Sunday, March 30, 2008

Anti-lompat: BN lambat 16 tahun


Oleh: Mohd Nasir Awang

KALAULAH sesiapa ada menyimpan keratan-keratan akhbar sekitar Februari-Mac 1994 lalu, ada baiknya ia diteliti semula sekarang. Hal itu tentu akan memudahkan kita memahami pendirian para pemimpin Barisan Nasional (BN) tentang amalan “melompat parti” yang berlaku ketika ini.

Dalam Pilihan Raya Umum Negeri Sabah, 18 dan 19 Februari 1994, Parti Bersatu Sabah (PBS) berjaya memenangi 25 kerusi, manakala BN, 23. Meski pun menang, usaha PBS mempertahankan kerajaan negeri pimpinannya untuk penggal keempat akhirnya gagal.

Kerajaannya hanya dapat bertahan dua minggu sebelum digulingkan secara yang sangat tidak beretika. Beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun)nya yang baru dipilih rakyat bertindak meninggalkan parti dan menyertai parti-parti komponen BN.

Hasrat PBS membantah tindakan bekas-bekas Adunnya itu terhalang oleh peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Perkara 10, Ceraian 1 (c) menyebut, “semua warganegara adalah berhak menubuhkan persatuan”.

Peruntukan itu ditafsirkan sebagai turut membawa maksud bahawa setiap warganegara adalah juga berhak dan bebas memilih untuk menyertai mana-mana pertubuhan atau parti politik yang disukainya.

Ertinya, tiada mana-mana pihak berhak menghalang mana-mana warganegara, termasuk seorang wakil rakyat yang dipilih dalam pilihan raya, untuk memilih atau “melompat” kepada mana-mana parti.

Peruntukan Perlembagaan Persekutuan itu menyelamatkan kerajaan BN Sabah yang ditubuhkan di atas kejatuhan PBS itu.

Barangkali jika kita dapat meneliti kembali ulasan dan pandangan para pemimpin BN ketika itu, nescaya tidak akan kita temui sebarang kecaman terhadap tindakan “melompat parti” yang dibuat Adun-Adun PBS itu. Sebaliknya, ia dianggap sesuatu yang positif. Dikatakan mereka itu sebenarnya telah hilang kepercayaan terhadap PBS.

Disebutkan juga betapa Adun-Adun yang melompat itu telah mengambil tindakan yang tepat. Mereka itu mengutamakan kepentingan rakyat dan negeri. Kononnya mereka yakin dengan janji BN untuk membawa kemajuan dan kemakmuran di Sabah.

Apa yang dialami PBS di Sabah itu bukan yang pertama seumpamanya dalam diari politik negara. Kejatuhan kerajaan PAS Terengganu pada 1961 juga dibayangi pengkhianatan serupa.

Kes “lompat parti” juga berlaku di Kelantan pada 1992. Dua Adun Parti Semangat 46 (S46), iaitu Nordin Salleh (Adun Sungai Pinang) dan Wan Mohd Najib Wan Mohamad (Limbongan) menyertai BN.

Di atas pertimbangan moral dan amanah rakyat (sebagaimana yang banyak disebut para pemimpin BN mutakhir ini), kerajaan Kelantan pimpinan PAS telah menggubal undang-undang anti-lompat. Ia dilulus dan dilaksanakan.

Kelantan mengisytiharkan kedua-dua Adun lompat itu hilang kelayakan. Kerusi mereka diisytiharkan kosong. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihan raya kecil serentak di kedua-dua kawasan tersebut.

Nordin bagaimana pun memfailkan kesnya di mahkamah meminta agar keputusan Kerajaan Kelantan membatalkan kelayakannya sebagai Adun Sungai Pinang dibatalkan. Hujah diberikan ialah, undang-undang anti-lompat yang digubal Kerajaan Kelantan itu bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, Perkara 10, Ceraian 1 (c) tadi.

Keputusan mahkamah memihak kepada Nordin. Statusnya sebagai Adun Sungai Pinang dikembalikan. Keputusan itu turut mengembalikan kerusi Dun Limbongan kepada Wan Mohd Najib.

Kes itu berlaku 16 tahun lalu dan dalam suasana yang menguntungkan BN. Ia diterima tanpa sebarang kecaman oleh para pemimpin negara ketika itu.

Keadaan sebaliknya sedang menimpa parti itu mutakhir ini. BN kelihatannya amat tertekan dengan desas-desus ada Ahli-ahli Parlimennya, terutama di Sabah dan Sarawak yang akan meninggalkan parti itu. Usaha ke arah itu didakwanya telah dibuat parti pembangkang tertentu dalam rangka menumbangkan kerajaan BN Pusat.

Saya telah sebutkan di ruangan ini mengenai peranan boleh dimainkan Ahli-ahli Parlimen dari Malaysia Timur dalam menentukan jatuh-bangun kerajaan di peringkat Pusat. Dengan jumlah 54 kerusi dimiliki BN di kedua-dua negeri itu, ia mampu menggugat kedudukan kerajaan Pusat sekiranya lebih separuh mereka memilih untuk menyertai kem pembangkang.

Berbekalkan 82 kerusi sedia ada, pakatan pembangkang memerlukan hanya 30 kerusi untuk majoriti mudah di Parlimen. Di atas beberapa perkiraan tertentu, sasaran paling “jinak” ialah wakil-wakil rakyat di Sarawak dan Sabah.

Ekoran kebimbangan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim tampil dengan cadangan agar digubal undang-undang anti-lompat. Katanya, penggubalan itu sangat perlu sebagai langkah menjaga kepentingan dan hak rakyat serta keadilan kepada semua parti politik.

Cadangan itu mengundang reaksi spontan pelbagai pihak. Rata-rata mereka menganggap ia sesuatu yang tepat dan kena pada masanya. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak malah melabelkan wakil rakyat BN yang melompat parti sebagai pengkhianat dan tidak bermaruah.

Pandangan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat juga diberi perhatian meluas oleh media. Bagi Menteri Besar Kelantan itu, wakil rakyat yang melompat parti bukan manusia. Mereka itu tidak amanah dan tidak tahu dosa-pahala.

Penegasan Tuan Guru itu, yang selama ini terkenal dengan kenyataan-kenyataan yang sering “meletihkan” BN, ternyata amat melegakan parti itu. Barangkali BN merasakan telah mendapat sokongan pembangkang bagi melepaskannya dari suasana sangat terdesak kini.

Sebetulnya kenyataan Tuan Guru itu bukan sesuatu yang baru. Hujah sama telah pun disebutnya 16 tahun lalu bila Kerajaan Kelantan pimpinannya menggubal undang-undang anti-lompat. Cuma oleh kerana BN ketika itu sangat berkuasa, para pemimpinnya memekakkan telinga dan membutakan mata terhadapnya.

Kini, selepas 16 tahun, BN akui undang-undang yang pernah digubal di Kelantan itu amat tepat. Dalam hal ini, mahu tidak mahu kita perlu akui BN terlambat 16 tahun berbanding apa yang pernah dibuat PAS.

(Artikel ini disiarkan tabloid Siasah, edisi 30 Mac-5 April 2008 di kolum ‘Perspektif’ dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment