Oleh: Mohd Nasir Awang
AGAK ironis reaksi dan pendirian para pemimpin politik
Melayu, khususnya kalangan parti pemerintah negara, dalam mempertahankan
kedaulatan beberapa hak dan keistimewaan milik bangsa Melayu sendiri mutakhir
ini.
Yang dikatakan ironisnya, di suatu ketika mereka
memproklamir diri pejuang Melayu. Di masa lain mereka juga menjuarai pencabulan
ke atas hak dan keistimewaan bangsa mereka.
Selalunya pantang ada mana-mana pihak yang menyuara atau
melakukan apa-apa tindakan yang dinilai menghakis sesuatu hak Melayu, para
pemimpin parti pemerintah akan berada di barisan paling hadapan mengutuknya. Merekalah
selalunya menjuarai suara kecaman dan tindakan membantah.
Ingat lagi bagaimana hiruk-pikuk tempikan tidak puas hati
khalayak penguasa negara terhadap seseorang pemimpin parti lawan mereka agar
pintu Universiti Teknologi Mara (UiTM) dibuka kepada pelajar bukan Melayu dan
pelajar asing, Ogos lalu?
Ada yang menyifatkan cadangan itu tidak masuk akal dan
tidak wajar diberikan pertimbangan. Ada
yang menilainya sebagai suatu idea yang bertentangan dengan matlamat penubuhan
UiTM itu sendiri yang mengutamakan kecemerlangan Melayu. Tidak kurang juga yang
melabelkan pemimpin itu sebagai pengkhianat bangsa.
Bantahan tidak terhenti di situ. Kumpulan mahasiswa semua
kampus cawangan universiti berkenaan, yang sudah berdekad diharamkan
berdemonstrasi, bagaikan menerima kerahan pula untuk turun ke jalan raya.
Kegawatan hampir sama turut tergambar dalam reaksi
terhadap tindakan sebuah kerajaan negeri diperintah parti pembangkang menaikkan
papan tanda jalan dalam pelbagai bahasa, selain bahasa Melayu. Kesungguhan dan
kelantangan beberapa pihak membantahnya, sudah tentu dengan aspirasi parti
pemerintah negara, disemarakkan lagi oleh media massa dikuasai mereka.
Sepintas lalu, rakyat cuba diyakinkan dan didorong
percaya bahawa fenomena papan tanda pelbagai bahasa itu tidak wujud di
negeri-negeri lain di bawah perintah parti tersebut.
Agak meloyakan, suara dan bantahan mereka itu sekadar
ibarat ‘mengata dulang paku serpih’.
Amalan menaikkan papan tanda pelbagai bahasa itu rupa-rupanya telah lama
berlaku di negeri-negeri yang mereka perintah.
Sikap ‘double standard’
pemimpin Melayu dalam parti pemerintah berkaitan perkara itu bukan suatu
yang mengejutkan. Ia bahkan turut terserlah menerusi sikap tidak konsisten
mereka dalam pelbagai isu lain.
Pertikaian utama di sini ialah, selaku parti pemerintah,
mereka ada kuasa menentukan sesuatu peraturan atau polisi. Sejarah membuktikan
betapa parti yang mendakwa juara pejuang Melayu itulah sebenarnya pencabul
utama ke atas hak dan keistimewaan Melayu.
Bukankah mereka yang membatalkan penggunaan tulisan Jawi
sebagai tulisan rasmi pentadbiran negara dulu? Tulisan yang melambangkan
identiti bangsa dan menjadi tulisan ilmu suatu ketika dulu akhirnya hampir
terkubur, mangsa peminggiran sistem pendidikan diputuskan para pemimpin Melayu
sendiri.
Jangan lupa sebelum isu UiTM tadi dicetuskan, kerajaan
telah lama melaksanakan kuota 10 peratus kepada pelajar bukan Melayu di Maktab
Rendah Sains Mara (MRSM).
Begitu juga dalam kes biasiswa untuk anak-anak Melayu
cemerlang. Dulu sebahagian besar mereka mendapat biasiswa, kini keistimewaan
itu sangat terbatas. Sebahagian besar pembiayaan ditukar kepada pinjaman
pendidikan. Kemudian ada pula cadangan oleh pak menteri mengagihkan kuota
biasiswa itu kepada pelajar bukan bumiputera.
Ada puluhan lagi tindakan parti pemerintah yang dinilai
tidak konsisten dengan dakwaan mereka sebagai pejuang Melayu. Antaranya,
menukar bahasa pengantar di universiti-universiti daripada bahasa Melayu kepada
bahasa Inggeris.
Terakhir ialah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains
dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Sedari awal pelaksanaannya pada
2003, pelbagai pihak telah mendesak kerajaan agar kedua-dua teras itu kembali
diajar dalam Bahasa Malaysia.
Sebagai bukti kejayaan PPSMI, kerajaan mengharapkan
kecemerlangan prestasi pelajar dalam kedua-dua subjek tersebut dalam Ujian
Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008. Keputusan UPSR 2008 dikatakan kayu ukur
terbaik untuk pelaksanaan PPSMI. Calon UPSR tahun lalu adalah kumpulan murid
pertama memperoleh pusingan lengkap pelaksanaan PPSMI dari Tahun Satu hingga
Tahun Enam.
Bagai diduga, kerajaan benar-benar memanipulasi keputusan
UPSR itu sebagai sandaran keputusan yang telah dibuatnya lebih awal. Menteri
Pelajaran menyimpulkan PPSMI tidak menghalang kemajuan dan kecemerlangan
pelajar.
Meskipun dibantah dan diberikan pelbagai pandangan kedua,
kerajaan kekal dengan keputusan meneruskan pelaksanaan PPSMI. Ia sekaligus
membuktikan segala usaha bantahan oleh ilmuan, cendiakawan, khalayak akademik,
pejuang dan pencinta bahasa Melayu hanya sia-sia. Pekikan mereka yang hampir
memecahkan anak tekak bagaikan hinggap di telinga badak. Serahan memo dan
resolusi umpama mencurah air ke daun keladi.
Justeru, satu hakikat yang mesti dipelajari rakyat dan
tidak wajar dinafikan mana-mana pihak, keputusan kerajaan meneruskan
pelaksanaan PPSMI adalah satu lagi bukti antara sebegitu banyak bukti yang
telah terserlah sebelum ini mengenai sikap ‘double
standard’ penguasa-penguasa politik Melayu di negara kita, khususnya dalam
isu bahasa.
Sekalung takziah buat pejuang dan pencinta bahasa!
(Artikel ini
disiarkan majalah bulanan Al-Muslimah, Januari 2009 di ruangan ‘Pendapat’ dengan
tajuk sama)
No comments:
Post a Comment