Friday, December 24, 2010

Tenang berpotensi jadi gelora buat BN

Ada benarnya kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bahawa kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang, Johor, secara tradisinya milik Barisan Nasional (BN). Tanpa hipokrasi, semua pihak terutama parti-parti pembangkang wajar akui kawasan berkenaan bukan medan selesa buat mereka.

Justeru, biar pun berharap dapat menawan kerusi itu suatu masa nanti, jangan lupa hakikat bahawa ia tidak pernah ditawan pembangkang selama ini.

Punbegitu, tidak juga wajar ditolak kemungkinan rekod bersih BN itu boleh diubah. Sepertimana sering disebutkan, politik adalah ‘seni segala kemungkinan’. Ertinya, dalam politik tiada yang boleh dianggap mustahil.

Sementara pihak yang pernah kalah tidak memasuki pilihan raya di kawasan sama dengan hasrat untuk kalah lagi, begitu juga pihak yang menang. Ia selalunya tidak mengambil mudah perkembangan sosio-politik semasa yang berpotensi merubah aliran sokongan pengundi kepada parti-parti bertanding.

Hakikat serupa nampaknya turut diakui BN dalam usahanya mempertahankan kerusi Dun Tenang nanti. Kenyataan penuh hati-hati oleh Muhyiddin dalam mengulas persediaan partinya menghadapi pilihan raya kecil kawasan berkenaan menggambarkan segalanya.

“Dalam apa juga pilihan raya, sama ada pilihan raya kecil atau pilihan raya umum, kita (BN) jangan pandang mudah walau pun dalam rekod kerusi Dun Tenang memang dimenangi Umno sejak dulu,” katanya, sepertimana dipetik media pada Ahad, 19 Disember.

Beliau mengulas cakap-cakap mengenai pilihan raya kecil di kerusi berkenaan dalam masa terdekat. Sehingga rencana ini ditulis (Isnin), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum menetapkan tarikh-tarikh penamaan calon dan pengundian bagi pilihan raya kecil itu.

Kerusi Dun Tenang kosong ekoran kematian penyandangnya daripada BN, Datuk Sulaiman Taha, 17 Disember, akibat jangkitan kuman dalam darah dan komplikasi kencing manis.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, Sulaiman mengekalkan kerusi berkenaan untuk penggal keduanya setelah mengalahkan calon PAS, Mohd Saim Siran, dengan majoriti 2,492 undi.

Meski pun kemenangan itu turut mempertahankan rekod bersih BN di kawasan tersebut, ia bukan sesuatu yang amat menyelesakan parti itu. Kecenderungan dan pola perubahan aliran undinya, terutama yang menampakkan kemerosotan sokongan terhadap BN dan peningkatan undi memberangsangkan oleh PAS, nyata menggusarkan BN.

Apatah lagi dalam pilihan raya lalu, kecenderungan pengundi beralih angin kepada parti-parti pembangkang terserlah di seluruh Johor. Jumlah undi diraih BN ketara menurun, manakala undi parti-parti lawan rata-rata menokok, sekali gus menipiskan majoriti kemenangan BN.

Jumlah kerusi pembangkang juga bertambah daripada hanya satu pada 2004 kepada enam. PAS sendiri buat pertama kali dalam sejarah memenangi dua kerusi Dun di Johor secara bertanding. Ada pun kemenangan sulungnya pada 2004 di Dun Senggarang diperolehinya tanpa bertanding.

Biar pun jumlah enam kerusi milik pembangkang kini masih terlalu jauh untuk dianggap gugatan kepada kestabilan kerajaan BN dengan baki 50 kerusi, potensi untuk pembangkang menapak lebih gagah di masa depan tidak wajar diperkecilkan.

Bahkan, sekiranya pola perubahan selera pengundi sepertimana tergambar menerusi dua pilihan raya umum lalu berterusan, tidak mustahil lebih banyak kerusi di Johor termasuk Dun Tenang, jatuh ke tangan pembangkang.

Analisa perbandingan keputusan beberapa pilihan raya lalu di Dun Tenang sendiri menampakkan pola perubahan agak ketara memihak kepada PAS. Pada 1999, PAS mengambilalih tugas berdepan BN daripada Parti Semangat 46 (S46). Calon PAS memperolehi hanya 4,125 undi berbanding calon BN dengan 12,774 undi.

Majoriti kemenangan BN ialah 8,649 undi. Bagaimana pun, satu hakikat menarik, calon PAS berjaya meningkatkan peratus perolehan undi daripada hanya 15 peratus (oleh calon S46 pada 1995) kepada lebih 23 peratus.

Ekoran persempadanan semula, jumlah pemilih di Dun Tenang berkurangan kepada 14,146 pada 2004 berbanding 23,726 pada 1999. Jumlah dapatan undi calon PAS juga merosot kepada hanya 2,138 undi. Bagaimana ia mengekalkan populariti pada tahap 21 peratus.

Majoriti kemenangan BN turut merosot kepada hanya 5,517 undi. Sulaiman yang bertanding buat pertama kali mendapat 7,655 undi atau 75.2 peratus daripada jumlah keluar mengundi.

Pada 2008, PAS dan BN masing-masing mengekalkan calon sama. Bagaimana pun, perolehan undi kedua-dua mereka memberikan harapan amat positif buat PAS.

Sulaiman memperolehi 6,367 undi atau 59.76 peratus, merosot 1,288 undi atau 15.4 peratus. Sebaliknya Mohd Saim mendapat 3,875 undi atau 36.4 peratus, meningkat 1,737 undi atau 15.37 peratus berbanding 2004.

Majoriti kemenangan BN juga tinggal hanya 2,492 undi. Apakah jumlah itu tersangat besar dan mustahil diatasi PAS? Akui lah kemenangan PAS di Dun Sungai Abong dan Maharani adalah jauh lebih mustahil. Jangan lupa pada 2004 PAS kalah di kedua-dua kerusi tersebut dengan majoriti lebih 6,000 undi.

PAS mungkin tidak sayugia terlalu ambitious untuk menang pada pilihan raya kecil ini. Namun, mengambilkira segala kemungkinan itu beserta andaian pola perubahan tadi mungkin berterusan, BN ada sebab sangat munasabah untuk bimbang kerusi Dun Tenang berpotensi menjadi ‘gelora’ buatnya.

(Artikel Mat Zain Mat Isa ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1599, 24 Disember 2010 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment