Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin jelas cuba menenangkan perasaan sendiri apabila menafikan lontaran pemimpin PAS bahawa Barisan Nasional (BN) mungkin merancang rampasan kuasa sekiranya Pakatan Rakyat (Pakatan) menang pilihan raya umum (PRU) ke-13 nanti.
Beliau sebaliknya menganggap kenyataan dibuat Naib Presiden PAS, Dato’ Mahfuz Omar, itu satu pembohongan, berunsur fitnah dan berniat jahat yang sengaja dibuat bagi menakut-nakutkan rakyat terhadap partinya.
Muhyiddin dilaporkan mengulas kenyataan Mahfuz yang merujuk kenyataan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak sebelumnya, bahawa tidak ada kerajaan lain boleh mentadbir Malaysia selain BN.
Menurut Mahfuz, kenyataan Najib itu boleh diertikan seolah-olah menganggap rakyat tersalah pilih sekiranya membiarkan Pakatan menang dalam PRU nanti. Sikap dan pendirian sedemikian, menurut Mahfuz, boleh membawa maksud BN berkemungkinan merancang melakukan rampasan kuasa sekiranya mereka tewas.
Nampak sangat Timbalan Presiden Umno itu amat terganggu dengan andaian tersebut. Perasaan itu mungkin ekoran perkembangan politik semasa yang semakin merimaskan BN. Mungkin juga kerana mengenangkan rekod kepakaran BN dalam kerja buruk itu memang amat dimaklumi umum.
Sebab itu biar pun Muhyiddin begitu bersungguh berusaha menafikannya, hujah dituturkannya amat dangkal dan layak ditertawakan. Apakah semudah itu rakyat boleh percaya bila dikatakan BN sentiasa menerima dengan baik kekalahannya dalam pilihan raya?
“Jadi tidak timbul soal kudeta (rampasan kuasa). Jika sudah diandaikan begitu, tentu sudah berlaku (kudeta apabila BN kalah di negeri tertentu), tapi ini tak berlaku,” katanya.
Tidak syak lagi kenyataan ini amat hanyir dan memualkan. Kebetulan pula ulasan itu beliau buat selepas satu majlis dekat Ipoh, Perak. Kemelut politik berterusan di negeri itu sendiri menjadikan cakap Muhyiddin itu amat tidak serupa bikin. Sebaliknya, kriris yang berlanjutan hingga kini ekoran ‘kudeta’ oleh BN di negeri itu menghidangkan contoh sangat relevan dengan andaian disebutkan Mahfuz itu.
Umum mengetahui betapa keadaan di Perak kini tidak bertambah baik. Terbukti segala jangkaan ketenangan politik dan gambaran muluk untuk rakyat negeri itu setelah kerajaan Pakatan dirampas BN setakat ini kekal fatamorganik.
Ada yang menyalahkan Pakatan atas kemelut berpanjangan itu. Kononnya setelah berlalu sekian lama dan adanya beberapa keputusan di mahkamah berhubung pertikaian itu, Pakatan patut mengalah dan menerima BN sebagai kerajaan sah demi kepentingan rakyat.
Tidak kurang juga yang kekal berpegang kepada pandangan bahawa punca kemelut politik di Perak ialah apabila BN merampas kuasa. Parti itu dinilai tidak sabar menunggu pilihan raya untuk berusaha memerintah semula secara demokratik. BN dianggap terlibat memusing pendirian politik tiga bekas wakil rakyat Pakatan, yang menjadi punca utama krisis di negeri itu.
Apatah lagi rekod kesukaran BN menerima kekalahan bukan hanya terserlah di Perak. Kita boleh membawakan contoh lain yang menggambarkan secara jelas betapa BN sanggup mengaplikasi apa jua taktik dan strategi tidak bermoral dan mengenepikan lunas demokrasi semata-mata demi mendapatkan kembali kuasa kerajaan negeri yang hilang.
Kes Kelantan adalah contoh klasik. Setelah empat penggal diperintah PAS, sejak pilihan raya pertama pada 1959, BN kehabisan ikhtiar mengembalikan kuasanya di negeri itu. Niat jahat mereka akhirnya dijelmakan menerusi taktik sangat tidak bermaruah sehingga menggadai keselamatan awam.
Rusuhan yang sengaja dicipta membuka ruang kepada perisytiharan darurat. Kerajaan negeri digantung dan Majlis Gerakan Negara (Mageran) mengambil alih menerusi bidang kuasa kerajaan Pusat.
Dalam keadaan huru-hara dan rakyat diselubungi ketakutan dengan berbagai insiden direkacipta serta propaganda BN, pilihan raya baru diadakan. PAS tinggal dua kerusi, kerajaan negeri tumbang dan berjaya dirampas BN.
Drama agak berlainan berlaku di Sabah. Kerajaan PBS yang kembali berkuasa untuk penggal kedua(?) dinafikan hak mengangkat sumpah menerajui kerajaan negeri. Dalam masa hanya beberapa hari, seorang demi seorang Adun PBS berpaling tadah kepada BN. Biar pun BN menafikan terlibat dalam komplot itu, apakah rakyat begitu bodoh untuk mempercayainya?
Taktik BN menumbangkan kerajaan PAS Terengganu juga amat memalukan. Menerusi manipulasi kuasa kerajaan Pusat ke atas Petronas, BN menafikan royalti minyak yang membentuk 75 peratus kewangan negeri. Ia melumpuhkan kerajaan diterajui PAS. Di masa sama wang itu menjadi talian hayat Umno, apabila parti itu diberi keistimewaan menyalurkannya terus kepada rakyat sebagai wang ihsan.
Memang apa yang berlaku di empat negeri itu bukan kudeta dalam ertikata rampasan kuasa bersifat ketenteraan. Namun, sejarah tetap mencatatkannya sebagai taktik tidak bermoral dan strategi amat jahat oleh BN yang rakus mengekalkan kuasa.
(Artikel Mat Zain Mat Isa ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1598, 20 Disember 2010 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment