Oleh: Mat Zain Mat Isa
|
PILIHAN Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu menerima kejutan kedua
pada hari penamaan calonnya, 6 Januari, apabila seorang lelaki yang tidak
memasuki senarai yang disebut-sebut bakal bertanding, muncul menyerahkan
borang pencalonan di atas tiket Bebas.
Azharudin Mamat @ Adam disahkan layak bertanding, sekali gus
menjadikan pertarungan merebut kerusi parlimen berkenaan, 17 Januari nanti,
suatu pertarungan tiga penjuru.
Dua lagi calon yang turut disahkan layak bertanding ialah Dato' Wan
Ahmad Farid Wan Salleh mewakili parti Barisan Nasional dan Mohd Abdul Wahid
Endut mewakili PAS.
Kejutan pertama
Pada 1 Januari lalu Mohd Abdul Wahid memberikan kejutan pertama
apabila diisytiharkan sebagai calon PAS. Sebelum itu umum bagaikan sudah
hampir pasti bahawa calon bakal dipilih PAS adalah daripada tiga tokoh yang
disebut-sebut berada pada senarai pendek terakhir parti itu.
Tiga tokoh dimaksudkan ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat merangkap
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi;
Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Wan Abdul Mutalib Embong; dan
Pesuruhjaya PAS negeri, Dato' Mustafa Ali.
Pemilihan Mohd Abdul Wahid yang di luar jangkaan semua pihak memang
memeranjatkan. Media cetak dan elektronik yang beria-ia membuat ramalan
mengenai bakal calon dipilih PAS bagaikan terpukul apabila nujum mereka tidak
menjadi.
Di pihak BN pula, pemilihan Mohd Abdul Wahid sebagai calon tidak
kurang menimbulkan kekalutan. Menurut sumber tertentu yang rapat dengan
jentera BN, beberapa unit khas ditubuhkan parti itu untuk meneliti rekod
peribadi bakal calon PAS mengakui terpaksa menukar 'kertas kerja' ekoran
keputusan mengejutkan itu.
Dikatakan BN telah siap dengan maklumat terperinci mengenai
ketiga-tiga tokoh Pas yang disebut-sebut sebagai bakal calon itu. Dipercayai
parti itu telah mengatur persiapan rapi 'menyerang' mereka.
Berakhirnya teka-teki
Sementara teka-teki siapa bakal calon BN tamat sebaik nama Wan Ahmad
Farid diumumkan pada 20 Disember, calon-calon yang dijangka bertanding selain
dari BN dan PAS terus diperkatakan. Ketika itu beberapa nama disebut-sebut
bakal bertanding sebagai calon Bebas.
Seorang nenek berusia 89 tahun, Maimun Yusof, yang pernah
memeranjatkan negara apabila menjadi calon tertua di Kuala Terengganu, Mac
lalu, tidak menolak kemungkinan menyertai sekali lagi pilihan raya kecil ini.
Beliau dilaporkan sedia menimbang berbuat demikian sekiranya ada pihak sudi
membiayai penyertaannya.
Seorang peniaga dari Rantau Panjang, Isma Airfath Hassanudin,
bagaimana pun menjadi orang pertama mengumumkan hasrat menyertai pertandingan
kali ini. Beliau mendakwa menerima sokongan pelbagai pihak di Kuala
Terengganu, terutama kenalan beliau dalam persatuan sosial dianggotainya.
Bekas calon Bebas bagi kerusi Parlimen Rantau Panjang, Mac lalu itu malah
sanggup mencium tangan Tok Mun sebagai tanda memohon restu untuk bertanding.
Turut menghangatkan teka-teki jumlah calon ialah parti Angkatan
Keadilan Insan Malaysia (Akim). Satu majlis pengumuman calonnya malah telah
diadakan minggu lalu. Parti itu menamakan seorang pemimpin Akim Terengganu,
Harun @ Abdul Rahman Mohamad sebagai bakal calonnya.
Tidak teruskan hasrat
Nama seorang usahawan muda berjaya dikenali sebagai 'Lan Futsal' juga
pernah disebut bakal menjadi calon Bebas. Beliau bagaimana pun tidak
meneruskan hasrat tersebut.
Sehingga ke malam sebelum tiba hari penamaan calon, teka-teki jumlah
calon bakal bertanding masih melebihi empat orang. Apatah lagi pada malam itu
media turut melaporkan bahawa pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
mengesahkan sebanyak 11 borang pencalonan telah dibeli beberapa pihak.
Kesudahannya, selain calon dua parti utama itu, tidak ada seorang pun
di kalangan nama-nama itu yang muncul. Sebaliknya, yang muncul ialah
Azharudin yang tidak langsung disebut namanya sebelum ini. Berpakaian baju
labuh dan seluar 'singkat' serta mengenakan kopiah, sekali pandang orang
sepintas lalu akan mengaitkan beliau dengan sebuah jamaah dakwah yang masyhur
di negara kita.
Menurut sumber yang mendakwa mengenali beliau, Azharudin dikatakan
anak kepada seorang orang kuat Umno di Dun Ladang, Kuala Terengganu. Bapanya
malah pernah dilantik menerajui sebuah unit penting dalam kerajaan Terengganu
pimpinan menteri besar sebelum ini.
Tidak dapat dipastikan apakah faktor utama yang mendorong Azharudin
menyertai pilihan raya ini. Namun berdasarkan maklumat kerjayanya sebagai
kontraktor dan dari kalangan penyokong Umno atau pendokong BN, ada
cakap-cakap yang mengaitkan kemungkinan tindakannya itu dengan perasaan tidak
puas hati terhadap tindak-tanduk bekas Adun Ladang, Dato' Wan Hisham Wan
Salleh.
Sekadar makluman, bekas anggota Exco negeri itu adalah abang kandung
kepada calon BN, Wan Ahmad Farid.
|
(Artikel ini disiarkan laman Harakahdaily.net pada 7 Januari 2009 dengan tajuk sama. Ia turut dipetik laman kedahboleh.blogspot.com dan suwaritimur.blogspot.com/. pada hari sama)
No comments:
Post a Comment