Sunday, October 25, 2009

Mampukah Umno berubah di celah kegagalannya?


Oleh: Mohd Nasir Awang

PERHIMPUNAN Agung Umno 2009 yang baru berlangsung lebih seminggu lalu menyerlahkan berbagai hakikat sebenar yang sedang dihadapi parti tua itu. Sementara khalayak pendukungnya menilai segala perbahasan dan rumusan dalam perhimpunan itu secara positif, kalangan di luar parti itu pula menemui beberapa pemerhatian sebaliknya.

Kebanyakan kalangan penyokong Umno dan pendukung Barisan Nasional (BN) menyifatkan kesudahan perhimpunan itu sebagai titik perubahan sangat bermakna buat Umno. Keputusan 2,359 perwakilan sebulat suara menerima kesemua tujuh pindaan perlembagaan parti itu dianggap bakal mencorakkan halatuju Umno ke arah lebih telus, realistik dan demokratik. Ia dijangka akan memudahkan parti itu memulihkan imejnya, sekali gus mengembalikan sokongan rakyat terhadapnya.

Ucapan dan amanat beberapa pemimpin utama sepanjang perhimpunan diterima baik para perwakilan. Mereka menganggap segala lontaran dan luahan itu sebagai suntikan semangat untuk setiap ahli menyemarakkan lagi perjuangan parti.

Pelbagai pihak menyatakan keyakinan bahawa persepsi masyarakat terhadap Umno akan berubah. Parti itu dikatakan akan kembali gemilang.

Malah mereka pergi lebih jauh. Disebabkan terlalu yakin dengan kesungguhan dan ikrar segenap lapisan pendukungnya untuk berubah, pemimpin parti itu mengisyaratkan kepada parti-parti komponen BN lain agar turut sama berubah bersama Umno. Seolah-olah Umno lah parti paling layak diteladani berbanding seberapa banyak komponen BN yang lain.

Keghairahan segenap lapisan Umno mencanangkan perubahan parti mereka bagaimana pun ikut menyerlahkan beberapa hakikat negatif tentang parti itu. Disedari atau tidak, pendedahan dan pengakuan sebilangan pengucap sepanjang perhimpunan tersebut turut membuktikan bahawa parti itu diselubungi segala macam kegagalan.

Beberapa isu dibangkitkan para pemimpinnya sendiri menyerlahkan betapa lemah dan tidak berdayanya parti itu menangani permasalahan yang sepatutnya telah diselesaikan. Mengambilkira tempoh penguasaan Umno selaku tonggak pemerintahan negara selama lebih separuh abad, adalah tidak munasabah parti itu masih gagal dalam beberapa agenda perjuangannya yang disuarakan sejak sekian lama.

Teras utama perjuangan Umno ialah bangsa Melayu. Apa-apa juga berkaitan Melayu dianggap tidak akan sah jika tidak menerusi perjuangan parti itu. Lalu segala apa yang dicapai dan dimiliki orang Melayu begitu mudah dibahasakan sebagai hasil perjuangan Umno.

Malangnya, bagi mengekalkan pergantungan orang-orang Melayu terhadap parti itu, Umno sering mendendangkan lagu pilu nasib bangsanya sendiri. Saban tahun di setiap kali perhimpunan parti itu, para pemimpinnya akan menjadikan soal pembelaan nasib bangsa sebagai alasan dan hujah untuk memaksa orang Melayu terus memberikan sokongan dan kepercayaan pemerintahan kepada Umno.

Minggu lalu suara serupa kedengaran lagi. Presiden Umno merangkap Perdana Menteri dalam ucapan dasarnya menegaskan kerajaannya tidak akan menghentikan bantuan kepada orang Melayu, seraya mengakui kebanyakan mereka masih jauh ketinggalan berbanding bangsa lain.

“Adakah adil jika topang ini dibuang hanya kerana ada orang yang sudah mendapat bantuan, tidak lagi bergantung kepadanya, sedangkan orang Melayu keseluruhannya masih ketinggalan dan memerlukan bantuan?”, terjahnya.

Nah! Bukankah kenyataan itu ibarat membuka pekung di dada Umno? Berbanggakah para pendukung parti itu dengan lebih 50 tahun penguasaan politik negara sedangkan hingga kini bangsa Melayu yang menunjangi perjuangan Umno masih terpaksa merempat dan hidup atas sokongan hayat oleh kerajaan?

Suara-suara yang menyerlahkan kegagalan Umno turut kedengaran di persidangan sayap-sayapnya, terutama Pergerakan Wanita dan Pemuda. Di antara isu utama diperbahas dan dipersetujui perwakilan Wanita ialah soal perkongsian kuasa. Isu ini sebenarnya cerita lama dan telah kedengaran sejak kepimpinan beberapa ketua pergerakan itu sebelum ini.

Perjuangan mendapatkan sekurang-kurangnya 30 peratus kalangan mereka di peringkat membuat dasar, sama ada dalam parti mahu un kerajaan, adalah perjuangan Wanita Umno sejak dulu. Tidakkah suatu yang mengaibkan apabila Umno terpaksa mengambil masa lebih setengah kurun untuk mengiktiraf keupayaan wanitanya dalam menentukan keputusan?

Soal memartabatkan Islam turut dibangkitkan. Sementara perwakilan Wanita Pulau Pinang mendakwa perjuangan Umno telah berjaya mengangkat martabat Islam dan perwakilan Terengganu pula merasakan Islam akan lemah jika Umno lemah, kegagalan Umno berperanan pada tahap sepatutnya dalam mendaulatkan Islam tidak dapat disembunyikan.

Bukankah itu yang dapat difahami dari desakan perwakilan Wanita Kelantan agar partinya memainkan peranan lebih proaktif dalam memastikan pelaksanaan undang-undang syariah secara menyeluruh di negara ini?

Wakil itu melihat penularan gejala sosial melibatkan umat Islam negara kini, khususnya golongan remaja, hanya dapat dibendung menerusi pelaksanaan undang-undang syariah.

Apakah saranan yang lebih menepati agenda perjuangan PAS itu akan diterima pakai Umno adalah suatu yang amat diragukan. Maka apakah sebenarnya yang boleh dibanggakan  dengan kejayaan Umno memartabatkan Islam?

Kegagalan utama Umno bagaimana pun tidak lain dari penyakit rasuah politik. Itulah sebenarnya isu utama yang menunjangi pindaan perlembagaan parti itu.

Antara pindaan itu ialah mengubah kaedah pemilihan jawatan supaya lebih terbuka dan tanpa kuota. Selain untuk dilihat lebih demokratik, hasrat utama di sebalik pindaan itu ialah bagi membendung gejala politik wang yang telah berdarah daging dalam Umno sejak sekian lama.

Di celah sejumlah kegagalan itulah Umno melaungkan perubahan. Apakah ia akan benar-benar berubah dan sejauh manakah perubahan itu akan memadamkan kegagalan Umno, biarlah masa menentukannya.

(Artikel ini disiarkan tabloid Siasah Bil:0171, 6-12 Zulkaedah 1430/25-31 Oktober 2009 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment