Sunday, July 25, 2010

Gambaran indah perpaduan PAS-Umno ibarat fatamorgana


Bukan pesimis, tetapi hati saya cenderung mengatakan hasrat melihat PAS dan Umno bersatu dan berpadu tidak akan menjadi kenyataan. Sekurang-kurangnya untuk beberapa tempoh waktu terdekat ini saya tidak nampak sebarang dorongan yang cukup meyakinkan sehingga membolehkan usaha ke arah itu dapat dicapai.

Selain perbezaan ketara dasar perjuangan dan tabiat politik yang berdarah daging dalam kedua-dua parti didukungi orang Melayu itu, pemahaman dan penghayatan para pendukung Umno dan PAS berhubung beberapa perkara prinsip juga amat sukar disepakatkan.

Penyatuan mereka dipayahkan lagi dengan parut pengalaman pahit yang pernah terhasil antara kedua-dua parti. Manakala kenyataan demi kenyataan yang saling bercanggah antara para pemimpin parti berlawanan itu tidak menyediakan ruang lebih kondusif dan konstruktif ke arah hubungan lebih baik.

Secara ringkasnya ada beberapa pemerhatian yang membantu saya merumuskan pendirian sedemikian. Pertama, saya melihat tidak ada kebulatan sama ada di pihak PAS mahu pun Umno untuk melihat kedua-dua parti saling bekerjasama, apatah lagi bersatu.

Dalam pusingan terbaru isu perpaduan PAS-Umno yang tercetus dua minggu lalu misalnya, kita dapat melihat dengan jelas bagaimana yang paling bersungguh menyuarakan hasrat itu dalam Umno ialah Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Sedangkan pemimpin nombor satu parti itu agak sinikal.

“Saya cuma nak nyatakan bahawa Umno memang mempunyai kekuatan tersendiri dan bukan kerana kita ini terlalu lemah (sehingga) kita terpaksa mencari kawan baru dengan PAS,” ujar Datuk Seri Najib Razak.

Beliau juga tidak mnyembunyikan rasa tidak senangnya dengan ulasan para pemimpin PAS yang menuntut Umno Umno selaku penguasa negara mempertimbangkan beberapa prasyarat, jika mahu melihat usaha perpaduan itu direalisasikan.

D pihak PAS pula, pendirian parti dalam hal ini lebih berselewang. Kita boleh menerima keadaan itu setelah PAS sendiri pernah melalui tempoh sukar setiap kali isu perpaduan dengan Umno disuarakan.

Di zaman Allahyarham Dato’ Mohd Asri Muda dulu, PAS membentuk kerajaan campuran dengan Umno, kemudian menyertai Barisan Nasional (BN). Dalaman PAS berpecah sehingga melahirkan kumpulan bekas pemimpinnya yang dinamakan Bebas Bersatu.

Di zaman Angkatan Perpaduan Ummah dengan parti serpihan Umno, Semangat 46 (S46), ahli PAS yang menolak kerjasama itu membentuk Kumpulan Islah PAS. Idea Kerajaan Perpaduan yang tercetus beberapa tahun lalu pula menggoncangkan kesatuan dalaman parti Islam itu.

Satu-satunya pemimpin PAS agak ke depan dalam pusingan terbaru cakap-cakap perpaduan ini ialah Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat. Cuma saya kurang pasti ketika dia menyatakan kesediaan bertemu dan berbincang dengan Umno itu, apakah Nik Aziz bercakap atas kapasitinya selaku Mursyidul Am PAS, atau sebagai Menteri Besar Kelantan.

Namun jika kenyataan susulannya diambilkira, kesediaannya hanyalah terbatas dalam konteks kerjasama antara dua kerajaan, yakni Kelantan dipimpin PAS dengan Pusat diterajui Umno. Ertinya, ia sebenarnya bukan bermaksud membuka ruang kerjasama politik antara dua parti, PAS-Umno sepertimana difahami umum.

Kedua, pemahaman tentang Islam dan peranannya dalam mencorakkan pemerintahan juga jelas berbeza di antara PAS dan Umno. Panjang ceritanya jika nak dihuraikan persoalan ini.

Namun suatu yang ketara dalam perbahasan terbaru ini, PAS berterusan menuntut Umno menerima Islam sebagai dasar perjuangan dan pemerintahannya jika benar mahu bersatu dengan PAS. Daripada ketegasan itu difahami bahawa pada pendirian PAS, dasar digunapakai Umno kini, sama ada untuk partinya atau kerajaan dipimpinnya, tidak menepati Islam dan tidak dapat diterima PAS.

Apa pula pandangan Umno? Presidennya sebagai reaksi mengingatkan pemimpin PAS agar berhenti menghina Umno, terutama dalam hal berkaitan Islam. Beliau malah mendakwa Umno juga memperjuangkan Islam.

Saya melihat percanggahan pemahaman mengenai peranan dan penghayatan Islam ini tidak berkesudahan. Ia bahkan menjadi faktor utama yang sering dijulang PAS dalam menolak Umno. Keengganan Umno menerima beberapa prinsip perjuangan yang menepati tuntutan Islam menyukarkan PAS bertoleransi dengan parti sekular itu.

Ketiga, tabiat Umno sendiri yang gemar berseteru dan berpecah-belah sesama sendiri turut meruntuhkan keyakinan orang terhadap keupayaannya menjaga kesatuan. Selain track recordnya, dalam kes terbaru kita menyaksikan Ketua Umno Bahagian Sungai Petani dihalang berucap pada mesyuarat perwakilan.

Kehadiran Muhyiddin di Setiu pula ‘diboikot’ empat Adun Umno bahagian itu. Manakala Ketua Umno Bahagian Kelana Jaya menyisih diri dari parti selama bertahun. Ada pun kewujudan dua kem berseteru dalam Umno Perlis, Selangor dan Terengganu bukan lagi rahsia.

Memang perpaduan yang cuba dibentuk antara PAS dan Umno, sama ada atas nama Melayu atau Islam, kelihatan amat indah. Malah bagi sebilangan pihak, ia sesuatu yang tidak dapat tidak mesti dicapai demi kelangsungan bangsa dan agama.

Dalam ertikata lain, kedahagaan umat Melayu/Islam dalam negara ini kepada perpaduan di kalangan penguasa politik mereka boleh diumpamakan seperti kebutuhan musafir di kepanasan gurun terhadap air. Hanya sanya peluang untuk meneruskan hidup ialah dengan menemui air.

Namun disebabkan terlalu kemarukkan air itu, sang musafir kerap tertipu dengan kewujudan fatamorgana. Nampak dari jauh kerdipannya seperti air, lalu ia memberikan harapan sangat tinggi kepada sang musafir menghilangkan kehausannya.

Malangnya, setelah bersungguh menghampirinya, fatamorgana itu menghilang. Begitulah berulang kali berlaku, hingga sang musafir keletihan ditipu gambaran indah fatamorgana.

Bukan pesimis, tetapi sekadar mengingatkan agar kita tidak tertipu oleh keindahan perpaduan digambarkan sesetengah pihak.

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah Bil: 0210, 25 Julai 2010 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment