itu berkata dalam usaha meraih sokongan rakyat, para pemimpin Umno perlu memiliki sifat mesra rakyat dan rendah diri, bukannya sifat primadona.

“Mereka perlu turun padang kerana rakyat mahu melihat wajah pemimpin. Jiwa orang Melayu mudah tersentuh dan saya yakin inilah antara cara untuk kita menawan hati dan perasaan mereka,” kata Menteri Besar ‘kerajaan katak’ Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Nampaknya itulah masalah besar pemimpin Umno yang kerap diakui mereka sendiri. Tidak mesra rakyat, tidak turun padang dan gagal menyelesaikan permasalahan rakyat menjadi kebimbangan utama Umno mungkin ditolak rakyat dalam pilihan raya nanti.

Lebih malang lagi, sebahagian pemimpin Umno gemar menunggu saat akhir menjelang pilihan raya untuk turun bermesra dengan rakyat. Bagi Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal, sikap itu akan menyebabkan Umno bakal menerima nasib serupa pasukan Brazil yang kalah kepada Belanda baru-baru ini.

Katanya, selepas Belanda menyamakan kedudukan dan kemudiannya mendahului 2-1, barulah Brazil bekerja keras terutama dua minit terakhir.

“Malangnya ketika itu semua sudah terlewat. Sama lah juga dengan pemimpin Umno yang gemar menunggu saat akhir sedangkan pilihan raya umum sudah dekat, nanti segalanya terlambat,” ujarnya.

Tidak kira apa pun pasukan yang diibaratkan kepada Umno, analogi Najib dan Shafie memperakukan satu hakikat. Bahawa biar pun Umno memiliki para pemimpin tersohor, sebagai pasukan yang ada tabiat buruk dan kelemahan, tidak mustahil Umno boleh dikalahkan dalam pilihan raya umum nanti.

Adat permainan, selain kekuatan pasukan lawan, kelemahan pasukan sendiri juga penyumbang kekalahan.

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah Bil: 0208, 11 Julai 2010 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment