Sunday, March 2, 2008

Pertembungan generasi kedua politik Terengganu



Oleh: Anuwa Jamalullai

PROSES penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum ke-12 di Terengganu pada Ahad (24 Februari) lalu berjalan dengan sempurna. Kecuali di kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), PAS dan calon Bebas, baki 39 kerusi lagi melibatkan pertarungan satu lawan satu.

BN berhadapan PAS di lima kerusi Parlimen dan 27 kerusi Dun. Baki dua kerusi Parlimen dan lima Dun lagi menjadi rebutan antara BN dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Seperkara menarik mengenai calon-calon dikemukakan parti-parti bertanding kali ini ialah peratusan muka baru yang agak tinggi. BN mempertaruhkan 15 muka baru atau kira-kira 37 peratus.

PAS pula menampilkan 12 muka baru yang belum pernah bertanding dalam mana-mana pilihan raya. Mengambilkira jumlah 33 kerusi ditandingi PAS, jumlah itu membentuk 36 peratus. Ada pun tujuh calon PKR adalah 100 peratus muka baru.

Di antara muka baru yang paling ditonjolkan BN kali ini ialah Ketua Puteri Umno negeri, Senator Nordiana Shafie dan pendatang baru, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar. Nordiana mempertaruhkan nasib di Dun Batu Burok, manakala Wan Abdul Hakim di Air Putih.

Persamaan utama antara mereka berdua ialah masing-masing mewakili generasi kedua politik Terengganu. Mereka adalah anak kepada dua bekas wakil rakyat dan pemimpin BN negeri pada dua-tiga dekad lalu.

Nordiana adalah anak kepada Mohamed @ Shafie Abdul Rahman, Adun BN-Wakaf Mempelam pada 1978. Beliau tercatat sebagai wakil rakyat BN terakhir di Dun berkenaan sebelum tewas di tangan calon PAS, Mustafa Ali pada 1982. Sejak itu, Wakaf Mempelam tidak pernah terlepas dari genggaman PAS.

Wan Abdul Hakim pula anak bekas Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Amar Diraja Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad. Wan Mokhtar menjadi MB Terengganu selama 25 tahun bermula 1974 hingga tewas pada 1999.

Kemunculan dua muka baru ini menambahkan bilangan generasi kedua dalam politik Terengganu yang mengikuti jejak ditinggalkan bapa masing-masing. Sebelum mereka, sudah ada beberapa nama, termasuk calon Dun Bandar, Toh Chin Yaw. Wakil MCA ini bukan sahaja mewarisi kerusi berkenaan daripada bapanya. Turut diwarisinya ialah jawatan Exco kerajaan negeri.

Bapanya, Dato’ Maha Kurnia Toh Seng Chong, menjadi Adun Bandar selama dua penggal bermula 1969. Beliau juga dilantik sebagai Exco kerajaan negeri selama tempoh itu.

Bekas Adun Rantau Abanag yang dicalonkan semula di situ, Zaabar Mohamed Adib adalah juga generasi kedua politik Terengganu. Beliau adalah anak kepada Mohamed Adib Omar, Adun BN-Merchang bagi penggal 1974-82.

Calon BN Parlimen Kuala Nerus dan bekas Adun Bukit Tunggal, Mohd Nasir Ibrahim Fikri pula adalah anak kepada Menteri Besar Terengganu ke-7, Tan Sri Ibrahim Fikri Mohamad. Ibrahim Fikri memenangi Dun Kuala Nerus selama tiga penggal bermula 1959 dan menjadi Menteri Besar antara 1961 hingga 1970.

Apa yang lebih menarik, kecenderungan mengetengahkan “waris politik” itu tidak terbatas kepada BN sahaja. PAS juga tidak ketinggalan mengemukakan generasi kedua ke pentas politik negeri. Mereka ialah Haji Muhyidin Abdul Rashid dan Ustaz Ridzuan Hashim.

Muhyidin diletakkan sebagai calon bagi Dun Kuala Berang. Beliau adalah Ketua Penerangan PAS Terengganu dan bekas Ahli Parlimen Hulu Terengganu penggal 1999.

Muhyidin dilahirkan pada 4 Julai 1961 dalam sebuah keluarga ahli perniagaan dan ahli politik di Kuala Berang. Ayahnya, Haji Abdul Rashid Su adalah bekas wakil rakyat PAS di Dun Kuala Brang pada 1974.

Pemegang ijazah Pengurusan Perniagaan dari Institut Teknologi Mara (ITM) ini memang seorang ahli perniagaan yang aktif. Berbagai bentuk perniagaan diceburinya, seperti pembekalan bahan binaan, urusniaga getah dan kayu-kayan. Beliau pernah menjawat Setiausaha Eksekutif Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia, beribupejabat di Kuala Lumpur.

Muhyidin pernah memegang berbagai jawatan parti. Antaranya, Ketua Dewan Pemuda PAS (DPP) Kawasan Hulu Terengganu, Ketua Penerangan PAS Kawasan, Setiausaha PAS Kawasan, Ketua Penerangan DPP negeri dan Ketua DPP negeri bagi penggal 2001-03 lalu.

Mula bertanding Pilihan Raya Umum 1995 bagi kerusi Dun Kuala Berang, tetapi tewas. Pada 1999 beliau beralih ke kerusi Parlimen Hulu Terengganu dan menang. Beliau tewas di situ pada 2004. Di tahun sama juga dipilih sebagai calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil Dun Kuala Berang.

Ridzuan pula dipertaruhkan PAS untuk merampas semula Dun Teluk Pasu. Beliau adalah anak Almarhum Usatz Hashim Embong, bekas Adun PAS-Jeram pada 1969. Dun Jeram ditukar nama kepada Teluk Pasu bermula 1986.

Ridzuan lahir pada 2 Januari 1972 di Kampung Teluk Pasu, Kuala Terengganu. Beliau adalah anak keenam daripada 11 beradik. Selesai pengajian diploma di Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (Kusza) dalam jurusan Syariah Islam, beliau menyambung ke peringkat ijazah pertama jurusan sama di Universiti Al-Azhar, Mesir. Beliau kemudian mendapat ijazah sarjana (Syariah) daripada Universiti Kebangsaan Malaysia pada 2002.

Pernah bertugas sebagai imam di Masjid Subang, Selangor sebelum dipecat kerana faktor politik. Beliau kembali ke Terengganu dan kini giat mengadakan kuliah mingguan di 10 tempat dalam Dun Teluk Pasu selain kuliah bulanan di beberapa tempat lain.

Di dalam parti, Ridzuan memikul amanah sebagai Timbalan Pengarah 2 Majlis Tindakan Dun Teluk Pasu, Pengarah Jabatan Mahasiswa DPP negeri dan Ketua DPP Kawasan Kuala Nerus.

Kedua-dua pihak dalam politik Terengganu kini nampaknya sudah menemui “waris politik” bagi bekas pemimpin mereka. Cuma yang membezakan antara kedua-dua pihak, BN mungkin lebih menyandarkan kekuatan ‘bapa’ bagi melonjakkan kejayaan generasi kedua. Sedangkan PAS lebih menilai kewibawaan dan keupayaan diri ‘anak’ yang diketengahkan itu sendiri.

(Artikel ini disiarkan akhbar dwimingguan Siasah, edisi 2-6 Mac 2008 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment