Sunday, March 16, 2008

Sabah, Sarawak penentu politik Malaysia


Oleh: Mohd Nasir Awang

PILIHAN Raya Umum ke-12, 8 Mac lalu menyaksikan Barisan Nasional (BN) mengalami kekalahan paling teruk dalam sejarah. Ia bukan sahaja gagal dalam impiannya menobatkan Menteri Besar Umno di Kelantan, malah suaranya hampir dilenyapkan di negeri itu. BN hanya mampu mengekalkan enam kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan dua kerusi Parlimen.

Di samping itu, empat kerajaan negeri di Pantai Barat tumbang ke tangan pakatan parti-parti PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang membentuk Barisan Alternatif (BA) dengan DAP. Pulau Pinang diterajui DAP, Selangor diketuai PKR, manakala Kedah dan Perak bermenteri besarkan wakil PAS.

Nasib baik di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya tidak diadakan pilihan raya di peringkat Dun. Jika tidak, besar kemungkinan wilayah itu juga akan dikuasai pakatan BA-DAP. Bayangkan BN hanya menang dua daripada 12 kerusi Parlimen di wilayah berkenaan. Baki 10 lagi masing-masing dikongsi oleh DAP (5), PKR (4) dan PAS (1).

Turut tumpas ialah beberapa pemimpin kanan BN. Antara mereka ialah Presiden MIC merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu, Presiden PPP, Datuk M. Kayveas dan Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon.

Selain Samy Vellu, tiga menteri kabinet daripada Umno juga tewas. Mereka ialah Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil (Lembah Pantai), Datuk Aziz Shamsuddin (Shah Alam) dan Datuk Zainudin Maidin (Sungai Petani).

Meski pun masih berpeluang membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan, BN dalam keadaan sangat lemah. Ia ibarat orang tempang yang dilanda demam panas, sakit gigi dan senak perut.

BN gagal memastikan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat. Ia menang hanya 140 daripada 222 kerusi. Baki 82 lagi dimiliki BA-DAP.

“Sebuah kerajaan yang tidak mendapat majoriti dua pertiga adalah kerajaan yang sangat lemah”, begitulah reaksi awal bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai kekalahan BN minggu lalu.

Kekuatan BN memang amat tercabar kini. Ia amat bernasib baik kerana masih mampu membentuk kerajaan.

Melihatkan jumlah kerusi dimenangi BN, adalah tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa penyelamat utama kerajaannya ialah parti-parti komponennya di Sabah dan Sarawak. BN hampir menyapu bersih kerusi parlimen di kedua-dua negeri itu. Sabah menyumbang 24 kerusi dan Sarawak, 30.

Dalam konteks pertarungan poltiik Malaysia, percaturan politik di kedua-dua negeri Malaysia Timur itu tidak boleh dijadikan ukuran sebenar kekuatan mana-mana parti, termasuk BN. Kecuali Umno dan DAP, lain-lain parti yang mampu mendapat tempat di negeri tersebut adalah bersifat negeri.

Budaya berpolitik di kedua-dua negeri itu agak unik dan amat berbeza dengan suasana di Semenanjung. Cara dan tahap berfikir masyarakat di sana tidak serupa dengan segmen terbesar rakyat negara ini. Isu pembangunan masih mendominasi pemikiran rakyatnya. Politik lompat juga bukan suatu budaya yang ditolak di sana.

Di setiap pilihan raya, pertandingan pelbagai penjuru adalah lumrah. Kekuatan calon adalah pada tarikan dan kemampuan kebendaan mereka. Faktor keperibadian calon mampu menewaskan faktor parti. Sebab itu ruang bagi calon Bebas menang sentiasa ada di sana.

Kedua-dua negeri itu juga sering mencatatkan kes kemenangan tanpa bertanding yang agak banyak. Ia berlaku pada hampir setiap pilihan raya dan turut berlaku kali ini. Contohnya, dua kerusi parlimen dimenangi tanpa bertanding pada 1990 adalah masing-masing satu di Sarawak (Lubuk Antu) dan Sabah (Keningau).

Pada 1995 pula, BN menang tanpa bertanding di 11 kerusi parlimen. Sembilan daripadanya adalah di Sarawak. Satu-satunya kerusi parlimen di menangi tanpa bertanding pada 1999 juga di Sarawak (Betong).

Kemenangan percuma BN di 17 parlimen dan 11 Dun pada 2004 juga dibayangi hakikat sama. Sembilan daripada kerusi parlimen dan lapan kerusi Dun itu adalah di Sabah. Manakala enam kerusi parlimen lagi di Sarawak. Hanya dua kerusi parlimen dan tiga kerusi Dun dimenangi BN itu melibatkan negeri-negeri di Semenanjung. Kemenangan mudah di dua negeri itu sering menjadi modal awal kekuatan BN.

Hakikat itu berkekalan hingga kini. Pada hari penamaan calon 24 Februari lalu, BN telah memperolehi kemenangan percuma di tujuh kerusi parlimen. Empat daripadanya di Sarawak, dua di Sabah dan hanya satu di Johor.

Kedua-dua negeri itu menyumbang 54 kerusi untuk mempertahankan kerajaan BN. Ertinya, tanpa sumbangan mereka, jumlah dimenangi BN di Semenanjung hanya 86 berbanding 82 dimenangi BA-DAP.

Jangan lupa terdapat 11 lagi kerusi parlimen yang dimenangi BN di Semenanjung dengan majoriti tipis, yakni di bawah 2,000 undi. Bahkan, empat daripadanya mencatatkan majoriti sangat tipis. Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu tewas hanya 665 undi di Kuala Terengganu dan Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr. Haron Din terlepas kerusi Parlimen Arau dengan hanya 300 undi majoriti.

Dua calon PKR malah tewas dengan undi lebih kecil, masing-masing di Lumut (298 undi) dan Alor Setar (184).

Perkiraan ini membuktikan, tanpa Sabah dan Sarawak, kekuatan BN adalah sekata berbanding BA-DAP. Kerajaan BN pimpinan Umno bagaikan ‘telur di hujung tanduk’ jika tidak disokong parti-parti komponen dari dua negeri Malaysia Timur itu.

Dalam keadaan yang ada kini, segala kemungkinan boleh berlaku. Berbekalkan budaya politik Malaysia Timur yang kita ketahui, tidak mustahil kita bakal menyaksikan perubahan lebih besar dalam pemerintahan negara.

Banyak aspek boleh diulas mengenai perkembangan politik kini. Untuk kali ini, cukup sekadar itu. Saya mengambil kesempatan mengucap tahniah buat empat rakan seperjuangan di zaman kampus dulu yang kini bergelar “Yang Berhormat”. Mewakili PAS ialah Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (Dun Batu Burok, Terengganu) dan Che Abdullah Mat Nawi (Dun Wakaf Baru, Kelantan). Di pihak BN pula, Dr. Mohd Fuad Zarkashi (Parlimen Batu Pahat) dan Hasbi Habibollah (Parlimen Limbang). Selamat berkhidmat, YB!

(Artikel ini disiarkan tabloid Siasah, edisi 16 Mac 2008 di kolum ‘PERSPEKTIF’ dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment