Saturday, March 1, 2008

Moral pelajar cemarkan status hab pendidikan serantau


Oleh: Mohd Nasir Awang

BERITA penemuan mayat bayi di tempat pembuangan sampah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Kuala Terengganu hujung Januari lalu agak menggemparkan. Bukan kerana belum ada kisah pembuangan bayi sebelum ini, tetapi kerana beberapa fakta lain berkaitan dengannya.

Pertama, ia ditemui dalam keadaan sangat menyayat hati. Separuh mayat itu hangus terbakar.  Kedua, penemuan itu berlaku di dalam kawasan sebuah institusi pengajian tinggi (IPT), kawasan kediaman orang-orang yang dianggap ‘cerdik-pandai’ dalam masyarakat.

Kawasan pembuangan sampah itu hanya khas untuk para pelajar kampus berkenaan. Fakta itu sekaligus mengecilkan jumlah suspek yang bertanggungjawab melakukannya. Besar kemungkinan ia angkara pelajar perempuan institusi berkenaan juga.

Akhbar harian 1 Februari lalu menyiarkan berita bergambar mengenai penemuan mayat bayi, dipercayai baru dilahirkan, di kawasan pembuangan sampah berhampiran UiTM Kampus Chendering. Ketika ditemui seorang tukang sapu yang melakukan kerja pembersihan di kawasan tersebut, mayat tersebut dalam keadan menyayat hati dengan separuh bahagian badannya terbakar dan terlindung di bawah timbunan sampah lain.

Ekora kejadian itu, lebih 800 pelajar perempuan di kampus berkenaan dikuarantin bagi disoal siasat. Bagaimanapun seramai 36 pelajar tidak sempat disoal siasat kerana telah pulang ke rumah masing-masing sehari sebelum kejadian tersebut.

Apa pun hasil siasatannya nanti, suspek utama dalam kes ini ialah pelajar institusi berkenaan sendiri.  Kawasan di mana ditemui itu adalah kawasan ‘eksklusif’ untuk warga kampus berkenaan sahaja.

Titik hitam itu sudah tentu tidak menyenangkan mana-mana pihak, mengambilkira kampus itu baru saja dinaiktaraf  kepada kampus cawangan UiTM. Sebelum ini institusi itu dikenali Kolej Yayasan Terengganu (KYT).

Penyerahannya diisytiharkan sebagai suatu kebanggaan terutama bagi para pemimpin negeri.  Kampus itu tersenarai sebagai salah satu daripada tiga universiti yang mengukuhkan kelayakan Kuala Terengganu dinobatkan sebagai bandar raya bermula awak tahun baru-baru ini. Dua lagi ialah Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Gong Badak.

Namun, apakah yang boleh dibanggakan jika kelahiran sebuah kampus universiti turut mewarnai adegan pembuangan bayi sepertimana yang berlaku di Terengganu itu? Ia mungkin dianggap kes terpencil kerana sebelum ini tidak pernah kedengaran kes seumpamanya. Bagaiamana pun, jika soal moral, pergaulan bebas dan perlakuan seks rambang di kalangan pelajar IPT diambilkira, apa yang berlaku di Terengganu itu barangkali tidak begitu mengejutkan banyak pihak.

Sebelum ini sudah pernah dilaporkan akhbar tentang kewujudan ‘flat asmara’ di tengah-tengah bandar Kuala Terengganu. Ia sebenarnya sebuah kompleks kediaman awam yang turut dihuni sebilangan pelajar kolej berdekatan. Didorong kesedaran moral yang rendah, mereka menjadikan kediaman itu sebagai tempat melakukan maksiat dan aktiviti sumbang.

Para pelajar perempuan dikatakan bebas membawa pulang teman lelaki. Kehidupan sebahagian mereka dikatakan agak mewah kerana segalanya ditanggung ‘sugar daddy’.  Malah, mereka langsung tidak menghiraukan pandangan negatif penghuni lain.

Kita bukan mahu menjaga tepi kain orang. Isu utama di sini ialah kualiti produk pendidikan yang kita hasilkan. Apakah kualiti sebegitu sepadan dengan kualiti prasarana atau kuantiti kampus IPT yang sering menjadi kebanggaan para pemimpin kita?

Malaysia sering mencanangkan untuk menjadi hab pendidikan serantau. Tahap pendidikan negara dikatakan mencapai taraf antarabangsa dan mampu menarik kehadiran para pelajar asing.  Prasarana pendidikan kita juga dikatakan antara yang terbaik di rantau ini.

Suasana pembelajaran pula dikatakan kondusif dan konstruktif. Tapi apakah cukup sekadar paparan luaran dengan prasarana canggih, maju dan lengkap itu sahaja? Bagaimana dengan hasil atau produk pendidikan kita, terutama di kalangan pelajar tempatan sendiri yang sepatutnya boleh dijadikan contoh kepada pelajar luar? Apakah nilai moral dan akhlak mereka tambah menguntungkan negara atau sebaliknya?

Apa yang nyata, penekanan pendidikan kita kelihatannya semakin menjuruskan para pelajar kepada nilaian materialistik. Apa yang diutamakan ialah pencapaian kebendaan. Hasilnya, apabila para pelajar menemui jalan yang lebih mudah dan cepat mencapai kejayaan kebendaan, mereka tidak lagi memikirkan aspek moral atau tatasusila.

Hakikat ini jelas terpapar menerusi gaya dan pendirian hidup mereka. Bukankah kita pernah terbaca bagaimana para pelajar perempuan yang ditemubual media mengakui akan mengutamakan lelaki berharta sebagai teman hidup? Mereka tidak meletakkan soal cinta atau hubungan perasaan di tempat utama. Soal usia juga bukan kriteria utama.

Bagi mereka biar tua, asal berharta. Bahkan, mereka tidak teragak untuk diajdikan isteri kedua atau ketiga, asalkan ada jaminan kewangan yang kukuh daripada bakal suami.

Apabila soal kemewahan hidup dan jaminan kewangan dijadikan perkara utama, maka apa peliknya lagi jika para pelajar perempuan memilih cara senang mendapatkannya? Modal utama ketika itu bukan lagi daya intelek, tetapi batang tubuh dan rupa paras.

Dalam satu penemuan lain, sebanyak 30.5 peratus pelajar universiti di negara ini yang ditanya pendapat mereka, sanggup mengambil rasuah jika diberi peluang berbuat demikian. Perkara ini pernah didedahkan Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Ahmad Said Hamdan, Ogos lalu.

Beliau berkata, penemuan itu adalah hasil satu kaji selidik yang dijalankan oleh sebuah universiti tempatan pada tahun 2003.

Sebagaimana sikap ditunjukkan para pelajar perempuan yang mengutamakan kemewahan hidup tadi, penemuan ini juga satu petunjuk bahawa sebilangan pelajar kita amat bersikap materialistik.  Mereka sanggup berbuat apa saja asalkan mendapat habuan kebendaan.

Beberapa penemuan disebutkan tadi hanyalah sebilangan contoh betapa minda dan moral ‘cerdik-pandai’ kita kini di tahap yang sangat membimbangkan. Perlu diakui, mereka adalah produk pendidikan yang sepatutnya menjadi kebanggaan kita. Namun sejauh manakah fenomena itu benar-benar membanggakan kita?

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan Al-Muslimah, Mac 2008 di ruangan ‘Pendapat’ dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment