Sunday, January 4, 2009

PAS perlu pertingkat ketahanan tepis saraf musuh


“Perang psikologi PRK Kuala Terengganu telah bermula”

Oleh: Anuwa Jamalullail

MESKI PUN penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu hanya akan berlangsung 6 Januari nanti, bahang pilihan raya itu sudah semakin terasa. Selain mempersiapkan jentera dan logistik diperlukan sepanjang kempen, kedua-dua pihak juga telah mula melancarkan perang psikologi terhadap parti lawan.

Proses penentuan calon bagi kedua-dua pihak menjadi medan paling awal perang tersebut. Sepertimana lazimnya, perebutan menjadi calon di kalangan pemimpin Barisan Nasional (BN) bukan suatu yang di luar dugaan.

Teka-teki itu bagaimana pun dianggap selesai 20 Disember lalu. BN menamakan Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai bakal calonnya.

Namun, Umno Terengganu didakwa tidak bulat dalam menerima keputusan itu. Proses penentuan calon itu dikatakan dibuat sepenuhnya oleh Umno bahagian itu. Cadangan nama calon dikatakan diajukan terus kepada pimpinan tertinggi parti tanpa melalui Umno negeri.

Proses penentuan calon di pihak PAS juga dimanipulasi BN. Parti itu dikatakan gagal mencapai kata sepakat apabila agak lewat mengumumkan bakal calonnya berbanding BN.

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam beberapa kenyataannya kepada media sebelum itu berulangkali mencadangkan agar Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu dipilih semula sebagai calon. Mohamad adalah bekas calon PAS dalam pilihan raya Mac lalu dan kalah dengan majoriti hanya 628 undi.

Kekalahan tipis itu disimpulkan atas faktor beliau ‘orang luar’. Kononnya pengundi Kuala Terengganu tidak suka berwakil rakyatkan bukan anak tempatan. Terpengaruh dengan dakwaan itu, ada kalangan pimpinan PAS Terengganu sendiri menolak nama Mohamad dipertimbangkan sebagai calon kali ini.

Sehingga rencana ini ditulis, nama bakal calon PAS belum diumumkan. Siapa pun yang dipilih, wajar diakui proses penentuannya telah dibauri sentimen kenegerian yang tidak sihat itu. Apakah PAS Terengganu sendiri sedar bahawa isu ‘orang luar’ itu sebenarnya saraf dicetuskan parti lawannya?

Isu itu mula timbul Mac lalu. Keghairahan kempen jentera PAS di kawasan berkenaan dikatakan terbantut apabila ada pengundi yang meluahkan secara terbuka tidak bersedia memberikan undi kepada ‘orang luar’ (Mohamad).

Soalnya, apakah penolakan itu timbul dari sentimen kedaerahan para pengundi sendiri, atau sebenarnya diapi-apikan pihak lain? Akuilah ia sebenarnya saraf musuh PAS, sama ada yang bergerak atas nama BN atau berselindung di sebalik calon Bebas.

Buktinya, tiupan sentimen tidak sihat itu telah menghasilkan undi protes terhadap calon PAS di kerusi parlimen. Beza jumlah undi diperolehi calon parti itu di keempat-empat kerusi Dun berbanding undi diperolehi Mohamad agak ketara.

Soalnya, apakah undi lari itu semata-mata kerana tidak berkenan kepada Mohamad? Apakah tidak mungkin ia kerana simpati kepada nenek yang menjadi calon Bebas itu? Atau kerana BN lebih berjaya memanipulasi kelebihan peribadi calonnya berbanding PAS?

Dalam keadaan PAS sudah cukup pengalaman berhadapan taktik dan strategi jahat BN, parti itu tidak sepatutnya menzahirkan ‘kelemahannya’ menepis serangan musuh. BN bernasib baik pada Mac lalu kerana Mohamad ‘orang luar’. Isu itu dimanfaatkannya untuk mencuri undi PAS.

Namun jangan lupa fenomena sama sebenarnya telah berlaku terhadap calon PAS di kerusi sama pada 2004 lalu. Dr Syed Azman Syed Nawawi kalah dengan majoriti 1,933 undi kepada Allahyarham Datuk Razali Ismail. Sedangkan jika dijumlahkan undi-undi peringkat Dun, beza majoriti kemenangan BN hanya 625 undi.

Undi diperolehi Syed Azman kurang 689 berbanding undi calon-calon PAS di empat Dun. Jika tidak kerana undi yang lari itu, Syed Azman sepatutnya kalah hanya dengan 625 undi, bukannya 1,933 undi.

Maka perlu diterima hakikat bahawa undi lari dalam kes Mohamad, Mac lalu juga bukan semata-mata kerana dia ‘orang luar’. Fenomena serupa telah dialami Syed Azman empat tahun lalu, sedangkan dia anak tempatan.

BN memang pakar dalam kerja saraf. Ia akan mengkaji segenap sudut kelemahan PAS dan memanipulasinya untuk menagih undi simpati. Kali ini PAS dijangka memilih seorang anak tempatan. Maka isu ‘orang luar’ tidak akan kedengaran lagi. Namun jangan merendah keupayaan BN tampil dengan isu lain pula.

Contohnya, BN kali ini cuba menonjolkan seolah-olah ia tidak mengutamakan isu memburukkan peribadi. Sedangkan Mohamad diganyang Mac lalu atas faktor peribadinya yang bukan anak tempatan.

Sebab itu, apabila Presiden PAS menyebut partinya akan menampilkan seorang calon lebih layak daripada calon BN, Wan Farid menjawab secara rendah diri. Katanya, dia tiada hak menentukan siapa paling layak. Biarlah rakyat selaku pengundi yang menentukannya.

Meski pun ringkas, jawaban itu mungkin dipanjangkan kepada satu isu besar dan berkesan. Saraf BN mungkin memanfaatkan kenyataan kedua-dua pemimpin itu sebagai membandingkan tahap rendah diri pemimpin kedua-dua parti.

Perkara ini tidak akan dipertuturkan secara terbuka, tetapi akan dibisikkan ke telinga pengundi, terutama ketika menagih undi simpati pengundi ‘atas pagar’. Dalam pertarungan yang diakui ‘50-50’, undi golongan ‘atas pagar’ adalah penentu.

Tindakan Wan Farid secara terbuka mengumumkan akan meletakkan jawatan sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri dan senator pada 5 Januari juga satu lagi modal bakal dimanipulasi BN.

Media telah pun menonjolkan beliau sebagai seorang pemimpin yang sanggup berkorban demi parti dengan mengenepikan kepentingan diri. Sentimen masyarakat Melayu yang mudah bersimpati dengan orang yang sanggup berkorban dan rela ‘hilang’ pekerjaan akan dieksploitasi secara sangat halus.

Soal pengalaman dan jasa bakti sebelum ini juga telah dibangkitkan. Sebagai timbalan menteri dan sebelumnya setiausaha politik kepada menteri, kelebihan tentu memihak kepada Wan Farid dalam soal menyantuni kebajikan dan keperluan rakyat. Apatah lagi beliau adalah pemimpin parti yang memerintah negeri dan sering muncul dalam majlis-majlis rasmi kerajaan.

Apa yang jelas BN cuba mengeksploitasi kelebihan peribadi calonnya. Meski pun ia bukan serangan peribadi terhadap calon lawan, tetapi ia turut menjadi saraf halus BN apabila pengundi diminta membandingkan kelebihan itu dengan calon dikemukakan PAS. Kesannya akan lebih terasa sekiranya PAS mengemukakan seorang calon yang ‘fresh’, kurang dikenali dan tidak ada pengalaman terlibat dengan politik setempat.

Apa pun kemungkinannya, PAS perlu sentiasa bersedia dengan hujah dan tawaran alternatif bagi memaut keyakinan pengundi. Jangan terlalu terbawa-bawa dengan isu dimainkan musuh. Belajarlah dari pengalaman lalu dan pertingkatkanlah ketahanan parti dalam menepis saraf BN.

(Artikel ini disiarkan akhbar Mingguan Wasilah, 04 Januari 2009 dengan tajuk sama)

Thursday, January 1, 2009

PPSMI satu lagi bukti ‘double standard’ penguasa politik Melayu


Oleh: Mohd Nasir Awang

AGAK ironis reaksi dan pendirian para pemimpin politik Melayu, khususnya kalangan parti pemerintah negara, dalam mempertahankan kedaulatan beberapa hak dan keistimewaan milik bangsa Melayu sendiri mutakhir ini.

Yang dikatakan ironisnya, di suatu ketika mereka memproklamir diri pejuang Melayu. Di masa lain mereka juga menjuarai pencabulan ke atas hak dan keistimewaan bangsa mereka.

Selalunya pantang ada mana-mana pihak yang menyuara atau melakukan apa-apa tindakan yang dinilai menghakis sesuatu hak Melayu, para pemimpin parti pemerintah akan berada di barisan paling hadapan mengutuknya. Merekalah selalunya menjuarai suara kecaman dan tindakan membantah.

Ingat lagi bagaimana hiruk-pikuk tempikan tidak puas hati khalayak penguasa negara terhadap seseorang pemimpin parti lawan mereka agar pintu Universiti Teknologi Mara (UiTM) dibuka kepada pelajar bukan Melayu dan pelajar asing, Ogos lalu?

Ada yang menyifatkan cadangan itu tidak masuk akal dan tidak wajar diberikan pertimbangan.  Ada yang menilainya sebagai suatu idea yang bertentangan dengan matlamat penubuhan UiTM itu sendiri yang mengutamakan kecemerlangan Melayu. Tidak kurang juga yang melabelkan pemimpin itu sebagai pengkhianat bangsa.

Bantahan tidak terhenti di situ. Kumpulan mahasiswa semua kampus cawangan universiti berkenaan, yang sudah berdekad diharamkan berdemonstrasi, bagaikan menerima kerahan pula untuk turun ke jalan raya.

Kegawatan hampir sama turut tergambar dalam reaksi terhadap tindakan sebuah kerajaan negeri diperintah parti pembangkang menaikkan papan tanda jalan dalam pelbagai bahasa, selain bahasa Melayu. Kesungguhan dan kelantangan beberapa pihak membantahnya, sudah tentu dengan aspirasi parti pemerintah negara, disemarakkan lagi oleh media massa dikuasai mereka.

Sepintas lalu, rakyat cuba diyakinkan dan didorong percaya bahawa fenomena papan tanda pelbagai bahasa itu tidak wujud di negeri-negeri lain di bawah perintah parti tersebut.

Agak meloyakan, suara dan bantahan mereka itu sekadar ibarat ‘mengata dulang paku serpih’.  Amalan menaikkan papan tanda pelbagai bahasa itu rupa-rupanya telah lama berlaku di negeri-negeri yang mereka perintah.

Sikap ‘double standard’ pemimpin Melayu dalam parti pemerintah berkaitan perkara itu bukan suatu yang mengejutkan. Ia bahkan turut terserlah menerusi sikap tidak konsisten mereka dalam pelbagai isu lain.

Pertikaian utama di sini ialah, selaku parti pemerintah, mereka ada kuasa menentukan sesuatu peraturan atau polisi. Sejarah membuktikan betapa parti yang mendakwa juara pejuang Melayu itulah sebenarnya pencabul utama ke atas hak dan keistimewaan Melayu.

Bukankah mereka yang membatalkan penggunaan tulisan Jawi sebagai tulisan rasmi pentadbiran negara dulu? Tulisan yang melambangkan identiti bangsa dan menjadi tulisan ilmu suatu ketika dulu akhirnya hampir terkubur, mangsa peminggiran sistem pendidikan diputuskan para pemimpin Melayu sendiri.

Jangan lupa sebelum isu UiTM tadi dicetuskan, kerajaan telah lama melaksanakan kuota 10 peratus kepada pelajar bukan Melayu di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Begitu juga dalam kes biasiswa untuk anak-anak Melayu cemerlang. Dulu sebahagian besar mereka mendapat biasiswa, kini keistimewaan itu sangat terbatas. Sebahagian besar pembiayaan ditukar kepada pinjaman pendidikan. Kemudian ada pula cadangan oleh pak menteri mengagihkan kuota biasiswa itu kepada pelajar bukan bumiputera.

Ada puluhan lagi tindakan parti pemerintah yang dinilai tidak konsisten dengan dakwaan mereka sebagai pejuang Melayu. Antaranya, menukar bahasa pengantar di universiti-universiti daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris.

Terakhir ialah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Sedari awal pelaksanaannya pada 2003, pelbagai pihak telah mendesak kerajaan agar kedua-dua teras itu kembali diajar dalam Bahasa Malaysia.

Sebagai bukti kejayaan PPSMI, kerajaan mengharapkan kecemerlangan prestasi pelajar dalam kedua-dua subjek tersebut dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008. Keputusan UPSR 2008 dikatakan kayu ukur terbaik untuk pelaksanaan PPSMI. Calon UPSR tahun lalu adalah kumpulan murid pertama memperoleh pusingan lengkap pelaksanaan PPSMI dari Tahun Satu hingga Tahun Enam.

Bagai diduga, kerajaan benar-benar memanipulasi keputusan UPSR itu sebagai sandaran keputusan yang telah dibuatnya lebih awal. Menteri Pelajaran menyimpulkan PPSMI tidak menghalang kemajuan dan kecemerlangan pelajar.

Meskipun dibantah dan diberikan pelbagai pandangan kedua, kerajaan kekal dengan keputusan meneruskan pelaksanaan PPSMI. Ia sekaligus membuktikan segala usaha bantahan oleh ilmuan, cendiakawan, khalayak akademik, pejuang dan pencinta bahasa Melayu hanya sia-sia. Pekikan mereka yang hampir memecahkan anak tekak bagaikan hinggap di telinga badak. Serahan memo dan resolusi umpama mencurah air ke daun keladi.

Justeru, satu hakikat yang mesti dipelajari rakyat dan tidak wajar dinafikan mana-mana pihak, keputusan kerajaan meneruskan pelaksanaan PPSMI adalah satu lagi bukti antara sebegitu banyak bukti yang telah terserlah sebelum ini mengenai sikap ‘double standard’ penguasa-penguasa politik Melayu di negara kita, khususnya dalam isu bahasa.

Sekalung takziah buat pejuang dan pencinta bahasa!

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan Al-Muslimah, Januari 2009 di ruangan ‘Pendapat’ dengan tajuk sama)

Pondok at-Taqwa - Utamakan kualiti berbanding kuantiti



Oleh: Nuwa Aitawa

DI PINGGIR utara pekan Jerteh, Terengganu, sekumpulan 47 pelajar tekun mengikuti rutin harian agak ketat demi mendalami ilmu agama. Ketekunan mereka bagaikan tidak terganggu oleh bunyi riang-riang yang memecah kesunyian kebun getah di belakang sekolah mereka, bersama hiruk-piruk deruman kenderaan di jalan raya di sebelah depan.

Di bina di atas tiga lot tanah wakaf di Kampung Padang Luas, Pondok at-Taqwa sekali imbas kelihatan hanya seperti sebuah surau kampung berkenaan. Namun, jauh dari jangkaan banyak pihak, deretan tiga unit bangunan yang tidak seindah mana itu sebenarnya menjadi medan sangat produktif mentarbiyah dan melahirkan pelajar berilmu dan berakhlak mulia.

Pondok at-Taqwa ditubuhkan pada 1992 oleh sekumpulan pencinta ilmu Islam di daerah Besut. Ia diurustadbir sebuah Lembaga Tadbir terdiri daripada 18 anggota, dipengerusikan seorang ulama’ setempat, Datuk Ustaz Hussein Awang.

Bermula dengan 32 pelajar dan empat tenaga pengajar di awal penubuhan, jumlah pelajar kini bertambah kepada 47 orang. Mereka bukan sahaja dari kampung berdekatan, tetapi dari serata negara, termasuk dari Johor, Pahang, Selangor dan Kelantan.

“Kita memang tidak ambil ramai (pelajar). Sekarang ini ada lima kelas, tidak sampai sepuluh orang sekelas. Kelas kita setakat tahun lima. Kelas lima sekarang hanya ada lima orang. Ada lima orang tenaga pengajar yang mengajar 11 mata pelajaran,” terang Mudir Pondok at-Taqwa, Ustaz Abas Said.

Walau pun sudah berusia lebih 60 tahun, beliau kelihatan sangat bertenaga dan ceria membicarakan perkembangan pondoknya. Siapa yang tidak akan berbangga apabila pondok yang pada awalnya hanya beroperasi di sebuah surau bersebelahan rumahnya, kini sudah mampu memiliki beberapa unit bangunan sendiri?

 “Sekarang kita ada bangunan sendiri. Ada musolla dua tingkat, bangunan kelas (dua tingkat), blok asrama lelaki. Asrama perempuan sedang dalam pembinaan, sekarang budak (pelajar) perempuan menumpang di bangunan sebelah”, sambung Ustaz Abas yang juga menjawat Setiausaha Lembaga Tadbir Pondok at-Taqwa sejak ia ditubuhkan.

Menurutnya, di antara mata pelajaran diajar di situ, ialah Hafazan al-Quran, Hadis, Tafsir al-Quran, Nahu, Tajwid, Solat, Bahasa Arab, Akhlak dan Sirah. Kebanyakannya diajar menggunakan kitab-kitab dalam bahasa Arab.

“Kita tekankan hafazan terutama surah-surah dalam Juz ‘Amma dan beberapa surah penting dalam al-Quran yang berkaitan dengan ibadat harian, terutama solat”, ujarnya.

Ditanya mengapa jumlah pertambahan pelajar tidak begitu besar, terutama jika dibandingkan dengan usia penubuhan pondok itu, Ustaz Abas dengan penuh tawadhuk menerangkan beberapa pertimbangannya.

“Pelajar tidak ramai tu begini, (pertama) kita ni ada sistem periksa, budak hak (yang) mari tu ramai budak lemah. Hak reject (di sekolah) lain. Yang kedua pula, (mereka itu) sudah bermasalah di rumah. Jadi, (bila) mari (ke) sini kita buat sistem kawalan ketat, dengan cara mengajinya, cara kawalan masanya. Jadi tak lama duduk, dia (pelajar) mengaji sekejap, lari sebab tak tahan kawalan kita. Tak biasa dengan kawalan”, jelas Ustaz Abas, disulami ketawa kecil mengenangkan kerenah anak-anak muridnya.

Beliau menjelaskan di antara perbuatan yang menyebabkan seseorang pelajar boleh dipecat ialah keluar malam, hisap rokok, ada hubungan cinta antara pelajar lelaki dan perempuan dan mencuri barangan pelajar lain.

Menurutnya, kes pelajar melakukan kesalahan seumpama itu berlaku setiap tahun, memandangkan pelajar bermasalah memang sukar menerima nasihat.

“Kita beri nasihat. Selepas itu panggil mak ayah. Mak ayah memang akan menyebelahi kita. Tapi bila anak tu tahu dia bersalah, dia rasa bersalah dengan mak ayah dia pula. Akhirnya dia tak mahu meneruskan pengajian,” jelasnya mengenai salah satu sebab pengunduran para pelajarnya.

Katanya, di pondok itu pelajar dititikberatkan dengan sembahyang berjemaah dan membaca al-Quran. Mereka disyaratkan bangun pada jam 5.30 pagi, berjemaah Subuh dan membaca al-Quran sehingga jam 7.30 pagi.

“Ini dilakukan tiap-tiap hari. Jadi pelajar yang duduk lama di sini, lima tahun, insyaAllah balik kampung boleh jadi tok imam. Sebab di sini Quran wajib hafaz, baca dengan banyak. Lepas itu hari Khamis, dilatih berkhutbah. Pegang tongkat, baca teks khutbah. Sebab itu duduk di pondok lima tahun, balik kampung khutbah boleh baca, jadi tok imam surau pun boleh, insyaAllah”, ujarnya penuh yakin.

Ustaz Abas juga tidak menolak kuantiti pelajar yang sedikit itu bagi mengimbangi kemudahan dan kelengkapan yang mampu disediakannya. Beliau beberapa kali mengulangi pihaknya tidak pernah mengiklan secara besar-besaran mengenai kewujudan pondok tersebut.

“Dari segi bangunannya orang tengok fizikalnya tidak begitu menarik. Sekarang ini orang mahu tengok bangunan cantik bercat. Itu selera orang zaman ini. Kita tidak begitu. Saya nak dalaman, isi (kualiti), sebab ilmu budak, pendidikan budak yang saya tekankan di sini”, katanya.

Beliau turut menekankan syarat utama penerimaan pelajar ke situ ialah keikhlasan ibu bapa mahu menempatkan anak-anak walau pun dalam kemudahan tidak selesa, di samping keinginan pelajar itu sendiri untuk mendalami ilmu Islam dan membina keperibadian sebagai muslim sejati.

Menurutnya lagi, bermula 2009 ini, pelajar dikenakan yuran RM30 sebulan. Tempat tinggal dan nasi disediakan. Manakala lauk dimasak para pelajar sendiri.

Meski pun merasa sedikit terpinggir dari arus pendidikan negara yang mementingkan kejayaan akademik, Ustaz Abas berkali-kali melahirkan keyakinan survival pondok kendaliannya akan berkekalan.

“Saya rasa insya-Allah jangkamasa panjang, hayat pondok ini akan maju. Sebab negara lain pun, macam di Indonesia pondok masih wujud, pesantren bukan? Macam di Syria pun, pondok masih hidup. Cuma dipermodenkan pondok itu, tapi pondok juga namanya”, katanya.

Baginya, selagi mana ada pelajar Darjah Enam dari lepasan sekolah menengah yang tidak berjaya menyambung pelajaran ke sekolah lain, selagi itulah pihaknya bersedia menjadi alternatif untuk mendidik pelajar tersebut.

Ustaz Abas boleh dihubungi menerusi talian tetap 09-6971446. 

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah, edisi Januari 2009 di ruangan "jambatan ilmu" dengan tajuk sama)

Saturday, December 27, 2008

Umno perlu akui boikot, sabotaj rugikan rakyat


“Tarik balik ‘sekatan’ ke atas Kelantan, Terengganu sejak 2000”

Oleh: Anuwa Jamalullail

TERNYATA akhirnya para pemimpin Umno terpaksa akur kepada hakikat bahawa pendekatan bermusuhan dan mengkhianati negeri-negeri yang diperintah parti pembangkang tidak menambahkan kekuatan kepada parti itu.

Sebaliknya, pendirian itu hanya memburukkan imej Umno yang telah sedia dikenali gemar menindas dan membuli parti-parti lain, tidak terkecuali rakan-rakannya dalam Barisan Nasional (BN) sendiri. Bukankah kita pernah mendengar luahan parti-parti komponen BN yang mendakwa dijadikan ‘pak turut’ kepada kehendak para pemimpin Umno?

Menyedari hakikat itu barangkali menyebabkan para pemimpin parti itu kebelakangan ini kelihatan berusaha memperbetulkan kesilapan dan keterlanjuran mereka.

Selain memperbaiki sikap dan layanannya terhadap rakan komponen BN, parti itu turut dipaksa oleh keadaan untuk mengkaji semula beberapa pendirian dan tindakannya yang dianggap “melampau” terhadap parti lawan. Penarikan balik dua ‘sekatan’ yang dikenakan dua kerajaan dikuasai Umno ke atas dua kerajaan diperintah PAS pada 2000 lalu boleh dijadikan contoh perubahan positif itu.

Pada 12 Disember lalu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, tidak semena-mena menarik balik arahannya yang melarang kakitangan agensi dan jabatan kerajaan negeri itu mengadakan lawatan rasmi ke Kelantan. Arahan yang dibuat pada April 2000 itu turut membabitkan negeri Terengganu yang pada ketika itu diperintah PAS. Ia bagaimana pun terbatal dengan sendiri pada 2004, setelah negeri itu kembali diperintah BN.

Menurut Mohd Ali, penarikan balik larangan itu adalah kerana orang Kelantan kini tidak lagi melabelkan orang Umno sebagai tidak Islam.

Meski pun itu sahaja sebab yang diberikan, kita percaya tindakan Naib Presiden Umno itu didorong beberapa perkiraan lain. Rakyat umum dapat menilai betapa sekatan itu sebenarnya tidak realistik dan tidak dipedulikan orang. Malah jika diteruskan pun, ia hanya memalukan diri Mohd Ali sendiri.

Pertama, perlu diakui jumlah yang terlibat dalam lawatan rasmi agensi kerajaan Melaka ke Kelantan tidak lah begitu besar berbanding jumlah keseluruhan pelancong ke negeri itu. Apatah lagi jumlah daerah di Melaka bukanlah sebanyak di Selangor, Perak atau pun Johor. Maka jumlah jabatan dan agensi kerajaan negerinya tidaklah sebesar mana.

Bagi rakyat Kelantan pula, sekatan dibuat Mohd Ali itu tidak memberi apa-apa kesan sedikit pun, sama ada bagi sektor perhotelan dan penginapan, perniagaan mahu pun pengangkutan. Ibarat kata orang negeri itu, ia “tidak menjadi kudis gatal”.

Kedua, sekatan itu hanya terbatas kepada lawatan rasmi agensi kerajaan negeri sahaja. Ada pun rakyat negeri itu (dan jabatan-jabatan Persekutuan di negeri itu?) tidak tertakluk kepada arahan tersebut.

Sebab itu saban musim cuti persekolahan, berbondong-bondong rakyat dari Melaka menerjah ke Kelantan. Secara tidak langsung ia menggambarkan rakyat tidak berkongsi pendirian “primitif” ketua menteri mereka itu.

Ketiga, oleh kerana sekatan itu pada asalnya ditujukan kepada negeri-negeri diperintah PAS, perubahan geopolitik negara selepas pilihan raya umum lalu menjadikannya sudah tidak relevan. Melainkan sekiranya Mohd Ali mahu mengembangkan arahan sama kepada empat lagi negeri yang baru jatuh ke tangan parti-parti lawannya, Mac lalu.

Jika itu yang dilakukannya, nescaya yang akan merasai kesan negatifnya ialah Melaka sendiri. Bayangkan apa jadi sekiranya kelima-lima negeri diperintah Pakatan Rakyat itu bertindak balas dan sepakat memboikot sebarang lawatan ke negeri bersejarah itu?

Akhirnya, mahu tidak mahu, Mohd Ali terpaksa mengalah. Meski pun amat memalukan, beliau tiada pilihan melainkan menarik balik arahan “primitif” itu.

Kebetulan atau tidak, keesokan hari selepas pengumuman beliau itu, giliran Timbalan Presiden Umno pula mengumumkan pembatalan satu lagi sekatan dicetuskan Umno, juga pada 2000 lalu.

Dalam lawatannya ke Terengganu pada 13 Disember lalu, Datuk Seri Mohd Najib Razak secara rasmi mengisytiharkan bahawa sekatan pembayaran royalti minyak kepada negeri itu telah berakhir. Beliau turut mengesahkan Kerajaan Pusat menghormati hak rakyat Terengganu terhadap royalti berkenaan.

“Kerajaan Pusat mengembalikan hak rakyat Terengganu dengan menyerahkan wang royalti kepada kerajaan negeri sebanyak RM408.6 juta. Dengan itu kerajaan Terengganu sudah cukup pitih (duit) untuk melaksanakan pelbagai pembangunan yang dirancang selama ini”, katanya.

Isu perampasan hak rakyat Terengganu terhadap royalti minyak dihasilkan di luar pantai negeri itu tercetus sebagai manifestasi kekecewaan Umno di atas kekalahan mereka dalam Pilihan Raya Umum 1999. Mereka merasakan mustahil mendapat balik kuasa pemerintahan negeri dari tangan PAS sekiranya duit royalti minyak dimiliki kerajaan dan rakyatnya.

Mereka inilah yang mula-mula membuka laluan jahat dengan mengisytiharkan duit itu hanyalah ehsan Kerajaan Pusat, bukannya royalti. Oleh kerana ia semata-mata ehsan, maka terpulang kepada Kerajaan Pusat sama ada untuk meneruskan pembayarannya atau menghentikannya.

Dokumen perjanjian berkaitan royalti berkenaan yang ditandatangani antara Petronas dengan Kerajaan Terengganu pada 22 Mac 1975 turut dipertikaikan. Seorang menteri Kabinet yang berpendidikan undang-undang menyifatkan dokumen itu hanya sebuah MoU (memorandum persefahaman), bukannya perjanjian. Oleh itu, menurutnya, ia tidak ada kedaulatan dan tidak perlu dipatuhi.

 Apa pun hujah ‘loyar buruk’ diberikan para pemimpin Umno, rakyat maklum tindakan menyekat pembayaran royalti itu adalah semata-mata atas serakah politik parti itu. Ia bertujuan menghukum dan mensabotaj kerajaan pimpinan PAS.

Malangnya, mangsa utama pengkhianatan itu ialah sejuta rakyat Terengganu dari pelbagai lapisan hidup. Fakir-miskin, orang kurang upaya, murid sekolah, pelajar institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara, penjawat awam negeri mahu pun petani dan nelayan telah dinafikan pelbagai hak yang sepatutnya mereka nikmati.

Kesulitan mendapatkan semula hak itu akhirnya turut ditanggung kerajaan BN selepas 2004, apabila kes itu telah dibawa ke mahkamah. Setelah mengalami dan melihat sendiri kerugian terhadap negeri akibat perbuatan mereka, akhirnya pemimpin Umno Terengganu sendiri menuntut Kerajaan Pusat mengembalikan hak pengurusan wang tersebut kepada rakyat dan kerajaan mereka.

Dua minggu lalu, tuntutan itu menjadi kenyataan. Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, Kerajaan Pusat menghormati perjanjian yang termaktub dengan kerajaan Terengganu berhubung pembayaran royalti.

Kedua-dua peristiwa tadi membuktikan bahawa tindakan memboikot dan mensabotaj negeri-negeri diperintah parti lawan bukan sahaja menambah buruk imej dan reputasi Umno sebagai peneraju negara, bahkan turut merugikan kehidupan rakyat keseluruhannya.

(Artikel ini disiarkan tabloid Mingguan Wasilah, edisi 27 Disember 2008-3 Januari 2009 dengan tajuk sama)

Sunday, December 21, 2008

PPP ibarat melukut di tepi gantang

Giliran ikut jejak Zaid dan SAPP

Oleh: Anuwa Jamalullail

ADA benarnya apa yang sering disebut orang bahawa ramai di kalangan para pemimpin Barisan Nasional (BN) memiliki sifat tidak tahu berterimakasih atau mengenang jasa orang lain. Bahkan layanan pucuk pimpinan parti pemerintah itu terhadap beberapa parti komponennya kadangkala disifatkan ibarat ‘habis manis sepah dibuang’.

Sikap sebegitu makin terserlah apabila satu demi satu episod melanda gabungan itu mutakhir ini yang dikaitkan dengan perasaan tidak puas hati kalangan kerabat BN sendiri terhadap pucuk pimpinan parti itu. Apabila keadaan sudah tidak terkawal, para pemimpin BN tampil senada merelakan pihak yang dianggap bermasalah terhadap gabungan itu meninggalkan BN.

Terbaru ialah kenyataan Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang seolah-olah mengalu-alukan ugutan bersyarat Parti Progresif Penduduk (PPP) untuk keluar dari gabungan itu.

Pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN, 9 Disember lalu, Abdullah menegaskan, kerajaannya tidak bercadang meminda Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) seperti disyaratkan PPP untuk ia kekal sebagai parti komponen BN.

Sehubungan itu, Abdullah berkata PPP kini bebas untuk meninggalkan BN jika pemimpinnya mahu berbuat demikian.

“Kalau itu pilhan mereka (untuk keluar BN), apa yang boleh kita buat”, katanya.

Abdullah mengulas kenyataan Presiden PPP, Datuk M. Kayveas, akhir bulan lalu bahawa partinya akan meninggalkan BN jika kerajaan tidak membuat pindaan bersesuaian terhadap ISA sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Dengan kenyataan terbuka itu, Abdullah bagaikan tidak memberikan pilihan kepada Kayveas melainkan mengotakan apa yang telah dikatakannya. Cabaran itu sekaligus menggambarkan seolah-olah kehadiran PPP sudah tidak diperlukan lagi dalam BN.

Parti itu bagaikan melukut di tepi gantang. Adanya tidak menambahkan sukatan, ketiadaannya pula tidak menjejaskan keadaan.

Apatah lagi kenyataan Abdullah itu bukan yang pertama seumpamanya diucapkan para pemimpin BN terhadap parti komponennnya itu. Lebih setahun lalu, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam pernah meminta PPP meninggalkan BN semata-mata kerana parti itu menuntut bilangan kerusi lebih banyak untuk pilihan raya lalu.

MIC juga pada November 2007 dilaporkan pernah mencadangkan agar BN mengusir keluar PPP ekoran pertelagahan antara Kayveas dan Presidennya, Datuk Seri S. Samy Vellu mengenai isu kemunduran kaum India negara ini.

Dalam satu kenyataan kerasnya, Samy Vellu dengan tegas menolak kemungkinan partinya akan berdamai dan kembali menjalin hubungan baik dengan PPP. Beliau malah membandingkan parti itu dengan DAP dan PAS.

“Bolehkah DAP berbaik dengan BN? Saya nak tanya, bolehkah Umno berbaik dengan PAS? Ia (PPP) adalah lebih teruk daripada PAS”, kata Samy Vellu.

Turut menyuarakan rasa tidak senang dengan gelagat PPP ialah Gerakan. Presidennya, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik sering terlibat dalam polemik dengan Kayveas sehingga mengundang hubungan amat keruh antara kedua-dua parti itu. Ekoran krisis berpanjangan antara kedua-dua parti itu, Gerakan juga pernah mengesyorkan agar PPP keluar daripada BN.

Kini, gesaan sama bagaikan diulang kembali Perdana Menteri sendiri. Apa yang kini dialami PPP mengingatkan kita kepada episod hampir sama yang dialami Parti Maju Sabah (SAPP) kira-kira tiga bulan lalu.

Parti itu yang sejak pertengahan tahun ini mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Abdullah sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi BN, secara rasmi mengisytiharkan keluar daripada BN, 17 September lalu.

Presidennya, Datuk Yong Teck Lee malah menyatakan hasrat partinya mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Abdullah sebagai Perdana Menteri menerusi dua wakil rakyatnya di Dewan Rakyat. Meski pun hingga kini hasrat itu belum menjadi kenyataan, SAPP kekal dengan komitmennya menyokong usul tersebut sekiranya ia dibentangkan mana-mana pihak.

Reaksi para pemimpin BN terhadap keputusan SAPP meninggalkan gabungan itu bagaimana pun sudah diduga. Sebagaimana PPP, parti itu juga dianggap rakan-rakan sudah tidak sesuai untuk terus berada dalam BN.

“BN akan terus kukuh dan mantap, biar pun SAPP sudah keluar”, kata Samy Vellu.

Abdullah selaku Pengerusi BN malah mengalu-alukan tindakan SAPP itu.

“Dia (SAPP) merupakan masalah kepada parti (BN). Dia pengacau, biarlah dia pergi, tak apa”, katanya.

Nasib menimpa bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim juga tidak kurang pentingnya untuk diperhatikan, terutama jika mahu dinilai cara para pemimpin BN melayan seseorang rakan mereka yang dianggap sudah tidak bermanfaat untuk parti.

Semua telah maklum betapa kehadiran Zaid dalam kabinet lebih banyak diwarnai dengan kontroversi. Percanggahan pendapat dan pendirian beliau dengan anggota kabinet lain sering mencetuskan polemik di kalangan pemimpin BN sendiri.

Setelah gagal mencari titik pertemuan dengan rakan-rakannya, Zaid meletak jawatannya dari kabinet pada 15 September. Tidak mengejutkan apabila tindakannya itu dialu-alukan para pemimpin BN.

“Baguslah dia letak jawatan, kerana sebagai ahli kabinet yang dilantik oleh Perdana Menteri beliau tidak layak untuk mempertikai kerja orang lain”, bidas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Ada pula yang menyifatkan Zaid sebagai satu liabiliti kepada kerajaan kerana banyak mencetuskan kontroversi.

“Sekiranya itulah pilihan dia yang tegas hendak letak jawatan, silalah letak jawatan, saya tidak ada komen apa-apa”, kata Abdullah.

Berbekalkan layanan sebegitu, tidak ada lagi apa yang positif dapat diharapkan apabila Majlis Tertinggi Umno pada 2 Disember lalu memutuskan memecat Zaid dari parti tanpa dibenarkan membuat rayuan. Tiada lagi yang baik mengenai beliau. Kesemua komen disiarkan media menyifatkan beliau seumpama ‘duri dalam daging’ atau ‘kudis’ bagi partinya.

Kini, gambaran awal sudah terbayang bahawa layanan buruk BN terhadap Zaid dan SAPP itu bakal berulang terhadap PPP pula.

“Dulu ketika PPP parti yang kuat, kami diminta menyertai BN, tetapi selepas itu apabila lemah sedikit kami ditinggalkan begitu saja. BN perlu beri perhatian, tidak patut lupakan PPP kerana parti ini ada lebih setengah juta ahli yang juga pengundi. BN kena ingat persahabatan itu”, kata Kayveas, pada Oktober 2007.

Keluhan itu diluahkannya tatkala kecaman pelbagai pihak dalam BN terhadap PPP memuncak ekoran tuntutan parti itu agar beberapa kerusi yang pada asalnya miliknya dikembalikan semula.

Dengan perkembangan mutakhir kini, sudak tidak ada apa yang boleh diharapkan PPP daripada BN. Barangkali sudah sampai giliran parti itu pula mengikuti jejak yang telah diambil oleh Zaid dan SAPP untuk benar-benar meninggalkan BN.

(Artikel ini disiarkan akhbar Mingguan Wasilah, edisi 21 Disember 2008 dengan tajuk sama)