Sunday, November 2, 2008

Adun Kok Lanas bagai ‘mengajar itik berenang’


 “Kelantan pelopor perbelanjaan berhemah”

Oleh: Anuwa Jamalullail

ADA dua telahan yang dapat dibuat apabila seorang wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di Kelantan menggesa kerajaan negeri itu mencontohi langkah penjimatan yang dilakukan Kerajaan Pusat dalam menguruskan perbelanjaannya. Andaian pertama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) itu jahil tentang fakta sejarah yang mencatatkan Kelantan sebagai model pemerintahan berjimat cermat. Amalan itu telah menjadi dasar kerajaan Kelantan sejak hampir dua dekad lalu.

Kedua, Adun berkenaan sebenarnya memang maklum tentang hakikat itu. Namun, sentimen politik kepartian yang melampau menyebabkan beliau tidak bersedia mengakui bahawa langkah penjimatan oleh Kerajaan Pusat kebelakangan ini sebenarnya mengambil contoh apa yang telah dilakukan Kelantan sejak 1990 lalu.

Apa pun hakikat sebenar yang menyelubungi benak fikir Adun BN itu, kedua-dua andaian tadi menyebabkan isu dibangkitkan beliau itu menjadi suatu yang ofensif terhadap partinya sendiri. Di masa sama, ia turut meletakkan kerajaan Kelantan dalam suasana ‘menang-menang’.

Ketika membahaskan titah ucapan Sultan Kelantan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, 21 Oktober lalu, Adun Kok Lanas, Datuk Md Alwi Che Ahmad menggesa kerajaan Kelantan melaksanakan penjimatan dalam perbelanjaannya untuk sektor tertentu menerusi Belanjawan 2009 yang ketika itu masih belum dibentangkan kerajaan negeri.

Beliau selaku Ketua Pembangkang dalam DUN Kelantan berkata, kerajaan negeri wajar mencontohi langkah seumpamanya yang telah dilakukan Kerajaan Pusat, terutama dengan mengurangkan pelaksanaan projek berimpak besar.

“Saya cadangkan kerajaan negeri membuat penjimatan tertentu memandangkan keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu ketika ini. Kerajaan Pusat juga sudah mengambil langkah berjimat bagi memastikan dalam akaun negara ada beberapa bilion ringgit sebagai persediaan”, katanya.

Tanpa menafikan kenyataan itu bermaksud memberikan pandangan membina kepada kerajaan negeri, kita juga tidak dapat menolak kemungkinan ia diselubungi persepsi politik pengucapnya. Sentimen dan persepsi kurafat kononnya hanya BN yang mampu mentadbir negara dengan baik dan sempurna seringkali mempengaruhi hujah dan pandangan para pemimpin parti itu.

Dalam kes ini, ada kemungkinan Adun Kok Lanas bermaksud mengatakan para pemimpin PAS Kelantan tidak tahu mengurustadbir kewangan dan merancang perbelanjaan negeri. Sebab itu beliau mencadangkan agar mereka mencontohi apa yang dibuat Kerajaan Pusat.

Jika itu yang menjadi hasrat wakil rakyat BN itu, ternyata beliau cuba menafikan amalan jimat cermat yang telah sekian lama dijadikan dasar pemerintahan PAS di Kelantan. Menurut satu risalah diterbitkan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan pada 1999, kesungguhan para pemimpin kerajaan negeri itu memperkenalkan beberapa langkah penjimatan seawal pemerintahannya telah berjaya menyelamatkan harta dan kewangan kerajaan.

Antara langkah tersebut ialah memotong elaun tetap Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar sebanyak 10 peratus kepada Perbendaharaan Negeri.

Kelantan juga menjadi kerajaan pertama di negara ini yang menghapuskan amalan pemberian cenderamata semasa lawatan rasmi pemimpin kerajaan ke jabatan-jabatan atau agensi kerajaan. Langkah itu bukan sahaja positif untuk penjimatan wang kerajaan, malah turut mengelakkan wujudnya sebarang unsur sogokan atau dorongan negatif.

Langkah penjimatan turut memaksa kerajaan tidak mengubahsuai atau memperbaharui perabot rumah dan hiasan dalaman kediaman rasmi Menteri Besar di JKR 10 (catatan ini sehingga 1999).

Dalam banyak hal, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, telah menjadikan dirinya sendiri sebagai orang paling wajar dicontohi dalam kempen berjimat cermat ini. Beliau tidak menggunakan peruntukan untuk Juadah Hari Raya dan Juadah Berbuka Puasa yang masing-masing berjumlah RM30,000 dan RM15,000 setiap tahun.

Menteri Besar juga tidak mendiami kediaman rasmi di JKR 10, sebaliknya terus tinggal di rumah asalnya di Pulau Melaka. Ia menjimatkan berbagai perbelanjaan mengurustadbir kediaman rasmi, sekaligus menyelamatkan kewangan kerajaan.

Difahamkan, Menteri Besar juga menolak pembayaran “sewa rumah” oleh kerajaan sebagai ‘gantirugi’ kerana tidak menduduki JKR 10. Peruntukan itu sahaja pun sudah mencapai puluhan ribu setahun.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz sendiri pernah menyebutkan bahawa hasrat utama beliau mengambil kesemua tindakan disebutkan tadi ialah agar para pemimpin dan pengikutnya dapat mencontohinya dalam menjalani kehidupan yang sederhana.

Di atas hasrat itu juga elaun tetap Menteri Besar, Timbalan Menteri Besar, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco), Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (Speaker) dan semua Adun PAS turut dipotong sebanyak 20 peratus kepada parti (Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan). Meski pun hasil potongan itu tidak menyumbang kepada kewangan negeri, ia akan ‘memaksa’ setiap wakil rakyat parti itu agar bersederhana dalam perbelanjaan masing-masing.

Sesuatu yang dijadikan model kebiasaannya memiliki ciri-ciri yang mahu dicontohi. Dalam hal ini, tidak semestinya setiap langkah diambil kerajaan Kelantan itu dituruti satu persatu oleh kerajaan lain.

Namun, apa yang pasti tindakan yang pada awal pelaksanaannya dulu menjadi bahan cemuhan dan sindiran para pemimpin BN, kini ternyata turut dilaksanakan Kerajaan Pusat dan negeri-negeri di bawah BN sendiri. Langkah jimat-cermat yang telah dirintis kerajaan Kelantan 18 tahun lalu kini terbukti satu amalan sangat baik bagi pengurusan kewangan kerajaan.

Sebab itu tidak mengejutkan apabila keempat-empat negeri yang jatuh ke tangan Pakatan Rakyat (PR) Mac lalu telah mencapai kata sepakat untuk menjadikan Kelantan sebagai model dan ikutan mereka. Para pemimpin negeri Kedah, Perak, Selangor dan Pulau Pinang dengan rendah diri dan lapang dada menganggap pengalaman luas Tuan Guru Nik Abdul Aziz dalam menerajui satu-satunya negeri diperintah pembangkang selama 18 tahun sebagai aset sangat berguna untuk mereka sama-sama manfaatkan.

Kita tidak tahu apa kualiti yang mahu dicontohi mereka dari Mursyidul Am PAS itu. Namun, jika perkembangan ekonomi negara dan dunia dijadikan isu, maka amalan berjimat cermat dalam perbelanjaan kerajaan adalah dasar paling baik dijadikan ikutan.

Tiada pihak dapat menafikan bahawa Kelantan telah mempelopori pemerintahan berjimat cermat sebaik diperintah PAS pada 1990 lalu. Di atas hakikat itu, gesaan Adun Kok Lanas agar Kelantan mencontohi Kerajaan Pusat dalam langkah berjimat cermat boleh diibaratkan sebagai mahu “mengajar itik berenang”.

(Artikel ini disiarkan tabloid Mingguan Wasilah, edisi 2-8 November 2008 dengan tajuk sama)

Umno realisasikan impian Pak Din ‘Hancur’?


Oleh: MOHD NASIR AWANG

TENTU sekali ada hikmah sangat besar mengapa Allah Taala mentakdirkan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub, begitu berani menyimpulkan bahawa Umno kini sedang menuju kehancurannya. Yang dirasakan ada hikmahnya ialah apabila ungkapan senada itu turut disuarakan beberapa pemimpin politik lain, sama ada daripada PAS mahu pun Umno sendiri.

Bercakap kepada beberapa wartawan selepas merasmikan Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT) 2008 di Chendering, Kuala Terengganu, Jumaat lalu, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menyifatkan Umno kini memburu kehancurannya sendiri. Dengan masalah rasuah yang tidak berkesudahan serta pemilihan partinya di pelbagai peringkat yang dibayangi amalan politik wang dan perpecahan, Umno memang dinilainya menuju ke arah itu.

Kesimpulan itu saling tak tumpah dengan apa yang ditegaskan Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar, kira-kira dua minggu sebelumnya. Akhbar Siasah, 12 Oktober lalu ada menyiarkan keyakinan Ahli Parlimen Pokok Sena itu bahawa Umno sudah tidak dapat diselamatkan.

“Macam mana hendak diselamatkan? Bukan kehancuran yang memburu Umno. Perkembangan hari ini seolah-olah memperlihatkan kepada kita bahawa Umno sendiri yang memburu kehancuran”, tegasnya.

Mahfuz dipetik berkata demikian sebagai mengulas kesediaan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberikan laluan kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambilalih jawatan Presiden Umno. Abdullah mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan itu dalam pemilihan partinya, Mac depan.

Bagi Mahfuz, tidak kira siapa pun yang akan menggantikan Abdullah sebagai peneraju Umno, parti itu tetap memburu kehancuran.

Tidak perlu diselindungkan lagi betapa kehancuran Umno telah menjadi antara ratib paling membakar semangat para pendukung PAS sejak dulu. Di atas pelbagai hujah dan rasional yang menepati hukum syarak dan pertimbangan politik, saya berkeyakinan mereka ada sebab sangat munasabah untuk kepingin melihat kehancuran parti zalim itu.

Saya masih ingat ketika mula berjinak dengan program PAS di awal 80-an dulu, para penceramah parti itu sering mengakhiri syarahan mereka dengan bacaan doa. Di antara doa paling masyhur ialah yang memohon Allah Taala memecah-belahkan musuh-musuh Islam.

Tidak keterlaluan jika saya katakan tatkala kalimah “wa farriq jam’ahum” (dan pecah-belahkanlah kumpulan mereka) dibacakan, suara hadirin mengaminkannya semakin meninggi. Saya yang tumpang mendengar ini pun tiba-tiba meremang bulu roma dibuatnya. Tambah seram sejuk apabila kalimah “Allahu Akbar” dilaungkan serentak oleh ratusan atau ribuan yang hadir.

Menariknya, selain kalimah mengagungkan Tuhan itu, ada juga di kalangan para pendukung PAS yang mencuri perhatian hadirin dengan laungan “hancur Umno!” Ketika itu saya sempat mengenali seorang tua dipanggil Pak Din yang berasal dari Perak. Menurut rakan-rakan, beliau menetap di Kampung Kerinci, pinggir Kuala Lumpur. Beliau dianggap orang paling istiqomah dalam mempopularkan kalimah “hancur Umno” sehingga diberi gelaran Pak Din ‘Hancur’.

Apa yang dapat saya pastikan, hasratnya melihat hancurnya Umno bukan menjadi impian Pak Din seorang. Buktinya, meski pun beliau telah lama meninggalkan kita semua, kalimah keramat dipopularkannya sejak lebih dua dekad lalu itu masih diulangsebut orang. Itu menandakan impian beliau itu dikongsi sama ratusan ribu, mungkin kini jutaan insan lain di seluruh negara.

Mungkin ada yang beranggapan agak tidak wajar dan kurang sopan bagi mana-mana parti mendoakan kehancuran pihak lawan, walau seburuk mana pun hubungan antara kedua mereka. Apatah lagi di kalangan kita ini ada manusia yang lebih mengutamakan kesopanan terhadap sesama manusia berbanding kepatuhan terhadap hukum dan peraturan ditetapkan Tuhan.

Apa pun perbahasan mengenai kewajaran perkara itu, keadaan melanda Umno kini kelihatannya menghampiri apa yang diimpikan Allahyarham Pak Din ‘Hancur’ itu. Jika Salahuddin dan Mahfuz dianggap sekadar memanjangkan suara dan impian Allahyarham, bagaimana pula jika hakikat itu turut diakui para pemimpin Barisan Nasional dan Umno sendiri?

Pernah ada pemimpin Umno sebelum ini yang menyifatkan keadaan perpecahan dan politiking dalaman parti itu kini sebagai “paling buruk dalam sejarah”. Ada pula yang menyatakan bahawa Umno kini sedang dilanda “malapetaka”. Usah disebut tentang desakan bertalu-talu agar parti itu berubah dan memperbaiki diri bagi mengelakkan kemusnahan dan kehancurannya.

Kebetulan atau tidak, Isnin lalu, giliran Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Dr. Rais Yatim pula mengulang sebut amaran sama. Selepas mengejutkan negara dengan cadangan agar jawatan tertinggi partinya dipertandingkan secara tender, Rais mengesyorkan pula agar peranan Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk menyiasat kes politik wang dalam Umno diperluaskan.

Barangkali beliau sedar pandangan itu sukar diterima pakai banyak pihak dalam partinya. Kekecewaan beliau di atas hakikat itu mendorong Rais meramalkan kehancuran ke atas Umno.

“Umno harus melangkah ke setapak lagi supaya lebih matang. Jika tidak, saya berani meramalkan parti ini akan menuju ke arah kehancuran”, akhbar harian memetik amarannya.

Ya, bagaikan ada kesepakatan bahawa Umno kini menuju kehancuran. Bak kata Mahfuz, “kalau kehancuran yang memburu Umno, mungkin parti itu boleh melarikan diri, tetapi masalahnya kita nampak Umno sendiri yang memburu kehancuran”.

Menilai pendirian Salahuddin dan Mahfuz serta ramalan Rais itu, maka yang bertanggungjawab menghancurkan Umno bukannya pihak lain, tetapi Umno sendiri. Makanya, bolehlah kita simpulkan bahawa Umno jugalah yang akhirnya merealisasikan impian Allahyarham Pak Din ‘Hancur’ lebih dua dekad ini.

Jika itu yang akhirnya ditakdirkan Allah Taala, maka tentunya ia juga ada hikmah yang besar di sebaliknya.

Sekalung Al-Fatihah buat Allahyarham Pak Din ‘Hancur’ atas impiannya.

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah, 2-8 November 2008 di kolum ‘Perspektif’ dengan tajuk sama)

Apabila Rosol dakwa jadi mangsa politik wang

Oleh: ANUWA JAMALULLAIL

MEMANG benar kata orang bahawa seseorang yang sedang marah atau kecewa lebih mudah berterus-terang dan mendedahkan kebenaran berbanding mereka yang dalam keadaan tenang dan selesa. Apa yang diluahkan Datuk Rosol Wahid ekoran kegagalannya mempertahankan jawatan Timbalan Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu minggu lalu mungkin tidak lari dari hakikat itu.

Dalam pemilihan pada mesyuarat perwakilan Umno bahagian itu Ahad lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil itu tewas mengejut kepada pencabarnya yang juga Adun Telemong, Rozi Mamat.

Kekalahan itu menjadi tamparan hebat buat bekas anggota Exco negeri itu selepas sebelum ini terpaksa melepaskan jawatan Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu ekoran krisis dalaman parti itu, Mac lalu.

Meski pun mengatakan tiada rasa dendam atau tidak berpuas hati di atas keputusan dibuat perwakilan yang menolaknya, Rosol di masa sama mendakwa mesyuarat  tersebut dicemari amalan politik wang.

Beliau dipetik sebuah akhbar tempatan, Selasa (27 Oktober) lalu sebagai mengatakan, ada beberapa perwakilan memaklumkan kepadanya bahawa sesetengah perwakilan dibayar antara RM300 hingga RM1,000 untuk memberikan undi kepada calon-calon tertentu bagi memastikan kemenangan individu terbabit.

Pengakuan terbuka Rosol itu mendorong kepada beberapa kesimpulan. Pertama, politik wang memang penyakit yang sudah membarah dalam Umno. Ia bukan lagi sekadar mainan kata lawan politik Umno, malah diakui kalangan pendukung parti itu sendiri.

Suratan atau kebetulan, selang beberapa helaian selepas laporan tersebut, akhbar sama turut memuatkan wawancara eksklusif dengan bekas Presiden Umno, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Beliau turut menyentuh amalan politik wang dalam parti itu. Katanya, sekiranya Umno tidak dapat mengikis tabiat “makan suap” ini, ia akan kalah dalam pilihan raya akan datang.

“Kita nampak sekarang ini banyak orang Umno yang apabila kita bagi duit, barulah mereka akan sokong kita. Jika demikian orang akan lihat orang Umno ini sebagai orang yang tidak mempunyai amanah, terlibat dengan rasuah secara besar-besaran dan mereka pastinya akan memandang jelek terhadap Umno”, katanya.

Kedua, perakuan Rosol membenarkan dakwaan pelbagai pihak selama ini bahawa amalan politik wang Umno tidak terhenti setakat sesama dalaman parti itu sahaja. Perhatikan kata-kata Rosol mengenai hakikat itu.

“Jangan pula sanggup berhabis wang hanya ketika pemilihan (Umno) semata-mata untuk memastikan mereka mendapat jawatan dan kedudukan, tetapi apabila tiba pilihan raya, mereka tidak bekerja, tidak sanggup berhabis”, katanya.

Memahami kenyataannya itu merujuk kepada amalan “politik wang”, maka perkataan “berhabis” itu jelas bermaksud Umno juga sanggup membelanjakan wang dengan cara sama untuk mendapatkan undi dalam pilihan raya. Jika itu yang dapat difahami, apakah ia bukan perbuatan merasuah dan membeli undi?

Bukankah itu yang selama ini disuarakan parti-parti pembangkang? Bahkan Rosol sendiri antara pemimpin Umno/Barisan Nasonal (BN) paling selesa menempelak para pemimpin pembangkang sebagai bohong dan sengaja mereka-reka cerita tatkala mereka menyuarakan dakwaan bahawa wujudnya amalan membeli undi oleh BN semasa pilihan raya sebelum ini. Sekarang apa perasaan Rosol terhadap dakwaan tersebut?

Ahh!! Mungkin ada yang menyergah, “mana buktinya? Jika benar BN membeli undi, sila dakwa di mahkamah pilihan raya, sila bawakan saksi. Kita bicarakan secara adil.”

Itulah yang selalu dicabar para pemimpin BN. Itulah juga kesimpulan ketiga, iaitu Rosol turut mengakui dakwaan itu sukar dibuktikan. Meski pun merasakan dirinya menjadi mangsa pembelian undi, beliau tidak mampu berbuat apa-apa kerana kekurangan bukti.

Punca utama ialah apabila perwakilan Umno yang terlibat dengan perkara berkenaan enggan membuat laporan rasmi kerana bimbang kedudukan masing-masing.

“Jika benar mereka (perwakilan) sayangkan Umno dan Barisan Nasional, saya harap supaya satu laporan rasmi dibuat sama ada kepada Umno negeri mahu pun Badan Pencegah Rasuah (BPR)”, ujarnya.

Sepertimana yang sering disebut, banyak dakwaan oleh pembangkang tentang penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan rasuah oleh para pemimpin BN, termasuk semasa berlangsungnya pilihan raya, gagal dibuktikan. Ia bukan kerana perkara tersebut semata-mata rekaan dan andaian parti pembangkang, tetapi kerana tiada pihak yang bersedia tampil menjadi saksi.

Apabila alasan sedemikian diberikan, pihak pembangkang ditertawa dan dipersendakan. Mereka dilabelkan sebagai sengaja mereka cerita dan hanya tahu melemparkan tuduhan untuk memburukkan BN, tetapi gagal membuktikannya.

Allah Taala mentakdirkan kini situasi yang selama ini dihadapi pembangkang terkena batang hidung Rosol sendiri. Beliau bukan sahaja mendakwa dikalahkan dengan politik wang, malah dakwaannya itu diselar rakan partinya sendiri.

Ketua Penerangan Umno Negeri, Datuk Zubir Embong, menyifatkan kenyataan Rosol itu hanya cuba menutup kelemahan sendiri berikutan kekalahannya. Beliau malah menyelar Rosol yang dianggapnya bertindak secara “melampau dan amat bahaya” kepada partinya.

“Orang yang kalah, cara paling mudah sembunyikannya adalah menuduh orang lain bermain politik wang. Datuk Rosol di pihak yang kalah... kenapa selepas keputusan baru dia berbunyi?”, tempelak Zubir.

Dalam keadaan kini, rasanya ada baiknya bagi para pemimpin Umno yang kalah dalam pertandingan mana-mana jawatan parti tidak mendedahkan tentang politik wang dalam parti itu. Kita bimbang jika mereka terus mendedahkannya setelah mereka menjadi mangsa, nanti akan ada rakyat yang akan menyergah kepada mereka, “selama ini aku cakap, engkau kata aku tipu. Padan muka!”

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah, 2-8 November 2008 dengan tajuk sama)

Saturday, November 1, 2008

Kursus budi bahasa untuk jawatankuasa masjid

Oleh: Mohd Nasir Awang

ACAP benar kita disumbati cerita-cerita tidak enak mengenai kekurangan adab di kalangan penguasa masjid di negara kita ini. Meski pun kes-kes sebegitu agak terpencil, sebagai institusi yang menjadi syiar terpenting agama, apa yang berlaku di masjid secara langsung akan dikaitkan dengan imej Islam.

Masjid adalah tempat suci. Ia ada tatatertib dan adab yang mesti dipatuhi. Sebab itu orang yang mengunjunginya dianggap kalangan beradab dan bertertib. Justeru, amat sukar diterima sekiranya ketidaksopanan berlaku di kawasan Rumah Allah itu.

Malangnya, tidak sedikit berlaku keadaan sebegitu. Pengalaman beberapa pihak pernah dipaparkan media. Malah penulis sendiri mengalami kes serupa.

Kita pernah diceritakan pengalaman pahir seorang pendakwah terkenal berbangsa Cina.  Diceritakan sewaktu beliau baru memeluk Islam dan berkelana ke serata negara, tidak semua masjid yang disinggahinya menyantuni beliau bagai diharapnya.

Sebagai saudara baru beliau berhasrat mendampingi masyarakat yang telah lama mengamalkan ajaran agama. Beliau mahu mendalami Islam dan mendekatkan diri kepada Allah. Selayaknya beliau disantuni sebaik mungkin, bukan sahaja dengan tunjuk ajar tentang ilmu dan ibadat, malah segala kebutuhan duniawinya. Bukankah di sisi Islam golongan muallaf ini diberikan keistimewaan sebagai penerima zakat?

Keislaman ustaz ini mendapat bantahan keras keluarga. Beliau dipulaukan dan tidak ada tempat bergantung harap melainkan masyarakat Islam. Malangnya, kebiadaban beberapa kerat penguasa masjid yang disinggahinya memberikan mesej salah tentang Islam. Beliau bukan sahaja tidak diberikan tunjuk ajar dan bantuan selayaknya, malah turut dihalau daripada menumpang di masjid.

Syukur saudara baru ini ada kesedaran sangat tinggi sewaktu memilih Islam. Kesabarannya jitu dan daya fikirnya luas. Beliau tidak merajuk atau menyimpulkan perlakuan tidak sopan beberapa bedebah itu dengan agama barunya ini. Bayangkan apa berlaku sekiranya beliau berpaling semula ke agama asalnya ekoran perlakuan tanpa budi bahasa beberapa individu tadi?

Di sebuah masjid di tengah ibukota, ada cerita serupa menimpa seorang ibu yang mendukung anak kecil. Beliau yang berhasrat menumpang berehat sekadar sepuluh limabelas minit sambil menunggu suami menunaikan solat, dihalau dengan nada menyakitkan telinga oleh seorang jemaah wanita. Berdasarkan pameran kuasanya, wanita itu dipercayai di kalangan ahli masjid berkenaan, sama ada ahli jawatankuasa atau jemaah tetap di situ.

Itulah masalah dengan penguasa masjid kita. Mereka ini sering ada satu sikap seolah-olah masjid itu mak-bapak mereka yang punya, bukan lagi rumah milik Allah yang terbuka untuk seluruh umat Islam. Lalu apa-apa perkara sekali pun yang berlaku di kawasan masjid itu hendaklah dalam pengetahuan, dengan keizinan dan menepati pendirian beberapa individu yang menguasainya. Apakah ketetapan sebegitu ada dalam Islam?

Penulis sendiri ada dua pengalaman tidak enak berhubung ketidaksopanan penguasa masjid ini.  Kes pertama berlaku di akhir 80-an dulu di Johor Bahru. Kami berenam singgah di sebuah masjid di kawasan perumahan berdekatan Kempas. Tiga rakan merebahkan badan sebaik menapak anjung masjid. Penulis dan seorang rakan lain menerpa ke arah paip air, membasuh muka dan membasahkan rambut. Seorang lagi melangkah ke arah tandas.

Ada seorang memerhatikan kami sedari mula van kami memasuki pagar masjid. Besar kemungkinan beliau adalah pegawai masjid, kerana dia berdiri di depan pintu salah satu unit kuarters masjid tersebut.

Selesai membasuh muka, belum sempat rakan yang berada dalam tandas tadi keluar, orang tadi berjalan ke arah meter paip air. Tahu apa dia buat? Dia menutup paip air masuk sambil menjeling ke arah kami. Beliau sengaja berbuat demikian bagi memberitahu kami agar jangan menggunakan air disediakan. Kehadiran kami tidak dialu-alukan.

Nasib baik rakan yang ke tandas tadi hanya membuang air kecil dan dapat beristinja dengan air yang sudah bertakung dalam baldi. Bayangkan bagaimana mahu disucikan diri beliau sekiranya air besar yang dibuangnya?

Kes kedua berlaku di Kedah pada awal 90-an lalu.  Kira-kira jam 4 pagi, kami singgah berehat di sebuah masjid dalam perjalanan ke Pokok Sena. Pintu pagarnya tertutup tetapi tidak berkunci.  Lalu kami membawa masuk kereta merapati masjid.

Sementara menantikan Subuh, kami terlena. Lena kami bagaimana pun dikejutkan dengan sergahan seseorang. Beliau membebel ke arah kami kerana membawa masuk kereta ke dalam kawasan masjid.

“Tak nampak ke orang dah tutup pintu pagar, tanda tak bagi bawa masuk kereta la tu!”, katanya memecah keheningan Subuh itu.

Allah Ya Karim! Bayangkan bagaimana geram dan kesalnya perasaan kami yang sangat letih dan mengantuk ketika itu. Sedikitpun tidak dapat kami rasionalkan hujah ‘bodoh’ diberikan bilal berkenaan.

Tidak syak lagi, sebagai institusi yang melambangkan Islam, apa yang dilakukan kalangan penguasa masjid perlu ditertibkan. Orang mungkin tidak begitu kisah jika herdikan dan sergahan kedengaran di pasar atau jalanan, tetapi ia sangat mendukacitakan sekiranya perkara sama berlaku di masjid.

Disebabkan masih terdapat kalangan jawatankuasa masjid seluruh negara yang tidak tahu adab sopan dan tutur kata bersesuaian dalam menyantuni pengunjung tempat suci itu, apa kata pihak berkuasa mengenai hal ehwal masjid mengadakan kursus khas untuk mereka ini.

Ajarkan mereka budi bahasa dan latih mereka menggunakan pertimbangan akal terutama berhadapan orang berkelana, bukannya bertindak atau bercakap mengikut runtunan nafsu semata.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah, Bil: 209, November 2008 di ruangan ‘Pendapat’ dengan tajuk sama)

Tidak jemu meronda pastikan kebersihan jalan


Oleh: Nuwa Aitawa

AGAMA Islam amat menekankan soal kebersihan. Sebab itu Rasulullah saw menegaskan di dalam sebuah hadis bahawa kebersihan adalah sebahagian daripada iman. Dalam ertikata lain, seseorang yang tidak mengutamakan aspek kebersihan dianggap tidak sempurna keimanannya terhadap Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Betapa utamanya aspek kebersihan di sisi Islam dapat dilihat apabila agama meletakkan di antara syarat sah melakukan beberapa ibadat ialah bersih dan suci daripada sebarang kotoran dan najis.  Kitab-kitab fiqah karangan ulama’ muktabar pula memuatkan bab yang khusus membicarakan secara panjang lebar mengenai pembersihan diri atau bersuci.

Sikap umat Islam sendiri terhadap aspek kebersihan bagaimana pun amat mengecewakan. Ia amat berlawanan dengan apa yang diajar agama mereka. Ternyata mereka terlalu memandang remeh atau mengambil mudah soal menjaga kebersihan. Apatah lagi membabitkan kebersihan di tempat-tempat awam.

Akibatnya, kerajaan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan besar saban tahun bagi menjaga kebersihan, termasuk bagi pengurusan sampah sarap. Lebih mendukacitakan lagi, sebahagian peruntukan itu terpaksa dihabiskan semata-mata akibat sikap tidak bertanggungjawab anggota masyarakat yang gemar membuang sampah merata-rata.

“Tabiat (membuang sampah) ni saya rasa memang tak boleh habislah, banyak sedikit pun mesti ada (setiap hari),” ujar Ramlan bin Salleh.

Lelaki berusia 46 tahun ini adalah pekerja Syarikat Sulmaz Sdn. Bhd, berpejabat di Kuala Besut, Terengganu. Syarikat berkenaan adalah salah satu syarikat yang telah mendapat kontrak kebersihan daripada Majlis Daerah Besut (MDB). Difahamkan sejak beberapa tahun lalu, MDB telah menswastakan khidmat mengutip sampah dan menjaga kebersihan di sepanjang beberapa laluan utama di daerah itu.

Rutin harian Ramlan ialah mengutip sampah di sepanjang jalan antara Seberang Kastam hingga Kampung Mas Sekupang dan laluan utama Pengkalan Nyireh ke Bukit Keluang. Jarak keseluruhan bagi dua laluan terbabit adalah lapan kilometer.

Sejak lebih setahun lalu, kelibat Ramlan sudah menjadi pandangan biasa bagi pengguna jalan raya di laluan tersebut. Mereka tidak mengenali beliau secara peribadi, tetapi mereka tahu lelaki berkemeja-T berlengan panjang warna merah jambu itu sangat komited dengan tugasnya.

“Masa kerja saya mulai 8 pagi hingga 3 petang di bulan puasa ini. Kalau bulan-bulan biasa, 8 pagi sampai 5 petang,” cerita Ramlan mengenai waktu tugasannya. Kebetulan temubual ini dibuat di bulan Ramadhan lalu.

Berasal dari Kuala Selangor, Ramlan berhijrah ke Besut lebih empat tahun lalu. Isterinya, Norsyariza binti Daud, 38, adalah anak jati Kampung Air Tawar, tidak jauh dari tempat beliau bertugas itu. Hal itu memudahkan beliau pulang ke rumah pada waktu rehat, tanpa perlu memikirkan soal kos pengangkutan. Perbelanjaan untuk minum juga dapat dijimatkan apabila ia disediakan sendiri oleh isterinya di rumah.

“Waktu rehat pagi pukul 10 hingga 10.30, tengahari pukul 12.45 hingga 2.00. Macam orang kerja pejabat jugalah”, sambung Ramlan lagi, dalam nada ceria.

Cuma yang membezakan beliau dengan penjawat awam, jadual kerjanya adalah enam hari seminggu, kecuali Jumaat. Elaun bulanan beliau pula diperolehi berdasarkan jumlah hari bekerja, dengan kadar RM25 sehari. Meskipun ia tidak seberapa, Ramlan tetap bersyukur dengan rezeki halal yang diperolehinya itu.

“Kira alhamdulillah lah, kita cari rezeki yang halal. Jadi tak kira apa sajalah, janji halal”, ujar Ramlan apabila ditanya mengapa memilih kerja sedemikian.

Ditanya adakah pernah timbul perasaan malu memandangkan kerja dilakukannya itu menjadi perhatian pengguna jalan raya yang lalu-lalang, Ramlan dengan tegas menepis perasan itu.

“Bagi saya tak ada (rasa malu), tak penting bagi saya malu tu. Hati kita yang penting, kita buat yang halal. Nak tunjuk perkara malu, banyak lagi perkara yang memalukan”, katanya.

Beliau yang sudah kalih dengan tanggapan itu turut mengakui bahawa prasyarat utama memungkinkan beliau melakukan tugas tersebut ialah tidak ada rasa malu.

“Kerja saya ni tak perlukan kelulusan, cuma dia (syarikat) temuduga kita, ‘ada malu ke tak ada’, itu saja”, ujar Ramlan lagi.

Seperkara menarik, meskipun bekerja di bawah pengawasan paling minima dan hanya diawasi seorang penyelia yang sekali-sekala meninjau, Ramlan tidak pernah mengambil ringan amanah dan kepercayaan syarikat kepadanya itu.

Beliau menganggap sudah menjadi tanggungjawabnya untuk memastikan kiri-kanan jalan raya terbabit sentiasa bebas daripada sampah. Lebih penting lagi, itulah satu-satunya khidmat yang beliau mampu sumbangkan kepada masyarakat dan negara.

Terbukti tidak semua orang mampu melakukan kerja yang dilakukannya itu dengan perasaan bangga dan tabah. Masyarakat patut bersyukur kerana ada orang seperti Ramlan.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah, Bil: 209, November 2008 di ruangan ‘Syukur Ada Mereka’ dengan tajuk sama)