Banyak sebab yang membuatkan Tun Dr Mahathir Mohamed tersenyum sendiri kebelakangan ini. Selain kejayaan diraihnya sepanjang menerajui pemerintahan, mantan Perdana Menteri itu juga hingga kini mampu mengekalkan pengaruh dan populariti di kalangan anak-anak buahnya.
Buktinya, masih banyak kata-kata dan saranan beliau dalam berbagai aspek pemerintahan negara diterima pakai oleh pelapis kepimpinannya.
Apa yang tergambar menerusi keghairahan anak-anak buahnya menjulang isu ketuanan Melayu dua minggu kebelakangan ini menghidangkan senario lebih menyeronokkan buat Mahathir.
Paling membuatnya girang ialah apabila yang menjadi sasaran utama balunan dan kutukan khalayak yang mendakwa sebagai para pejuang Melayu sehari-dua ini ialah manusia yang paling dibencinya, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Tidak dapat dibayangkan betapa gembira bukan kepalang bekas Presiden Umno itu apabila bekas timbalannya kini digelar pengkhianat bangsa, perosak negara, dan berbagai lagi label tidak enak. Barangkali membuak-buak dadanya untuk bersuara dan mengingatkan khalayak umum kembali kepada label sama yang pernah diucapkannya dulu terhadap Anwar.
Hati Mahathir mungkin amat berharap akan ada orang yang sedar dan akui kebenaran kata dan tindakannya lebih sedekad dulu. Sama halnya dengan apa yang diucapkannya baru-baru ini mengulas fitnah demi fitnah terpaksa dihadapi Anwar dalam kes liwat.
Media melaporkan Mahathir sebagai berkata, pertuduhan terhadap bekas timbalannya itu membuktikan segala tindakannya terhadap Anwar pada 1998 adalah betul. Kini, Mahathir agaknya sekali lagi berharap ada pihak menyebarluas kesimpulannya itu.
Media sejak dua minggu lalu galak meligan Anwar dan isterinya yang juga Presiden Keadilan, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail, sebagai pengkhianat bangsa dan perosak negara. Ia bertolak daripada ucapan Wan Azizah di Kongres Keadilan, 27 November, yang antara lain menyeru agar rakyat meninggalkan konsep ketuanan Melayu sepertimana diamalkan Umno.
Ucapan itu diperakui Anwar, seraya membelek tahap pencapaian ekonomi dan sosial orang Melayu selepas lebih separuh abad di bawah teraju Umno dengan konsep ketuanan Melayunya.
Bagai diduga usikan itu membangkitkan emosi melulu khalayak pendukung Umno. Media arus perdana dikuasai parti itu pula memanipulasi isu itu untuk mengapi-apikan kebencian rakyat terhadap pakatan pembangkang, khususnya Keadilan dan Anwar sendiri.
Seruan meninggalkan ketuanan Melayu itu ditafsirkan sebagai mengusik hak istimewa orang Melayu. Wan Azizah dan Anwar dianggap menghina bangsa sendiri.
Label itu sudah membuatkan Mahathir tersenyum. Masakan kita sudah lupa bahawa ungkapan paling hina terhadap bangsa Melayu datangnya daripada bekas Presiden Umno itu sendiri? Bukankah dia pernah melabelkan Melayu sebagai ‘haprak’!
Kamus Dewan mengkategorikan haprak di dalam kelompok ‘bahasa kasar’. Ia ditakrifkan sebagai kata makian yang bermaksud tidak bergunanya seseorang.
Mahathir melabelkan bangsanya sendiri dengan sifat amat hina itu. Setitis peluh Pemuda Umno pun tak tumpah, seurat bulu roma pejuang Melayu pun tak luruh membantah ucapan paling menghina bangsa mereka itu.
Reaksi amat berlawanan kini terhasil dari ucapan Wan Azizah. Ia malah diseret kononnya turut menyentuh kedudukan Raja-Raja Melayu yang dijamin Perlembagaan.
Disebabkan penafsiran sewenangan itu, Anwar, Wan Azizah dan partinya dilabel penderhaka pula. Persepsi umum cuba dibentuk kononnya jika pembangkang dipilih menerajui negara, kedudukan Raja-Raja Melayu bakal tergugat.
Bantahan demi bantahan bertali arus di serata negara. Di antara yang ghairah membantah itu, ada pula yang sampai menuntut agar imuniti Raja-Raja Melayu dikembalikan.
Mereka menggesa kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan. Hanya dengan itu, kata mereka, dapat menjamin institusi terbabit terus dihormati oleh segenap lapisan masyarakat di negara ini, seraya merujuk kepada ucapan Wan Azizah.
Mahathir sekali lagi boleh tersenyum melihat reaksi pertubuhan Melayu itu. Senyumnya itu bukan semata-mata kerana manusia paling dibencinya semakin diganyang anak-anak buahnya, tetapi kerana ia terlepas dari menjadi sasaran dalam isu tersebut secara spesifik.
Semua kita maklum bahawa pemain utama menghapuskan imuniti Raja-Raja Melayu ialah Mahathir sendiri. Beliau bertanggungjawab mencetus dan menggerakkan usaha meminda Perlembagaan Persekutuan agar kekebalan itu dinafikan.
Tidak sedikit ketegangan dan kekeruhan terhasil oleh tindakannya itu. Anehnya, tidak ada pula mana-mana pihak berani melabelkan Mahathir sebagai ‘penderhaka’ kepada istana. Sebaliknya kini, persepsi cuba dibentuk kononnya imuniti itu perlu dikembalikan semata-mata kerana merasa tercabar oleh ucapan Wan Azizah dan pendirian Anwar.
Sekali lagi, Mahathir boleh tersenyum. Gelagat para pembantah itu ikut membuktikan kebenaran kata-katanya dulu, bahawa ‘Melayu mudah lupa’. Mereka lupa betapa yang menghapuskan imuniti Raja-Raja Melayu ialah Mahathir, tetapi yang dikaitkan dengan salahlaku itu kini ialah Anwar dan isterinya pula.
(Artikel Mat Zain Mat Isa ini disiarkan Harakah Bil: 1595, 10 Disember 2010, di ruangan Editorial dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment