Tanpa hipokrasi setiap warga negara yang prihatin terhadap masa depan wajar mengucapkan jutaan terimakasih kepada kerajaan di atas pelaksanaan kempen “Hari Tanpa Beg Plastik”. Bermula 1 Januari lalu, kempen dikendalikan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan itu akan diteruskan pada setiap Sabtu di seluruh negara.
Kesan negatif penggunaan bahan plastik dalam aktiviti harian sudah dimaklumi umum. Ia bukan sahaja dibuktikan secara saintifik berupaya memudaratkan kesihatan penggunanya, malah turut meninggalkan kesan jangka panjang terhadap alam sekitar.
Justeru, sebagai usaha menyelamatkan bumi yang bakal diwariskan kepada generasi akan datang, kerajaan dianggap mengambil langkah tepat menggerakkan kempen lebih bersungguh mengurangkan penggunaan pelbagai barangan dari bahan yang sukar dihapuskan itu.
Sasaran utama buat masa ini ialah mengajak rakyat mengurangkan penggunaan beg plastik. Menerusi kempen ini pelanggan pasar raya, pasar raya besar dan beberapa premis perniagaan terpilih di seluruh negara tidak lagi dibekalkan beg plastik percuma tatkala membeli-belah di situ.
Sebaliknya, mereka akan dikenakan caj 20 sen bagi setiap beg plastik yang dibekalkan premis berkenaan pada setiap Sabtu. Hasil jualan beg tersebut akan dikumpulkan dalam tabung khas bagi melaksanakan program kepenggunaan dan kemasyarakatan, terutama yang menjurus ke arah pemuliharaan alam sekitar.
Setakat ini semua kerajaan negeri mengambil perjalanan serius menjayakan kempen berkenaan. Beberapa premis yang dikenalpasti termasuk kategori premis dimaksudkan juga dikatakan memberikan kerjasama sangat baik.
Reaksi para penggunaan juga disorot. Rata-rata mereka digambarkan media sebagai menerima secara positif langkah dilaksanakan kerajaan itu.
Namun, secara tiba-tiba gambaran amat berbeza muncul tatkala media menyorot isu sama di negeri diperintah Pakatan Rakyat. Bagaikan satu magis segala reaksi dan komen positif itu bertukar sebaliknya.
Satu laporan yang menyorot reaksi pengguna di Pulau Pinang misalnya dipenuhi berbagai persepsi negatif mereka terhadap kerajaan negeri. Ada pengguna malah menyalahkan kerajaan pimpinan DAP itu dan menyifatkan tindakan mengenakan bayaran 20 sen bagi satu beg plastik itu membebankan pengguna, terutama yang berpendapatan rendah.
Ada juga yang menganggap kerajaan negeri kurang bijaksana apabila meluaskan pelaksanaan kempen tersebut setiap hari. Memang diakui tindakan Pulau Pinang dalam hal ini agak terkedepan berbanding negeri-negeri lain.
Sementara seluruh negara sekadar menghadkan pelaksanaannya pada setiap Sabtu di beberapa premis tertentu sahaja, negeri di bawah PR itu telah memasuki fasa ketiga dan meliputi hampir keseluruhan premis perniagaan
Kerajaan Pulau Pinang dikatakan telah memulakan kempen itu untuk sehari seminggu sejak 1 Julai 2009 hingga Disember tahun sama. Ia diperluaskan kepada tiga hari seminggu menerusi fasa kedua bermula 1 Januari 2010.
Kini, kempen itu bukan sahaja dilaksanakan setiap hari, bahkan turut diperluaskan kepada lebih banyak premis perniagaan termasuk farmasi, rangkaian kedai nasi kandar, restoran makanan segera dan kedai serbaneka.
Bagi kita langkah Pulau Pinang itu suatu yang wajar. Ia menampakkan usaha serius menghampiri hasrat menjadikan negeri itu bebas dari beg plastik, sepertimana dialu-alukan pelbagai pihak yang mengutamakan pemuliharaan alam sekitar.
Tambahan pula penguatkuasaan peraturan terbaru itu tidak dibuat secara mengejut. Ia dilakukan setelah didahului dengan proses pendidikan berperingkat sejak Julai 2009.
Malangnya, tindakan proaktif yang sepatutnya disambut baik dan diberikan gambaran positif itu tidak dilayan sewajarnya terutama oleh media talibarut Barisan Nasional (BN). Memang benar kata orang, bagi mereka ini segala apa yang dibuat parti lawan akan sentiasa disuluh dan dinilai secara negatif.
Ibarat “lalat-lalat yang mencipta kudis”, peranan utama media pro-BN sejak dulu ialah menyorot apa juga isu dan kes yang berlaku di negeri-negeri diperintah PR dari perspektif yang boleh memberikan imej dan reputasi buruk terhadap parti itu, sekali gus memberikan mileage politik kepada BN.
Kempen tanpa beg plastik ini juga tidak terlepas dari manipulasi politik sebegitu. Sehinggakan ada penguasa media arus perdana tergamak mengaitkan tindakan kerajaan Pulau Pinang itu dengan kesukaran rakyat negeri berkenaan menguruskan sisa pepejal di rumah masing-masing. Perhatikan catatan berikut.
“Bagi rakyat, mereka terpaksa pening kepala memikirkan macam mana untuk mengisi sisa makanan, sisa ikan dan sampah apabila mereka tidak lagi dibekalkan beg plastik. Mungkinkah sisa makanan dibuang terus ke dalam tong sampah tanpa perlu dimasukkan ke dalam plastik. Agaknya, tong sampah di flet akan menjadi ‘kolam’,” sebuah akhbar pada Selasa melontarkan andaian negatifnya.
Kita tentu kecewa dan tertanya apa rasionalnya media tersebut menyeret perkara ini sampai ke situ, sedangkan ia sesuatu yang dilaksanakan kerajaan BN sendiri? Apakah semata-mata kerana Pulau Pinang diperintah PR, maka ia terus sahaja dinilai negatif walau pun menjayakan kempen yang turut dilakukan BN?
Sikap ditunjukkan media itu sebenarnya cerminan tabiat sama membelenggu pemikiran para pemimpin BN. Kecenderungan menilai setiap yang dilaksanakan PR secara negatif bagaikan lumrah di kalangan mereka.
Kes melibatkan sambutan di ambang Tahun Baru di Kedah beberapa malam lalu adalah contoh terkini. Kerajaan negeri pimpinan PAS memperkenalkan peraturan mengasingkan tempat duduk dalam majlis tersebut mengikut jantina.
Bagi sesiapa yang mengikuti perkembangan sosio-budaya negara dan perjuangan kewanitaan antarabangsa, peraturan sedemikian bukan suatu yang mengejutkan. Sebelum ini pun kita telah dimaklumkan dengan beberapa langkah diambil pelbagai negara dunia mengasingkan penggunaan berbagai kemudahan awam mengikut jantina.
Ada negara memperkenalkan teksi khas untuk wanita, ada yang mengadakan khidmat bas khas untuk mereka. Malah ada juga yang mengadakan koc keretapi dan pesawat khas untuk golongan tersebut.
Negara kita juga ikut melaksanakan pendekatan serupa. Kita telah diperkenalkan dengan perkhidmatan koc dan bas khas untuk wanita di ibukota tahun lalu.
Dorongan utama mewujudkan perkhidmatan berasingan mengikut jantina itu ialah kerana wanita mendambakan persekitaran selamat dan selesa terutama dari sebarang gangguan kaum lelaki ketika berada di tempat awam. Dalam keadaan berasak-asak di tempat awam sebegitu, seribu satu perkara menjejaskan keselamatan dan maruah wanita boleh berlaku.
Dengan penerimaan baik pelbagai pihak atas pembaharuan itu, tindakan kerajaan Kedah memperkenalkan pengasingan tempat duduk dalam majlis terbuka baru-baru ini sepatutnya dinilai dari perspektif sama. Malangnya, itu tidak berlaku. Sekali lagi kita andaikan hal itu sedemikian hanya semata-mata kerana ia dilakukan kerajaan PR.
“Saya rasa pengasingan jantina tidak sesuai kerana ia tidak mempedulikan sensitiviti rakyat berbilang agama dan kaum,” media memetik komen Pengerusi MCA Kedah, Datuk Chong Itt Chew.
Beliau malah mendakwa menerima banyak rungutan hadirin mengenai pelaksanaan peraturan itu.
Bagi kita, dua kes dicoretkan di atas hanya menguatkan kesimpulan sekian lama tertanam dalam minda rakyat, bahawa bagi BN dan media talibarutnya, apa juga yang dibuat PR akan dianggap salah dan buruk, walau pun perkara sama dianggap baik dan betul ketika dilaksanakan BN.
(Artikel ini disiarkan laman HarakahDaily.Net pada 5 Januari 2011 dengan tajuk "Beg plastik: Media umpama lalat mencipta kudis")
No comments:
Post a Comment