Sunday, April 11, 2010

Hulu Selangor satu lagi medan manipulasi kuasa BN

Oleh: Mohd Nasir Awang

Jika tidak kerana teguran Badan Pemantau Pilihan Raya Malaysia (Mafrel) terhadap Barisan Nasional (BN) yang telah memulakan aktiviti kempen di Hulu Selangor minggu lalu, tentu sekali cerita kejayaan kerajaan Selangor menganugerahkan geran tanah kepada penduduk di kawasan sama tidak begitu diendahkan orang. Jika ada pun yang telah membaca atau menonton laporan media mengenainya, cerita itu mungkin hanya dilupakan begitu saja.

BN pula tentu ada sebab sangat munasabah untuk tidak mengulangsebut kejayaan kerajaan negeri Pakatan Rakyat itu. Cerita itu boleh dijadikan bukti pencapaian positif pemerintahan PR di Selangor, sekaligus merugikan BN.

Namun, semata-mata disebabkan mahu melepaskan diri yang tersepit oleh teguran Mafrel itu, maka BN mahu tidak mahu terpaksa juga menyebut program anjuran kerajaan negeri Selangor itu. Tujuannya tidak lain, hanya untuk membuktikan bukan BN saja yang telah mula berkempen di Hulu Selangor. Pihak parti lawannya juga telah berbuat demikian.

Hujahnya memang bunyi macam ayat Pak Pandir, “bukan Mak Andeh saja yang kematian anak”. Namun apa kan daya, manusia yang terdesak memang tidak akan berfikir panjang tentang baik-buruk akibat perbuatannya.

Sikap itu terserlah menerusi kenyataan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Noh Omar yang menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengkaji semula peranan Mafrel. Beliau melabelkan badan pemantau bebas itu sebagai alat parti pembangkang.

Dalam satu kenyataan kepada media pada Ahad (4 April) lalu, Pengerusi Mafrel, Syed Ibrahim Syed Noh, membidas tindakan para pemimpin BN yang turun ke Hulu Selangor dan meluluskan berbagai projek kepada penduduk atas nama kerajaan Pusat.

“Ini satu jenis kempen dan kalau berbalik kepada peraturan pilihan raya, tindakan itu adalah kesalahan,” katanya.

Sehubungan itu, Syed Ibrahim mendesak SPR memberikan amaran dan mengeluarkan arahan agar tidak ada apa-apa kempen sehingga selesai proses penamaan calon.

SPR pada Jumaat sebelumnya telah mengumumkan tarikh penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor ditetapkan pada 17 April nanti. Sekiranya ada pertandingan, pengundian akan dilakukan pada 25 April.

“Sepatutnya Mafrel menegur kedua-dua sekali, bukan hanya BN kerana dalam laporan akhbar, Menteri Besar (Selangor) turut mengagihkan geran tanah kepada penduduk. Kenapa perkara ini tidak ditegur sekali? Di mana kredibiliti badan pemantau bebas mereka,” ujar Noh, sebagai reaksi teguran Syed Ibrahim.

Beliau sebaliknya mempertahankan tindakan para pemimpin BN menabur berbagai “projek segera” dan mendakwa ia program yang “sudah dirancang lebih awal”.

Media sejak minggu lalu banyak melaporkan kunjungan para pemimpin utama BN ke Hulu Selangor. Mereka tidak pergi dengan tangan kosong. Masing-masing membawa buah tangan untuk penduduk kawasan berkenaan.

Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN mengumumkan pembinaan 250 unit rumah untuk Warga Felda Gugusan Sungai Dusun. Projek itu akan dilaksanakan di kawasan seluas 14 hektar di Felda Soeharto dan menelan belanja RM32 juta.

Timbalannya juga telah turun dan mengumumkan beberapa projek. Antaranya pembinaan empat sekolah baru, peruntukan RM2 juta untuk projek tebatan banjir di Batang Kali dan bantuan RM100 ribu untuk sebuah masjid di sana.

Seorang Naib Presiden Umno pula tiba-tiba kepingin bermesra dengan masyarakat Orang Asli di Hulu Tamu, Batang Kali. Dia juga tidak sekadar bertemu mata dengan mereka. Selain menyempurnakan upacara pecah tanah projek pembangunan untuk kampung berkenaan, pemimpin BN itu juga mengumumkan tiga peruntukan untuk mereka.

Kunjungan yang menurut Noh tadi “sudah dirancang lebih awal” itu membawa tuah buat penduduk Orang Asli di situ. Mereka mendapat tujuh rumah bernilai keseluruhan RM231,000, sebuah rumah Tok Batin bernilai RM40,000 dan projek cendawan dengan peruntukan RM60, 000.

Banyak lagi curahan projek dan peruntukan segera dari pihak BN. Kesemua pemimpin itu turun atas kapasiti sebagai menteri kerajaan Pusat. Sudah tentu segala peruntukan diluluskan itu juga menggunapakai sumber kewangan kerajaan, walau pun ia sebenarnya diprogramkan sebegitu rupa untuk kepentingan imej BN bagi menghadapi pilihan raya kecil Hulu Selangor.

Ituah hakikat yang sering berlaku. Ia juga bukan suatu yang mudah buat BN menafikannya. Cuma agak mujur baginya pada ketika tertentu BN menemui alasan atau sandaran untuk turut menyalahkan parti lawan atas perbuatan serupa.

Sebab itu BN agak bertuah apabila Menteri Besar Selangor di kesempatan sama turun ke Ladang SKC Hulu Bernam menyerahkan Borang 5A (Premium Hak Milik Tanah) kepada 108 orang penerima. Bagi BN satu majlis itu pun sudah cukup untuk membuktikan bahawa bukan BN saja yang telah mula melakukan kempen di Hulu Selangor.

Memang begitulah sikap BN. Ia sangat gemar bersandarkan kepada sesuatu yang turut dibuat atau dimiliki parti lawan sebagai bukti keadilan politik pemerintahannya. Sedangkan jumlah atau kuantiti apa yang memihak kepada pihak pembangkang amat jauh lebih kecil berbanding kekuatan memihak BN.

Dua program anjuran parti pembangkang yang mungkin melibatkan kos tidak sampai sejuta sudah cukup untuk menutup sebarang pertikaian mengenai berpuluh program kempen dengan kos puluhan juta di pihak BN.

Begitu juga sikap BN apabila ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyuarakan sesuatu yang tidak memihak kepadanya. Bagi BN, biar pun beratus NGO lain menyokong BN, jika ada hanya satu NGO tidak memihaknya, ia sudah dianggap tidak wajar. Kes melibatkan Mafrel tadi boleh dianggap contoh.

