Oleh: MOHD NASIR AWANG
TIADA apa sangat yang wajar dibanggakan rakyat terbanyak
dengan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan
Negeri (Dun) Bagan Pinang, Ahad (11 Oktober) lalu. Pada hakikatnya BN hanya
berjaya melonjakkan perolehan undi dan majoriti kemenangan, sedangkan gerak
kerjanya yang berasaskan “matlamat menghalalkan cara” itu meninggalkan banyak
kesan memalukan.
Berbanggakah anda di pihak yang menang semata-mata atas keupayaan
parti anda menamatkan marathon kejayaan parti lawan dalam siri pilihan raya
kecil sebelum ini, sedangkan jalan ke arah itu menempa satu lagi rekod pilihan
raya terburuk dan paling ganas dalam era mutakhir ini?
Ahad lalu, calon BN, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad
menepati ramalan menewaskan calon PAS, Zulkefly Mohd Omar. Majoriti 5,435 undi
diraihnya merupakan lonjakan lebih dua kali ganda berbanding hanya 2,333 undi
dalam pilihan raya umum lalu.
Bekas Naib Presiden Umno yang disabitkan rasuah politik
itu direstui 8,013 pemilih, berbanding Zulkefly yang tidak ada sebarang rekod
rasuah atau moral, disokong hanya 2,578 pengundi. Apakah kemenangan seorang
bekas pesalah rasuah politik itu bakal memperbaiki kedudukan indeks persepsi
rasuah negara pada nilaian antarabangsa?
Asas nilaiannya mungkin bermula dengan pertanyaan ini:
Kalaulah untuk menang dalam pemilihan sesama parti pun Isa sanggup berbelanja
besar membeli undi, apakah calon BN itu atau agen-agen beliau tidak berkeupayaan
merencanakan sogokan lebih hebat untuk mengalahkan parti lawan?
Andaian itu mendorong tanggapan sinis bahawa kini bukan
sahaja pendokong Umno yang tidak ada masalah menerima perasuah memimpin parti,
tetapi kecenderungan itu nampaknya sudah merebak ke dalam masyarakat terbanyak.
Berbanggakah kita dengan perkembangan itu?
Keputusan di Bagan Pinang bagai mengisyaratkan
seolah-olah rakyat sudah dihinggapi sindrom “mati rasa”. Rakyat sudah tidak
kesah dengan soal moral atau maruah. Ukuran kewibawaan seseorang bukan lagi
pada nilaian agama mahu pun keluhuran peribadinya, tetapi lebih dilonjak
kekuatan kebendaan dan kuasa dimilikinya.
Latar belakang pengaruh Isa yang dikatakan sangat kuat
dalam masyarakat Bagan Pinang juga menjadikan BN terlalu terdorong menunjukkan
kuasa. Apatah lagi Negeri Sembilan adalah negeri BN. Lalu sasaran memastikan
kemenangan menyebabkan BN melayan kehadiran PAS seolah-olah sebagai sebuah parti
asing bagi masyarakat setempat.
Budaya samseng dikatakan menyerlah kembali. Ia bukan
sahaja bertujuan menakut-nakutkan pengundi daripada berjinak-jinak dengan
pembangkang, malah turut dihalakan kepada petugas Pakatan Rakyat.
Sikap ego dipamerkan BN, terutama perisytiharan Pemuda
Umno untuk bertindak cara sendiri di Bagan Pinang, mengingatkan kita kembali
kepada episod keganasan pilihan raya oleh Pemuda Tahan Lasak pada era 60-an
dulu. Apakah nostalgia hitam itu yang mahu dihidupkan semula BN?
Kedengaran juga dakwaan tentang taktik ancam-ugut
terhadap pengundi, terutama membabitkan para pekerja dan penghuni beberapa
estet. Akhbar Harakah milik PAS dalam
edisi 12 Oktober lalu menyorot pendedahan pekerja Ladang Bratwall, salah satu
daerah mengundi di Bagan Pinang, bahawa mereka diberi kata dua sama ada memilih
BN atau berhadapan kemungkinan semua bantuan termasuk kemudahan asas kepada
mereka dihentikan.
Manipulasi kuasa pemerintahan turut membeli hati pengundi
dengan taburan bantuan berbagai bentuk. Sokongan pengundi India dikatakan
beralih semula kepada BN antaranya kerana parti itu bersedia memenuhi beberapa
tuntutan kaum berkenaan, termasuk tanah untuk pembinaan kuil dekat Port Dickson.
Secara keseluruhannya kemenangan BN di Bagan Pinang tidak
berjaya mengikis imej buruk dan negatif parti itu selama ini. Palitannya dengan
rasuah politik, membudayakan keganasan pilihan raya, taktik ancam-ugut,
penggunaan uslub paksaan dan menabur sogokan kebendaan amat menyerlah dalam
pilihan raya minggu lalu.
Sementara BN dilihat tidak mampu berubah dari tabiat dan
penyakit lama, PAS pula diharap belajar banyak perkara dari pengalaman itu.
Harus dinyatakan bahawa PAS perlu meletakkan sasaran yang betul pada setiap
penyertaannya dalam mana-mana pilihan raya. Maaf cakap, saya melihat jentera
PAS di Bagan Pinang sedikit kurang jelas mengenai sasaran sebenar parti mereka.
Beberapa pihak sedari awal membayangkan kesukaran untuk
PAS menang. Itulah pengakuan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Itulah
juga kata Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Secara realistiknya sasaran penyertaan PAS di Bagan
Pinang bukan untuk menang, tetapi lebih kepada memanfaatkan ruang demokrasi
untuk menyampaikan mesej parti serta merebut beberapa peluang lain. Matlamat di
sini ialah kejayaan jangka panjang.
Malangnya, apabila sasaran itu tersilap letak sehingga
ada yang terlalu yakin kononnya kemenangan bakal menjelma, maka sebahagian
gerakerja sudah terpesong dari perancangan sepatutnya. Dalam pengurusan
mana-mana organisasi pun, sasaran menentukan halacara tindakan dan susunatur
gerakerja.
PAS juga wajar menilai kelemahan dalaman jenteranya. Ada
sungutan rakan-rakan bahawa pengurusan maklumat dalam jentera pilihan raya PAS
agak lemah. Contohnya, sesuatu berita atau maklumat diterima tidak diperhalusi
atau ditapis cermat sebelum disebar atau diambil tindakan susulan mengenainya.
Akhirnya, ada kes-kes tertentu PAS dikatakan terperangkap dengan maklumat tidak
tepat yang tidak mustahil datang dari saraf musuh atau agennya yang menyelinap
dalam jentera PAS.
Namun kekalahan PAS itu tidak bermakna ia tidak berjaya
memalukan BN. Meski pun PAS gagal dari sudut jumlah undi, penyertaan dan
tentangan hebat diberikannya bersama jentera rakan-rakan Pakatan Rakyat berjaya
meninggalkam kesan memalukan pada imej dan maruah BN. Paling memalukan ialah
apabila rakyat sudah dihinggap sindrom “tak kesah” dan sanggup memenangkan
pihak tidak bermaruah.
(Artikel ini
disiarkan tabloid mingguan Siasah, Bil: 170, 18-24 Oktober 2009 di ruangan
‘komentar’ dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment