Friday, March 6, 2009

Iktibar dari mi udang di Bukit Gantang


Oleh: Mat Zain Mat Isa

BEBERAPA hari lalu penulis menumpang rombongan PAS Kawasan Besut berwisata ke Bukit Gantang, Perak. Tempat dituju itu akan menyaksikan pilihan raya kecil, 7 April nanti ekoran kematian Ahli Parlimennya dari PAS, Haji Roslan Shaharum akibat serangan jantung, 9 Februari lalu.

 PAS Besut diputuskan membantu gerakerja pilihan raya di Unit Peti Undi (UPU) Pekan Bukit Gantang. Di samping membuat tinjauan awal dan bertaaruf dengan para aktivis tempatan, rombongan itu juga mengenalpasti beberapa keperluan asas untuk pasukannya berkampung di situ mulai pertengahan bulan ini.

Kerja-kerja persiapan awal, terutama mendirikan pos dan mempersiapkan markas pilihan raya kelihatan sudah bermula di kedua-dua pihak bakal bertanding. Kelihatan juga di sana sini deretan bendera Barisan Nasional (BN) dan PAS menghiasi laluan.

Namun agak di luar jangkaan, selain pameran beberapa helai pemidang menyentuh isu kemelut politik negeri itu, lain-lain reaksi agak hambar.

“Orang Melayu kat sini nampaknya dah tak makan isu. Bagi mereka, derhaka ke tak derhaka, kami macam ni juga,” jelas Ustaz Abdullah Hussin, dalam taklimat ringkasnya kepada rombongan PAS Besut, Ahad (1 Mac) lalu.

Beliau adalah antara tenaga penggerak utama jentera pilihan raya PAS di UPU Pekan Bukit Gantang. Juga salah seorang aktivis peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun) Changkat Jering dan Kawasan Bukit Gantang.

Daerah Mengundi Pekan Bukit Gantang mempunyai lebih seribu pemilih berdaftar, termasuk hanya tujuh orang dari kaum Tionghua.

Kami dimaklumkan, UPU itu telah pun dimenangi PAS pada 2004 lalu. Meski pun majoritinya tidak sampai 100 undi, kelebihan itu berjaya dikekalkan dan turut membantu kemenangan Allahyarham Roslan, tahun lalu.

Ustaz Abdullah menjangkakan keadaan itu tidak akan banyak berubah awal bulan depan. Beliau menyifatkan pengundi kawasan itu sebagai pengundi tegar. Masing-masing telah ada pilihan dan sudah sekian lama menyokong parti-parti pilihan mereka.

Sebab itu baginya apa isu sekali pun yang berlaku, sama ada peringkat negeri mahu pun negara, orang BN akan tetap berkarat dengan BN dan orang PAS sudah tentu kekal memilih PAS.

Berbekalkan kelebihan yang telah memihak PAS, keadaan tegar itu tidak menyukarkan parti itu mengekalkan kemenangan di daerah mengundi berkenaan.

UPU Pekan Bukit Gantang mungkin bukan sampel terbaik untuk keseluruhan parlimen berkenaan. Namun potensi kemenangan PAS diramal lebih besar jika diambilkira peratus pengundi bukan Melayu lebih tinggi di daerah-daerah mengundi lain. Diakui kumpulan pengundi bukan Melayu jauh lebih sensitif terhadap isu semasa berbanding pemilih Melayu.

Di kalangan pengundi Melayu pula, golongan muda lebih terbuka dalam pemikiran dan pergaulan, serta peka terhadap perkembangan semasa. Analisis terhadap keputusan pilihan raya sebelum ini juga membuktikan saluran-saluran pengundi bawah 45 tahun cenderung memihak parti-parti pembangkang.

Sebab itu manipulasi dan pengolahan isu masih ada peranan mencorakkan kecenderungan dua sektor pengundi ini. Sedangkan isu-isu politik dan sosio-ekonomi mutakhir ini tidak memihak BN.

Justeru, apabila para pemimpin parti itu kerap mengulangsebut mengenai hasrat memilih anak tempatan Bukit Gantang sebagai calonnya, ia dinilai sebagai usaha BN menjadikannya isu pilihan raya.

Kata orang, cakap orang politik selalunya ‘ada udang di sebalik batu’. Atau dalam ungkapan moden yang diubahsuai sebagai ‘ada udang di sebalik mi’. Barangkali suara BN itu saraf terhadap PAS yang mengura-urakan seorang tokoh muda dari luar kawasan berkenaan sebagai calonnya.

“Pengundi di Bukit Gantang ni sebenarnya sudah mangli dengan calon luar. Kami dah tak kisah. Selama ini pun semua wakil rakyat kami adalah orang luar,” jelas Ustaz Abdullah lagi.

Menurut rekod, dua bekas Ahli Parlimen BN sebelum ini adalah dari Kinta (wakil Umno) dan Sungai Siput (Gerakan). Sebab itu Allahyarham Roslan diterima baik, meski pun beliau juga ‘orang luar’ Bukit Gantang.

Hakikat itu dijangka menggagalkan sebarang usaha BN memanipulasi isu calon luar. Maka strategi udang di sebalik mi tadi mungkin tidak akan menjadi.

Menariknya, di kesempatan wisata itu juga penulis dan rakan-rakan turut menikmati mi udang yang tersohor di situ. Istimewanya mi udang Bukit Gantang, anda perlu menyelak udang bagi mendapatkan minya.

Lebih tepat lagi, ia sudah jadi ‘ada mi di sebalik udang’ dan bukan lagi ‘ada udang di sebalik mi’.

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah, 6 Mac 2009 dengan tajuk sama. Ia turut dipaparkan laman detikdaily.net  pada Khamis, 5 Mac)

Sunday, March 1, 2009

Penguatkuasaan tali pinggang penumpang belakang


Meneliti punca sebenar kemalangan dan penyelesaiannya

Oleh: Mohd Nasir Awang

TAHUN baru datang lagi. Selain diikuti tradisi memulakan penggal baru persekolahan, kedatangan tahun baru juga sering dijadikan tarikh keramat untuk sesuatu tujuan penting.  Antaranya termasuk bagi memulakan penguatkuasaan sesuatu peraturan atau undang-undang yang baru diperkenalkan.

Dalam konteks itu, tarikh 1 Januari 2009 akan sentiasa diingati sebagai bermulanya penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar belakang bagi penumpang kenderaan persendirian. Undang-undang itu diluluskan Parlimen pada Februari tahun lalu di atas premis mengurangkan jumlah kes kemalangan dan kematian jalan raya.

Negara kita memang diketahui mempunyai rekod kemalangan jalan raya dan kematian di antara yang tertinggi di dunia. Saban tahun kita mencatatkan sekitar 6,000 kes kemalangan.

Setiap kali musim perayaan, kita sering dikejutkan dengan laporan kemalangan jalan raya yang ngeri dan meragut ratusan nyawa. Mangsanya dari penunggang motosikal, pemandu kenderaan persendirian, pengguna pengangkutan awam dan perdagangan hinggalah pejalan kaki.

Pelbagai usaha dijalankan oleh pihak berkuasa bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.  Daripada Ops Statik dan Ops Pacak, polis trafik melancarkan pula Ops Sikap dalam usaha mengubah sikap pengguna jalan raya supaya sama-sama mengurangkan kemalangan.

Di atas hasrat sama, kerajaan memperkenalkan pemakaian tali pinggang keledar belakang.  Menurut peruntukan undang-undang itu, penumpang kereta di belakang yang tidak memakai tali pinggang keledar boleh dikenakan saman maksimum RM300, manakala penalti tidak melebihi RM2,000 atau maksimum setahun penjara atau kedua-duanya.

Bagi memulakan penguatkuasaan peraturan itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melancarkan operasi serentak di 28 lokasi di seluruh negara bermula tengah malam menjelang tahun baru.  Seramai 242 pemandu kereta disaman apabila penumpang mereka tidak mengenakan tali pinggang keledar belakang.