Berdasarkan muqodimah yang sedari awal sudah pun berat sebelah, Hulu Selangor sekali lagi bakal menjadi medan rakyat melihat manipulai kuasa BN yang sentiasa menganggap setiap yang memihaknya sebagai betul dan apa-apa yang memihak pembangkang sebagai salah.

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah Bil: 0195, 11 April 2010 dengan tajuk sama)

Friday, April 9, 2010

Tabiat buruk BN kembali warnai kempen Hulu Selangor

oleh: Mat Zain Mat Isa

Pepatah Melayu ada menyebut, “anjing biasa makan tahi; jika tidak dimakan, mencium ada juga”. Peribahasa ini ditujukan kepada golongan manusia yang buruk perilaku. Maksudnya, seseorang itu kalau sudah biasa jahat, walau pun ada ketikanya dia berhenti dari perbuatan itu, sekali-sekala diulanginya juga.

Sudah menjadi kebiasaan orang dahulukala mencipta bahasa kiasan sebegitu bagi memudah dan mengindahkan komunikasi mereka. Perbandingan itu bagaimana pun bukan di atas status atau taraf hina binatang mughalazah itu, tetapi lebih ditujukan kepada perangai atau perilakunya.

Dalam kes pepatah tadi, tabiat anjing yang suka memakan tahi menjadi fokus kiasan. Maka yang dikeji dari anjing itu bukan kerana ia adalah binatang najis, tetapi kerana perangai buruknya yang suka membuat kerja kotor dan jijik, termasuk sanggup memakan bahan buangan dubur manusia.

Bahkan, intipati utama pepatah ini ialah ketidakbolehpercayaan terhadap jaminan anjing akan berubah dari perangai jahatnya itu. Tabiat jahat sudah sebati dengan dirinya dan sukar ditinggalkan terus.

Sebab itu ditekankan dalam pepatah ini bahawa jika tidak dimakan tahi itu, anjing tetap juga mahu menciumnya.

Apa pun, wajar diakui hakikat bahawa pepatah itu memang tepat dengan tabiat semulajadi manusia. Dapat kita lihat dalam kehidupan seharian bagaimana seseorang yang terbiasa dengan tabiat jahat sukar meninggalkan kebiasaan itu, sekali pun dicemuh orang atau ada ketikanya dia sendiri menyatakan hasrat mengubah tabiat itu.

Maaf cakap, bukan mahu menyamakan sekumpulan khalayak politik kita dengan binatang menyalak itu, tetapi sekadar memanfaatkan peribahasa ciptaan nenek-moyang kita. Kebetulan pula tabiat yang dimaksudkan pepatah tadi memang nampaknya bersebati dengan kumpulan manusia ini.

Contohnya, Perdana Menteri pernah mengakui secara terbuka bahawa zaman media massa perlu sentiasa tunduk kepada kemahuan kerajaan telah berlalu. Beliau turut meminta dihapuskan tanggapan kononnya kerajaan lebih tahu segalanya daripada rakyat.

Laungan itu diuar-uarkan sebagai menggambarkan polisi terbuka kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinannya terhadap kebebasan media. Kononnya BN sudah belajar dari kesilapan lalu. Bahawa manipulasi bersangatannya terhadap media secara berat sebelah demi kepentingan BN menyebabkan rakyat mual dan jijik terhadap parti itu.

Banyak kritikan sebelum itu mengaitkan salah guna kuasa BN yang keterlaluan terhadap media massa sebagai antara punca kebencian rakyat terhadapnya. Akibatnya BN ditolak rakyat sehingga kerajaannya tumbang di beberapa negeri dan ternafi majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Malangnya, komitmen mahu berubah itu tidak begitu boleh dipercayai. Ia seakan-akan tabiat binatang dalam pepatah tadi. Oleh kerana terbiasa dengan tabiat manipulasi itu, BN seakan tidak selesa jika tidak mengulanginya.

Keghairahan mencipta kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor yang bakal diadakan 25 April nanti seolah melupakan BN terhadap prinsip keterbukaan terhadap media.

Lalu dapat kita lihat bagaimana media cetak arus perdana dan media elektronik dikuasai kroni BN kembali berpadu tenaga dengan cara gaya lama. Mereka tidak dapat bertahan lama dengan polisi yang kononnya “terbuka dan bebas”. Mereka seakan tidak dapat mengawal ketagihan untuk mengganyang parti-parti lawan.

Belum pun berlangsungnya penamaan calon dan belum pun bermula tempoh sebenar kempen, media massa itu sudah kembali menjadi medan liputan terperinci aktiviti kempen BN di Hulu Selangor.

Para pemimpin BN pula turun lebih awal ke kawasan berkenaan dan sudah mula menabur janji serta meluluskan berbagai projek segera. Berjuta-juta untuk projek tebatan banjir, berjuta lagi untuk perumahan warga Felda. Berbagai kemudahan dan jaminan untuk penduduk perkampungan Orang Asli juga sudah disebutkan pemimpin BN.

Seruan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar tiada mana-mana parti politik memulakan kempen sebelum proses penamaan calon selesai tidak diendahkan. BN menjadikan SPR bagaikan lelaki yang tidak ada “telur”.

Peraturan yang selalunya amat ketat terhadap parti-parti pembangkang itu kini dipermainkan BN sewenangnya. Seolah-olah parti itu ada pengecualian khas dan kebal dari dipersalahkan di sisi peraturan itu.

Bukankah itu juga manipulasi kuasa secara tidak demokratik? Itu juga sebelum ini pernah dilaungkan BN untuk diubahnya. Namun apa yang berlaku mengesahkan bahawa rakyat tidak boleh terlalu percaya BN akan berubah dari tabiat jahatnya.

Sebelum ini BN juga telah dipukul dan terpukul dengan taktik pelaksanaan ‘projek segera’ di setiap kali berlangsungnya pilihan raya. Dengan tak semena-mena seluruh kementerian secara “kebetulan” ada program yang kononnya telah masing-masing rancang sekian lama di kawasan pilihan raya berkenaan.

BN pernah menyesali taktik itu, terutama setelah ia gagal memperbodohkan rakyat di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu. Ia menyatakan hasrat tidak mengulanginya. Kata mereka, rakyat kini sudah cerdik dan mampu menilai niat sebenar BN mengadakan projek seumpama itu ketika kempen sedang memuncak.

Berdasarkan apa sedang dilakukannya di Hulu Selangor, apakah ikrar BN itu boleh dipercayai? Walhasilnya, benarlah kata pepatah tadi, “jika tidak dimakan pun, mencium ada juga”!

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1529, 9 April 2010 di ruangan 'kolumnis', F22 dengan tajuk sama)

Monday, April 5, 2010

Malaysia ketinggalan dalam usaha pengasingan gender

oleh: Mat Zain Mat Isa

Meski pun Malaysia terkenal dan mahu dikenali dunia sebagai negara Islam contoh, dalam banyak hal kita berdepan berbagai karenah untuk meyakinkan umat Islam sendiri berhubung kebaikan di sebalik pelaksanaan hukum dan peraturan agama suci itu.

Bahkan, kejahilan umat Islam sendiri mendorong mereka menilai hukum Islam sebagai menyusah dan menakutkan. Hukum Islam dilabelkan ketinggalan zaman, tidak relevan dengan perkembangan semasa dan seumpamanya.

Bukankah kita pernah dengar bagaimana ada pemimpin utama negara dengan angkuhnya menganggap jika dilaksanakan Islam dalam pemerintah, ia umpama memusing jarum jam ke belakang?

Mangsa utama persepsi negatif sebegitu adalah PAS. Sebagai parti yang berikrar mendaulatkan syariat Allah di bumi Malaysia ini, PAS pernah dianggap kolot, ekstrim dan tidak toleran.

Pengalamannya memperkenalkan beberapa peraturan Islam di kesempatan memerintah dua negeri di Pantai Timur, iaitu Kelantan dan Terengganu (sebelum ini) banyak berdepan ejekan dan persendaan. Paling mendukacitakan ialah apabila Umno selaku parti tunjang pemerintahan negara, bukan saja tidak berkongsi aspirasi merealisasikan pelaksanaan hukum Islam, malah dalam banyak keadaan menjadi penyangak utama menggagalkan usaha murni ke arah itu.

Setiap peraturan bertepatan Islam diperkenalkan PAS sering diputarbelit secara tidak bertanggungjawab. Peranan media talibarut Barisan Nasional (BN) dalam menyuburkan imej negatif terhadap PAS dan mengelirukan masyarakat terhadap Islam dibawanya tidak sukar dibuktikan.

Di antara peraturan yang menjadi bahan momokan mereka ialah usaha PAS memperkenalkan pengasingan gender di tempat awam. Ia termasuklah mewujudkan tempat duduk berasingan bagi wanita dan lelaki bukan mahram sama ada di dalam majlis dan perhimpunan umum atau dalam pawagam. Begitu juga kaunter berasingan mengikut gender di pasaraya dan gedung beli-belah.

Usaha menguatkuasakan peraturan itu bukan saja dipersendakan bukan Islam, bahkan turut disambut dingin penguasa politik beragama Islam. Malah ada cerdik pandai yang pada zahirnya kelihatan menyokong aspirasi perjuangan pakatan pembangkang berdepan BN, tiba-tiba berubah nada suaranya tatkala berbicara soal peraturan tersebut. Usaha PAS menyuarakan pengasingan gender di tempat awam mereka anggap kerja remeh-temeh dan tidak perlu diutamakan.

Persepsi senegatif itulah yang menyukarkan wujudnya persefahaman baik antara PAS dengan pihak-pihak ketiga yang berhasrat menganjurkan program mereka di negeri-negeri diperintah PAS. Alhamdulillah, tembok prejudis itu nampaknya telah berjaya dirobohkan minggu lalu.

Buat pertama kalinya sejak program karnival hiburan dan pamer-jual Jom Heboh diperkenalkan stesen TV3, ia berjaya diadakan di bumi Serambi Mekah, 26 dan 27 Mac lalu. Itu pun setelah pihak penganjur memberi perakuan mematuhi syarat-syarat dikenakan kerajaan negeri.

Antaranya ialah penampilan hanya artis lelaki mengisi slot konsert. Manakala tempat duduk hadirin lelaki dan wanita bukan mahram diasingkan. Meski pun mungkin dibauri unsur-unsur keterpaksaan, penganjur program pada zahirnya akur terhadap peraturan itu.

Bagaimana pun, semua pihak terlibat menjayakannya berpuas hati dan menganggap program tersebut memberikan banyak manfaat kepada semua pihak, termasuk para pengunjung.

Ertinya, dapat disimpulkan bahawa tidak ada cacat-celanya terhadap kemeriahan dan kemanfaatan program itu walau pun dengan menghayati peraturan Islam. Bahawa mengawal pergaulan bebas dan mengasingkan hadirin mengikut gender terbukti tidak “memusingkan jarum jam ke belakang” sepertimana dimomokkan pihak anti-peraturan Islam sebelum ini.

Ditakdirkan Allah, tidak sampai seminggu selepas tersebarnya kejayaan penghayatan peraturan itu di Kota Bharu, tersiar pula laporan akan wujudnya pengasingan serupa bagi pengguna komuter di ibu negara pula. Dalam satu kenyataan media pada Rabu (31 Mac) lalu, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengumumkan hasrat memperkenalkan komuter khas untuk golongan wanita bagi menjamin keselamatan dan keselesaan mereka.

Mungkin bagi KTMB, hasrat itu satu idea baru. Namun perkhidmatan serupa sebenarnya telah lebih awal diperkenalkan di negara-negara lain. Rusia, Emiriah Arab Bersatu, Jepun, Brazil, Mexico, Iran dan India umpamanya telah memperkenalkan perkhidmatan teksi khas untuk wanita sejak awal 2007. Di samping dipandu pemandu wanita dan hanya dinaiki penumpang kaum sejenisnya, teksi itu turut dilengkapi beberapa kemudahan untuk keselesaan wanita.

Indonesia pula mendahului negara lain dengan melancarkan perkhidmatan bas eksklusif untuk wanita, juga pada 2007. Manakala sebuah syarikat penerbangan Jepun pada tahun sama memperkenalkan pengasingan tempat duduk wanita dan lelaki dalam pesawat-pesawatnya.

Dorongan utama mewujudkan perkhidmatan berasingan mengikut gender itu ialah kerana wanita mendambakan persekitaran selamat dan selesa terutama dari sebarang gangguan kaum lelaki ketika berada di tempat awam.

Sementara pihak yang meremehkan usaha sebegitu mungkin akan terus kekal dengan persepsi negatif mereka, wajar diakui betapa negara kita sebenarnya telah agak ketinggalan dalam merealisasikan pengasingan gender di tempat awam berbanding sebilangan negara lain di dunia.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1528, 5 April 2010 di ruangan 'kolumnis', F22 dengan tajuk sama)

Sunday, April 4, 2010

Berulangkah jalan cerita Bagan Pinang di Hulu Selangor?

Oleh: Mohd Nasir Awang

Pentas politik negara sekali lagi akan menemui medan pertarungan sengit. Kali ini di kawasan P094 (Parlimen) Hulu Selangor. Satu pilihan raya kecil pasti diadakan dalam masa terdekat.

Kekosongan kerusi itu terpaksa diterima semua pihak. Tiada yang meragui kematian wakil rakyatnya dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dato’ Dr Zainal Abidin Ahmad. Allahyarham meninggal dunia akibat barah otak, 25 Mac lalu.

Pilihan raya kecil itu bakal menjadikannya yang ke-10 sejak Pilihan Raya Umum 2008. Jika tidak kerana manipulasi kuasa yang memungkinkan dolak-dalih politik dan penafsiran kontroversi berhubung peruntukan undang-undang, ia sepatutnya sudah menjadi pilihan raya kecil ke-14 atau ke-15.

Keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak perisytiharan Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak mengenai kekosongan tiga kerusi negeri tersebut hingga kini disesali rakyat, terutama pendokong Pakatan Rakyat (PR). Penafsiran undang-undang oleh agensi kerajaan yang sepatutnya hanya bertanggungjawab menguruskan perjalanan pilihan raya itu menjadi saham utama pengiktirafan perampasan kuasa secara tidak bermaruah oleh Barisan Nasional (BN) di Perak, Februari 2009.

Jika tidak kerana SPR menukar dirinya menjadi hakim dalam menentukan kekosongan kerusi-kerusi tersebut, kita telah pun mengalami tiga lagi pilihan raya kecil melibatkan Dun Jelapang, Behrang dan Changkat Jering.

Kes Dun Kota Siputeh, Kedah pula masih di dalam perbicaraan mahkamah. Di sana turut terserlah penafsiran berbeza peruntukan undang-undang tubuh kerajaan negeri berhubung kekosongannya.

Manakala terbaru ialah kes Dun Titi Tinggi, Perlis. Peletakan jawatan penyandangnya dari MCA sudah diketahui umum. Namun keputusan muktamad mengenainya hingga kini masih menjadi tanda tanya. Berbagai usaha di belakang tabir memungkinkan kekosongannya tidak menjadi kenyataan.

Ada kemungkinan penafian kekosongan kelima-lima kerusi tadi didorong faktor sama. Pengekalan kesemua kerusi itu memihak dan menguntungkan BN. Kekosongannya pula menjadi risiko amat besar bagi parti itu.

Kota Siputeh bukanlah kerusi selamat buat BN. Penyandangnya menang dengan majoriti tipis hanya 495 undi menewaskan calon PAS. Tiga kerusi Adun lompat di Perak itu pula pada adatnya pasti kembali ke tangan PR sekiranya diadakan pilihan raya kecil.  

Manakala milikan Titi Tinggi juga mungkin beralih tangan sekiranya berlaku perlawanan satu lawan satu dengan BN. Jangan lupa kemenangannya dengan majoriti lebih 1800 undi di sana turut dibantu kemunculan calon Bebas. Jika dicampur jumlah undi calon PKR dan Bebas, kelebihan undi BN tidak sampai pun 1,000.

Ertinya, BN berhadapan risiko amat tinggi sekiranya membiarkan kerusi-kerusi tersebut kosong dan berlakunya pilihan raya kecil. Keadaan itu sama sekali bertentangan dengan apa yang bakal dihadapi BN di Hulu Selangor.

Pada 2008, Allahyarham Dr Zainal Abidin mengalahkan Datuk Palanivel a/l K. Govindasamy dari MIC dengan majoriti hanya 198 undi. Beliau memperolehi 23,177 undi, manakala Palanivel memungut 22,979 undi.

Angka 198 itu membentuk peratusan amat kecil berbanding 63,593 pemilih berdaftar (perangkaan 2008). Kekalahan sangat tipis itu menguatkan lagi azam BN merampasnya semula dari tangan PR.

Uniknya Parlimen Hulu Selangor ini, kemenangan PKR tidak sealiran dengan keputusan di peringkat Dun. Ketiga-tiga kerusi Dun di bawahnya ditakluki BN dengan jumlah majoriti agak besar.

Dun Hulu Bernam dimenangi calon Umno dengan majoriti 3,549 undi, Kuala Kubu Baharu (MCA – 448) dan Batang Kali (Umno – 2,179). Secara logiknya, sekiranya pemilih mengundi parti sama di peringkat Parlimen, BN sepatutnya menang di Hulu Selangor dengan majoriti lebih 6,000 undi.

Fakta itu bukan sahaja menjadi dorongan BN merampasnya, malah antara sandaran munculnya suara-suara menuntut kerusi itu diberikan kepada Umno. Kononnya penolakan pengundi terhadap BN di Parlimen itu semata-mata kerana calonnya dari MIC. Kata mereka nasib BN tentu berbeza sekiranya Umno yang bertanding.

Lalu diperbesarkanlah isu komposisi pengundi di kawasan berkenaan mengikut kaum. Melayu adalah majoriti, dengan 53.9 peratus, diikuti Cina (26.7), India (19.0) dan lain-lain kaum (0.4).

Bahkan Umno seakan cuba mengulangi jalan cerita Bagan Pinang, Negri Sembilan. Jika di sana tokoh lama dan bekas Menteri Besar, Tan Sri Isa Samad dijadikan taruhan BN, di Hulu Selangor pula nama Tan Sri Muhammad Muhd Taib diulangsebut.

Kedua-dua mereka memang berkongsi banyak persamaan. Selain bekas Menteri Besar dan Pengerusi Perhubungan Umno negeri masing-masing, mereka juga bekas Naib Presiden Umno.

Kedua-dua mereka pernah menganggotai Kabinet. Malangnya mereka sama-sama dipaksa berundur dari tampuk kuasa ekoran isu kontroversi membabitkan wang. Muhammad dengan kes beg berkilo di Australia, Isa pula dengan sabitan politik wang pemilihan Umno. Tidak pula diketahui sama ada Isa menggunakan beg juga, atau guni atau mungkin kontena untuk mengangkut wang-wang itu.

Bagaimana pun, kedua-dua mereka tidak asing bagi penduduk di kawasan pilihan raya kecil dimaksudkan. Isa mewakili Dun Linggi, bersebelahan Bagan Pinang selama enam penggal bermula 1978. Muhammad pula menjadi Adun Batang Kali, salah satu Dun di bawah Parlimen Hulu Selangor, selama empat penggal antara 1982 hingga 1999.

Logiknya, sekiranya Isa mampu membuat “comeback” bergaya dan membantu melonjak nama BN di Bagan Pinang, apa kurangnya Muhammad di Hulu Selangor? Hendak dipersoalkan isu maruah memaliti Muhammad, apa bezanya dengan Isa?

Lagi pun bila masa Umno mengutamakan soal maruah? Sebab itu di ketika MIC berhempas pulas mencari formula terbaik memulihkan kekuatannya,Umno bukan menghulurkan tangan membantu, sebaliknya melanyak maruah parti rakannya itu, termasuk menuntut kerusi Hulu Selangor. Itulah rupa Umno, dulu, kini dan selamanya!

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah Bil: 0194, 4 April 2010 dengan tajuk sama)

Friday, April 2, 2010

Mengapa Umno merenyam mahukan Hulu Selangor?

oleh: Mat Zain Mat Isa

Ada sekurang-kurangnya dua faktor utama yang memungkinkan terbuaknya serakah Umno meletakkan calonnya mewakili Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor yang bakal diadakan.

Meski pun suara-suara menuntut kerusi berkenaan diserahkan kepada parti tua itu disusuli berbagai rasional yang kebanyakannya bersandarkan perkiraan kaum, dorongan sebenar tuntutan itu tidak dapat lari daripada persoalan mengembalikan imej politik dan menyerlahkan manipulasi kuasa Umno selaku parti pembuli utama dalam BN.

Pilihan raya kecil di Hulu Selangor akan diadakan tidak lama lagi ekoran kematian wakil rakyatnya dari Keadilan, Dato’ Dr Zainal Abidin Ahmad akibat barah otak, 25 Mac lalu. Pada 2008, Allahyarham mengalahkan Timbalan Presiden MIC, Dato’ Palanivel a/l K. Govindasamy dengan majoriti tipis 198 undi. Dr Zainal Abidin memperolehi 23,177 undi, manakala Palanivel mendapat 22,979 undi.

Kemenangan itu menamatkan penguasaan BN (sebelumnya Perikatan) di kerusi tersebut sejak separuh abad lalu. Namun kejayaan pakatan pembangkang merampasnya tidak begitu mengejutkan memandangkan fenomena serupa bukan hanya berlaku di situ. Angin perubahan sikap pengundi yang menghasilkan tsunami politik dua tahun lalu menyaksikan banyak kerusi tradisi BN tumbang ke tangan Pakatan Rakyat (PR).

Bagaimana pun, catatan lebih mengaibkan Umno ekoran kemenangan Allahyarham di Hulu Selangor sebenarnya ialah apabila buat pertama kalinya kawasan bermajoriti Melayu itu memiliki wakil rakyat berbangsa Melayu.

Sejak pilihan raya pertama 1959, kerusi berkenaan dimenangi Perikatan. Untuk enam penggal pertama ia diwakili silih berganti oleh empat pemimpin MCA. Bermula penggal 1986, kerusi berkenaan diserahkan kepada MIC, sehingga ia dirampas Allahyarham pada 2008.

Dr Zainal Abidin bukan sahaja Ahli Parlimen bukan BN/Perikatan pertama bagi Hulu Selangor, malah juga Ahli Parlimen Melayu pertama dalam sejarah kewujudan kawasan itu. Hakikat itulah sebenarnya yang amat memalukan Umno. Meski pun perjuangannya dipenuhi sentimen kemelayuan yang membuak-buak, parti itu belum pernah walau pun sekali berjaya meletakkan calonnya mewakili BN di kawasan bermajoriti Melayu itu.

Mengikut perangkaan 2008, komposisi pengundi di kawasan berkenaan mengikut kaum adalah 53.9 peratus Melayu, diikuti Cina (26.7), India (19.0) dan lain-lain kaum (0.4). Kesemua mereka membentuk 63,593 pemilih berdaftar.

Bagi parti-parti PR yang tidak berjuang di atas landasan kaum, soal kaum tidak menjadi nilaian utama meletakkan calonnya. Namun bagi Umno yang mendakwa juara pejuang Melayu, kegagalannya memiliki kerusi dengan komposisi sebegitu memang sesuatu yang mencalarkan dasar perjuangannya.

Kini Umno bagaikan baru tersentak dari lena yang panjang. Fakta sejarah memalukan itu telah menghantui tidurnya selama ini. Ia menjadi faktor pertama mendorong Umno kini bingkas dalam mamai, lalu merenyam-renyam mahukan kerusi Hulu Selangor diserahkan kepadanya.

Maka terhamburlah segala macam alasan dan sandaran mewajarkan tuntutan itu. Kononnya hanya calon daripada Umno yang mampu memastikan BN dapat merampas semula kerusi berkenaan.

Serakah Umno mewajarkan tuntutannya itu tidak terhenti setakat itu. Ia malah sudah mula melancarkan perang psikologi. Bukan terhadap parti lawan, tetapi terhadap parti rakannya sendiri, MIC.

Selaku penyandang kerusi berkenaan sejak lima penggal sebelum 2008, MIC merasakan adalah wajar status quo itu dikekalkan. Presiden MIC, Dato’ Seri S. Samy Vellu, siang-siang lagi menuntut kerusi itu dikekalkan sebagai milik partinya.

Umno bagaimana pun tidak mengendahkan pendirian rakannya itu. Semakin lantang kedengaran suara-suara mendesak MIC bersikap terbuka dan berlapang dada demi kepentingan BN. Kononnya parti itu sudah ditolak rakyat, termasuk kaum diwakilinya sendiri. Sedangkan Umno masih bersemayam gagah di tampuk kuasa.

Hakikat itu dikatakan bakal memudahkan BN merampas Hulu Selangor, sekiranya calon Umno yang bertanding. Bahkan ia sudah pun secara terbuka melontarkan beberapa nama pemimpin utamanya yang digambarkan amat bersesuaian dijadikan calon BN. Kononnya nama-nama itu menjadi sebutan akar umbi.

Di situlah terserlahnya satu lagi faktor pendorong Umno membuat tuntutan kerusi Hulu Selangor. Bahawa parti itu mahu menzahirkan sikapnya sebagai pembuli utama dalam BN. Kononnya ia lebih berhak menentukan sesuatu pembahagian atau pengagihan kuasa politik dalam gabungan pemerintah itu.

Sikap Umno yang meremehkan status MIC semakin terserlah. Bukan hanya ekoran tuntutan kerusi pilihan raya itu, tetapi lebih disebabkan prestasi buruk parti kaum India itu dalam pilihan raya umum lalu. Keadaan MIC sejak itu bagaikan sudah jatuh, ditimpa tangga.

Umno mengambil kesempatan atas kecederaan MIC, bukan menghulurkan tangan membantu, sebaliknya terus melanyak maruah parti itu. Di ketika MIC berhempas pulas mencari formula terbaik memulihkan sokongan kaum India kepadanya, tergamak Presiden Umno selaku Pengerusi BN secara terbuka mengalu-alukan penubuhan parti Makkal Sakti sebagai alternatif memaut sokongan kaum India terhadap BN.

Kita harap Hulu Selangor bakal menjawab persoalan apakah MIC bersedia tunduk kepada pengkhianatan Umno itu?

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1527, 2 April 2010 di ruangan 'kolumnis', F22 dengan tajuk sama)

Thursday, April 1, 2010

Hukum Allah - Masyarakat aman, wang negara terpelihara!


Muqoddimah

Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, 20 Julai lalu, menjatuhkan hukuman maksimum enam sebatan dan denda RM5,000 terhadap model sambilan dari Sungai Siput, Perak atas kesalahan meminum arak di sebuah resort di negeri itu. Keputusan itu mengundang perbahasan pro dan kontra. Polemik spontan itu turut membuka mata masyarakat untuk mengetahui lebih dekat Kanun Jenayah Syariah yang ada di negara kita. Wakil al-Muslimah, Mohd Nasir Awang, menyelongkar ilmu dan harapan peribadi Ketua Hakim Syarie Kelantan, Dato’ Aria D’Raja Haji Daud bin Mohamad mengenai isu ini serta pelaksanaan hukum Islam sepenuhnya di negara ini.

***
Mohd Nasir Awang (MNA): Ekoran kes di Kuantan tempohari, ramai ingin tahu lebih lanjut mengenai peruntukan sebat dalam undang-undang syariah negara ini. Dalam konteks Kelantan, apakah peruntukan sebat juga ada?

Dato’ Aria D’Raja (DADR): Dalam Kanun Jenayah Syariah Kelantan, kita memang ada peruntukan sebat untuk kesalahan-kesalahan jenayah syariah seperti minum arak, zina, muqoddimah zina dan liwat. Hukuman maksimumnya dipanggil 356, (iaitu) tiga tahun penjara, lima ribu (RM) denda dan enam sebatan.

Ini ada dalam Kanun Jenayah Syariah Kelantan sejak 1985 lagi. Ia sudah diluluskan dalam Dewan (Undangan Negeri), tapi penguatkuasaannya hanya setelah Pindaan Perlembagaan Akta 612A dikuatkuasakan pada 1 Januari 1986.

Sejak itu kita dah ada kaedah sebatan syariah. (Ia) dilaksanakan di Penjara Pengkalan Chepa.

MNA: Perbezaan antara sebatan syariah dengan sebatan sivil?

DADR: Sebatan syariah ini sebenarnya dari segi ukuran rotan, saiznya sebenarnya jauh berbeza dengan sebatan sivil. Dan cara sebatan juga berbeza jauh. Maknanya enam sebatan itu tidak begitu terasa sangatlah, berbanding dengan sivil. Kalau sivil, enam itu sudah parah, berat.

Saya pun melihat kes-kes sivil yang disebat di sana. Memang dari segi syaraknya tidak membenarkan cara itu (sebat sivil).

Sebab itulah bagi saya kalaulah kita kata di Kelantan ini berjalan hukuman hudud, sebat katalah 100 rotan, tidak (akan) sampai kepada kecederaan parah. Ia (hudud) boleh dilaksanakan. Sebat syariah ini tidak mencederakan, cuma untuk beri pengajaran, keinsafan kepada pesalah.

MNA: Barangkali perbezaan kaedah hukuman ini tidak difahami masyarakat, terutama bukan Islam, sehingga mereka menentang pelaksanaan hukum Islam?

DADR: Memang. Sebab itu pada permulaan Kelantan nak laksana hukuman sebat dulu, tahun 1986, Pemuda MCA bantah. Saya dijemput oleh Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) supaya hadir memberi penerangan kepada Pemuda MCA yang nak mendapat penjelasan tentang hukuman sebat ini.

Jadi saya beritahu Pemuda MCA bahawa hukuman sebat di Kelantan ini tidak melibatkan bukan Islam. (Pelaksanaannya) hanya kepada pesalah-pesalah Islam sahaja dan kalau lah tuan-tuan tahu sebatan Islam ini adalah ringan, tidak sama dengan sebatan sivil, sudah tentulah tuan-tuan akan minta di mahkamah sivil supaya sebat ikut hukuman syariah. Ia ringan, tidak menyeksa, tidak mencederakan pesalah.

MNA: Kelantan telah ada pengalaman laksanakan hukum sebat?

DADR: Ada. Kes-kes arak, muqoddimah zina, liwat dan sebagainya. Kes-kes yang patut dihukum di bawah hudud, yang ada bidang kuasa mahkamah syariah, kita adakan hukum sebat. Itu pun hanya boleh setakat enam sajalah. Sebab bidang kuasa jenayah diberikan Parlimen kepada negeri hanya tiga tahun penjara, (RM) lima ribu (denda) dan enam sebatan.

MNA: Bukankah enam sebatan untuk kesalahan minum arak itu masih jauh dari hukum Islam sebenar?

DADR: Ya, sebabnya dari segi kuasa kita (mahkamah syariah) tidak sampai kepada tahap itu (hukum Islam sepenuhnya). Kalau dari segi Islamnya 40 sebatan dan memang itulah yang muktamadnya. Ada juga pendapat yang kata 80, tapi kita ambil yang jumhur. Ulama yang ramai mengatakan 40 sebatan untuk arak.

MNA: Pun begitu, apabila hukum ini tercetus di Kuantan, kita nampak satu kegerunan dalam masyarakat. Apakah ini bukti kehebatan hukum Islam?

DADR: Sebenarnya hukum Islam ini apabila kita laksanakan sepenuhnya, terutama sekali hudud ini, Tuhan telah jamin sekiranya kita laksanakan hukum Allah ini, pencegahan itu akan datang daripada Allah. Pencegahan ini sebenarnya dari sudut khalayak ramai, dia akan rasa gerun atau takut dan sebagainya.

Jaminan Allah akan berlaku pencegahan itu mungkin dengan cara memberi hidayah, memberi inayahNya dan sebagainya kepada manusia supaya tidak menghampiri, tidak mendampingi lagi kesalahan-kesalahan itu semua apabila kita laksanakan hudud.

Sedangkan hukuman lain daripada hukum Allah ini kadang-kadang sampai mati sekali pun kita lihat tidak memberi kesan (kepada pesalah), sebab ia tidak ada jaminan daripada Allah. Manusia ini kadang-kadang makin berani, makin tak takut kepada hukuman-hukuman yang berat itu.

MNA: Dalam kes di Kuantan ini, pengakuan daripada pesalah itu sendiri turut menarik perhatian kita. Dia mahu hukuman sebat disegerakan, dia insaf dan bertaubat. Dia menyeru pula kepada semua pihak supaya mengambil pengajaran daripada kes dialaminya. Ini hasil pelaksanaan baru secebis dari hukum Islam, Dato’?

DADR: Ya lah, tidak lengkap. Sebenarnya kalau hukum Allah, minum arak ini memang seperti saya sebut tadi, 40 rotan. Maknanya yang kita laksana itu belum lagi sampai ke tahap hukum Allah, tetapi barangkali oleh kerana hukuman itu terbit daripada mahkamah syariah dan sebatan pun tidak sama dengan hukum sivil, secebis hukuman membayangkan ada sedikit ke arah hukum syarak itu, maka adalah kesan dalam hati mereka yang dilaksanakan hukum tersebut, keinsafan dan kesedaran seperti merayu supaya orang ramai merasa takut dan sebagainya, sepertimana dia juga rasa. Sedikit sebanyak barangkali (dia) mendapat pertolongan daripada Allah.

MNA: Apakah kes ini satu titik positif ke arah masyarakat lebih memahami dan menerima pelaksanaan hukum Islam sepenuhnya?

DADR: Ya, saya sentiasa menyeru kepada semua pihak dalam masyarakat, terutama pemerintah. Apabila bercakap tentang Islam, kita nak laksanakan Islam, kita menyeru supaya masyarakat ini kembali kepada ajaran Allah, selalu kita buat tilawah al-Quran, menggalakkan orang baca al-Quran, tetapi setengah perkara (tuntutan al-Quran) itu kita tidak cuba laksanakan.

Ada setengah masyarakat itu kita lihat merasa takut, kalau laksanakan hukum Allah ini (negara) menjadi huru-hara, menjadi kelam kabut, akan menjadi macam-macam perkara yang negatif. Jadi saya rasa ini semua perkara yang tidak ada asas. Sepatutnya kalau kita sedar dan jaminan Allah sendiri akan mencegah, maka saya rasa benda ini (hukum Islam) sepatutnya kita orang Islam laksanakanlah.

Kita laksanakan hukuman di Malaysia, hukuman bunuh pun banyak. Dalam Islam kalau kita katakan hukum qisas, jika sabit kesalahan berlaku pembunuhan dan dilaksanakan (hukuman), ketika itu ada tiga pilihan (menurut qisas), sama ada bunuh balas atau pun bayar diat atau pun keluarga si mati memberi maaf. Tapi dalam undang-undang sivil kini, sabit kesalahan bunuh tak ada pilihan, mandatorinya bunuh balas. Inipun kalau kita lihat dari segi Islamnya sudah jauh beza.

Saya rasa kalau kita laksanakan qisas, sudah ada tiga pilihan hukuman. Kalau dia nak terima diat, bayaran diat yang kita tetapkan, (dia boleh) pilih. Dengan itu masyarakat bukan Islam pun boleh nampak Islam ini tidak sangat nak laksanakan bunuh itu. Tidak semestinya bunuh balas.

Begitu juga kes sariqah, pencurian misalnya, kalau kita laksanakan hukum Allah sudah tentu masyarakat bukan Islam pun merasa aman. Apabila Tuhan jamin, maka orang kena satu dua kes laksanakan hukum potong tanganlah katakan, dengan sendiri masyarakat, penjenayah dan sebagainya akan rasa takut, gerun, tidak akan menghampiri lagi (kesalahan itu). Ini membawa keselamatan kepada masyarakat dan juga tidak ada kes ragut dan sebagainya.

Kita ni kelam-kabut sekarang, makin hari makin bertambah (kes jenayah). Makin hari makin manusia terutama sekali penjenayah sudah tidak takut, tidak gerun kepada hukuman-hukuman yang macam-macam dilaksana seperti penjara dan sebagainya.

MNA: Kesimpulannya, Dato’ yakin pelaksanaan hukum Islam boleh menyelamatkan negara ini?

DADR: Ya, ia menyelamatkan manusia dan menyelamatkan wang negara. Sekarang kalau kita hukum penjara, dia habis wang negara lagi. Keluarga dia, siapa nak tanggung? Tak ada siapa nak tanggung, tapi kalau kita laksanakan hukum Allah, kita laksanakan saja hukum dia boleh balik bersama keluarga dia, boleh bekerja, boleh bantu keluarga. Wang negara pun tak habis biayai makanan, minuman dan sebagainya di penjara.


Profil
Nama: Dato’ Aria D’Raja Dato’ Haji Daud bin Mohamad
Lahir: Kg Pantai Sabak, Sering, Kota Bharu, Kelantan, 1937.
Isteri: Datin Hajjah Halimah bte Hussin.
Anak: Mohd Hilmi, 43, (pegawai Petronas); Mohd Hayazin, 39 (swasta); Mohd Haris, 32 (peguam di Zaid & Co); Huda Syafinaz, 28 (Bank Negara).
Pendidikan: Sekolah Rendah Al-Falah & Sek. Men. Maahad Al-Ilmu as-Saudi di Mekah (1952-58); Universiti Al-Azhar, Mesir (Ijazah Syariah wal Qanun dan Diploma Perpustakaan, 1958-64).
Kerjaya: Pegawai di Pejabat SUK Kelantan (1964-65); Penolong Nazir Guru-Guru Agama Kelantan di Sekolah Kebangsaan (1965-69); Kadhi Jajahan Kota Bharu (1969-80); Ketua Penyelia Agama & Pendakwa Jenayah Syariah (1980-88); Timbalan Kadhi Besar Negeri (1988-90); Kadhi Besar Negeri (1990-98) dan Ketua Hakim Syarie Kelantan (1998-sekarang).

(Wawancara ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah, April 2010 di ruangan 'TOPIK' dengan tajuk sama)

Sedih orang Melayu tak hayati kehidupan Islam


Oleh: Nuwa Aitawa

TERPESONA dengan keilmuan, sikap kebapaan dan hemah tinggi seorang tok guru pondok menjadi pendorong utama dia akhirnya memeluk Islam. Namun setelah bergaul dengan orang-orang Melayu yang Islam sejak lahir memaksanya menerima hakikat bahawa tidak semua individu bergelar Muslim layak ‘ditumpanginya’ untuk lebih mendekati agama suci ini.

Itulah gambaran percanggahan dua perasaan atau tanggapan yang mewarnai kehidupan Mat Husin bin Mohamad, 50, sejak lebih 26 tahun bergelar Muslim.

Dilahirkan sebagai Sowadh Khieu Kham di Haatyai, Thailand, pada 1959, personaliti ruangan Hidayah kali ini mengakui ibu bapanya merupakan penganut agama Buddha yang sangat kuat.

Namun penghijrahannya ke Narathiwat kerana mencari pekerjaan menjadi titik pusing yang mengubah seluruh hidupnya. Tidak pernah diduganya tindakannya menyewa rumah bersebelah sebuah perkampungan pondok di daerah bermajoritikan penduduk Melayu-Islam itu akhirnya menyeret beliau mendekati Islam.

Gara-gara pegangannya yang sangat kuat terhadap ajaran agama asalnya, Mat Husin yang lebih mesra dipanggil Abe Sin memberanikan diri bersemuka dengan ‘Baba’ (panggilan bagi tok guru pondok di sana) dan berbahas mengenai Islam.

“Masa tu kita (saya) umur 21 tahun. Kerja hotel di Narathiwat. Tengok pelik orang Islam sembahyang, tapi Tuhan tak dak di depan. Tak nampak Tuhan, sembah lagu (macam) mana? Kita (penganut) Buddha, kita sembah tuhan sungguh, ada duduk depan kita,” cerita Abe Sin serius.

Hujah itu dikemukakannya kepada Baba. Hujah balas tok guru itu bagaimana pun membuatkan Abe Sin tergamam.

“Baba tanya kita balik, mu tahu dak api (elektrik) ada? Memang api ada, sebab bila buka suis, nyala (lampu). Ada mu nampak api? Tak nampak pun kena percaya api ada,” Abe Sin mengimbau salah satu sessi perbahasannya dengan Baba itu.

Sejak itu banyak perkara yang tidak difahaminya berkaitan Islam dipersoalkannya, sambil di masa sama cuba membuktikan bahawa ajaran agamanya adalah lebih baik.

Sessi-sessi perbahasan itu berlanjutan hampir tiga tahun. Namun, kata Abe Sin, tidak pernah walau sekali pun Baba mengajaknya memeluk Islam. Dia hanya menerangkan kebaikan dan kelebihan Islam.

“Dah dekat tiga tahun, kita rasa nak masuk Islam. Royat (beritahu) kat Baba, dia kata, mu kalau nak masuk Islam baik pergi duduk di Malaysia. Di sana Islam bagus. Mu duduk sini kerja hotel, makan belaka, minum belaka, tak boleh jadi Islam baik,” cerita Abe Sin lagi.

Baba turut menguruskan pembikinan pasport untuknya. Tok guru itu juga memberikan sejumlah wang untuk tambang dan perbelanjaannya di Malaysia. Sifat kebapaan Baba itu kekal mengusik perasaan Abe Sin hingga kini.

Beliau datang ke Kuala Besut, Terengganu. Seorang penduduk tempatan bermurah hati mengambilnya sebagai anak angkat. Belum genap seminggu berada di negara ini, Abe Sin melafazkan syahadah.

Detik penting pada 1983 itu memulakan episod baru hidupnya sebagai seorang Muslim. Ia juga sebenarnya permulaan satu kepayahan baginya mendalami dan menghayati ajaran Islam dalam kehidupannya.

“Tak leh (boleh) tumpang... setengah tu (orang Melayu) berat (teruk) daripada kita lagi,” luah Abe Sin penuh kecewa.

Beliau maksudkan sebilangan orang-orang Melayu yang menjadi rakan atau hidup di sekelilingnya yang lebih buruk perangai mereka daripada dirinya yang baru memeluk Islam. Penghayatan Islam mereka, sama ada pada memberati ibadat wajib atau suruhan dan larangan agama, sangat mendukacitakan.

Maka jangan dikatakan untuk Abe Sin menumpang belajar dari mereka, untuk mengurus diri mereka sendiri agar mematuhi Islam pun mereka tidak mampu.

Ditanya, tidakkah ada pertubuhan khusus dinaungi kerajaan untuk membimbing dan menunjuk ajar saudara baru Islam, beliau tanpa ragu mengakui itulah pihak yang paling mendukacitakannya.

Menurut pengakuan Abe Sin, setelah sekian lama mengikuti sessi pengajian dikendalikan pertubuhan tersebut, beliau dapati penekanan tidak diberikan agar saudara baru Islam benar-benar memahami dan mengamalkan Islam.

“Contohnya, dia (tenaga pengajar) tanya kita berapa rukun sembahyang, ambil air sembahyang lagu mana. Sembahyang Zohor berapa rakaat, Asar berapa rakaat. Itu je, macam jawab periksa. Dia tak suruh kita buat (praktikal), lepas tu tegur betul ke tak betul,” katanya.

Menurut Abe Sin, hal itu menyebabkan ada di kalangan saudara baru Islam masih tidak betul mengambil wuduk, mengerjakan solat atau membaca al-Fatihah, walau pun sudah lebih 10 tahun memeluk Islam.

Mahu tidak mahu beliau terpaksa mengambil inisiatif sendiri mencari orang yang boleh mengajarnya secara terperinci dan berkesan. Mujur juga seorang imam di Masjid Kuala Besut menawarkan diri mengajar Abe Sin tentang Islam, terutama berkaitan pengetahuan asas fardhu ain.

Di situlah beliau diajar secara teori dan amali cara-cara mengambil wuduk, cara mandi junub, mengerjakan solat dan berbagai lagi.

Meski pun belum berpeluang mengkhatam al-Quran, Abe Sin bersyukur kerana ditetapkan iman. Beliau tidak jemu mendalami agamanya menerusi ceramah dan kuliah agama di sekitar kampungnya.

Di rumahnya di Kampung Pengkalan Nyireh, Besut, Abe Sin adalah bapa dan juga ibu kepada sembilan anaknya. Isterinya, Sharifah binti Mohamad baru meninggal dunia Februari lalu akibat komplikasi darah tinggi dan serangan jantung.

Anak sulungnya, Mariam, 24, kini bertugas sebagai guru di Kuala Lipis. Anak kedua, Aminah, 23, seorang pembantu tadbir di Kuala Terengganu. Ahmad Fadli, 21, pula seorang askar wataniah di Besut.

Anak-anaknya yang lain ialah Ahmad Israk, 20; Mohd Ehsan, 18; Norhanani, 17; Nor Aisyah, 14; Mohd Shafawi, 12 dan Mohd Alif Firdaus, 8 tahun.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah, April 2010 di ruangan 'Hidayah' dengan tajuk sama)