Monday, November 1, 2010

Ibadat korban terpesong oleh adat kebiasaan

Bulan Zulhijjah kembali lagi. Bagi umat Islam seluruh dunia, kedatangan bulan ini adalah sinonim dengan sambutan Idul Adha yang jatuh pada hari ke-10.

Sepertimana Idul Fitri atau Hari Raya Puasa disambut mengiringi dua ibadat besar, iaitu puasa Ramadhan dan zakat fitrah, maka Idul Adha atau Hari Raya Haji juga dirayakan bersempena dua ibadat besar dalam Islam, iaitu haji dan korban.

Biar pun di negara kita keghairahan umat Islam menyambut Idul Adha tidak dapat menandingi kemeriahan Idul Fitri, kehadiran Zulhijjah tetap ditunggu. Bagi mereka yang mengerjakan ibadat haji, saat itu menandakan kejayaan amat bermakna menyempurnakan rukun Islam kelima itu.

Bagi ahli keluarga dan sanak-saudara mereka yang menunggu di tanahair pula, kemuncak urusan kerja haji di Mekah adalah penamat kepada penantian yang agak mendebarkan.

Bagi sebilangan yang lain pula, perancangan menyambut kedatangan Idul Adha tertumpu kepada ibadat korban yang bakal dilakukan. Urusan jual-beli binatang ternakan untuk menyempurnakan ibadat itu menyajikan peluang bagi semua pihak terlibat mencari manfaat dan memenuhi hajat masing-masing. Si pemilik atau penjual binatang ternakan mendapat habuan kewangan, manakala si pembeli berpuas hati apabila binatang diperlukan sudah menjadi miliknya.

Keghairahan dan kesungguhan umat Islam menunaikan ibadat korban kini semakin meluas. Namun, sejauh manakah amalan dilakukan itu benar-benar menepati garis panduan ditetap Islam, adalah suatu persoalan yang memerlukan penelitian semula.

Seperkara agak jelas, kebanyakan kita tidak begitu menghiraukan soal syarat sah atau keutamaan disarankan agama. Sebaliknya, kita selesa melakukannya mengikut adat dan kebiasaan yang pernah dilakukan orang-orang tua sebelum kita.

Orang Melayu memang sangat terkenal mementingkan adat dan kebiasaan. Disebabkan terlalu biasa menjadikan adat sebagai panduan dalam melakukan hampir semua perkara dalam hidup, kita kekadang terlajak hingga turut berpegang kepada prinsip sama dalam melaksanakan ibadat.

“Banyak aspek dari ibadat korban ini jika diperhalusi, apa yang menjadi adat pegangan dan amalan biasa masyarakat kita sebenarnya tidak tepat dengan kehendak Islam,” tegas pendakwah bebas, Ustaz Abd. Zaman Bakri Mohamad.

Menurutnya, umat Islam, terutamanya orang-orang Melayu sering menjadikan kebiasaan yang mereka lihat dan warisi daripada ibu bapa atau generasi lebih tua sebagai panduan dalam melakukan sesuatu. Malangnya, kepercayaan mereka bahawa apa yang dilakukan orang terdahulu itu bertepatan dengan agama menyebabkan mereka tidak peduli menilainya kembali berdasarkan ajaran Islam sebenar. Mereka selesa menerima seadanya apa jua yang menjadi kebiasaan dalam masyarakat.

“Salah satu adat tak betul yang saya maksudkan ialah soal membeli lembu (binatang korban). Kita tengok konsep orang dulu, pilih yang harga murah. Itu tak betul. Sedangkan Rasulullah s.a.w. suruh kita cari binatang yang terbaik. Disebutkannya yang jantan, yang bertanduk, maksudnya yang cukup sifat. Bahkan warna pun Rasulullah s.a.w. sebut biar warna merah,” tegas Ustaz Abd. Zaman.

Menghurai lanjut hujahnya itu, ulama muda lulusan Universiti Al-Azhar, Mesir ini menilai saranan Nabi Muhammad s.a.w. itu mengisyaratkan supaya umatnya seboleh-bolehnya mengorbankan binatang yang paling cantik dan sempurna. Baginya, saranan itu sekali gus bererti Baginda s.a.w. lebih gemar umatnya mendapatkan binatang semahal yang boleh bagi mencapai kesempurnaan maksud korban itu sendiri.

“Kita kena perbetulkan konsep ini, bahawa jika ingin berkorban, maka korbanlah yang terbaik yang kita mampu. Jangan berlumba cari yang murah. Dan Allah Ta’ala pula, Dia akan terima korban hambaNya yang ikhlas,” sambung Ustaz Abd. Zaman lagi.

Beliau yang juga Imam Masjid Jamek Kampung Apal, Besut, Terengganu, turut merasa sedih melihat konsep dan kaedah umat Islam mengagihkan daging korban. Menurutnya, berbagai aspek pengagihan itu yang menjadi amalan biasa umat Islam sedikit tersasar daripada kehendak agama.

Contohnya, kaedah pembahagian daging korban yang sepatutnya diasingkan kepada tiga bahagian. Masing-masing satu bahagian untuk kegunaan diri sendiri, satu bahagian untuk diagihkan kepada fakir-miskin, manakala satu lagi untuk kaum kerabat, termasuk jiran dan kawan-kawan.

Berdasarkan pemerhatian beliau, dan kita juga dapat mengakuinya, umat Islam sering mengambil mudah soal pembahagian ini. Begitu juga dalam hal meneliti syarat kelayakan orang yang menerima agihan daging korban.

“Bolehkah orang kaya menerima daging korban? Pada asalnya tak boleh, melainkan jika dia termasuk kaum kerabat, jiran atau kawan. Itu termasuk dalam bahagian tadi. Tetapi itu pun sekadar cukup untuk dimakan hari itu saja. Kita kena ingat, orang kaya terima daging korban tak boleh simpan dan tak boleh juga jual,” hurai Ustaz Abd. Zaman lagi.

Beliau yang banyak memberikan kuliah di sekitar daerah Besut, Setiu dan Pasir Puteh (Kelantan) mengakui masih ramai umat Islam yang gagal memahami syarat yang digariskan Islam dalam hal ini.

Turut disentuhnya ialah kebiasaan sebilangan umat Islam yang lebih gemar memasak daging korban dan menjemput tetamu menjamu selera di rumah mereka. Beliau menegaskan, kebiasaan ini juga suatu yang tidak menepati saranan agama.

“Afdhalnya daging korban ni kita bahagi-bahagikan yang mentah. Ia berlawanan dengan aqiqah, yang lebih afdhal kita jamu yang sudah dimasak. Tapi itulah nampaknya kebiasaan dalam masyarakat kita (memasak daging korban),” luah Ustaz Abd. Zaman dengan nada kesal.

Beliau turut menegur kebiasaan umat Islam yang mengasingkan sebahagian daging korban untuk dijadikan saguhati kepada penyembelih dan petugas melapah daging. Menurutnya, membahagikan daging korban kepada tukang urus adalah haram.

“Begitu juga dalam hal menjual belulang. Orang kita biasanya jual, duit tu ada yang masuk poket tuan punya lembu korban, ada sesetengah tu beri kepada surau, masjid. Kita kena ingat, tak boleh guna duit jual belulang, walau pun untuk surau dan masjid,” tegasnya.

Ustaz Abd. Zaman lalu memetik sebuah hadis sahih dari riyawat al-Hakim, di mana Nabi s.a.w. menegaskan tiada korban (maksudnya tidak ada pahala korban) bagi sesiapa yang menjual kulit (belulang) binatang korbannya.

Baginya, satu-satunya pihak yang layak memanfaatkan belulang itu ialah golongan fakir miskin. Sama ada belulang itu diserahkan kepada mereka untuk dijual, atau sesiapa saja menguruskan penjualannya, kemudian duit hasil jualan itu diserahkan kepada fakir miskin.

Beliau turut menilai secara kritis kecenderungan umat Islam negara ini menganjurkan program korban ke negara-negara umat Islam lain, terutamanya di Mindanao, Kemboja, Pattani dan lain-lain. Secara peribadi, beliau nasihatkan agar pihak yang biasa atau bercadang berbuat demikian kembali menilai keutamaan disarankan agama.

“Cuba kita persoalkan, apakah di sana (negara luar) lebih perlukan daging korban berbanding di sini (dalam negara)? Di negara kita dah tak ada fakir miskin? Lagi pula, apakah bagi umat Islam di negara-negara itu daging lebih diperlukan berbanding duit, jika kita kata atas hasrat nak tolong saudara Islam kita di sana?”, Ustaz Abd. Zaman melontarkan persoalan.

Beliau memetik pandangan mazhab Syafie yang mengatakan ibadat korban di tempat sendiri adalah lebih baik daripada melakukan korban di tempat orang. Bahkan, katanya, sebilangan ulama Syafie berpendapat adalah haram membawa keluar daging korban ke tempat lain selagi ada orang miskin (golongan yang layak menerima korban) di tempat sendiri.

Sebilangan adat dan kebiasaan yang disebutkan Ustaz Abd. Zaman tadi adalah bukti sikap mengambil mudah umat Islam dalam melaksanakan ibadat. Semoga kebiasaan yang mampu memesongkan hasrat sebenar mencari pahala dan redha Allah Ta’ala itu akan dapat diperbetulkan.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah edisi November 2010 dengan tajuk sama di ruangan TOPIK)

BN terbelit oleh isu kempen dicetus sendiri

Biar pun Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin cuba menggambarkan kononnya PAS ketandusan isu dalam menghadapi kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas kini, keadaan yang berlaku di sana adalah sebaliknya.

Beberapa isu dilontar dan cuba dimanipulasi Barisan Nasional (BN) kelihatan tidak membuahkan hasil sepertimana diharapkan. Ia bukan sahaja gagal memburukkan imej dan reputasi PAS selaku peneraju kerajaan negeri, malah kembali menjadi ‘senjata makan tuan’ buat BN.

Seperti diduga, penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu, 26 Oktober, menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Pakatan Rakyat diwakili PAS dengan BN, diwakili Umno. Ia sekali gus memadamkan desas-desus sebelum ini kononnya akan ada calon-calon lain selain mereka.

PAS menamakan Pemangku Yang Dipertua Kawasan Gua Musang, Dr Zulkifli Mohamad sebagai calon, manakala BN mempertaruhkan Setiausaha Umno Bahagian sama, Abdul Aziz Yusof, untuk merampas kerusi berkenaan pada 4 November nanti.

Perang psikologi antara kedua-dua pihak bagaimana pun telah bermula lebih awal. Beberapa isu mula dimainkan jentera kempen masing-masing, terutama sebaik nama-nama bakal calon diumumkan.

Tidak sebagaimana pilihan raya umum, dalam sebuah pilihan raya kecil soal kewibawaan peribadi calon memainkan peranan sangat penting. Sebab itu sedari awal BN meuar-uarkan rekod khidmat masyarakat oleh calonnya di kawasan itu.

Khidmat Abdul Aziz sebagai bekas pegawai penting dalam Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dijadikan sandaran utama. BN membandingkan rekod khidmat itu dengan apa yang dimiliki calon PAS. Ia mendakwa rakyat Galas lebih kenal dan lebih menerima Abdul Aziz berbanding Dr Zulkifli.

Sebagai ‘counter-attack’, PAS menjulang calonnya sebagai lebih berkelayakan. Antara sandarannya ialah kelulusan akademik dimiliki Dr Zulkifli berbanding Abdul Aziz.

BN/Umno menjadi sangat defensif, sehingga mati hujah mempertahankan kelayakan akademik calonnya. Lalu ia mengalih nada dan menuduh PAS tidak adil memainkan soal kelulusan akademik sebagai kriteria utama kelayakan seseorang pemimpin.

Bahkan, sebagai hujah justifikasi pemilihan Abdul Aziz, ada pemimpin BN mengakui bahawa tidak semua pemimpin PAS berkelulusan tinggi, tetapi mereka terbukti boleh menjadi wakil rakyat yang berjaya.

Nah! Bukankah itu suatu kenyataan yang mengakui kesilapan sendiri? BN jangan fikir rakyat negara ini, terutama di Kelantan sudah lupa bagaimana ia begitu galak memanipulasi isu kelayakan akademik calon ketika Pilihan Raya Kecil Dun Manek Urai, tahun lalu.

Oleh kerana di situ kelulusan calonnya lebih tinggi berbanding calon PAS, BN berhabisan memainkan isu tersebut. Di Galas kini, apabila kelulusan akademik calon-calon adalah sebaliknya, BN bagaikan dibelit isu yang pernah dicetuskannya sendiri.

Isu pembangunan turut menjadi bahan utama kempen dan propaganda BN. Telah sekian lama, bahkan setiap masa sejak Kelantan diterajui PAS, ia digambarkan sebagai negeri paling mundur. Pemerintahan PAS didakwa gagal membawa pembangunan menyebabkan negeri itu terkebelakang dari aspek kemajuan berbanding negeri-negeri lain diperintah BN.

Barangkali keghairahan BN memanipulasi isu pembangunan itu melupakannya daripada hakikat bahawa Dun Galas dan keseluruhan Parlimen Gua Musang adalah milik BN secara tradisi. PAS hanya pernah menang sekali di Dun berkenaan, di atas nama Ulu Kelantan Barat, pada 1959, sebelum menang semula pada 2008. Ada pun Parlimen Gua Musang selama ini tidak pernah jatuh ke tangan PAS.

Dengan kuasa dimiliki BN di peringkat Pusat, beserta kuasa autonomi diberikan kepada Kesedar sebagai agensi Persekutuan, parti itu sepatutnya sudah tidak ada alasan dan halangan memajukan kawasan berkenaan. Bukankah jabatan yang menjaga Orang Asli, jabatan yang membina sekolah, hospital dan rangkain telekomunikasi, semuanya di bawah kerajaan Pusat?

Ia tidak lagi boleh menyalahkan PAS. Apatah lagi PAS hanya menguasai Galas dua tahun lalu. Ertinya, jika Galas tidak membangun, tanyalah parti mana yang selama ini menguasai kawasan itu.

Malangnya, hakikat itu gagal difahami BN. Ia berterusan memainkan isu kemunduran kawasan itu.

BN bagaimana pun tersilap lagi. Bagi menggodek sentimen pengundi pedalaman, terutama masyarakat Orang Asli yang bergantung harap kepada hasil hutan dan sumber air dari sungai, BN cuba memainkan isu penerokaan hutan. Kononnya kerja-kerja pembangunan di kawasan hutan menyebabkan kemusnahan ekologi dan sumber hutan. Ia juga dikaitkan sebagai punca pencemaran sungai.

Kerajaan negeri pimpinan PAS dipersalahkan. Ia digambarkan sebagai tidak prihatin terhadap kepentingan hidup Orang Asli, semata-mata kerana mahu membangunkan kawasan hutan.


Disedari atau tidak, dakwaan BN bertujuan memburukkan PAS itu dengan sendirinya menjawab tuduhan yang satu tadi. BN mendakwa air sungai kotor dan tercemar akibat kerja-kerja di hutan yang dilulus dan dilaksanakan kerajaan negeri.

Secara tidak sengaja ia mengakui aktiviti pembangunan sedang rancak berjalan di kawasan itu. Pengakuan itu sendiri mengesahkan bahawa tuduhan BN kononnya Kelantan tiada pembangunan adalah suatu fitnah semata-mata.

Nampaknya BN makin terbelit oleh isu kempen dicetusnya sendiri.

(Artikel Mat Zain Mat Isa ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1585, 1 November 2010 dengan tajuk sama)

Friday, October 29, 2010

‘Sentuhan ajaib’ BN di Galas sudah boleh diduga

oleh: Mat Zain Mat Isa

Sehingga rencana ini ditulis (Isnin), proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas, Kelantan, belum berlangsung. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Oktober sebagai hari penamaan calon, manakala pembuangan undi pada 4 November nanti.

Sama ada ia bakal menyaksikan pertandingan lebih daripada dua penjuru atau tidak, yang pastinya fokus pertarungan akan tetap tertumpu kepada dua kelompok parti utama, iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR).

Bahkan, kedua-dua pihak telah pun mengumumkan calon masing-masing. BN mempertaruhkan Setiausaha Umno Bahagian Gua Musang, Abdul Aziz Yusof, untuk merampas semula kerusi itu. Beliau adalah bekas Pengurus Pejabat Operasi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).

PR pula menyerahkan mandat kepada PAS untuk mempertahankan kerusi dimenangi parti itu dalam pilihan raya umum lalu. Untuk itu, PAS menamakan Pemangku Yang Dipertua Kawasan Gua Musang, Dr Zulkifli Mohamad sebagai calonnya.

Biar pun tempoh sebenar kempen secara rasminya belum bermula, perang psikologi dan gerakerja turun padang antara BN-PR sudah pun berlaku. Ia bukan sekadar melibatkan kerja-kerja perancangan dan penyusunan jentera serta petugas, tetapi telah terzahir menerusi tindakan dan gerakerja di peringkat akar umbi.

Dalam hal itu, BN kelihatan lebih terkedepan menzahirkan sikap tidak sabarnya memulakan kempen. Beberapa perkampungan Orang Asli dikatakan antara lokaliti paling awal dilihat mengibarkan bendera BN. Program jabatan-jabatan juga telah pun bermula. Manakala pengumuman projek mega bernilai jutaan ringgit turut mengisi jadual kempen awal BN.

Bagai diuar-uarkan lebih awal, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hadir ke Gua Musang pada Ahad (24 Oktober). Beliau bukan sahaja mengumumkan calon BN, tetapi turut melancarkan Projek Perumahan Rakyat (PPR) khusus untuk penduduk dalam Dun Galas.

Biar pun BN mendakwa projek bernilai RM180 juta dibiayai Kerajaan Pusat itu bukan didatangkan sebagai projek memancing undi, apa yang pasti ia menjadi titik mula paling menyerlah kepada gerakerja kempen parti itu di Galas.

Apatah lagi hakikat itu agak jelas terzahir dari ucapan Muhyiddin ketika mengumumkan projek berkenaan. Beliau tanpa selindung mengaitkan pelaksanaannya dengan keprihatinan BN terhadap keperluan penduduk. Di masa sama, beliau mengambil kesempatan melemparkan gambaran buruk terhadap kerajaan negeri dipimpin PAS, kononnya gagal memenuhi keperluan hidup rakyat.

Kenyataan itu sendiri membuktikan bahawa projek dilancarkan itu tidak boleh dipisahkan dengan agenda politik BN. Lebih-lebih lagi bagi menghadapi pilihan raya kecil yang sdeang berlangsung kini.

Sebab itu Muhyiddin tanpa selindung menegaskan, mengambil kira BN begitu bersungguh membela nasib rakyat, maka adalah tidak keterlaluan untuk beliau meminta rakyat terus memberi sokongan kepada partinya pada pilihan raya kecil Galas nanti.

“Saya berharap jentera Pemuda, Wanita, Puteri turun padang menemui lebih 11,000 pengundi kerana sudah ada yang menunggu sentuhan ajaib BN,” media pada Isnin memeti kata Muhyiddin.

Apa agaknya ‘sentuhan ajaib’ yang bakal digunapakai BN di Galas? Menilai pengalaman berdepan parti itu dalam beberapa siri pilihan raya sebelum ini, ia bukan lagi suatu yang terlalu sukar ditelah. BN dijangka akan terus menggunakan taktik dan strategi yang selama ini memberikan jaminan kejayaan kepadanya.

Antara yang sering dijadikan ‘sentuhan ajaib’ BN ialah penggunaan jentera kerajaan, media dan wang, atau apa yang sering diistilahkan sebagai 3M (merujuk kepada Missionaries, Media and Money).

Setakat ini jentera kerajaan telah dikerah turun padang dan dipaksa menyusun atur program mendekatkan pengundi dengan BN. Keadaan itu dijangka lebih dipergiatkan lagi dalam seminggu mendatang.

Wang rakyat, terutama yang dimiliki kerajaan Pusat juga telah mula disalurkan ke Galas menerusi berbagai projek dan gerakerja, untuk kepentingan politik BN. Tidak mustahil selepas ini wang itu akan diturunkan dalam bentuk lebih ‘berketul’.

Manakala media massa dan elektronik talibarut BN semakin galak memanipulasi apa jua isu yang dirasakan boleh memberikan gambaran buruk terhadap PAS dan di masa sama mendatangkan keuntungan kepada BN.

Calon PAS siang-siang lagi menjadi sasaran fitnah media siber milik Umno. Media cetak arus perdana pula saban hari menyiarkan sorotan kehidupan masyarakat di sekitar Galas. Orang Asli dikatakan tidak berpuas hati terhadap kerajaan negeri, termasuk apabila kawasan mereka dibangunkan dengan berbagai projek pertanian.

Sentimen penduduk pedalaman itu sengaja diapi-apikan untuk membenci kerajaan PAS. Sehinggakan segala yang dibuat demi memajukan negeri sengaja digambarkan sebagai mendatangkan kesan negatif kepada penduduk.

Bahkan, usaha menghulurkan bantuan kepada penduduk Cina juga diputarbelit media talibarut BN. Kononnya penggunaan beg plastik berlogo bulan adalah sesuatu yang tidak dapat diterima penduduk. Ia digambarkan seolah-olah perkara serupa tidak pernah dilakukan BN.

Mengenali tabiat BN sejak dulu, sepatutnya 11,553 pengundi di Galas sudah dapat menduga ‘sentuhan ajaib’ yang akan terus diperturunkan BN.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1584, 29 Oktober 2010 di ruangan 'kolumnis', F22 dengan tajuk sama)

Monday, October 25, 2010

Tak mesra pelabur, Mustafa jangan mengata dulang

oleh: Mat Zain Mat Isa

Negeri Kelantan dibidas lagi. Ia didakwa gagal mewujudkan persekitaran mesra pelabur, sekali gus membantutkan perkembangan ekonomi lebih positif. Kononnya kerajaan negeri ditadbir PAS itu mengabaikan prasarana penting diperlukan para pemodal mempertingkatkan operasi mereka.

Dalam kenyataan terbarunya minggu lalu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustafa Mohamed, merujuk secara spesifik kes yang dikatakan berlaku di kawasan perindustrian Pengkalan Chepa, dekat Kota Bharu.

Beliau mendakwa menerima aduan daripada sebuah syarikat besar yang beroperasi di kawasan berkenaan yang sehingga kini belum mendapat sebarang keputusan untuk memiliki tanah bagi membolehkannya menaik taraf kilangnya.

“MITI meminta kerajaan negeri terutama agensinya supaya bersungguh-sungguh menarik pelabur asing bertapak di negeri ini dengan menyediakan kemudahan prasarana terbaik kepada pihak berkenaan termasuk memudahkan pemilikan tanah,” akhbar pada Selasa (19 Oktober) memetik katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri perlu memberi perhatian serius terhadap keperluan pelabur kerana sekiranya gagal menyediakan prasarana seperti tanah, mereka mungkin memindahkan operasi ke negeri lain sekali gus akan merugikan negeri serta rakyat.

Sepintas lalu, kenyataan itu menggambarkan kesungguhan menteri yang juga anak kelahiran Kelantan itu melihat kemajuan negerinya. Sejauh manakah kebenaran permasalahan didakwanya itu mungkin elok diperjelaskan kerajaan negeri, terutama kepada pihak syarikat dimaksudkan itu.

Bagaimana pun, kita tidak sukar mengakui bahawa ia satu lagi kenyataan dibayangi manipulasi politik kepartian yang sangat tebal. Ia wajar dibaca beriringan dengan beberapa fakta politik dan perkembangan ekonomi negara.

Jangan lupa hakikat bahawa Mustafa adalah Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, parti yang menjadi pembangkang di negeri itu sejak dua dekad lalu. Selaku ketua sebuah pasukan yang sudah kehabisan daya usaha berhempas pulas merampas negeri daripada PAS, apakah sayugia kita mengharapkan kenyataan muluk dan ikhlas terhadap kerajaan Kelantan daripada beliau?

Lagi pun ini bukan kali pertama dakwaan sebegitu dilontarkan para pemimpin Barisan Nasional (BN) terhadap kerajaan pimpinan PAS itu.

Kenyatan itu juga tidak boleh dibaca secara terpisah dengan perkembangan politik semasa. Kelantan bakal menghadapi satu pilihan raya kecil di Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas, Gua Musang, minggu depan. Sebagai makhluk politik, apakah tidak ada kemungkinan Mustafa berharap kenyataannya itu sedikit sebanyak mendedahkan kelemahan PAS mentadbir negeri, sekali gus memulihkan kepercayaan rakyat kepada partinya, BN?

Dalam skop lebih luas, kenyataan Mustafa itu bagaimana pun ibarat satu eskapisme dari permasalahan lebih teruk dialami negara. Menteri itu seakan mahu menutup malunya sendiri atas kemerosotan pelaburan diterima negara. Lalu ia mahu mengalih perhatian umum kepada masalah pelaburan dialami kerajaan dipimpin pembangkang.

Malaysia dilaporkan mengalami kejatuhan yang sangat ketara dalam sektor pelaburan asing. Ia menyusut sebanyak 80 peratus. Negara menerima pelaburan asing sebanyak RM23 bilion pada 2008, tetapi merosot kepada hanya RM4.4 bilion pada 2009.

Selain tidak mampu menarik pelabur asing, negara kita juga gagal meyakinkan rakyatnya sendiri untuk terus menanam modal dalam negara. Tidak sedikit pemodal tempatan dikatakan mengalihkan pelaburan mereka ke luar negara. Ada yang telah bertahun menjalankan perniagaan di dalam negara, kini memindahkan operasi mereka ke negara lain.

Kilang ditutup, perniagaan mereka dibungkus, para pekerja diberhentikan. Selaku menteri bertanggungjawab secara langsung menarik pelaburan asing dan merancakkan sektor industri negara, bagaimanakah Mustapa mahu menerangkan sebab-musabab keadaan itu berlaku?

Apakah Ahli Parlimen Jeli itu mahu menafikan ia juga ada kaitan sedikit sebanyak dengan soal ‘tidak mesra pelabur’? Dengan keadaan dialami negara itu, menteri berkenaan tidak sepatutnya masih selesa untuk sekadar melihat kelemahan berlaku di negeri diperintah parti lawan.

Ibarat kata pepatah, mengata dulang paku serpih. Seronok mengata kepada Kelantan, sedangkan prestasi pelaburan negara di bawah jagaan kementeriannya sendiri menerima nasib lebih teruk.

Suasana mesra tidak semata-mata berdasarkan layanan, taraf istimewa dan lain-lain keutamaan diberikan kerajaan kepada pelabur. Ia juga berhubung kait dengan perkembangan politik, kestabilan ekonomi dan keselamatan sosial.

Statistik rompakan, jenayah dan tahap keselamatan yang meragukan juga menjadi ukuran yang diambilkira pemodal. Indeks rasuah negara yang tidak menampakkan langkah konkrit ke arah memperbaikinya juga membunuh keyakinan pelabur. Kita percaya suasana sosio-ekonomi tidak kondusif ini menghalau pelabur dari terus menanam modal di negara kita.

Mahu tidak mahu, perlu diakui bahawa kemerosotan jumlah pelaburan asing diterima negara adalah berpunca suasana tidak mesra. Justeru, apa rasional Mustapa selaku menteri bertanggungjawab berkaitan perkara itu mahu menuding jari kepada sebuah negeri juzuk kecil sebuah Persekutuan?

Apa pula dibuat kementeriannya membantu menarik pelabur ke negerinya itu?

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1583, 25 Oktober 2010 dengan tajuk sama)

Umno punca kebobrokan sosio-ekonomi Melayu

oleh: Mohd Nasir Awang

Andai ada hanya satu pihak yang layak dipertanggungjawabkan di atas keterbelakangan bangsa Melayu dalam hampir segenap bidang kehidupan berbanding bangsa-bangsa lain di negara ini, maka tidak syak lagi pihak yang satu-satunya itu ialah Umno.

Banyak sebab boleh menyokong kesimpulan itu. Antaranya, Umno sering mendakwa hanya ia parti yang memperjuangkan hak dan kepentingan bangsa Melayu di negara ini. Kononnya perjuangan memartabatkan agenda Melayu hanya sah dan diperakui benar sekiranya ia dilakukan Umno atau mana-mana pihak yang diiktiraf Umno.

Bahawa sebarang perkara bernama, bersifat atau berbau Melayu tidak akan lengkap atau sah sekiranya tidak melibatkan Umno. Parti itu digemariuhkan sebagai satu-satunya wadah Melayu. Para pendokongnya pula hanyalah Melayu dan tidak ada yang tidak Melayu, melainkan semuanya Melayu sahaja.

Ertinya Melayu dan Umno tidak boleh dipisahkan. Ia bagaikan dua perkataan yang sinonim, seolah-olah tidak wujud satu antara mereka tanpa yang satu lagi. Jatuh Umno, maka rebahlah Melayu. Hilang Melayu, lenyaplah Umno.

Itulah persepsi dan norma yang sejak sekian lama cuba ditanam Umno dalam minda masyarakat negara ini, terutama di kalangan orang-orang Melayu sendiri.

Lalu sejak sekian lama sebarang kejayaan dicapai bangsa Melayu dibahasakan sebagai hasil usaha gigih Umno memperjuangkannya. Maka bagaimana pula kegagalan Melayu dianggap tidak ada kena-mengena dengan Umno?

Kedua, selaku satu-satunya parti yang menerajui kuasa pemerintahan negara sejak dulu hingga kini, Umno ada peluang tersangat luas mencapai apa dimahukannya. Parti itu ada kesempatan amat banyak memanfaatkan kuasa dan kemudahan yang ada di sisinya untuk menjamin bangsa Melayu berada di hadapan bangsa lain dalam semua hal.

Tidak dinafikan Umno banyak membentangkan agenda memartabat bangsa Melayu, sama ada di bidang ekonomi, sosial, politik dan lain-lain. Malangnya, apa yang dicapai amat jauh dari sasaran diharapkan.

Satu-satunya kejayaan Umno ialah menguasai teraju politik negara. Malangnya, kejuaraan itu terpaksa dirayakan seiringan dengan “kejuaraan” sosio-ekonomi bangsa.

Selepas lebih 50 tahun Umno menjadi tuan politik negara, Melayu muncul juara penyalahgunaan dadah. Jumlah penagihnya dari tahun ke tahun bukan sahaja gagal dikurangkan, sebaliknya semakin meningkat.

Melayu juga juara buang anak. Semua tempat berpotensi menjadi lokasi pembuangan bayi. Dalam tong sampah, di tepi jalan, di atas pagar, dalam longkang, dalam mangkuk tandas atau tangki najis.

Di kalangan yang hidup pula, jumlah Melayu yang tidak berbapa semakin melonjak dan mungkin telah mengatasi jumlah Melayu tidak berumah.

Melayu juga juara samseng jalanan. Hampir tidak ada bangsa lain menjadi mat rempit, berlepak di kompleks beli-belah atau berpeleseran di tempat-tempat awam.

Melayu semakin rosak akhlak dan hilang jatidiri. Agenda pembinaan insan tajaan Umno yang mengutamakan budaya hedonisme dan gaya hidup bebas tidak membantu memperbaiki keadaan ini.

Di sektor ekonomi pula, Melayu gagal bersaing dengan bangsa lain. Umno memanjakan korporat dan usahawan Melayu dengan ‘payung’ dan ‘tongkat’.

Peniaga Melayu tidak mampu berdikari, berterusan bergantung harap kepada bantuan kerajaan. Rakyat kebanyakan pula diprogramkan Umno dengan mentaliti subsidi.

Maka lahirlah bangsa yang tidak berdaya saing merebut peluang berkerjaya. Setiap kali apabila meritokrasi diutamakan, Melayu akan tersisih berbanding Cina atau India. Melayu tidak kompeten dan gagal mendapat kepercayaan. Peratusan Melayu sering tercorot dalam senarai profesional pelbagai bidang.

Sebab itu setiap kali berlangsungnya Perhimpunan Agung Umno, berkumandang lagu-lagu pilu nasib bangsa Melayu yang masih terkebelakang. Ia diiringi rayuan agar mereka terus dibela dan diangkat pencapaian ekonomi. Bukankah suara sebegitu kedengaran lagi beberapa hari lalu?

Sungguh muka tak malu, para pemimpin Umno seakan tak ada maruah dan harga diri terus mengemis simpati untuk bangsanya, walau sudah separuh abad mereka di tampuk kuasa.

Minda Melayu ikut dikongkong. Bandingkan saja tahap kebebasan berfikir diamalkan penguasa media berbahasa Cina atau Inggeris dengan kesempitan minda peneraju media arus perdana berbahasa Melayu. Terbukti media Melayu jauh lebih mundur dan terkebelakang dari segi garapan dan keberanian menyatakan kebenaran berbanding media-media bukan Melayu.

Natijahnya, bangsa Melayu hanya terdedah kepada maklumat separa benar atau sudah ditapis. Rakyat tidak didedahkan kepada maklumat tepat, terutama dalam perkara yang dianggap boleh merugikan Umno.

Akibatnya, kebebasan orang Melayu berfikir juga terbantut. Melayu menjadi bangsa yang tidak kritis atau sukar menghasilkan pandangan kedua.

Akhirnya jadilah Melayu sebagai bangsa yang bukan sahaja terkebelakang dalam aspek ekonomi, paling bobrok akhlak dan sosial, malah juga paling mundur tahap mindanya.

Rakyat telah memberi peluang dan meletakkan harapan ke bahu Umno selama lebih separuh abad untuk memperbaiki kepincangan sosial dan mempertingkatkan tahap pencapaian ekonomi Melayu. Justeru, mengapa teragak-agak menyalahkan Umno dengan kebobrokan menimpa Melayu kini?

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1583, 25 Oktober 2010 di ruangan 'kolumnis', F5 dengan tajuk sama)

Friday, October 22, 2010

Lagi ‘bukan projek segera’ muncul di Galas

oleh: Mat Zain Mat Isa

Tidak ramai yang terfikir untuk mengaitkan Perhimpunan Raksasa Persatuan Bekas Tentera Malaysia di Stadium Putra, Bukit Jalil, pada 10 Oktober lalu dengan apa yang bakal dimanfaatkan Barisan Nasional (BN) daripada anggota perhimpunan itu untuk kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas, minggu depan.

Namun apabila Pengarah Pilihan Raya BN bagi Galas, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) pada Ahad (17 Oktober) lalu meminta 700 bekas tentera yang bakal mengundi di situ agar memberikan undi kepada calon BN pada 4 November nanti, ingatan kita segera kembali semula ke perhimpunan tadi.

Sekurang-kurangnya teka-teki mengapa Perdana Menteri begitu bermurah hati mengumumkan kenaikan bayaran khairat kematian bekas anggota tentera daripada RM500 kepada RM3000 kini bagaikan terjawab.

Mungkin ada yang akan menganggap ia kebetulan. Perhimpunan di Bukit Jalil itu barangkali telah lama dirancang dan tidak ada kena-mengena dengan pilihan raya kecil di Galas, walau pun ia berlangsung selepas kematian Adun kawasan itu. Lalu apa juga yang diberikan kerajaan di perhimpunan itu tidak wajar dianggap sebagai strategi pilihan raya.

Sama lah juga apabila tiba-tiba harga getah SMR 20 meningkat kepada RM12.02 sekilogram pada 13 Oktober lalu. Ia diakui paras tertinggi dalam sejarah industri getah negara dan bakal melonjakkan pendapatan pekebun kecil sehingga RM3,000 sebulan.

Sekali lagi kita mungkin terpaksa menerima hakikat bahawa ia hanyalah kebetulan dan tidak ada kena-mengena dengan strategi BN memenangi ribuan pengundi Dun Galas yang terlibat dengan industri getah.

Namun, apakah kebetulan juga apabila seorang pemimpin politik BN, yang tidak ada apa-apa jawatan dalam kabinet atau agensi kerajaan, tiba-tiba mengumumkan projek perumahan bernilai ratusan juta ringgit untuk penduduk Galas? Apakah ia juga ‘bukan projek segera’, walau pun satu-satunya jawatan penting pemimpin itu ketika ini ialah sebagai pengarah pilihan raya BN di kawasan itu?

“Ada keperluan rakyat yang lama kita tunaikan, mungkin projek yang sudah dalam perancangan, keperluan yang mungkin sudah berpuluh tahun,” demikian reaksi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Seri Mustapa Mohamed, sepertimana dipetik media pada Isnin (18 Oktober).

Beliau mengulas pembinaan projek perumahan rakyat bernilai RM300 juta untuk penduduk Gua Musang, yang diumumkan Ku Li sehari sebelumnya. Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan itu dengan tegas menafikan BN melaksanakan ‘projek segera’ dan seolah-olah mahu ia dianggap satu lagi ‘kebetulan’.

Itulah hebatnya BN. Ia memang sangat pakar mencipta ‘kebetulan’. Setiap kali berlakunya pilihan raya kecil, akan berlonggok-longgok perancangan dan program dibawa ke kawasan terbabit, dalam usaha amat jelas untuk memancing sokongan pengundi.

Turut membantu kejayaan BN mencipta ‘kebetulan itu ialah keupayaan para pemimpinnya menebal muka berdepan rakyat. Biar pun sudah bertahun tidak menjengah rakyat, mereka tiba-tiba menjadi begitu prihatin untuk turun padang. Ketika inilah hampir tiada ceruk kampung dalam kawasan pilihan raya yang tidak dikunjungi. Tiada rumah yang tidak dijejaki dan tiada penduduk yang tidak disapa.

Biar pun BN tahu ia satu hipokrasi dan perbuatan itu amat dikeji masyarakat, para pemimpin ada kehebatan lain yang membantu mereka mengatasi perasaan malu itu. Mereka ada telinga yang pekak badak dan tahan menerima apa juga cemuhan masyarakat atas mainan politik murahan sebegitu.

Hujah klise yang sering mengiringi kehadiran para menteri dan anggota kabinet menyempurnakan program atau projek segera itu ialah kononnya ia sudah lama dirancang. Dibantu pelbagai saluran media dan alat propanganda dikuasainya, BN agak mudah mencorakkan persepsi dalam masyarakat.

Justeru, tidak menghairankan masih ada kalangan rakyat yang boleh menerima penjelasan BN bahawa segala yang didatangkan parti itu sewaktu berlangsungnya pilihan raya ‘bukan projek segera’ dan bukan dibuat semata-mata sebagai kempen memancing undi.

Itulah sebenarnya kemuncak kehebatan BN. Ia ada kemampuan luar biasa menghipnotis minda rakyat sehingga melihat apa juga didakwa parti itu sebagai benar. Dalam keadaan minda terjajah begitu, BN agak selesa mengulangi hujah basi itu di setiap kali berlakunya pilihan raya.

Berbekalkan sikap hipokrit itu, beberapa kementerian akan segera mengadakan program masing-masing, terutama yang ada hubungkait dengan kepentingan dan keperluan hidup pengundi di kawasan pilihan raya. Ada juga pemimpin yang turun untuk sekadar mengumumkan sesuatu projek besar yang bakal diadakan BN untuk kemanfaatan rakyat setempat.

Fenomena serupa nampaknya semakin terzahir kembali menjelang berlangsungnya Pilihan Raya Kecil Dun Galas, Kelantan, 4 November akan datang. Belum pun berlangsung penamaan calon yang dijadualkan pada 26 Oktober nanti, para pemimpin utama BN dari peringkat Pusat sudah silih-berganti datang ke daerah Hulu Kelantan itu.

Dalam tempoh dua minggu mendatang ini dijangkakan semakin ramai pemimpin atasan datang dan semakin banyak progam-program secara ‘kebetulan’ itu bakal berlangsung di Galas. Bagi mengalu-alukan kehadiran mereka, wajar kita ucapkan “Selamat Berbohong” untuk para pemimpin BN!

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1582, 22 Oktober 2010 di ruangan 'kolumnis', F21 dengan tajuk sama)

Monday, October 18, 2010

Kuota kerusi, Umno ambil kesempatan kelemahan rakan

oleh: Mat Zain Mat Isa

Agak kerap parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) terjebak ke dalam pertikaian dalaman kebelakangan ini. Ada ketika masing-masing terpaksa berhempas pulas menangani krisis sesama anggota parti. Di ketika lain pula terdengar kritikan dan asakan dari parti rakan yang mempersoalkan prestasi mereka.

Suasana itu pernah tidak padam, sekejap kendur kemudian tegang kembali. Tumpuan media arus perdana talibarut BN pula ada ketikanya terpaksa beralih arah daripada kebiasaan menghentam dan mendedahkan kelemahan pembangkang kepada membicarakan perkembangan panas dalam rumah tangga BN sendiri.

Segalanya ekoran prestasi buruk sebilangan besar parti komponen BN dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12), lebih dua tahun lalu. Kegagalan parti pemerintah itu memperolehi majoriti dua pertiga di Parlimen dan kehilangan beberapa kerajaan negeri kepada pembangkang meletakkan BN dalam keadaan amat goyah.

Ia turut memberi kesan amat ketara kepada hubungan dan setiakawan di kalangan komponen BN sendiri. Masing-masing saling menyalahkan antara sesama mereka di atas prestasi paling buruk parti penguasa negara itu.

Hampir semua parti utama BN dilanda krisis. Kekusutan dalaman Parti Progresif Penduduk (PPP) menyebabkan seorang pemimpin utamanya yang juga anggota Kabinet tersisih keluar.

MCA juga dilanda krisis kepimpinan dan terpaksa berhempas pulas lebih setahun menyelesaikannya. Pertembungan antara dua pemimpin utamanya berakhir dengan satu ‘turnover’ politik yang agak di luar dugaan.

PRU-12 juga menyaksikan MIC mula hilang bisanya. Masyarakat India secara terbuka menolak parti itu dan mengecam kepimpinannya. Ia kalah di enam kerusi Parlimen dan 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) ditandinginya.

Berikutan itu, MIC berdepan kecaman hebat dari pelbagai peringkat BN. Prestasi buruk parti itu dikatakan antara punca BN gagal memperolehi majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Sementara MIC terpaksa menerima kemunculan parti baru kaum India ekoran kegagalannya memulihkan sokongan kaum itu terhadap BN, Umno pula menghadapi pergeseran dalaman yang makin menebal terutama di beberapa negeri.

Namun parti yang menghadapi kemerosotan imej paling teruk dalam sejarah kewujudannya tentulah parti Gerakan. Ia bukan sahaja terlepas genggaman ke atas kerajaan Pulau Pinang, satu-satunya negeri yang diterajuinya sejak 1969, tetapi turut dikuburkan tanpa nesan di situ. Kesemua calonnya yang bertanding di 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan empat kerusi Parlimen di negeri itu tewas.

Tidak lama selepas kekalahan memalukan itu, seorang bekas pemimpin kanan Gerakan meninggalkan parti untuk menerima tawaran berkhidmat kepada kerajaan negeri pimpinan DAP.

Seorang lagi bekas pemimpin kanan parti itu bersama ratusan pengikutnya kemudiannya mengisytiharkan menyertai Parti Cinta Malaysia (PCM), sebuah parti baru berasaskan kaum Cina.

Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dikecam ahlinya sendiri kerana gagal memperbaiki imej parti. Kemuncak perasaan kecewa itu terserlah dua minggu lalu apabila Penasihat Gerakan, Tun Dr Lim Keng Yaik berhasrat melepaskan jawatan itu lantaran putus harapan dengan kepimpinan penggantinya itu.

Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Dato’ Dr Teng Hock Nan juga didesak berundur, sehingga membawa parti itu kepada mesyuarat agung khas memutuskan perkara tersebut, minggu lalu.

Setiap parti komponen BN mengikuti perkembangan rakan-rakan dengan penuh teliti. Namun parti paling bertuah di kalangan mereka sudah tentunya Umno. Selaku parti paling berjaya berdasarkan jumlah kerusi yang mampu dipertahankannya dalam pilihan raya lalu, Umno lebih lantang menentukan hala tuju dan mencatur langkah BN seterusnya.

Di atas alasan memantapkan prestasi BN terutama untuk memulihkan kedudukannya dalam pilihan raya umum nanti, apa juga yang dicadang dan dilaksanakan Umno seakan dipaksa diterima oleh rakan-rakan lain dalam BN.

Sebelum ini Umno Pulau Pinang tergamak menuntut jawatan Pengerusi BN negeri yang diperuntukkan kepada Gerakan diserahkan kepadanya, demi kebaikan BN. Permintaan itu dianggap wajar memandangkan Umno Pulau Pinang mempunyai 11 Adun dan dua Ahli Parlimen berbanding parti komponen lain yang tidak ada wakil rakyat di negeri itu.

Isu itu ditolak keras oleh Gerakan. Ia reda, namun tidak begitu lama Umno bersuara lagi. Ia menuntut sebahagian kerusi ditandingi Gerakan diagihkan kepada parti komponen BN lain.

Cadangan ini disuarakan Timbalan Pengerusi Umno Pulau Pinang, Dato’ Zainal Abidin Osman, bulan lalu. Minggu lalu ia kedengaran semula dari pemimpin lebih tinggi. Naib Presiden Umno, Dato’ Seri Hishammuddin Hussein, dalam konteks lebih umum melontarkan pandangan agar pengagihan kerusi di kalangan parti komponen BN dikaji semula, juga demi kebaikan BN.

Mengambilkira prestasi setiap parti dalam BN, sudah tentu cadangan Umno itu tidak bermaksud memberi laluan kepada parti lain bertanding di kerusi dimilikinya. Sebaliknya, parti itu tidak mustahil cuba menggambarkan ia parti diterima sebagai wakil semua kaum dan layak bertanding di mana-mana kerusi pun di negara ini.

Lebih-lebih lagi di kerusi yang menyaksikan rakan-rakannya ditolak rakyat. Apakah Umno menuju penguasaan mutlak dalam BN?

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1581, 18 Oktober 2010 dengan tajuk sama)