Oleh: MOHD NASIR AWANG
TAHUN baru datang lagi. Agak bertuah kedatangannya kali
ini hampir serentak antara kalendar Hijriah dan Masihiah. Kebetulan itu hanya
muncul sekali dalam setiap 24 tahun.
Persamaan tarikh antara kedua-dua hitungan itu terserlah
beberapa bulan lalu apabila umat Islam menyambut kedatangan 1 Ramadhan tepat
pada 1 September. Kedua-dua bulan tersebut adalah bulan kesembilan dalam
kalendar masing-masing.
Kedatangan tahun baru juga sinonim dengan satu lagi
tradisi masyarakat, iaitu penggal baru persekolahan. Bagi pelajar yang
cemerlang dalam UPSR dan PMR, ibu bapa mereka tentu berusaha sedaya mungkin
menempatkan mereka ke sekolah-sekolah terpilih.
Ibu bapa mengharapkan suasana pembelajaran terbaik bagi
menjamin kejayaan anak-anak. Tiada yang lebih mendamaikan ibu bapa selain
melihat anak-anak berjaya dalam pelajaran. Dalam dunia serba mencabar kini,
kecemerlangan akademik penentu segalanya.
Orang yang berjaya dalam pelajaran, mudah mendapat tempat
dalam masyarakat. Semakin tinggi pencapaian akademik seseorang, semakin
membukit sanjungan diterima dan semakin mudah pula ditawarkan itu dan ini.
Itulah sisi cerah dunia pendidikan hari ini. Sisi
gelapnya pula diwarnai segala macam kebobrokan. Alhamdulillah, kita memang
berjaya melahirkan segala macam pakar. Kita tidak kurang doktor, peguam,
arkitek, jurutera dan berbagai profesional lagi. Masalah utama ialah pencapaian
akhlak dan pekerti serta penghayatan Islam anak-anak kita tidak setanding
kecemerlangan akademik mereka.
Mereka cerdik dan pintar, tetapi turut pintar menipu,
melawan hukum Tuhan, makan suap, tidak solat, tidak puasa dan berbagai
kemungkaran lagi.
Inilah sebenarnya sisi gelap dunia pendidikan kita yang
amat memalukan. Usah disebut soal ketiadaan akhlak dan pekerti anak-anak kini.
Bercakap kasar dan tiada adab, tingkah laku yang langsung tidak menghormati
orang tua dan berbagai lagi. Logiknya, kalau kepada Tuhan pun mereka tidak
menunjukkan rasa hormat dan patuh, bagaimana diharapkan mereka hormat kepada
sesama makhluk?
Acapkali kita dengar saranan pelbagai pihak bahawa
penyelesaian terbaik bagi kebobrokan moral masyarakat kini ialah dengan kembali
menghayati nilai-nilai akhlak dan adab diajarkan agama. Perlu diakui hasrat
mendapatkannya tidak mudah. Ia bukan dapat dicapai sekadar melalui satu
matapelajaran yang diajar dua atau tiga masa seminggu.
Mahu tidak mahu, anak-anak perlu didedahkan kepada lebih
masa mendalami ilmu agama sebagai panduan hidup mereka. Saya pernah
mencadangkan kepada rakan dan kenalan agar menjadikan sekolah-sekolah agama
sebagai pilihan menghantar anak-anak menyambung pelajaran, terutama di usia
mumbang mereka.
Cadangan itu dihujani berbagai alasan dan dalih. Paling
lumrah mereka luahkan pesimisme tentang masa depan. Kata mereka, kerjaya
menunggu lepasan pendidikan agama agak terbatas.
Selain itu, ada dua logik lagi. Pertama, tidak semestinya
anak yang tidak dihantar ke sekolah agama atau mengaji agama di usia mumbangnya
akan membesar sebagai manusia jahat. Kedua, tidak semestinya anak yang dihantar
mengikuti pengajian agama akan besar sebagai orang baik dan berguna.
Mereka mendakwa, dan saya juga tidak menafikan, memang
kedapatan anak-anak yang dihantar mengaji agama tetapi besarnya tidak menjadi
ahli agama atau warga soleh dan berguna.
Begitu juga, memang ada orang yang tidak pernah memasuki
sekolah agama sejak sekolah rendah hingga ke peringkat universiti, tetapi
apabila dewasa mampu membaca kitab agama, mengajarkan ilmu Islam, menjadi imam
bahkan menyampaikan khutbah dan ceramah agama.
Sebab itu ramai ibu bapa mengambil jalan mudah. Tidak perlu
bersusah-payah memberikan didikan agama kepada anak-anak di usia muda, nanti
besar pandai-pandailah mereka mencarinya sendiri.
Kita tentunya amat bertuah sekiranya anak kita berakhir
sebagai insan dewasa berguna dan diredhai Allah. Bagaimana sekiranya anak yang
diharap memberikan syafaat tatkala kita sudah mati bertukar menjadi beban yang
menambah penyeksaan?
Kita tidak tahu bagaimana kesudahan hidup anak-anak
nanti. Tambah sukar diramalkan dengan persekitaran hidup yang semakin kompleks
dan caca marba dalam dekad mendatang ini. Segala kemungkinan boleh berlaku.
Kita mungkin tidak sempat hidup lama untuk melihat hasil
didikan terhadap anak-anak atau untuk memperbetulkan kesilapan hidup mereka.
Namun sebagai ayah dan ibu, kita tetap akan dipertanggungjawabkan atas perilaku
buruk anak-anak itu. Paling tidakTuhan akan tanya kita, “apa yang kamu buat
sepanjang anak-anak kamu masih di bawah jagaan kamu bagi memastikan mereka
selamat di dunia dan akhirat?”
Soalan serupa itulah yang menghantui burung layang-layang
dalam kisah Nabi Ibrahim as yang dibakar kaumnya. Burung kecil itu tahu kadar
air yang dicurahkan dari paruhnya mustahil dapat memadamkan api begitu besar
untuk menyelamatkan Nabi Allah itu. Namun dia ada hujah kepada Tuhannya
sekiranya ditanya, “apa kamu buat ketika melihat Nabi Ibrahim as dibakar?”
Kita pun begitu juga. Kita tahu dalam rangka mendidik
anak-anak seribu satu macam pengaruh buruk datang menggugat. Sebab itu ada ibu
bapa sangat baik dan telah memberikan didikan agama sebaiknya kepada anak-anak,
namun hasilnya amat menducakitakan.
Pun begitu, andaikata kita telah berusaha sebaik mungkin
membekalkan mereka dengan didikan agama, ada harapan untuk kita dimaafkan
Tuhan.
Justeru, sebagaimana bersungguhnya kita menempatkan
anak-anak di sekolah terbaik demi menjamin kebaikan dan keselamatan hidup
mereka di hari depan, wajar juga kita tanya diri kita sendiri, sesungguh itu
jugakah kita mempersiapkan anak-anak kita untuk keselamatan mereka di akhirat
nanti?
Apa kata kita jadikan azam sempena tahun baru ini untuk
mencari jalan terbaik bagi anak-anak agar mengenali agama mereka dan menghayati
cara hidup Islam sedapat mungkin di celah-celah pancaroba kehidupan ini.
(Artikel ini
disiarkan akhbar mingguan Siasah, edisi 4-10 Januari 2009 mengisi kolum
PERSPEKTIF menggunakan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment