oleh: Mat Zain Mat Isa
Senario tahap pendaftaran pengundi baru yang terlalu tidak memuaskan semacam telah menjadi isu yang wajib diulang tayang setiap kali negara diura-urakan bakal menghadapi pilihan raya umum.
Minggu lalu isu berkenaan sekali lagi menjadi topik perbincangan khalayak politik, pemimpin masyarakat dan media. Pemuda Umno mendedahkan hasil kajiannya sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 sehingga Jun yang menunjukkan nisbah antara orang Melayu dan bukan Melayu mendaftar sebagai pengundi baru adalah satu Melayu bagi 40 bukan Melayu (1:40).
Hakikat itu diakui Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Timbalan Pengerusinya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar dalam reaksinya mengesahkan betapa DAP mendahului parti-parti lain melakukan usaha paling agresif mendaftar pemilih baru, khususnya di kalangan belia Cina. Malah, di kalangan parti-parti Barisan Nasional (BN) sendiri, beliau mendakwa hanya Umno yang agresif menarik golongan muda mendaftar, berbanding parti komponen lain.
Beliau juga mendedahkan kini terdapat kira-kira 4.3 juta warga negara layak mengundi masih belum mendaftar sebagai pemilih sejak PRU ke-12 lalu. Kenyataan itu mengingatkan kita kepada senario serupa sebelum ini.
Awal April 2007, iaitu tidak sampai setahun sebelum berlangsungnya PRU lalu, Wan Ahmad mendedahkan seramai 4.9 juta rakyat negara ini belum mendaftar sebagai pengundi. Angka itu hampir sepertiga warga negara yang layak mengundi ketika itu, iaitu seramai 15.2 juta orang.
Kita nisbah kini tidak jauh berbeza dengan apa yang pernah disebutkan tiga tahun lalu itu. Keengganan sebegitu ramai rakyat menunaikan hak dan tanggungjawab menentukan kepemimpinan negara bukan lah suatu kecenderungan yang sihat atau boleh dipandang remeh. Sebab-musabab kegagalan mereka mendaftar sebagai pemilih wajar diteliti dan dicari penyelesaiannya.
Suatu ketika dulu pernah dibangkitkan soal kesukaran proses pendaftaran sebagai punca rakyat gagal berbuat demikian. Lalu SPR memperkenalkan langkah pembaharuan bagi memudahkan proses itu. Ia melaksanakan Sistem Pendaftaran Pemilih Sepanjang Tahun (SPPST).
Sistem ini mula dilaksanakan Julai 2002. Melalui SPPST, setiap warga negara bermur 21 tahun ke atas dan tidak hilang kelayakan sebagai pengundi pada bila-bila masa boleh mendaftar melalui kaunter-kaunter pendaftaran pemilih di seluruh negara.
Selain di pejabat-pejabat SPR, pendaftaran pemilih juga boleh dibuat di pejabat pos, unit bergerak SPR dan kaunter khas yang dibuka di pusat-pusat tumpuan awam dan kawasan pedalaman. Parti-parti politik juga diberi kebenaran dan kemudahan oleh SPR membantu mendaftarkan pengundi baru, terutama menerusi pelantikan wakil parti sebagai Penolong Pendaftar Pemilih (PPP) yang diiktiraf SPR.
Malangnya lambakan warga negara yang gagal mendaftar sebagai pemilih tetap berulang. Minggu lalu ia sekali lagi menjadi keluhan pelbagai pihak, terutama pemimpin politik.
Banyak alasan dan andaian kita dengar. Beberapa dakwaan itu membabitkan sikap pengundi itu sendiri, manakala sebahagian lain mengaitkannya dengan kelemahan sistem pendaftaran diamalkan SPR.
Ada yang mendakwa ia berpunca sikap selesa orang Melayu dengan kuasa politik yang masih dipegang bangsa mereka. Malah sebahagian mereka dikatakan tidak ada pun kesedaran tentang tanggungjawab mengundi.
Ada pula mensabitkan hakikat itu dengan sikap muak dan menyampah pengundi dengan gelagat politik negara yang bagi mereka semakin menjemu dan mengecewakan. Soalnya, mengapa sikap sebegitu hanya wujud pada pengundi muda Melayu dan tidak pada bangsa lain?
Namun suatu dakwaan yang sukar ditepis ialah berhubung kelemahan peraturan pendaftaran itu sendiri. Peraturan memestikan pengundi mendaftar mengikut alamat pada kad pengenalan dikatakan menjadi punca utama sebahagian mereka enggan mendaftar sebagai pemilih.
Mereka menjangkakan kesukaran untuk memenuhi tuntutan waktu pulang ke tempat asal (alamat dalam kad pengenalan) semata-mata untuk membuang undi, sedangkan sebahagian besar mereka berhasrat mendaftar sebagai pemilih di tempat mereka tinggal atau bekerja.
Hasrat itu disukarkan pula oleh peraturan tadi. Mereka perlu terlebih dahulu menukar alamat di MyKad. Sedangkan proses untuk itu bukan sahaja memakan masa malah tidak kondusif terhadap kehidupan anak muda yang sentiasa mengejar masa. Akhirnya timbul sikap malas untuk ambil tahu perkara itu.
Sebab itu ada baiknya SPR kembali menimbang cadangan agar pendaftaran pemilih dibuat secara otomatik berdasarkan rekod Jabatan Pendaftaran Negara. Setiap warga negara yang mencapai umur 21 tahun akan dimasukkan nama mereka secara otomatik sebagai pengundi sah. Proses ini dilakukan sepenuhnya oleh SPR dan JPN, tanpa lagi melibatkan parti-parti politik.
Kita percaya jika kaedah ini digunakan, ia bukan sahaja dapat menyelesaikan masalah keciciran sebegitu ramai warga negara daripada hak menunaikan tanggungjawab memilih pemimpin, malah akan turut mengurangkan masalah “pengundi luar tidak dikenali” di sesuatu konstituensi.
(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1554, 5 Julai 2010 di ruangan 'EDITORIAL', N4 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment