Sunday, January 11, 2009

Cina Kuala Terengganu ada sebab untuk undi PAS


Oleh: Anuwa Jamalullail

TERNYATA Barisan Nasional masih tidak dapat memisahkan dirinya dengan modal pembangunan dan umpan kewangan dalam setiap kempen pilihan raya dihadapinya. Taktik tidak bermaruah itu tidak dikecualikan tatkala menghadapi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari nanti.

Sebab itu tidak menghairankan apabila satu demi satu majlis penyampaian segala macam bantuan dianjurkan BN sejak beberapa minggu lalu. Berselindung di sebalik program rasmi kerajaan, parti itu memfokuskan sebahagian besar aktiviti jabatan, agensi kerajaan negeri mahu pun kementerian di kawasan pilihan raya itu.

Di antara majlis agihan bantuan paling diperbesarkan media ialah Majlis Mesra Rakyat Bersama Menteri Besar dan Calon P.36. Majlis yang diadakan pada 26 Disember di dewan sebuah sekolah Cina di ibu negeri itu adalah khusus untuk meraikan masyarakat Cina.

Ia bagaimana pun bukan setakat majlis makan bertujuan memperkenalkan calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Salleh. Majlis itu turut diisi agenda pengagihan bantuan dana khas kepada penerima dari masyarakat Tionghua seluruh Terengganu. Sebanyak RM250,000 dihabiskan BN untuk agihan tersebut.

Di majlis sama, Menteri Besar Datuk Ahmad Said turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM200,000 untuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Chung Hwa Wei Sin (SMKCHWS), RM50,000 untuk 39 persatuan agama dan tokong serta RM60,000 untuk sebuah kuil.

Barangkali kesemua bantuan itu dirasakan belum cukup besar bagi memaut sokongan masyarakat Cina kepada BN. Sebab itu Ahmad turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM6.1 juta khusus untuk pembangunan masyarakat Cina di bandaraya itu. Ia termasuk RM3.3 juta untuk Dewan Perhimpunan Perhubungan Cina Terengganu dan RM2.8 juta untuk dewan SMKCHWS.

Tanpa sentimen perkauman, sebarang bantuan kepada mana-mana kaum oleh kerajaan wajar dialukan. Namun, apa yang menjadi tanda tanya ialah mengapa BN tiba-tiba menunjukkan kemurahan hati membantu masyarakat Cina dengan peruntukan sebegitu besar? Tentu sukar dinafikan ia sebenarnya bermotif politik.

“Dia (BN) nak bantu, kita (PAS) tiada halangan kerana itu tanggungjawab kerajaan untuk masyarakat, tapi pilih waktu ini (menjelang pilihan raya kecil), sudah tentu ia ada tujuan politik. Kita harap masyarakat Tionghua faham bahawa bantuan itu ada motif politik”, tegas Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Mustafa Ali.

Wan Farid dalam reaksinya cuba menafikan apa yang dilakukan BN itu sebagai usaha terdesak untuk memancing undi kaum Cina. Beliau sebaliknya mendakwa kononnya peruntukan tersebut telah lama diluluskan.

Putar belit calon BN itu bagaimana pun tidak menjadi. Alasan “loyar buruk” itu amat bercanggah dengan pengakuan Ahmad sendiri.

“Kalau masyarakat Cina sokong dan kita berjaya (menang Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu) dengan cemerlang, banyak lagi kita akan berikan”, kata Ahmad, sebagaimana disiarkan akhbar harian.

Kenyataan itu mengesahkan pemberian itu memang satu usaha BN memancing undi kaum Cina. Tanggapan serupa turut disuarakan Pengerusi Penaja DAP Cawangan Kampung Cina, Kuala Terengganu, Ng Chai Hing.

“Saya harap rakyat terutama pengundi Tionghua yang akan mengundi dalam Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu ini tidak termakan ‘umpan’ dana khas RM300 seorang itu. Duit ‘ang pau’ itu boleh diambil, sebab bukan duit peribadi pemimpin MCA-BN, tetapi itu memang duit rakyat”, katanya, mengulas agihan bantuan oleh BN kepada penduduk kaum Tionghua di bandar itu.

Chai Hing turut melahirkan keyakinan para pengundi Kuala Terengganu, terutama kaum Tionghua sudah matang berpolitik. Mereka juga dapat mengikuti arus perubahan tsunami politik yang melanda negara, Mac lalu, yang menyaksikan kaum Cina dan India sepakat menolak BN. Tidak mustahil arus sama bakal diterjemahkan pengundi Cina di Kuala Terengganu, minggu depan.

Mengulas lanjut peruntukan kewangan diberikan BN itu, Mustafa mengakui partinya tidak akan mampu menandingi BN dari aspek tersebut bagi menarik sokongan rakyat. Apa yang penting, katanya, PAS akan membuktikan khidmat yang boleh diberikan atas kepercayaan rakyat terhadap parti itu.

Sebetulnya, rakyat Terengganu, terutama masyarakat Tionghua negeri itu sendiri boleh menjadi saksi atas keikhlasan PAS membantu mereka. Meski pun hanya diberi peluang kira-kira empat tahun menerajui kerajaan Barisan Alternatif (BA) dulu, PAS membuktikan komitmennya menyantuni keperluan setiap masyarakat di sebalik segala keterbatasan itu.

Memang ia tidak sempat melakukan banyak perkara, bukan sahaja terhadap masyarakat Cina mahu pun India, malah kepada masyarakat terbanyak dari bangsa Melayu sendiri. Keterbatasannya bukan sahaja tempoh pemerintahan yang singkat, tetapi juga kekangan kewangan oleh kerajaan Pusat, terutama atas isu rampasan royalti minyak yang akhirnya dipulangkan semula baru-baru ini.

Di bawah kerajaan BA, masyarakat bukan Islam bukan sahaja diberi kebebasan mengamalkan agama dan budaya mereka, malah beberapa keperluan asas mereka turut dipenuhi. Antaranya menyelesaikan masalah tanah perkuburan kaum Tionghua. Kerajaan BA mengambil inisiatif berkesan sehingga tanah seluas 8.5 ekar berjaya dimiliki Persatuan Buddha Wakaf Tapai untuk tujuan itu.

Di Dungun, hasrat masyarakat Cina di situ selama puluhan tahun untuk mendapatkan tanah tapak tadika telah ditunaikan kerajaan PAS. Rakan mereka di Kemaman pula diberikan tanah untuk tapak rumah mayat.

Saban tahun kerajaan PAS membelanjakan ratusan ribu ringgit bagi mengadakan majlis pembahagian hamper sempena sambutan Tahun Baru Cina di setiap daerah.

Sesuatu yang ada nilai sentimental terhadap masyarakat Cina turut dikembalikan. Kerajaan BN telah menukar nama Jalan Kampung Cina kepada Jalan Bandar. Demi menghormati hak dan perasaan kaum Cina, kerajaan PAS telah mengembalikan semula nama asal sebagaimana dituntut masyarakat tersebut.

PAS turut menghapuskan cukai pintu untuk Gerbang Naga di Kampung Cina. Segala pembelaan itu mungkin tidak dianggap besar oleh sesetengah pihak, namun ia adalah sesuatu yang tetap bermakna bagi masyarakat Cina Terengganu.

Paling penting, PAS tidak menunggu saat hampir dengan pilihan raya untuk menunaikan tuntutan dan keperluan mereka. Ia amat berbeza dengan anugerah diumumkan kerajaan BN dua minggu lalu yang terbukti memang bermotif politik.

Sebagaimana ditegaskan Chai Hing, pengundi Cina di Kuala Terengganu sudah matang dan mampu menyelami tsunami politik negara. Kita juga berharap mereka turut mengingati jasa-jasa yang pernah dihulurkan PAS dalam tempoh singkat menjadi kerajaan dulu. Justeru, mereka ada sebab untuk sekali lagi memberi kepercayaan kepada calon PAS pada 17 Januari nanti.

(Artikel ini disiarkan akhbar Mingguan Wasilah, 11 Januari 2009 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment