Sunday, November 8, 2009

Bahaya terlalu ghairah singkir pemimpin parti


Oleh: Mohd Nasir Awang

MUJURNYA Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tidak berpendirian seperti Profesor Dr. Abdul Aziz Bari. Parti Islam itu besar kemungkinan menghadapi suasana haru-biru dan kucar-kacir yang amat sekiranya berketuakan seorang yang sebegitu mudah menjatuhkan “hukuman” terhadap anak-anak buahnya sendiri.

Ampun Tuhan, itulah kesimpulan saya setelah meneliti siri tulisan pakar Perlembagaan itu menerusi kolumnya di sebuah tabloid mutakhir ini. Catatannya bertarikh 19 Oktober lalu yang menggesa PAS menyingkir beberapa pemimpin yang dikatakan bermasalah mencetuskan gesaan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, agar partinya mengadakan Muktamar Khas (EGM) bagi memutuskan perkara itu.

Berdasarkan beberapa kenyataan dan catatan kemudiannya pemimpin “bermasalah” dimaksudkan ialah Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa, Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr. Hassan Mohd Ali. Nama Presiden PAS turut disebut.

Dr. Abdul Aziz barangkali tersenyum puas apabila idea dan saranannya dipegang erat pemimpin spiritual PAS itu. Malah namanya disebut Datuk Nik Aziz sebagai individu yang mesti dirujuk dalam mencari penyelesaian konflik partinya.

Pengiktirafan itu bagaikan “lesen besar” baginya untuk terus mengutuk dan mengaibkan PAS. Kepimpinan Abdul Hadi disifatkan lesu dan Dr. Abdul Aziz menggesa Presiden PAS itu ditukar.

Meski pun kecaman beliau disasarkan kepada individu tertentu, ia secara tidak langsung turut menghina seluruh parti itu.

“Jangan lupa Presiden dan Timbalan Presiden PAS dipilih dengan suara majoriti akar umbi parti. Jadi jangan hina pilihan ahli PAS,” luah bekas calon PAS Dun Semerak, Kelantan, Dato’ Wan Fauzi Wan Hussin kepada saya.

Bagi tokoh perniagaan ini, menidakkan kewibawaan Abdul Hadi dan Nasharuddin memimpin PAS samalah seperti memperlekeh kebijakan ahli dan perwakilan parti itu memilih pemimpin terbaik.

“Menggunakan kepakarannya (Dr. Abdul Aziz) menafsir peruntukan Perlembagaan dengan emosi dibauri agenda politik menjatuhkan pemimpin tertentu sebenarnya menjatuhkan statusnya sendiri sebagai penganalisis politik menjadi “papparazi” politik,” itu pula ulasan pemerhati politik, Zabidi Halim, ketika menghubungi saya.

Peguam muda berpejabat di Shah Alam itu memaklumkan hasil perbualannya dengan khalayak awam di Selangor menunjukkan beberapa isu didakwa Dr. Abdul Aziz sebagai punca kemarahan masyarakat terhadap PAS, khususnya terhadap Dr. Hassan, tidaklah seteruk didakwa.

“Ada yang mempersoal, apa salahnya Dr. Hassan mempertahankan peraturan melarang jual arak di kawasan majoriti Melayu? Budak-budak muda minum arak dah macam kopi. Keruntuhan akhlak yang diwarisi dari BN inilah yang sepatutnya diperbetulkan PAS. Mereka kata tindakan Dr. Hassan patut disokong, bukan dikecam,” sambung Zabidi lagi.

Memang isu larangan penjualan arak menjadi antara isu utama sebilangan pihak mempertikai Dr. Hassan. Ekoran isu itu beliau dianggap pemusnah kerukunan dalam Pakatan Rakyat. Desakan terbuka dibuat pihak tertentu agar beliau dipecat dari jawatan utama parti.

Secara khusus, saya menilai terjahan menimpa Dr. Hassan kini agak menyimpang dari prinsip keadilan. Beliau sudah dihukum sebelum soal siasat Jawatankuasa Disiplin PAS selesai.

Saya mengikuti keghairahan memecat beliau dan beberapa pemimpin PAS itu dengan penuh bimbang. Pertama, ia seolah-olah sudah tidak ada tolak ansur di kalangan khalayak tertinggi PAS. Apakah kesalahan bekas Naib Presiden PAS itu terlalu berat dan tidak boleh dimaafkan?

Kedua, ada dwi-piawaian dalam pendirian PAS. Ingat lagi layanan berbeza diterima sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan wanita yang mengguna label Islam beberapa bulan lalu?

Ketika ada usul dalam Muktamar PAS agar pertubuhan itu disiasat pihak kerajaan atas aktivitinya yang memudaratkan Islam, seterusnya menimbang mengharamkan pertubuhan itu jika didapati terpesong, pelbagai pihak membela NGO itu.

PAS sendiri kemudiannya cukup berlembut dan cuba menunjukkan keterbukaan. Sehinggakan pemimpin yang mengetuai PAS kawasan yang mengusulkan itu tampil menjelaskan maksud sebenar usul tersebut. Beliau cuba mengikis implikasi usul itu sehingga PAS dilabel tidak demokratik, tidak terbuka menerima perbezaan pandangan dan menafikan hak asasi pihak lain.

Malangnya keterbukaan itu tidak diserlahkan PAS dalam kes Dr. Hassan. Apakah tindakannya mempertahankan peraturan Islam dinilai sebagai lebih mudarat berbanding aktiviti serong NGO itu?

Ketiga, menyingkirkan pemimpin merugikan parti apabila penggantinya sukar dicari. Memang mudah untuk menyisih seseorang pemimpin. Hasrat itu mungkin tercapai dengan kempen agresif sebulan-dua atau hanya menerusi memorandum dan mesyuarat khas.

Namun, apakah semudah itu melahirkan seorang pendukung Islam? Tarbiyah dan perkaderan sedekad pun belum tentu berjaya melahirkan seorang setanding pemimpin disingkir itu. Kes menimpa seorang bekas pemimpin kanan PAS Kelantan beberapa tahun lalu wajar direnungkan.

Bagi saya keghairahan menyingkirkan pemimpin PAS yang didakwa bermasalah perlu diurus secara bijaksana. Parti itu perlu belajar dari sejarah, termasuk pengalamannya sendiri. Beberapa kes terdahulu membuktikan kehilangan beberapa pemimpin melalui kaedah ini menjadi penyesalan pendukung PAS hingga kini.

Justeru, pendukung PAS tidak harus terseret oleh pandangan beberapa kerat penganalisis bermasalah atau “papparazi” politik. Seperti dicoretkan Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad ketika menyanggah tulisan Dr. Abdul Aziz, “memanglah menjadi ahli akademik senang membuat hipotesis daripada bilik berhawa dingin, tetapi menjadi ahli politik pembangkang, berat mata memandang, maka berat lagi bahu memikul”.

(Artikel ini disiarkan tabloid Siasah Bil: 173, 20-26 Zulkaedah 1430/8-14 November 2009 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment