Hanya Allah Ta’ala Yang Maha Mengetahui apa hasrat sebenar di hati Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said tatkala beliau meminta para pemimpin partinya mencontohi PAS.
Biar pun pada zahirnya saranan itu dikaitkan dengan sifat pemimpin parti lawannya itu yang tidak gemar bercakaran dan memfitnah sesama sendiri, kenyataan seorang pemimpin politik sebesar beliau terdedah kepada penafsiran lebih pelbagai.
Kita percaya Ahmad sendiri sedia maklum dengan implikasi dan risiko politik yang bakal dihadapinya dari pengakuan sebegitu berani dan berterus-terang. Ia bukan sahaja dianggap mengakui kelemahan dan tabiat buruk pemimpin Umno, malah di masa sama mengiktiraf sifat mulia diamalkan pemimpin PAS.
Dalam kenyataannya disiarkan sebuah tabloid harian edisi Terengganu, Jumaat (14 Januari) lalu, Ahmad dipetik sebagai mengingatkan pemimpin Umno agar tidak memburuk-burukkan sesama sendiri. Beliau dilaporkan mengambil contoh pemimpin PAS yang tidak menghentam sesama pemimpin dalam parti.
Mengambilkira rekod pertelingkahan agak tegang dalam kepimpinan Umno negeri, terutama sejak Ahmad mengambilalih teraju kerajaan daripada bekas Menteri Besar sebelumnya, kenyataan itu bukan suatu yang asing. Sebelum ini pun sudah acapkali seruan sedemikian dilontarkan beberapa pemimpin Umno, termasuk dari Pusat.
Namun setelah berlalu beberapa masa, dan rakyat Terengganu sendiri sudah agak kerap dipaksa percaya kononnya krisis dalaman Umno negeri sudah selesai, kenyataan Ahmad itu bagaikan memberitahu sebaliknya. Sepintas lalu dapat ditelah bahawa tabiat menghentam sesama sendiri itu masih berakar.
Logiknya, jika benar ia sudah dibanteras, apa perlunya Ahmad mengulangi ingatan sedemikian? Apatah lagi sehingga sanggup mengambil contoh kebaikan parti lawan?
Kebetulan pula, kenyataan itu menjadi tatapan umum sehari menjelang perhimpunan raksasa PAS Terengganu. Himpunan Kebangkitan Rakyat – PAS GantiUmno (HKR-PGU) yang memaut kehadiran puluhan ribu pendukung PAS dari serata negeri itu pula diadakan di Kemaman, daerah yang menjadi pangkalan kekuatan Ahmad sendiri.
Paling tidak pun pengakuan Ahmad mengenai kelebihan PAS itu boleh dijadikan sebab tambahan mengapa PAS sememangnya layak mengganti Umno.
Sebetulnya, jika diminta rakyat Terengganu membandingkan mana yang lebih baik di antara pemerintahan Barisan Nasional (BN) kini berbanding kerajaan PAS dulu, mereka yang ikhlas akan mengakui bahawa era kepimpinan PAS jauh lebih baik dari banyak segi.
Walau pun berkesempatan memerintah hanya sepenggal, PAS Terengganu telah membuktikan ia mampu mencapai banyak kejayaan. Bagi mereka yang tidak hipokrit atau terlalu emosional dan bersentimen peribadi, tentu tidak sukar mengakui bahawa urustadbir negeri, hubungan peribadi pemimpin-pegawai kerajaan, pengurusan kewangan negeri, pentadbiran agama, kehidupan bersyariat dan kecaknaan terhadap kebajikan masyarakat di bawah kerajaan PAS adalah jauh lebih baik berbanding BN.
Kini apabila slogan ‘PAS Ganti Umno’ (PGU) dicanangkan, orang Terengganu sudah mula bercakap kembali mengenai kenangan manis itu. Kain rentang dan poster PGU yang disebarluas dan dipamerkan di serata negeri terbukti menghasilkan impak kepada rakyat.
Secara ikhlas tidak sukar bagi mereka melihat rasional di sebalik slogan itu, terutama apabila dikaitkan dengan berbagai tindakan Umno/BN yang semakin hari semakin membuktikan ia tidak relevan dengan kehidupan rakyat. Tidak mustahil antara mereka akan teringat kembali suasana kehidupan lebih baik dan mewah sewaktu PAS memerintah Terengganu dulu.
Sebab itu ada benarnya usikan Mursyidul Am PAS, Dato’ Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat terhadap kenyataan Ahmad itu. Dalam ucapan ringkasnya di HKR-PGU, Sabtu lalu, Menteri Besar Kelantan itu mengalu-alukan kesudian Ahmad mencontohi PAS.
Bagaimana pun, dalam nada berseloroh beliau mengesyorkan agar Umno mencontohi PAS dalam semua aspek, bukan setakat perihal perpaduan sesama pemimpin parti, sepertimana dinyatakan Ahmad itu. Apatah lagi PAS telah membuktikan kemampuan mengurus pentadbiran negeri jauh lebih baik berbanding Umno.
Nik Abdul Aziz mengambil contoh pengurusan kewangan negeri diketuainya. Katanya, Umno memerintah Kelantan dulu dengan segala kekayaan sumber alam dan kemudahan kewangan dari Pusat, berbanding PAS kini dengan sumber kewangan yang serba terbatas.
Anehnya, pemerintahan Umno meninggalkan hutang ratusan juta ringgit. PAS pula, katanya, bukan sahaja tidak meneruskan tradisi berhutang itu, tetapi mampu membayar hutang ditinggalkan Umno sedikit demi sedikit.
Beliau juga sepintas lalu mengusik Umno yang disifatkannya gemar membina masjid, tetapi tidak gemar ‘bersembahyang’. Ini katanya berbeza dengan PAS yang bukan sahaja membina masjid secara fizikal, tetapi turut memakmurkan rumah Allah itu.
Dalam konteks Terengganu, isu kegersangan masjid dan ketandusan majlis ilmu sudah menjadi perbualan umum sejak Umno memerintah kembali pada 2004. Perubahan tahap kemakmuran rumah-rumah ibadat itu di serata negeri amat mendadak, terutama apabila Umno mengamalkan politik balas dendam terhadap para penggerak utama masjid-masjid mukim.
Kes ketiadaan bilal untuk laungkan azan sepertimana dilaporkan berlaku di masjid Jamek Chukai, Kemaman, baru-baru ini adalah contoh ekstrem kekurangan imam dan bilal di seluruh negeri itu. sehingga memaksa jawatankausa Masjid memanfaatkan siaran azan di televisyen, amat memalukan.
(Artikel Mat Zain Mat Isa ini adalah versi lebih panjang berbanding yang disiarkan Harakah Bil: 1607, 21 Januari 2011 dengan tajuk sama di ruangan 'kolumnis', F21. Ia turut dipetik laman DetikDaily pada 20 Januari 2011)
No comments:
Post a Comment