Sunday, October 11, 2009

Masjid runtuh, cukupkah sekadar ‘kita akan siasat’?


Oleh: ANUWA JAMALULLAIL

DALAM satu ceramah umum anjuran PAS di Kampung Alur Keladi, Besut, pada 4 Oktober lalu, pengerusi majlis malam itu antara lain mengingatkan para hadirin agar berhati-hati setiap kali memasuki mana-mana masjid yang baru siap dibina di negeri itu.

“Muslimin-muslimat sekalian, lepas ini ambo (saya) rasa kalau masuk mana-mana masjid hak baru siap tu, beringat lah sikit. Tengok di luar comel, molek pun tak kena buat runtuh bila-bila masa”, ujarnya.

Usikan sinis beliau itu disambut gelak ketawa ribuan hadirin malam itu. Apatah lagi semua yang hadir maklum tentang isu yang beliau maksudkan. Ia menjadi tajuk utama sebuah akhbar tempatan Terengganu di hari sama.

Runtuh lagi. Sebelum ini membabitkan kejadian runtuh dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wakaf Tapai, Marang dan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kompleks Sukan Gong Badak”, demikian baca tajuk beserta sinopsis laporan di muka depan akhbar berkenaan.

Laporan itu merujuk kejadian pagi Sabtu (3 Oktober) lalu, bilamana sebahagian besar bahagian hadapan bangunan Masjid Kampung Batu Putih Kemaman, termasuk struktur kelulinya runtuh. Masjid bernilai RM2.1 juta itu dilaporkan dibina akhir 2006 dan baru siap sepenuhnya kira-kira setahun lalu.

Kejadian itu yang mengejutkan para penduduk berdekatan turut mencederakan tiga buruh warga Indonesia yang sedang melakukan kerja membaik pulih bahagian bumbung masjid itu yang dikatakan bocor sejak tiga bulan lalu.

Seperti biasa, kerajaan segera tampil dengan kenyataan akan menyiasat kes itu. Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said, yang enggan mengulas lanjut sekadar mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) membuat laporan terperinci berhubung kejadian itu.

“Saya minta JKR menyiasat dan membuat laporan terperinci berhubung perkara ini”, katanya.

Sementara itu, kejadian tersebut menyebabkan rakyat Terengganu diselubungi kebimbangan. Bagi mereka tidak mustahil kejadian serupa akan berulang, terutama membabitkan masjid dan binaan yang baru siap setahun-dua kebelakangan ini.

Apatah lagi kejadian Sabtu lalu itu berlaku di saat rakyat negeri itu masih belum dimaklumkan sepenuhnya mengenai hasil siasatan terhadap keruntuhan stadium sebelum ini.

Dalam kejadian pada pagi 2 Jun lalu, seluruh struktur bumbung yang memayungi tempat duduk utama di stadium itu runtuh secara tiba-tiba. Kejadian disahkan berlaku tanpa sebarang faktor semulajadi seperti ribut atau angin kencang.

Stadium itu merupakan komponen utama Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak yang baru siap dibina lebih setahun lalu dengan kos keseluruhan lebih RM500 juta. Kos pembinaan stadium itu sahaja adalah RM292 juta. Ia pertama kali digunakan untuk temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2008.

Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor yang bergegas meninjau lokasi kejadian menyifatkannya sebagai kejadian yang amat memalukan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula menganggap kejadian itu tidak menggambarkan profesionalisme dalam pembinaannya.

Ertinya, kesannya dirasai bukan sahaja oleh kerajaan Terengganu, malah turut memalitkan imej industri pembinaan negara. Ia tidak sepatutnya berlaku memandangkan stadium bernilai jutaan ringgit itu baru sahaja siap dibina lebih setahun lalu dan dikatakan masih dalam jaminan pihak kontraktor.

Fakta itulah yang menimbulkan syak wasangka di kalangan rakyat bahawa keruntuhan itu ada kena-mengena dengan pengurusan pembinaannya, termasuk kemungkinan berlakunya rasuah dan sebagainya.

Kejadian itu mengingatkan kita kepada beberapa kejadian serupa melibatkan keruntuhan banguna baru siap dibina yang pernah berlaku sebelum ini di Terengganu sendiri. Antaranya ialah kes runtuhan siling dalam sebuah kelas di Sekolah Kebangsaan Padang Mengkuang, Bukit Payong, Marang, pada 16 Januari 2006.

Bangunan itu baru siap dibina tidak sampai tiga tahun sebelumnya. Kejadian dikatakan berpunca daripada struktur yang menyokong siling tidak cukup kukuh untuk menampung beratnya.

Kejadian lebih menggemparkan berlaku pada 12 April 2008. Seluruh struktur bumbung Dewan Serbaguna SMK Wakaf Tapai, juga di daerah Marang, ranap sekelip mata. Ia dikatakan berpunca daripada pemasangan sendi kekuda bumbung itu yang tidak kukuh. Bangunan bernilai RM2 juta itu siap dibina pada tahun 2004 dan baru mula digunakan pada 2005.

Dalam kesemua kes itu, kerajaan negeri menjanjikan siasatan terperinci. Manakala dalam kes stadium pula, Ahmad pada awalnya mengumumkan pihaknya akan melantik konsultan bebas bagi menyiasat secara terperinci punca keruntuhan tersebut. Cadangan itu kemudiannya tidak menjadi kenyataan.

Bukan itu sahaja, para pemimpin kerajaan dikatakan memandang ringan kejadian tersebut dan tergamak menyeru rakyat agar menerimanya sebagai satu suratan takdir semata-mata. Setakat ini hasil siasatan terhadap kes-kes disebutkan itu tidak diumumkan.

Hasrat rakyat melihat pihak-pihak yang bertanggungjawab didakwa dan dikenakaan tanggungjawab setimpal tidak terlaksana. Kerajaan seolah-olah cuba melindung pihak terbabit.

Setakat ini nasib masih menyebelahi kita dan tidak ada kemalangan jiwa berlaku. Sepertimana kes stadium dan dewan sekolah menengah itu, kejadian menimpa masjid di Kemaman itu juga berlaku ketika tiada sesiapa menggunakannya.

Rakyat bimbang kes serupa berulang dan mungkin bakal meragut nyawa. Sebab itu usikan sinis pengerusi majlis di Besut malam itu tidak boleh dianggap sekadar gurauan.

Kerajaan pula dituntut agar tidak sekadar menuturkan janji “kita akan siasat”. Ada baiknya semua bangunan yang baru siap dibina dalam dua tahun kebelakangan ini diperiksa penuh teliti.

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah Bil: 169, 11-17 Oktober 2009 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment