Para pemimpin dan pendukung Umno tidak sayugia berkecil hati sekiranya ada mana-mana pihak tersenyum sinis atau tergelak apabila dikatakan parti itu konsisten memartabatkan Islam.
Reaksi itu tidak sepatutnya dianggap bermaksud mengejek atau memperkecilkan peranan Umno dalam hal ehwal keagamaan. Sebaliknya, ia secara tidak langsung menggambarkan betapa amat sukar bagi mana-mana pihak menerima dakwaan sedemikian.
Maaf cakap, jika tidak kerana rekod penolakan dan perlanggaran secara terbuka oleh para pemimpin parti Melayu itu sendiri terhadap hukum dan peraturan Islam, nescaya tidak sebegitu mudah untuk orang memperlekeh Umno berhubung perjuangan menegakkan agama.
Malangnya, ‘track record’ parti itu dalam memerangi mana-mana pihak yang cuba mematabatkan Islam di negara ini sudah terang lagi bersuluh. Umno bukan sahaja gagal mengambil al-Quran dan Sunnah sebagai sumber utama rujukan hukum, malah tergamak mewujudkan segala macam halangan terhadap PAS yang berusaha ke arah itu.
Bahkan, dalam hal berkaitan perkara-perkara yang telah digubal atau dilaksanakan jabatan dan agensi kerajaan di bawah pemerintahannya sendiri pun, Umno kerap mengambil pendirian tidak kondusif terhadap maksud penegakan Islam.
Kes bagaimana kerasnya reaksi dan tindakan parti itu terhadap aktiviti jabatan agama sebuah negeri diperintahnya yang menghalang wanita Islam menyertai pertandingan ratu cantik suatu ketika dulu adalah contoh agak klasik.
Begitu juga dengan penolakan mentah-mentah oleh kerajaan Pusat terhadap garis panduan hiburan disediakan penuh susah-payah oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) beberapa tahun lalu.
Itu belum lagi disebut sikap acuh tak acuh Umno dalam menangani berbagai isu berkaitan agama, khususnya membabitkan maruah dan akidah umat Islam. Umum mengetahui dan tidak sukar mengakui bahawa parti itu tidak layak diiktiraf sebagai pembela, apatah lagi sebagai pejuang agama.
Sebab itu agak dipertikaikan apabila muncul di dada media kononnya Duta Besar Republik Islam Iran ke Malaysia, Prof. Dr Mohammed Mehdi Zahedi mengakui Umno sebuah parti yang konsisten memartabatkan agama Islam.
Media arus perdana pada Rabu memetik beliau sebagai berkata demikian selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Setiausaha Agung Umno, Dato’ Seri Tengku Adnan Mansor, di ibu pejabat parti itu.
Ekoran itu beberapa soalan dan andaian segera timbul. Soalan paling awal ditanya banyak pihak ialah, betulkah tuan Duta Besar Iran berkata sepertimana dipetik itu? Ataukah ia sekadar tafsiran dan modifikasi wartawan yang melaporkan berita itu?
Logiknya, rekod media talibarut Barisan Nasional (BN) itu dalam memutarbelit dan merekacipta laporan amat mengagumkan. Justeru, tidak mustahil dalam kes ini pemimpin negara Teluk itu juga menjadi mangsa manipulasi untuk kepentingan Umno.
Apatah lagi laporan media cetak itu sendiri pun memetik paparan portal dalam talian milik Umno, yang sudah tentu bertanggungjawab menyiarkan apa-apa berita dan laporan yang hanya boleh menguntungkan parti itu.
Katakanlah pula Dr Zahedi memang berkata sepertimana dilaporkan. Itu pun belum tentu menjadikan Umno betul-betul konsisten dengan Islam. Boleh jadi duta itu tidak digambarkan secara jelas apa itu Umno dan apa pengkhianatan terhadap agama yang telah dilakukan parti itu sepanjang bergelar pemerintah.
Sebelum ini pun bukan tidak ada para pemimpin Islam dari luar, termasuk ulama tersohor dunia, yang memuji dan melahirkan rasa bangga dengan Umno sejurus selepas bertemu para pemimpin parti itu. Tetapi apabila mereka diberikan penerangan dan penjelasan mengenai rupa sebenar makhluk bernama Umno itu, tidak sedikit antara mereka mengubah pendirian. Paling tidak pun, pujian mereka terhadap Umno tidak lah semelangit sebelumnya.
Untuk itu kita meletakkan sangka baik terhadap Duta Besar Iran bahawa beliau tidak diberikan gambaran sebenar mengenai Umno. Bahkan, mungkin beliau juga tidak ditunjukkan gambar isteri Presiden Umno dan lain-lain rakan “sewaktu dengannya”. Kita percaya besar kemungkinan penilaian Dr Zahedi terhadap parti itu tidak semurni dilaporkan itu, terutama mengambilkira penampilan wanita-wanita di negaranya sendiri.
Di masa sama, kita boleh mengagak betapa para pemimpin Umno pula memang berhasrat memanipulasi imej Islam yang ada pada negara Teluk itu. Justeru, pengiktirafan seorang wakil republik Islam itu terhadap Umno mungkin dijadikan sandaran menobatkan parti itu sebagai (kononnya) pejuang memartabatkan agama.
Hakikat sebenarnya, hanya orang Malaysia yang lebih tahu. Jangan tanya orang PAS, Keadilan atau pun DAP. Pendapat dan pandangan mereka terhadap Umno mungkin dianggap bias dan dipengaruhi sentimen politik.
Elok ditanyakan saja para pemimpin bukan Islam dari komponen BN sendiri. Mereka lebih kenal Umno selaku teman tidur sebantal dan rakan sebilik mereka melahap harta rakyat. Tanyakan kepada mereka, betulkah Umno ada agenda Islam dalam perjuangannya?
Jawabannya bagai sudah tersedia. Perhatikan kata-kata Presiden MCA, Dato’ Seri Dr Chua Soi Lek sepertimana dipetik tabloid harian, 13 Januari lalu.
“Jika tengok semua parti politik di negara ini, hanya PAS yang bercakap mengenai agama sebagai agenda politik,” akuinya.
(Artikel Mat Zain Mat Isa ini adalah versi lebih panjang daripada yang disiarkan tabloid Harakah Bil: 1608, pada 24 Januari 2011 dengan tajuk sama di ruangan 'kolumnis, F22. Ia turut dipetik laman DetikDaily pada hari sama.)
No comments:
Post a Comment