Monday, December 6, 2010

Negara Islam: MCA cabar DAP, sindir Umno


Sepintas lalu timbul rasa meluat membaca laporan media mengenai cabaran Pergerakan Pemuda MCA Perak agar DAP menyatakan pendirian menerima konsep Negara Islam dinyatakan PAS. Sebagai sebuah parti dengan perjuangan berasaskan perkauman sempit, cabaran itu satu lagi bukti betapa MCA gagal mempamerkan sikap terbuka menerima penjelasan atau perbezaan pendirian berhubung kepercayaan agama lain.

Namun, dari sudut lain, terasa kelakar pula menilai keceluparan Pemuda MCA itu. Ia seakan suatu sindiran terbuka terhadap Umno, parti rakannya dalam Barisan Nasional (BN), yang tidak jauh bezanya dengan DAP dalam penerimaan konsep Negara Islam dikemukakan PAS.

Media pada Khamis, 2 Disember, memuatkan cabaran Ketua Pemuda MCA Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon agar DAP memberi penjelasan kepada penyokong dan rakyat yang mengundi parti itu sama ada mereka sudah bersedia menerima prinsip perjuangan Islam ala-PAS atau sekadar bersikap hipokrit kerana mahu meraih undi khususnya daripada pengundi Melayu.

Beliau dipercayai memberikan reaksi terhadap ucapan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS kawasan Pasir Panjang, Dato’ Seri Mohamad Nizar Jamaluddin, ketika sesi perbahasan Bajet Negeri 2011 di sidang DUN Perak, sehari sebelumnya.

Nizar yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak menyebut kerjasama dijalin antara PAS dan DAP menerusi Pakatan Rakyat (Pakatan) menguntungkan umat Islam di negara ini kerana DAP semakin berjinak-jinak dengan Islam dan PAS.

Bagi para pendukung Pakatan, kenyataan itu tidak sukar diakui. Perubahan sikap DAP terhadap apa-apa yang bernama dan berbunyi Islam amat ketara, terutama sejak pilihan raya 2008. Sebilangan pemimpin parti itu malah bersedia merujuk ayat-ayat suci al-Quran dalam memperkuatkan hujah mereka.

Hakikat disebut Nizar itu bukan suatu perkembangan baru. Ia malah sudah seringkali diulangsebut para pemimpin PAS dalam ceramah dan ucapan mereka di serata negara sejak sekian lama.

Justeru, cabaran Pemuda MCA terhadap DAP tadi bukan lah kerana tidak bersedia menerima hakikat hubungan baik PAS-DAP. Ia sebaliknya dinilai lebih kepada kepentingan politik parti komponen BN itu, terutama dalam usahanya memaut kembali sokongan kaumnya yang merosot teruk dalam pilihan raya umum lalu.

Ia juga jelas sebagai usaha merungkai hubungan semakin erat antara DAP dan PAS, terutama dalam konteks negeri Perak sendiri.

Malangnya, dalam mencapai hasrat itu MCA sekali lagi tidak mempedulikan sensitiviti umat Islam. Cabaran itu memperjelaskan minda tertutup dan pendirian amat serong MCA terhadap agenda perjuangan pihak lain.

Sudah banyak kali sebelum ini parti Cina itu menzahirkan secara terbuka sikap negatifnya terhadap apa-apa perkara berkaitan Islam, terutama konsep Negara Islam diperjuangkan PAS. Pernah salah seorang bekas presidennya tanpa silu menganggap usaha melaksanakan hukum dan peraturan Islam di negara ini ibarat memusing jarum jam ke belakang.

Baru-baru ini pula, Presiden MCA dilaporkan mengaitkan kemunduran beberapa negara umat Islam di serata dunia dengan ajaran Islam dianuti mereka. Beliau bahkan menyalahkan Umno yang terikut-ikut mahu menyaingi PAS dengan agenda Islam sehingga menjejaskan kemajuan negara.

Kenyataan yang mengusik keagungan Islam dan memperlekeh agama suci itu bagaimana pun tidak mengundang reaksi menyeluruh di kalangan pemimpin Umno sendiri. Tidak kedengaran juga bantahan mana-mana pertubuhan Melayu dan Islam, sebagaimana sensitif dan marahnya mereka apabila sesuatu berkaitan kepentingan Melayu dipertikaikan.

Barangkali MCA sudah sedia maklum tahap keikhlasan Umno memperjuangkan Islam. Parti Cina itu tahu betapa orang-orang Umno tidak begitu sensitif jika pun ia mempersenda sesuatu berhubung Islam.

Sikap Umno itu bagaikan memberi lesen istimewa untuk MCA melakukan ‘semak dan imbang’ bagi memastikan Umno tidak terlalu ghairah melaksanakan apa-apa agenda Islam dalam pemerintahan. Dalam ertikata lain, Islam yang dibawa Umno hanyalah sejauh mana ia dipersetujui MCA saja.

Ketegasan MCA menyuarakan bantahan terhadap pelaksanaan Islam adalah kerana ia sudah sedia maklum tentang tahap kesediaan Umno sendiri mengemukakan Islam. Selaku teman rapat Umno, parti itu tentu ada di sisinya ketika pemimpin Umno memberi amaran keras terhadap PAS yang berusaha mendaulatkan hukum Islam di Kelantan, tiga dekad lalu, misalnya.

Para pemimpin Umno juga pihak paling kecoh mengkritik dan mengulas secara negatif apabila PAS mendedahkan Dokumen Negara Islam kepada umum kira-kira sedekad lalu.

MCA juga menyaksikan bagaimana sikap bongkak pemimpin Umno yang dikuasai serakah politik menyebabkan parti itu tergamak menodai kesucian agama anutan mereka  sendiri, contohnya dalam merobohkan masjid di Terengganu.

Sebab itu selama lebih separuh abad berkawan rapat dengan Umno, tidur sebantal dan berkongsi menduduki rumah bernama ‘Barisan Nasional’, fahaman para pemimpin MCA terhadap kemurnian ajaran Islam masih ditakuk lama. Fahaman dangkal dan serong mereka terhadap Islam tidak pernah diperbetulkan Umno.

Justeru, walau pun yang dicabar Pemuda MCA Perak ialah DAP, ia sebenarnya satu sindiran buat Umno sendiri yang hingga kini amat jahil dan keras terhadap konsep Negara Islam dibawa PAS.

(Artikel Mat Zain Mat Isa ini disiarkan tabloid Harakah, Bil: 1594, 6 Disember 2010 di ruangan Kolumnis, F22 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment