Oleh: Mohd Nasir Awang
MANGSA utama Pilihan Raya Umum ke-12 dua minggu lalu
ialah hegemoni kuasa Barisan Nasional (BN). Secara lebih spesifik, suara rakyat
itu telah menyentap keegoan politik Umno sebagai tulang belakang BN.
Sudah menjadi tabiat Umno sedari dulu, setiap kali parti
itu tersepit dan terdesak, ia akan kembali kepada agenda Melayu. Ungkapan
paling mudah disebutnya bagi menagih simpati rakyat ialah, “Umno kalah,
ketuanan Melayu hilang”.
Lalu digambarkanlah bahawa parti itu adalah satu-satunya
harapan bagi rakyat memperjuangkan agenda Melayu, sama ada dalam bidang
politik, ekonomi mahu pun sosial.
Melihatkan gelagat dan mainan politik Umno, parti itu
seakan tidak pernah ada cukup masa untuk mencapai matlamat perjuangannya. Perjuangan
yang sentiasa “masih belum selesai” itu memerlukan mandat demi mandat.
Dalam menobatkan perjuangan itu, Umno sering mendakwa hanya
dia satu-satunya parti yang membela orang Melayu. Parti-parti lain yang
didukung orang Melayu dianggap tidak mempunyai agenda perjuangan bansga.
Pernah diwujudkan Parti Melayu Semangat 46 (S46) pada
1988. Ia sangat Melayu pada namanya, tidak sebagaimana Umno yang menggunakan
saduran Inggeris pada nama partinya. Tiada yang memimpin dan menjadi ahli S46
melainkan yang berbangsa Melayu dan berfahaman kebangsaan Melayu belaka. Mereka
pula adalah bekasan pemimpin Umno.
Berhadapan parti yang serba-serbi Melayu itu pun, para
pemimpin Umno masih bertegas bahawa hanya Umno parti Melayu tulen. Sedangkan di
ketika sama, sudah ada kaum bukan Melayu menganggotai Umno. Antaranya,
masyarakat Portugis di Melaka, masyarakat Siam di Perlis dan beberapa suku kaum
bumiputera di Sabah.
Mengambilkira komposisi keahlian Umno yang pelbagai itu,
apakah masih sayugia bagi Umno mendakwa ia parti Melayu tulen?
Saya sebenarnya tidak begitu berminat membicarakan soal
politik berasaskan kaum ini. Apatah lagi dalam suasana masyarakat majmuk negara
ini, sesuatu perkara yang dikaitkan dengan bangsa atau kaum tertentu akan
menyempit dan membataskan pemikiran dan tindakan kita.
Bagaimana pun, saya agak rimas apabila pelbagai pihak
tampil melaungkan kononnya mangsa utama kekalahan teruk BN dalam pilihan raya
kali ini ialah ketuanan Melayu. Di antara mereka yang menyuarakan perkara itu
pula ada yang berlatarbelakang akademik sangat tinggi, ada wartawan terkenal
dan tokoh politik tersohor.
Betulkah kekalahan BN dua minggu lalu telah menghakis
ketuanan Melayu dalam politik negara? Lebih spesifik lagi, betulkah ungkapan
yang sering disebut, jika Umno kalah, ketuanan Melayu akan hilang?
Bagi saya, kita tidak perlu pergi jauh untuk menilai
sejauh manakah realistiknya apa yang dicanangkan Umno itu. Teliti saja
keputusan pilihan raya umum 8 Mac lalu, di sana sudah ada jawabannya. Ambil saja
keputusan pilihan raya bagi dua negeri yang tidak dimenangi BN, iaitu Kelantan dan
Pulau Pinang.
Kelantan dimenangi PAS sejak 1990. Di sana BN diwakili
lebih 90 peratus oleh Umno. Kekalahan teruk BN dengan sendirinya bererti
kekalahan Umno.
Dua minggu lalu, BN/Umno hanya mampu bertahan di enam
kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan dua kerusi Parlimen. PAS pula menguasai
38 kerusi Dun dan 9 kerusi Parlimen. Selebihnya satu kerusi Dun dan tiga kerusi
Parlimen dimiliki Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Umno kalah teruk di Kelantan, tetapi adakah ketuanan
politik negeri itu jatuh ke tangan bukan Melayu?
Keadaan sebaliknya berlaku di Pulau Pinang. Umno tidak
kalah teruk di negeri itu. Yang kalah teruk ialah parti-parti rakannya,
terutama MCA dan Gerakan. Umno masih menang dua daripada lima kerusi Parlimen
ditandinginya. Di peringkat Dun pula, Umno mengekalkan 11 daripada 15 kerusi
ditandinginya.
Ertinya, Umno masih menang di Pulau Pinang. Tetapi adakah
kemenangan Umno itu menjamin ketuanan Melayu dalam politik negeri itu? Ternyata
keyakinan yang cuba diterapkan dalam ungkapan itu tidak menepati realiti
politik.
Bahkan, jika ditinjau sejarah negeri Pulau Pinang, orang
boleh bertanya bila masa Umno yang menjadi ketua kerajaan negeri tersebut? Kita
ambil sejarahnya bermula dengan kemerdekaan negara. Kerajaan pertama di bawah
Perikatan di Pulau Pinang diterajui Tan Sri Wong Pau Nee. Beliau adalah
pemimpin MCA, bukannya ahli Umno. Beliau menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang
antara 1957 hingga 1969.
Dari segi jumlah kerusi Dun dimenangi Perikatan, jumlah
dimiliki Umno sentiasa lebih besar berbanding dimiliki MCA. Contohnya, dalam
Pilihan Raya Umum 1959, Umno ada 10 kerusi berbanding hanya enam dimiliki MCA. Pada
1964, Umno ada 10 kerusi, MCA hanya tujuh. Namun jawatan ketua menteri kekal di
tangan MCA.
Perubahan kerajaan berlaku ekoran Pilihan Raya Umum 1969.
Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menang besar menewaskan Perikatan. Umno
tinggal hanya empat kerusi, sedangkan Gerakan memperolehi 16 kerusi. Parti itu
memerintah Pulau Pinang dan Dr. Lim Chong Eu dilantik ketua menteri.
Menjelang Pilihan Raya Umum 1974, Gerakan menyertai BN.
Penguasaan kerusinya bagaimana pun berubah. Umno menang 10 kerusi, manakala
jumlah kerusi dimenangi Gerakan merosot kepada tujuh.
Sejak itu jumlah kerusi dimenangi Gerakan tidak pernah
mengatasi jumlah kerusi dimenangi Umno. BN bagaimana pun mengekalkan Chong Eu
sebagai ketua menteri sehingga 1990.
Tradisi memberikan kerusi ketua menteri kepada Gerakan
diteruskan. Bermula 1990 hingga 2008, giliran Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon pula
memegang jawatan tersebut, walau pun dalam hampir setiap pilihan raya jumlah
kerusi dimenangi Umno mengatasi kerusi dimiliki parti rakannya itu.
Maaf cakap, ini bukan soal perkauman. Catatan ini sekadar
mempertikaikan hujah Umno kononnya kemenangan parti itu penentu ketuanan
Melayu. Kes yang berlaku di Pulau Pinang dan Kelantan adalah bukti yang
menafikan fahaman itu.
Bagi saya, soal ketuanan Melayu sebenarnya sekadar modal
Umno untuk menyelamatkan maruah dan egonya yang teruk tercemar dalam pilihan
raya kali ini.
(Artikel ini
disiarkan tabloid Siasah, edisi 23-29 Mac 2008 di kolum ‘Perspektif’ dengan
tajuk sama)
No comments:
Post a Comment