Sunday, January 4, 2009

PAS perlu pertingkat ketahanan tepis saraf musuh


“Perang psikologi PRK Kuala Terengganu telah bermula”

Oleh: Anuwa Jamalullail

MESKI PUN penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu hanya akan berlangsung 6 Januari nanti, bahang pilihan raya itu sudah semakin terasa. Selain mempersiapkan jentera dan logistik diperlukan sepanjang kempen, kedua-dua pihak juga telah mula melancarkan perang psikologi terhadap parti lawan.

Proses penentuan calon bagi kedua-dua pihak menjadi medan paling awal perang tersebut. Sepertimana lazimnya, perebutan menjadi calon di kalangan pemimpin Barisan Nasional (BN) bukan suatu yang di luar dugaan.

Teka-teki itu bagaimana pun dianggap selesai 20 Disember lalu. BN menamakan Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai bakal calonnya.

Namun, Umno Terengganu didakwa tidak bulat dalam menerima keputusan itu. Proses penentuan calon itu dikatakan dibuat sepenuhnya oleh Umno bahagian itu. Cadangan nama calon dikatakan diajukan terus kepada pimpinan tertinggi parti tanpa melalui Umno negeri.

Proses penentuan calon di pihak PAS juga dimanipulasi BN. Parti itu dikatakan gagal mencapai kata sepakat apabila agak lewat mengumumkan bakal calonnya berbanding BN.

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam beberapa kenyataannya kepada media sebelum itu berulangkali mencadangkan agar Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu dipilih semula sebagai calon. Mohamad adalah bekas calon PAS dalam pilihan raya Mac lalu dan kalah dengan majoriti hanya 628 undi.

Kekalahan tipis itu disimpulkan atas faktor beliau ‘orang luar’. Kononnya pengundi Kuala Terengganu tidak suka berwakil rakyatkan bukan anak tempatan. Terpengaruh dengan dakwaan itu, ada kalangan pimpinan PAS Terengganu sendiri menolak nama Mohamad dipertimbangkan sebagai calon kali ini.

Sehingga rencana ini ditulis, nama bakal calon PAS belum diumumkan. Siapa pun yang dipilih, wajar diakui proses penentuannya telah dibauri sentimen kenegerian yang tidak sihat itu. Apakah PAS Terengganu sendiri sedar bahawa isu ‘orang luar’ itu sebenarnya saraf dicetuskan parti lawannya?

Isu itu mula timbul Mac lalu. Keghairahan kempen jentera PAS di kawasan berkenaan dikatakan terbantut apabila ada pengundi yang meluahkan secara terbuka tidak bersedia memberikan undi kepada ‘orang luar’ (Mohamad).

Soalnya, apakah penolakan itu timbul dari sentimen kedaerahan para pengundi sendiri, atau sebenarnya diapi-apikan pihak lain? Akuilah ia sebenarnya saraf musuh PAS, sama ada yang bergerak atas nama BN atau berselindung di sebalik calon Bebas.

Buktinya, tiupan sentimen tidak sihat itu telah menghasilkan undi protes terhadap calon PAS di kerusi parlimen. Beza jumlah undi diperolehi calon parti itu di keempat-empat kerusi Dun berbanding undi diperolehi Mohamad agak ketara.

Soalnya, apakah undi lari itu semata-mata kerana tidak berkenan kepada Mohamad? Apakah tidak mungkin ia kerana simpati kepada nenek yang menjadi calon Bebas itu? Atau kerana BN lebih berjaya memanipulasi kelebihan peribadi calonnya berbanding PAS?

Dalam keadaan PAS sudah cukup pengalaman berhadapan taktik dan strategi jahat BN, parti itu tidak sepatutnya menzahirkan ‘kelemahannya’ menepis serangan musuh. BN bernasib baik pada Mac lalu kerana Mohamad ‘orang luar’. Isu itu dimanfaatkannya untuk mencuri undi PAS.

Namun jangan lupa fenomena sama sebenarnya telah berlaku terhadap calon PAS di kerusi sama pada 2004 lalu. Dr Syed Azman Syed Nawawi kalah dengan majoriti 1,933 undi kepada Allahyarham Datuk Razali Ismail. Sedangkan jika dijumlahkan undi-undi peringkat Dun, beza majoriti kemenangan BN hanya 625 undi.

Undi diperolehi Syed Azman kurang 689 berbanding undi calon-calon PAS di empat Dun. Jika tidak kerana undi yang lari itu, Syed Azman sepatutnya kalah hanya dengan 625 undi, bukannya 1,933 undi.

Maka perlu diterima hakikat bahawa undi lari dalam kes Mohamad, Mac lalu juga bukan semata-mata kerana dia ‘orang luar’. Fenomena serupa telah dialami Syed Azman empat tahun lalu, sedangkan dia anak tempatan.

BN memang pakar dalam kerja saraf. Ia akan mengkaji segenap sudut kelemahan PAS dan memanipulasinya untuk menagih undi simpati. Kali ini PAS dijangka memilih seorang anak tempatan. Maka isu ‘orang luar’ tidak akan kedengaran lagi. Namun jangan merendah keupayaan BN tampil dengan isu lain pula.

Contohnya, BN kali ini cuba menonjolkan seolah-olah ia tidak mengutamakan isu memburukkan peribadi. Sedangkan Mohamad diganyang Mac lalu atas faktor peribadinya yang bukan anak tempatan.

Sebab itu, apabila Presiden PAS menyebut partinya akan menampilkan seorang calon lebih layak daripada calon BN, Wan Farid menjawab secara rendah diri. Katanya, dia tiada hak menentukan siapa paling layak. Biarlah rakyat selaku pengundi yang menentukannya.

Meski pun ringkas, jawaban itu mungkin dipanjangkan kepada satu isu besar dan berkesan. Saraf BN mungkin memanfaatkan kenyataan kedua-dua pemimpin itu sebagai membandingkan tahap rendah diri pemimpin kedua-dua parti.

Perkara ini tidak akan dipertuturkan secara terbuka, tetapi akan dibisikkan ke telinga pengundi, terutama ketika menagih undi simpati pengundi ‘atas pagar’. Dalam pertarungan yang diakui ‘50-50’, undi golongan ‘atas pagar’ adalah penentu.

Tindakan Wan Farid secara terbuka mengumumkan akan meletakkan jawatan sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri dan senator pada 5 Januari juga satu lagi modal bakal dimanipulasi BN.

Media telah pun menonjolkan beliau sebagai seorang pemimpin yang sanggup berkorban demi parti dengan mengenepikan kepentingan diri. Sentimen masyarakat Melayu yang mudah bersimpati dengan orang yang sanggup berkorban dan rela ‘hilang’ pekerjaan akan dieksploitasi secara sangat halus.

Soal pengalaman dan jasa bakti sebelum ini juga telah dibangkitkan. Sebagai timbalan menteri dan sebelumnya setiausaha politik kepada menteri, kelebihan tentu memihak kepada Wan Farid dalam soal menyantuni kebajikan dan keperluan rakyat. Apatah lagi beliau adalah pemimpin parti yang memerintah negeri dan sering muncul dalam majlis-majlis rasmi kerajaan.

Apa yang jelas BN cuba mengeksploitasi kelebihan peribadi calonnya. Meski pun ia bukan serangan peribadi terhadap calon lawan, tetapi ia turut menjadi saraf halus BN apabila pengundi diminta membandingkan kelebihan itu dengan calon dikemukakan PAS. Kesannya akan lebih terasa sekiranya PAS mengemukakan seorang calon yang ‘fresh’, kurang dikenali dan tidak ada pengalaman terlibat dengan politik setempat.

Apa pun kemungkinannya, PAS perlu sentiasa bersedia dengan hujah dan tawaran alternatif bagi memaut keyakinan pengundi. Jangan terlalu terbawa-bawa dengan isu dimainkan musuh. Belajarlah dari pengalaman lalu dan pertingkatkanlah ketahanan parti dalam menepis saraf BN.

(Artikel ini disiarkan akhbar Mingguan Wasilah, 04 Januari 2009 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment