Sunday, April 6, 2008

Apabila BN berperangai macam pembangkang

Oleh: Mohd Nasir Awang

ADA beberapa tindakan dan pertuturan yang selama ini hanya diasosiasikan dengan parti-parti pembangkang, tetapi kini semakin diaplikasi kalangan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) pula. Aneh bukan? Tetapi itulah apa yang berupaya dihasilkan ledakan politik.

Ternyata bahana Pilihan Raya Umum ke-12 baru-baru ini meninggalkan impak sangat signifikan kepada dimensi politik negara. Paling ketara menampakkan perubahan ialah sikap dan pendirian para pemimpin parti-parti komponen BN sendiri.

Barangkali lantaran terlalu penasaran, BN kini kelihatannya semakin berlunak terhadap beberapa perkara yang selama ini hanya menjadi “jeritan” pembangkang. Bahkan, mereka bagaikan tidak kekok mengadaptasi perangai dan suara yang selama ini mereka cemuhi.

Beberapa perkara dimaksudkan saya simpulkan sebagaimana berikut. Pertama, isu kebanjiran pengundi luar atau pengundi import. Selama ini, usaha membawa mereka ini dijustifikasikan BN di sebalik kepulangan pengundi tempatan yang tinggal di luar kawasan mengundi. Kepulangan mereka itu banyak menguntungkan BN.

Sebelum ini, hanya pihak pembangkang yang menyuarakan kecurigaan terhadap kebanjiran pengundi luar itu, terutama ke Terengganu dan Kelantan. Kini usaha itu disesali para pemimpin BN sendiri, terutama bila ia dikatakan sebagai punca kekalahan BN di Kelantan. Pihak yang bertanggungjawab membawa pengundi luar ke negeri itu menjadi bahan kecaman, bukan oleh ahli PAS tetapi oleh para pemimpin BN sendiri.

Kedua, perkataan ‘reformasi’. Kalimah keramat itu sangat dibenci dan bagaikan “haram” disebut para pemimpin BN sejak peristiwa pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada parti dan kerajaan pada September 1998.

Reformasi bermaksud perubahan dan pembaharuan. Hasil pilihan raya lalu, kalimah itu kini menjadi sebahagian laungan pelbagai peringkat dalam BN pula. Mereka menuntut ‘reformasi’ kepimpinan dalam parti dan kerajaan.

Ketiga, demonstrasi jalanan dan perhimpunan haram. Selama ini tindakan itu hanya diasosiasikan dengan parti pembangkang. Ia dimomokkan sebagai tindakan ganas dan tidak mematuhi peraturan.

Bagaimana pun, sejak pilihan raya lalu, kaedah itu beralih menjadi kegemaran para pemimpin BN pula. Beberapa siri demonstrasi jalanan dan perhimpunan haram dilapor diadakan di Pulau Pinang, Ipoh, Shah Alam dan Kuala Terengganu bulan lalu membabitkan beberapa isu berbeza.

Berdasarkan laporan-laporan media, tidak ada satu pun perhimpunan dimaksudkan yang mendapat permit polis. Ertinya, perhimpunan dianjur, disertai dan dijayakan para pemimpin dan penyokong BN itu adalah perhimpunan haram juga.

Bezanya, tidak ada pula sebarang kecaman terbuka mahu pun amaran keras pemimpin tertinggi negara terhadap kumpulan yang menganjurkan perhimpunan tersebut.

Keempat, undang-undang anti-lompat parti. Saya telah menyorot tajuk ini secara mendalam di ruangan ini pada keluaran lalu. Apa yang nyata, selama ini BN tidak pernah melihat keperluan undang-undang menangani perbuatan melompat parti. Barangkali ia merasa sangat selesa dan tidak mungkin dapat dikalahkan dalam apa jua keadaan sekali pun.

Keputusan pilihan raya umum lalu bagaimana pun menggugat keprcayaan itu. BN kini sangat defensif terutama apabila kekuatannya di peringkat Pusat bagaikan ‘telur di hujung tanduk’. Kini BN pula yang beriya-iya mengutarakan keperluan mewujudkan undang-undang tersebut.

Kelima, menubuhkan kabinet bayangan bagi mengawasi dan memantau perjalanan kerajaan. Hasrat itu disuarakan BN, terutama di negeri-negeri yang mereka baru hilang kuasa pemerintahan, iaitu Pulau Pinang, Perak dan Kedah.

Penubuhan kabinet bayangan juga sesuatu yang selama ini hanya dilakukan pembangkang, terutama di peringkat Pusat. Kemenangan membanggakan pakatan pembangkang pada 1999 mendorong PAS, Parti Keadilan Nasional (PKN) dan DAP mewujudkan portfolio bayangan kepada kementerian-kementerian dalam kabinet.

Jangan lupa juga betapa selama ini suara agar Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan dan tahanan akta zalim itu dibebaskan hanya dikumandangkan pihak pembangkang. Tidak pernah diimpikan, seorang presiden sebuah parti komponen BN kini membuat kenyataan terbuka merayu kerajaan membebaskan seorang wakil rakyat pembangkang yang sedang ditahan di bawah ISA. Apa sudah jadi?

Itulah antara tindakan dan laungan yang sebelum ini hanya menjadi agenda pembangkang, tetapi kini semakin diadaptasi BN pula.

Banyak renungan dapat dibuat apabila sebuah parti pemerintah segagah dan sehebat BN kini semakin mempamerkan sifat dan sikap “kepembangkangan” sebegitu. Barangkali ia suatu isyarat dari Allah Ta’ala bahawa hayat BN sebagai pemerintah negara sudah semakin ke penghujungnya.

Untuk itu barangkali Allah Ta’ala mahu menyedarkan para pemimpin BN agar biasa-biasakanlah dirimu sebagai pembangkang. Hayatilah jerih-pahit hidup sebagai pendukung pembangkang di sebuah negara yang politiknya sangat ‘berat sebelah’ ini.

Perubahan menimpa BN ini turut mengajarnya agar jangan terlalu mudah memandang negatif atau menolak apa yang disuarakan pembangkang. Lebih tepat lagi, jangan tunggu terkena batang hidung sendiri baru BN nak sedar akan kepentingan sesuatu yang diperjuangkan pihak lain.

Kebebasan media, pemansuhan ISA, undang-undang anti-lompat, pembersihan daftar pemilih dari pengundi import dan seumpamanya adalah “lagu-lagu” pembangkang. Kini ia turut didendangkan BN. Parti itu sudah mula nampak kewajaran menilai perkara-perkara itu secara positif dan rasional.

Apa yang pasti, kita sebagai manusia perlu akui bahawa langit tidak selalunya cerah. Kata orang lagi, ketika asyik mendongak ke langit, jangan dilupa rumput di bumi. Allah Ta’ala tidak suka jika manusia terlalu bermegah dengan kuasa yang dimiliki. Perlu diingat, hidup ini ibarat roda, ada ketikanya kita di atas dan di ketika lain kita akan ke bawah.

Untuk itu, terimakasih rakyat Malaysia kerana telah mengajar dan menyedarkan BN akan hakikat kehidupan itu menerusi pilihan raya baru-baru ini!

(Artikel ini disiarkan tabloid Siasah, edisi 6-12 April 2008 di kolum ‘Perspektif’ dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment