oleh: Mat Zain Mat Isa
‘Nik Aziz akui wujud perpecahan dalam PAS’.
Itulah tajuk laporan sebuah media cetak arus perdana, Ahad (4 Julai) lalu. Mingguan tali barut Barisan Nasional (BN) itu melaporkan kenyataan Mursyidul Am PAS, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat sehari sebelumnya.
Tajuk hampir sama turut dikongsi sebuah tabloid di hari sama yang memetik laporan Bernama. Kedua-dua media itu dalam laporan mereka mendakwa Menteri Besar Kelantan itu mengakui wujudnya perpecahan dalam PAS.
“Kemelut perpecahan dilihat meruncing kerana beliau sendiri menyarankan agar tidak diadakan pemilihan bukan sahaja di peringkat tertinggi parti malahan di peringkat sayap parti iaitu Dewan Muslimat, Ulama dan Pemuda,” laporan Bernama itu dipetik.
Mingguan kroni BN tadi dalam ulasan turut mengaitkan kenyataan Nik Aziz itu dengan apa yang disifatkannya sebagai ‘kemelut dalaman PAS’ berhubung isu Kerajaan Perpaduan yang timbul tahun lalu.
Tidak sukar diduga bahawa kenyataan itu umpama ‘pucuk dicita, ulam mendatang’ untuk dimanipulasi parti pemerintah dan media talibarutnya.
“Tidakkah kenyataan Nik Aziz itu mengesahkan anggapan banyak pihak bahawa ‘keredaan’ kemelut dalaman PAS seperti dilihat pada muktamar bulan lalu, hanya pada zahir,” lontar seorang peneraju akhbar kroni BN menerusi kolumnya.
Beliau mengutarakan berbagai andaian disertai singkapan semula beberapa isu dalaman PAS sebelum ini. Mungkin beliau amat puas dapat menelanjangi PAS dan berbangga dapat membantu BN memburukkan parti lawan.
Amat memalukan, segala andaian dan kesimpulan yang dirasakannya sangat analitikal dan realistik itu rupa-rupanya semata-mata bersandarkan laporan yang diselewengkan. Di hari sama, turut tersiar kekesalan Nik Aziz atas laporan tidak benar oleh Bernama dan akhbar kroni BN tadi.
“Saya dapati keseluruhan laporan yang dibuat Bernama Online itu adalah tidak benar dan ia adalah tanggapan pihak Bernama sendiri, bukan maksud sebenar saya,” media pada Isnin (5 Julai) memetik kenyataannya.
Bukan suatu yang luar biasa jika laporan media kroni BN berhubung PAS sering tersasar dari hakikat sebenar. Sebaliknya, kita juga sukar percaya media sama akan melaporkan perkara tidak benar berkaitan BN.
Ertinya, jika kesahihan laporan media kroni BN berhubung PAS boleh dipertikaikan, apa yang dimuatkannya berkenaan kenyataan para pemimpin BN dianggap sah dan benar.
Justeru, apabila ia memetik apa-apa ucapan atau ulasan mana-mana pemimpin BN, termasuk berhubung suasana menimpa parti itu, ia dianggap menggambarkan situasi sebenar dialaminya.
Sementara isu perpecahan dalaman PAS yang cuba ditafsir dari kenyataan Nik Aziz yang disalah lapor tadi sudah terbongkar kepalsuannya, soal perpecahan dalaman BN, khususnya Umno pula semakin terzahir.
Yang menzahirkannya bukan pemimpin PAS, tetapi mulut para pemimpin Umno sendiri. Yang memanjangkan cerita itu pula bukan media pro-pembangkang atau milik PAS, tetapi media-media kroni BN sendiri.
Apa yang boleh kita katakan apabila Naib Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri mendedahkan perbuatan menikam dari belakang adalah antara faktor melemahkan Umno? Beliau yang bercakap di Temerloh malah mengingatkan ahli-ahli parti pecah-belah itu agar tidak menjadi ‘makhluk dua alam’. Sikap demikian, katanya, boleh dijadikan senjata oleh pembangkang melemahkan Umno pada pilihan raya umum (PRU) nanti.
Kita percaya tiada kes salah lapor berhubung kenyataan itu. Lagi pun, selama yang kita ingat, setakat ini belum ada pemimpin tertinggi BN mahu pun Umno yang menarik balik kenyataan dalam laporan oleh media kroni parti itu.
Ertinya, kelemahan sifat ahli Umno itu diakui sendiri pemimpinnya. Malah apa yang disebut Zahid itu senada dengan pengakuan seorang lagi Naib Presiden Umno, Dato’ Seri Shafie Apdal. Bercakap kepada perwakilan Umno Rasah pada hari sama, beliau menasihatkan mereka supaya menghentikan perbalahan sesama sendiri sekiranya mahu menang PRU ke-13 nanti.
Sehari sebelumnya, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dato’ Shaziman Abu Mansor menegur sikap segelintir ahli parti itu yang lebih gemar memperlekehkan pemimpin dan rakan parti sendiri berbanding parti lawan. Menurut beliau, sikap sedemikian boleh diibaratkan sebagai ‘gunting dalam lipatan’ dan berpotensi merosakkan Umno.
Perangai hodoh ahli Umno yang didedahkan Menteri Kerja Raya di Maran itu ibarat melengkapkan teguran keras Naib Ketua Pemuda Umno, Dato’ Razali Ibrahim sehari sebelumnya. Di majlis perasmian mesyuarat perwakilan tiga sayap Umno di Kemaman, Razali mengingatkan ahli semua pergerakan itu supaya tidak bersikap biadab dan kurang ajar ketika ingin membuat sesuatu teguran mengenai kepincangan yang berlaku dalam pucuk pimpinan parti.
Apakah kita fikir ingatan sepenting itu saja-saja diucapnya tanpa dibayangi realiti yang telah pun berlaku dalam Umno? Bagaimana pula dengan teguran Presiden Umno sendiri terhadap sikap pemimpin dan ahli partinya yang berlagak seperti primadona dan individualistik?
(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1555, 9 Julai 2010 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment