Oleh: Anuwa Jamalullail
SEHINGGA rencana ini ditulis (15 Oktober), sudah 29
Bahagian Umno melangsungkan mesyuarat perwakilan masing-masing. Keputusan kesemua
bahagian itu mencalonkan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sebagai Presiden dan
24 bahagian memilih Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk jawatan Timbalan Presiden
adalah sesuatu yang sudah dijangkakan.
Begitu juga pencalonan untuk Datuk Seri Hishammuddin Tun
Hussein, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang
setakat ini mendahului calon-calon lain untuk perebutan tiga jawatan Naib
Presiden.
Bagi jawatan Ketua Pemuda pula, Datuk Mukhriz Tun Dr
Mahathir turut menepati jangkaan sebagai calon paling popular mengambil alih
jawatan dikosongkan Hishammuddin itu. Dengan 40 pencalonan diperolehinya,
beliau telah melepasi kuota 39 pencalonan diperlukan.
Bagaimana pun pencabar terdekatnya, Khairy Jamaluddin Abu
Bakar yang baru memungut 20 pencalonan dijangka akan turut melepasi kelayakan
tersebut sebaik kesemua bahagian pergerakan itu selesai bermesyuarat awal bulan
depan.
Persaingan bagi jawatan Naib Ketua Pemuda pula agak
seimbang antara dua calon utamanya, iaitu Datuk Razali Ibrahim dan Datuk Reezal
Merican Naina Merican. Kedua-dua mereka telah melepasi kelayakan apabila
masing-masing mendapat 35 dan 30 pencalonan.
Setakat ini juga, Ketua Pergerakan Wanita Umno, Tan Sri Rafidah
Aziz, telah disahkan layak bertanding mempertahankan jawatannya itu. Beliau telah
menerima 52 pencalonan, jauh melebihi syarat 39 pencalonan ditetap partinya.
Naibnya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, turut
melayakkan diri mempertahankan jawatannya apabila menerima jumlah pencalonan
sama. Keupayaan kedua-dua mereka meraih jumlah pencalonan itu sesuatu yang
telah diduga sedari awal.
Namun, pertandingan paling sengit dijangka berlaku dalam
perebutan dua jawatan tertinggi Puteri Umno. Setakat ini kelima-lima calon yang
menawarkan diri untuk jawatan Ketua Puteri telah melepasi kelayakan. Mereka
ialah Datuk Shahaniza Shamsuddin yang memperolehi 33 pencalonan, Datuk Rosnah
Abdul Rashid Shirlin (29), Datin Ismalina Ismail (18), Bibi Sharliza Mohd
Khalid (12) dan Azlina Mehtab Mohd Ishaq (5).
Bagi jawatan Naib Ketua Puteri pula, lima calon juga
telah disahkan layak bertanding. Mereka ialah Nolee Ashilin Radzi dengan 31
pencalonan, Shahanim Mohd Yusof (21), Senator Datuk Nordiana Shafie (15), Dr. Wan
Norashikin Wan Nordin (15) dan Haslinda Zerain (13). Untuk kedua-dua jawatan
tersebut, calon hanya memerlukan dua pencalonan untuk layak bertanding.
Secara umumnya, pencalonan untuk pelbagai jawatan
menjelang pemilihan Umno Mac depan menampakkan satu trend agak jelas. Bahagian-bahagian parti itu secara terbuka
menyatakan sikap masing-masing yang tidak suka “diikat” dengan sesuatu
keputusan oleh kepimpinan lebih tinggi, sama ada peringkat Perhubungan Negeri
mahu pun Pusat.
Sebab itu meski pun ada ketetapan atau persefahaman di
peringkat Perhubungan Umno Negeri agar kesemua bahagian dalam negeri tersebut
mencalonkan pemimpin dari negeri berkenaan untuk jawatan tertentu, ia tidak
semestinya dipatuhi.
Contohnya, ada bahagian di Selangor tidak mencalonkan
Pengerusi Perhubungan Umno Negeri, Tan Sri Muhammad Muhd Taib sebagai Timbalan
Presiden Umno. Ada juga Umno bahagian di Sabah yang tidak mencalonkan Shafie
sebagai calon tunggal dari negeri itu untuk jawatan Naib Presiden.
Apa yang berlaku dalam pencalonan untuk jawatan Ketua
Wanita Umno malah lebih mengejutkan. Setakat ini sudah 12 bahagian Wanita Umno
mencalonkan Shahrizat sebagai ketua baru mereka.
Sedangkan telah dimaklumi sayap wanita itu juga telah “diikat”
dengan pelan peralihan kuasanya yang tersendiri. Menurut pelan yang diumumkan Rafidah
Ogos lalu, beliau akan menyerahkan jawatan ketua pergerakan itu kepada
Shahrizat pada Jun 2009.
Jika tidak kerana adanya 12 pencalonan kepada Shahrizat
itu, barangkali semua pihak beranggapan pelan tersebut diterima baik segenap
lapisan kepimpinan Wanita Umno. Apatah lagi selama ini tatkala ada suara
lantang di kalangan pemimpin tertinggi Umno mendesak pelan peralihan kuasa
peringkat tertinggi parti itu dipercepatkan, tiada sebarang suara serupa
kedengaran dalam Wanita.
Rupa-rupanya dalam kebisuan mereka itu, ada protes yang
tidak dapat dibendung. Ia akhirnya dizahirkan menerusi pencalonan terhadap
Shahrizat itu. Malah sudah mula kedengaran desakan terbuka agar pelan peralihan
kuasa itu dipercepatkan. Ketua Wanita Bahagian Kalabakan, Datuk Hamisa Samat
bahkan menyifatkan sesuatu yang janggal jika Shahrizat memangku jawatan Ketua Wanita
selepas peralihan kuasa Jun depan, memandangkan mesyuarat agung pemilihan hanya
akan berlaku 2011.
“Wanita Umno sepatutnya mempunyai ketua baru pada
pemilihan parti Mac depan dan bukannya menunggu sehingga 2011 dengan meletakkan
Shahrizat sebagai pemangku”, katanya.
Menilai perkembangan itu, kalangan pemerhati politik,
bahkan aktivis Umno sendiri, kini mula mengandaikan tidak mustahil Rafidah
bakal menerima nasib serupa Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi,
yang terpaksa akur dengan desakan anak-anak buahnya untuk berundur lebih awal.
Mungkin jumlah 52 pencalonan diperolehi Rafidah itu sudah
cukup meyakinkan dia dan penyokongnya untuk mengekalkan jawatan disandangnya. Namun,
tiada siapa dapat memastikan apa yang bakal diputuskan lebih 120 bahagian
Wanita yang belum melangsungkan mesyuarat perwakilan masing-masing. Bagaimana
jika akhir nanti jumlah pencalonan untuk Shahrizat bagi jawatan itu mengatasi Rafidah?
Atau sekurang-kurangnya melepasi syarat kelayakan?
Apa yang pasti, bahagian-bahagian Wanita telah
menyuarakan sikap mereka yang tidak bersedia “diikat” dengan keputusan
kepimpinan tertinggi pergerakan itu. Perkembangan itu sudah tentu tidak begitu menyenangkan
Rafidah.
“Saya tidak rasa apa pun, ini demokrasi dan terpulang
pada dia (bahagian-bahagian yang mencalonkan Shahrizat)”, komen Rafidah,
sebagaimana disiarkan akhbar, 12 Oktober lalu.
Beliau bagaimana pun mengakui perkembangan itu
menggambarkan ada Wanita bahagian yang mahu peralihan kuasa dalam pergerakan
itu dipercepatkan.
Apa yang berlaku dalam Puteri Umno juga mencatat
sejarahnya yang tersendiri. Ia bukan sahaja disebabkan begitu ramai calon yang
disahkan layak bertanding untuk dua jawatan tertingginya. Inilah kali pertama
jawatan Ketua Puteri dipertandingkan.
Sejak sayap itu diwujudkan, tidak pernah ada perebutan
untuk jawatan itu. Ia disandang oleh Datuk Azalina Othman yang dilantik sebagai
Ketua Penaja dan seterusnya kekal memimpin Puteri untuk beberapa penggal,
sebelum diambil alih Datuk Noraini Ahmad, juga secara tanpa bertanding.
(Artikel ini
disiarkan tabloid Mingguan Wasilah, edisi 26 Oktober-1 November 2008 dengan
tajuk sama)
No comments:
Post a Comment