Di negara kita, musim cuti persekolahan amat sinonim dengan majlis kenduri-kendara. Kesempatan cuti panjang sebilangan anggota keluarga, terutama anak-anak yang terlibat dengan penggal persekolahan, sering dimanfaatkan kebanyakan kita untuk melangsungkan berbagai majlis keramaian.
Ada yang sengaja menunggu musim cuti untuk mengadakan majlis kesyukuran bersempena naik rumah baru atau majlis aqiqah anak yang dilahirkan beberapa ketika lebih awal.
Namun, majlis paling lumrah yang sengaja dirancang di musim cuti ialah kenduri perkahwinan. Mengadakannya di musim cuti dipercayai memudahkan seramai mungkin sanak-saudara ikut serta memeriahkannya. Tidak syak lagi kehadiran ratusan sanak-saudara, rakan-taulan serta jemputan khas menjadi keutamaan tuan rumah.
Biar pun acara utamanya ialah jamuan, babak paling penting sebenarnya bukan semata-mata di situ. Sesuatu perkahwinan tidak lengkap dan tidak melenyapkan kegusaran tuan rumah selagi majlis akad nikah tidak berlangsung. Bukankah kenduri hanya sebagai tanda meraikan kejayaan mengikat tali hubungan antara dua insan terbabit?
Orang penting di setiap kali majlis perkahwinan sudah tentulah jurunikah. Tidak sempurna urusan pernikahan tanpa dikepalai oleh sang imam. Lebih-lebih lagi, selaku orang yang diberi tauliah melangsungkan akad nikah, beliau adalah ‘orang tengah’ menyelesaikan berbagai perkara antara pasangan pengantin dan pihak berkuasa agama.
Bagi masyarakat penduduk Mukim Dalam Rhu, Pasir Putih, Kelantan, orang yang mereka cari bagi menyempurnakan hasrat mengikat tali pernikahan ialah Haji Mat Ali Awang Ahmad. Warga berusia 66 tahun ini, yang juga imam masjid mukim berkenaan, adalah jurunikah yang sangat berpengalaman di kawasan berkenaan.
“Saya mula jadi imam masjid ini (Mukim Dalam Rhu) sejak tahun 1971. Serentak itu juga saya ditauliahkan jadi imam nikah untuk mukim ini. Bermakna sudah dekat 40 tahun la,” cerita Imam Mat Ali.
Beliau yang juga anak jati kelahiran kampung berkenaan menjelaskan, mukim berkenaan meliputi kawasan dari Kampung Pachakan di sempadan negeri Terengganu-Kelantan hingga ke Kampung Pauh Dara, di sempadan Mukim Semerak.
Bapa kepada enam anak ini mendapat pendidikan di Sekolah Arab Shamsul Maarif, Pulai Condong, Machang. Beliau kemudian menyambung pengajian ke Maahad Muhammadi, Kota Bharu, sehingga tamat Kelas 7.
Ternyata asas pendidikan Islam yang diterimanya banyak membantu beliau membina kehidupan yang sederhana. Dalam memberikan khidmatnya, sama ada sebagai imam masjid mahu pun jurunikah, soal imbuhan atau elaun tidak pernah menjadi perkiraan utamanya.
“Elaun bulanan imam masjid RM260 sebulan, itu pun baru beberapa tahun ini dinaikkan. Imam nikah pula tak ada (jumlah) elaun khusus,” terang beliau.
Menjelaskan lebih lanjut perkara itu, Imam Mat Ali berkata, bayaran untuk khidmat jurunikah ditentukan sepenuhnya oleh Pejabat Agama Daerah secara cabutan.
“Kita dibayar satu pertiga daripada jumlah kita serah ke Pejabat Agama. Dia panggil (bayaran itu sebagai) “dalal”. Maknanya, jika banyak kita serah, banyak la “dalal” kita akan terima,” ulasnya.
Menurutnya, jumlah bayaran dikenakan untuk sesuatu majlis akad nikah ialah RM92. Ia termasuk kos borang, buku dan lain-lain keperluan yang dibekalkan kepada setiap pasangan pengantin. Jumlah itu katanya diura-urakan akan dinaikkan sebanyak RM20 dalam masa terdekat.
Seperti disebutkan tadi, biar pun jumlah ‘dalal’ diterimanya tidak seberapa, ia bukan perkara paling dipentingkannya. Imam Mat Ali sebaliknya mengakui lebih gemar memanfaatkan ruang menemui anak-anak mukimnya itu untuk menyampaikan mesej dakwah.
Baginya, kesempatan menyampaikan khutbah nikah sering digunakannya untuk menasihati seluruh hadirin, terutama anak mukim berkenaan, agar berpegang teguh dengan ajaran dan nilai hidup Islam.
Beliau juga tidak lupa mengingatkan mereka, khususnya pasangan pengantin, agar memupuk keluarga yang baru dibina itu di atas asas taqwa. Katanya, kewujudan keluarga-keluarga yang baik dan beriman akan menjadi saham penting membentuk masyarakat yang soleh dan diredhai oleh Allah Ta’ala.
Di atas dorongan kuat mengajak anak mukimnya menghayati Islam, Imam Mat Ali seterusnya menjadikan majlis akad nikah sebagai tarikan untuk mereka datang ke masjid.
“Dulu saya pergi ke rumah-rumah untuk akad nikah ni. Sekarang, sejak beberapa tahun kebelakangan ini saya ubah fesyen (pendekatan). Saya minta setiap pasangan yang nak menikah dan anggota keluarga dia supaya mari ke masjid. Kita buat akad nikah di masjid pula,” jelas Imam Mat Ali.
Alhamdulillah, beliau mengakui strategi dakwahnya itu menampakkan hasil. Terdapat di kalangan pasangan dan anggota keluarga mereka yang sebelum ini agak liat ke masjid, berubah menjadi anggota jemaah yang lebih kerap ke situ ekoran penerangan dan pendekatan dibuatnya menerusi majlis akad nikah itu.
“Tak bawa gulai ayam ke masjid pun saya tak kisah, tak penting benda tu. Yang pentingnya demo (mereka) mari ke masjid dan kita biasakan demo dengan masjid,” sambungnya seraya ketawa kecil.
Pada raut wajahnya tergambar suatu kepuasan kerana dapat memberikan khidmat kepada masyarakat, sekali gus menyampaikan mesej Islam kepada mereka
(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah edisi Disember 2010 di ruangan "SYUKUR" dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment