Harapan Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibahim agar Pakatan Rakyat (Pakatan) tidak hilang fokus dan terus menambah baik khidmat kepada rakyat wajar dinilai dari perspektif lebih luas. Biar pun pada asbabnya, kenyataan itu ditujukan secara khusus kepada kerajaan negeri Selangor yang beliau sifatkan sedang diasak bertubi-tubi oleh Barisan Nasional (BN), tidak ada salahnya negeri-negeri lain di bawah Pakatan ikut menghayati pegangan sedemikian.
Dalam pidatonya di Stadium Malawati, Shah Alam minggu lalu, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) itu antara lain menarik perhatian hadirin tentang nafsu besar BN untuk merampas semula negeri itu dari Pakatan. Katanya, Selangor dianggap mutiara bagi Umno.
Bagi mencapai hasratnya, BN didakwa melakukan berbagai muslihat. Kerajaan negeri diserang menerusi berbagai manipulasi isu, menyebabkan Pakatan secara umumnya terpaksa berada dalam kedudukan ‘bertahan’.
Memang diakui BN, khususnya Umno, amat pakar mencipta dan memanipulasi sesuatu isu. Penguasaannya ke atas kerajaan Pusat memudahkan BN memanfaatkan segala bentuk alat propaganda bagi menggambarkan keburukan parti lawan.
Di antara kegemaran BN mutakhir ini ialah mencetuskan isu-isu yang mampu diolah bagi membentuk persepsi kononnya Pakatan bermaksud mengubah status quo negara. Isu-isu kononnya pembangkang mencabul Perlembagaan Negara, menghina institusi diraja dan menggugat hak istimewa orang Melayu amat laris ditaja dan dijaja.
Sayugia diakui bahawa sedikit-sebanyak isu-isu yang berterusan dimainkan media dan berbagai alat propaganda BN itu memberi kesan kepada rakyat negara ini. Orang Melayu khususnya dikatakan semakin diragukan dengan hala tuju Pakatan.
Mereka bahkan ditakutkan dengan kemungkinan terhakisnya beberapa hak asasi sebagai bumiputera seandainya Pakatan mengambil alih teraju pemerintahan negara.
Tidak syak lagi persepsi sedemikian akan menghasilkan implikasi politik yang tidak menguntungkan Pakatan. Ia bukan sahaja mampu membantutkan usaha menguasai Putrajaya sepertimana dicanangkan, bahkan tidak mustahil turut menghakis sokongan dan dokongan rakyat terhadap beberapa negeri yang kini ditadbir Pakatan.
Banyak sangat isu kebelakangan ini yang mengaitkan Pakatan sebagai pihak yang cuba menghapus atau menghakis sesuatu yang telah sekian lama diterima sebagai asas kehidupan.
Isu-isu menyentuh kedudukan dan hak istimewa Raja-Raja Melayu misalnya, bagaikan tidak berkesudahan. Ia pernah menghangatkan pentas politik negara ekoran krisis di Perak. Kini ia cuba diheret lagi dengan isu pentadbiran di Selangor.
Kes-kes melibatkan kesucian agama Islam juga kerap dijulang. Isu wakil rakyat dan pemimpin bukan Islam memasuki masjid dan surau misalnya, tidak kurang meninggalkan kesan kepada rakyat. Begitu juga isu pemimpin bukan Islam membaca ayat-ayat suci al-Quran.
Mungkin di kalangan masyarakat terpelajar di ibukota dan bandar-bandar besar perkara ini mudah diperjelaskan. Namun, ia tidak sebegitu mudah dihurai kepada rakyat, khususnya orang Melayu di luar bandar.
Kerap kali kita diyakinkan bahawa isu ini mampu dimanfaat untuk mendedahkan kejahatan Umno mengadu-domba dan memfitnah. Hujah kita bahawa kes-kes serupa turut dilakukan para pemimpin bukan Islam di kalangan komponen BN.
Memang diakui hakikatnya begitu. Tetapi jangan lupa bahawa dalam apa isu sekali pun di negara kita ini tidak semestinya sesuatu itu jika dibuat BN kelihatan okay dan dapat diterima rakyat, ia juga akan menjadi baik jika dilakukan Pakatan.
Umno/BN adalah pakar putar belit, amat mahir menggelapkan keburukannya dan mendedahkan kesilapan lawan. Lihat saja kes cadangan pemakaian tulisan Mandarin dan Tamil di papantanda jalan di Pulau Pinang beberapa tahun lalu.
Negara kita bagaikan hampir kiamat dibuatnya. Ia menjadi peluru paling baik untuk BN dan konco-konconya membina persepsi negatif di fikiran rakyat mengenai kesudahan nasib Bahasa Melayu sekiranya negara jatuh ke tangan Pakatan.
Sedangkan semua pihak sudah sekian lama maklum betapa Umno sendiri selaku tunjang kuasa tidak lah terlalu cemerlang dalam usaha memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu. Tetapi apabila sensitiviti itu disentuh pembangkang, ia begitu mudah dimanipulasi untuk menggambarkan kononnya Umno di pihak yang membela Bahasa Melayu.
Mangsa utama perkembangan tidak sihat hasil isu-isu sebegini tentu sekali parti yang banyak bergantung harap kepada undi Melayu. Memang suatu yang malang, orang Melayu dibuktikan sebagai kelompok rakyat paling sukar diterangkan sesuatu isu. Mereka mudah menelan bulat-bulat apa juga hujah dan propaganda BN.
Sebab itu ada baiknya Pakatan mengambil langkah lebih cermat dalam menangani apa-apa isu. Seeloknya para pemimpin Pakatan elakkan diri terlibat dengan sebarang isu kontroversi. Sebaliknya fokuskan kepada gerakerja yang boleh membuktikan kemampuan urustadbir yang baik di setiap peringkat kepimpinan.
(Artikel Mat Zain Mat Isa ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1606, 17 Januari 2011 dengan tajuk sama di ruangan 'kolumnis', F21)
No comments:
Post a Comment