Selain mempersoalkan kadar saman yang agak tinggi dan membebankan pengguna, masyarakat umum juga mempersoalkan sejauh manakah keberkesanan penguatkuasaan itu dalam mengurangkan jumlah kemalangan. Lebih spesifik lagi, pihak-pihak bertanggungjawab ke atas keselamatan jalan raya disaran mengadakan kajian terperinci dan mengemukakan hasil kajian tersebut bagi membuktikan bahawa punca kemalangan dan kematian memang ada kena-mengena dengan tidak memakai tali pinggang penumpang.

Hujah-hujah dikemukakan bagi mengukuhkan pertikaian itu juga agak menarik. Kata mereka, sama ada penumpang memakai tali pinggang keledar atau tidak, ia tidak memberi kesan atau gangguan kepada pemanduan. Sebuah kenderaan yang bergerak adalah sepenuhnya bergantung kepada kendalian pemandunya.

Kesan kepada penumpang yang tidak memakai tali pinggang keledar hanya dirasai selepas kemalangan berlaku. Penumpang belakang mungkin terhantuk ke depan atau tercampak keluar.  Ertinya, kesalahan penumpang tidak memakai tali pinggang keledar bukan punca berlaku kemalangan. Cuma diakui ia boleh menyumbang kepada kesan lebih buruk setelah kenderaan dinaiki terlibat dalam kemalangan.

Lagi pun, memang dapat dibuktikan sekian banyak kes kemalangan dan kematian akibatnya turut melibatkan mereka yang memakai tali pinggang keledar. Kes kemalangan ngeri melibatkan tiga kenderaan dan 10 kematian dekat Gua Musang, Kelantan, awal Januari lalu boleh dijadikan contoh.

Meskipun siasatan awal pihak polis mendakwa penumpang belakang yang maut tidak mengenakan tali keledar, laporan media juga menyebut beberapa mayat mati dalam keadaan tersepit di celah kenderan mereka yang remuk.

Hakikat itu menimbulkan tandatanya. Jika benar kematian mereka disebabkan tidak memakai tali pinggang keledar, apakah dengan memakainya mereka akan dapat mengelakkan maut, walaupun badan mereka dihimpit sedemikian rupa?

Begitu juga, kemalangan maut melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal. Bukankah sebahagian kes kematian mereka turut melibatkan pengguna yang mengenakan topi keledar?

Hakikat itu jelas menunjukkan bahawa pemakaian tali pinggang keledar dan topi keledar bukan pelindung daripada kemalangan dan bukan juga jaminan tidak berlaku kematian apabila kenderaan dinaiki pengguna itu terlibat dalam kemalangan.

Maka, apakah sebenarnya punca utama kemalangan dan bagaimanakah cara terbaik menyelesaikannya? Mungkin kenyataan Ketua Pengarah Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Suret Singh, dapat memberikan kita sedikit panduan mencarinya.

Dalam satu kenyataannya, di tengah kesibukan kempen pemanduan berhemat sempena Ops Sikap menjelang sambutan Hari Raya Idul Fitri beberapa bulan lalu, Suret antara lain menyebut tentang sasaran pihaknya mencapai kematian sifar suatu ketika nanti. Katanya, sasaran itu hanya akan dapat dicapai setelah kita ada “pemandu bertaraf lima bintang di dalam kenderaan lima bintang di atas jalan raya lima bintang”.

Kenyataan beliau itu secara tidak langsung menggariskan tiga faktor utama mengelak (atau mendorong) kemalangan iaitu kondisi jalan raya, kenderaan dan sikap pemandu. Maka penyelesaian kepada kes kemalangan juga sepatutnya diasaskan kepada mempertingkatkan pencapaian tahap terbaik ketiga-tiga faktor itu.

Paling penting ialah memperbaiki sikap pengguna agar lebih berhemat dan bertimbang rasa kepada pengguna lain. Kesedaran sivik itu mungkin dirasakan dapat dicapai menerusi saman dan denda. Namun cara terbaik ialah mempertingkatkan kaedah mendidik masyarakat tentang baik-buruk sikap mereka semasa memandu, termasuk menyelitkan soal dosa dan pahala dalam setiap perbuatan manusia.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan Al-Muslimah, Mac 2009 di ruangan ‘pendapat’ dengan tajuk sama)

Sunday, February 1, 2009

“Andai kami jadi beban, bunuhlah kami!”


Oleh: MOHD NASIR AWANG

HADIRIN ke dewan besar Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) di Kota Bharu petang itu memang tidak mengharapkan suasana ceria. Narasi derita sengsara umat Palestin oleh Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd Azmi Abdul Hamid, cukup mengusik sanubari lebih seratus hadirin ke sesi ceramah khas isu berkenaan.

Sebak dadanya yang sesekali terzahir menerusi gumpalan suaranya tambah membungkam suasana. Hamburan hawa dingin ke serata dewan itu juga gagal menghalang dada hadirin daripada menggelegak dek kezaliman dan kerakusan Israel.

Ternyata bekas guru yang pernah diberi jolokan “Lelaki Melayu Terakhir” itu amat menghayati mauduk diperkatakannya. Seperti lazimnya, Cikgu Azmi mengenakan kain pelikat, baju Melayu dan songkok. Namun pakaian tradisi itu sedikit pun tidak merendahkan wibawanya menyampaikan butir ucapan yang mengesankan.

Apatah lagi ucapannya petang itu disulami kisah-kisah derita disaksikannya sendiri. Dalam kunjungannya ke bumi bergolak itu, beliau sempat berbicara dengan umat Palestin dan menyelami keterbukuan hati mereka terhadap sikap dunia.

“Apa tujuan tuan-tuan datang ke mari? Kalau sekadar nak tinjau-tinjau, lebih baik balik saja!”, ujar seorang remaja 16 tahun.

Demi Allah, akui Cikgu Azmi, rasa malu, kecewa dan pedih hatinya dengan sergahan remaja itu tidak dapat digambarkan. Namun itulah penegasan yang beliau rasa paling sesuai dan tepat bagi menggambarkan rasa jelak dan muak umat Palestin terhadap dunia. Apa sangat yang dibuat pihak berkuasa antarabangsa bagi menyelesaikan derita mereka?

Ketika kisah itu diceritakan, keganasan tentera Israel ke atas penduduk Semenanjung Gaza sudah berlanjutan hampir dua minggu. Angka korban di pihak Palestin sudah melebihi 500 orang, kebanyakannya orang awam. Seramai 1,500 lagi dilaporkan cedera. Namun ketika itu dunia belum mencapai kata putus menghentikan kebuasan Israel.

Serangan bertubi-tubi dimulakan negara teroris itu 27 Disember lalu menerusi udara. Meski pun mendapat bantahan dan kecaman antarabangsa, Israel tetap mempertingkatkan kekejamannya. Bermula malam 3 Januari, mereka mula meranapkan bumi Gaza menerusi jalan darat pula.

Bantahan terhadap kekejaman itu memuncak. Tanpa mengira bangsa dan agama, rakyat seluruh dunia yang cintakan keamanan menuntut serangan itu dihentikan serta-merta. Namun setakat itu, tiada bantuan kemanusiaan dapat disalurkan masyarakat antarabangsa.

Ketidakupayaan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Liga Arab, serta kelewatan tindakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menangani keadaan itu membuka ruang seluasnya untuk Israel mengganas sepuasnya.

Usaha damai dan cadangan gencatan senjata pada awalnya digagalkan Amerika Syarikat (AS), menggunakan kuasa vetonya. Itulah antara punca utama yang menambah keangkuhan Israel. Ia bagaikan diberi “lesen besar” untuk melakukan apa sahaja ke atas Palestin. Sebarang usaha menggugat kepentingan atau mengancam kekuatannya akan dihalang AS.

Sikap tidak bertanggungjawab AS itu mengiyakan pandangan bahawa usaha menentang Israel tidak akan berhasil sekiranya serentak itu dunia tidak sama-sama bertindak terhadap AS. Negara itu adalah saham utama keganasan Israel dan sama-sama menjadi musuh utama keamanan dunia.

Kerakusan Israel tidak pernah kendur semenjak ia dimulakan di bumi Palestin pada 14 Mei 1948. Apa dipedulikannya dengan puluhan perjanjian dan piagam yang dipersetujui PBB? Berbagai kutukan dan kecaman dari seluruh dunia langsung tidak meninggalkan kesan kepada mereka.

Israel tidak mengenal erti damai. Keganasan pemikiran dan hati mereka mengatasi keganasan binatang buas di hutan rimba. Sebarang usaha berdamai dengan bangsa itu hanyalah membuang masa.

Sebab itu apa juga tindakan diplomatik tidak berupaya meredakan keganasannya. Sebaliknya, ia terus meningkat dari hari ke hari. Gencatan senjata diumumkan minggu lalu hanya menyaksikan lebih banyak kematian di pihak Palestin. Bumi Gaza pula sudah hancur lumat tidak ubah padang jarak padang tekukur.

“Kami bukan mahu duit. Tak ada benda boleh dibeli di sini. Duit tak ada nilai. Kalau nak tolong kami, hantarlah tentera”, luah seorang penduduk Gaza, sebagaimana diceritakan Cikgu Azmi.

Dalam hal ini, ada benarnya pandangan beberapa pihak agar dunia mengambil tindakan lebih tegas, termasuk mengenakan sekatan ekonomi dan tindakan ketenteraan ke atas Israel. Masa untuk sekadar melontarkan kutukan dan kecaman dalam ucapan atau menerusi demonstrasi jalanan sudah berlalu.

Seluruh dunia yang cintakan perdamaian dan keamanan, terutama dunia Arab dan Islam, wajar sepakat dan bersependirian dalam hal ini. Selama mana dunia tidak bertindak dengan lebih berani, selama itulah keangkuhan dan kekejaman Israel akan terus meningkat.

Tidak menghairankan jika dalam keadaan itu, umat Palestin mengambil sikap lebih baik mati daripada terus hidup dalam sengsara. Itulah ungkapan yang dihamburkan sekumpulan pelarian Palestin di tengah-tengah padang pasir Iraq, sebagaimana turut diceritakan Cikgu Azmi.

“Andainya kami ini menjadi beban kepada dunia, bunuh sajalah kami! Tuan-tuan pun nanti tidak perlu susah-susah memikirkan masalah kami”, rintih mereka.

Ampun Tuhan! Betapa kerdilnya terasa jiwa dan kudrat yang ada pada hamba-Mu ini sehingga tidak mampu berbuat sesuatu bagi menyelamatkan saudara seagama yang dianiayai.

Jangan dikatakan untuk menghantar bala tentera bagi membela nyawa dan maruah saudara di bumi bergolak itu, usaha di negara sendiri memboikot barangan AS yang menyumbang kepada keganasan itu pun berhadapan bermacam kerenah dan “songel”.

Demi Allah, jika masih ada antara umat Islam di luar sana yang tidak berkongsi walau sedikit pun sengsara Palestin, sah lah mereka itu jenis manusia berhati batu dan bertelinga kuali. Atau mungkin mereka itu memang suku-sakat Yahudi Israel dan anjing-anjing Amerika kepara itu!

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah, 1-7 Februari 2009 di kolum ‘Perspektif’ dengan tajuk sama)

JKKK “Jong Kucar-Kacir Kampung?” Dah lama dah!


Oleh: ANUWA JAMALULLAIL

ADA benarnya kata-kaya yang sering diucapkan Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu, dalam banyak ceramahnya bahawa pemikiran para pemimpin Umno dan Barisan Nasional sentiasa ketinggalan berbanding saingan mereka dalam PAS. Sama ada dalam menanggapi isu-isu semasa mahu pun melaksanakan pembaharuan dan perubahan positif dalam pemerintahan, apa yang diulas dan dilaksanakan PAS selalunya mendahului kemampuan daya fikir pemimpin parti lawannya itu.

Tidak keterlaluan jika ditegaskan bahawa isu salah laku dan penyelewengan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Terengganu, sebagaimana digemariuhkan kalangan pemimpin Umno sendiri minggu lalu, menyerlahkan lagi hakikat itu.

Ekoran kekalahan memalukan BN dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari, pelbagai pihak mengemukakan analisis dan hasil kajian masing-masing. Para pemimpin BN negeri yang merasa amat terpukul apabila parti mereka ditolak rakyat Kuala Terengganu bagaikan tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa. Masing-masing cuba mencari sebab-musabab dan saling salah-menyalahkan antara sesama mereka.

Selain calon BN yang dipersalahkan atas keperibadiannya yang tidak ‘mesra rakyat’ dan gagal menandingi kewibawaan calon PAS, pihak seterusnya dipersalahkan ialah pemimpin BN dan Umno peringkat akar umbi. Mereka juga didakwa tidak ‘mesra rakyat’ dan banyak melakukan perkara-perkara yang menyebabkan pengundi semakin muak dengan BN.

“Kita percaya antara punca menyebabkan rakyat menolak Umno dan BN adalah disebabkan sikap pengerusi JKKK yang tidak dapat diterima rakyat”, tegas Timbalan Ketua Penerangan Umno Terengganu, Che Azmi Abdul Rahman, Sabtu (24 Januari) lalu.

Katanya, sekiranya JKKK benar-benar berkhidmat memenuhi keperluan dan menjaga kebajikan rakyat, sokongan terhadap Umno di setiap kawasan tidak akan menunjukkan kelemahan ketara, walau pun tidak kesemuanya menyokong kerajaan.

Komen terbuka Che Azmi itu mengundang reaksi Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, dua hari kemudian. Beliau mengakui memang wujud kes salah guna kuasa di kalangan pengerusi JKKK dan berjanji akan melakukan siasatan terperinci mengenainya, termasuk hubung kait dengan kurangnya sokongan rakyat terhadap BN.

“Kadang-kadang persaingan politik berlaku. Sebab itu ada kalangan JKKK kalau orang itu pernah bertanding menentang dia, bantuan tidak akan diberi walau pun individu itu orang Umno”, akui Ahmad.

Pengakuan itu sekaligus mengiyakan apa yang selama ini didakwa. Bahawa amalan diskriminasi dan pilih kasih oleh JKKK, terutama terhadap penyokong PAS adalah lumrah. Logiknya, kalaulah dengan sesama Umno pun, pengerusi JKKK sanggup menindas dan pilih kasih, apatah lagi terhadap anggota parti lawan?

Di Terengganu, institusi JKKK sekian lama sinonim dengan Umno cawangan. Tidak akan ada mana-mana anggota JKKK melainkan dia ahli parti pemerintah itu. Malah pengerusinya selalunya adalah ketua Umno cawangan berkenaan.

Seorang penulis politik pernah membuat kaji selidik mengenai perpecahan masyarakat di Terengganu pada akhir 70-an dan awal 80-an dulu. Abdul Razak Ayub mengabadikan hasil kajiannya itu dalam buku ‘Perpecahan Bangsa Melayu’. Ia diterbitkan Dewan Pustaka Fajar pada 1985.

Setelah menyaksikan dan meneliti sendiri pergolakan masyarakat di Terengganu, beliau tidak teragak menyimpulkan bahawa JKKK adalah antara faktor utama yang memecah belah masyarakat, terutama di atas garisan fahaman politik mereka.

“Ini adalah kerana, dalam banyak hal, keputusan-keputusan dan kegiatan-kegiatan JKKK dipengaruhi oleh orang-orang politik pemerintah. JKKK kadang kala bertindak seolah-olah ia adalah sebahagian dari sayap parti pemerintah dan dalam konteks Terengganu, bergerak sebagai satu unit Umno. Secara tidak langsung ia meruncingkan lagi masalah (perpecahan politik) yang sedia ada”, tulisnya.

Di antara tugas JKKK Terengganu yang ditemui kajiannya ialah melaporkan kegiatan-kegiatan parti lawan (PAS) yang dianggap tidak sihat dan mencurigakan. JKKK adalah “watch dog” kerajaan.

Melantik penyokong-penyokong Umno menganggotai JKKK bukanlah salah, tetapi masalah yang timbul ialah bila mana keputusan-keputusan yang dibuat oleh JKKK kerap kali berat sebelah dan menguntungkan penyokong-penyokong parti pemerintah, sekali gus mengenepikan serta menafikan hak-hak penyokong parti pembangkang.

“Penyokong-penyokong PAS sering mengadu tentang ketidakadilan dan diskriminasi politik yang dilakukan oleh JKKK. Kontroversi ini banyak berkait dengan pemberian subsidi-subsidi”, hurai Abdul Razak lagi.

Akibatnya, institusi JKKK di Terengganu sinonim dengan pembolotan projek, autokrasi, diskriminasi, kronisme dan nepotisme. Perlakuan negatif mereka itu menyebabkan suasana kampung menjadi kucar-kacir.

Di situlah timbul istilah “Jong Kucar Kacir Kampung” sebagai akronim lain untuk JKKK. “Jong” dalam bahasa Terengganu bermaksud “orang yang melakukan sesuatu kerja” atau “tukang”.

Istilah ini telah lama dilaungkan para pemimpin dan penyokong PAS, terutama di Terengganu. Sebagai pihak yang menjadi mangsa paling utama akibat diskriminasi dan penindasan politik oleh JKKK, luahan itu bukan sekadar dakwaan. Ia adalah manifestasi rasa keterasingan mereka akibat salah guna kuasa dan kerakusan pemimpin Umno.

Malangnya, baru hari ini para pemimpin Umno/BN mahu mengakui bahawa memang JKKK antara punca masalah berlakunya suasana kucar-kacir di kampung-kampung. Dah lama dah orang PAS sebut perkara itu. Namun parti itu (Umno/BN) nampaknya nak tunggu kalah pilihan raya baru nak sedar dan akuinya.

Hakikat itu sekali gus membenarkan apa yang telah lama disebut Mohamad Sabu dan para pemimpin PAS lain bahawa pemikiran orang Umno/BN sentiasa terlewat dan ketinggalan. Dalam kes JKKK ini, tempoh kelewatan itu hampir 30 tahun!

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah, 1-7 Februari 2009 dengan tajuk sama)

Friday, January 16, 2009

Ahmad Said, Shabery Cheek jahil fakta sejarah?


Oleh Mat Zain Mat Isa


Nampak sangat Barisan Nasional (BN) sudah kehabisan modal dalam menghadapi asakan bertubi-tubi daripada PAS di Kuala Terengganu sekarang, sehinggakan para pemimpinnya tidak sempat membuat pertimbangan wajar sebelum bercakap.

Dalam keadaan sangat terdesak oleh pertarungan sengit kini, BN tanpa segan silu sanggup memperdaya rakyat, termasuk dengan memutarbelit fakta-fakta berkaitan sejarah politik negara dan negeri.

Tambah sedihnya, pembohongan dan putarbelit itu bukan saja dibuat para pemimpin peringkat bawahan, bahkan oleh pemimpin utama bertaraf menteri besar dan menteri kabinet sendiri.

Dalam ceramah politik di salah satu peti undi dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Wakaf Mempelam, baru-baru ini, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said seakan kembali kepada tabiat lamanya yang suka menyerang PAS secara membuta tuli.

Beliau tergamak menyifatkan orang-orang kata orang-orang PAS sebagai pembohong. Beliau mendakwa ada orang PAS kata mereka tidak berhutang apa-apa dengan Umno kerana Umno tidak pernah berjasa kepada mereka.

Kita tidak tahu apakah betul ada orang PAS yang kata begitu. Ataukah ia sekadar satu lagi kes “orang Umno kata orang PAS kata”, seperti mana lazim berlaku sebelum ini. Kalau setakat mahu mendakwa ada orang itu kata begini, orang ini kata begitu, semua orang boleh kata, bukan? Kitapun boleh kata macam-macam juga. Soalnya, adakah orang itu memang ada kata macam yang kita kata itu? Itu satu.

Yang kedua dan lebih menyedihkan ialah apabila Ahmad tergamak memutarbelitkan fakta, semata-mata bagi menyokong hujahnya itu. Katanya, PAS patut berterimakasih kepada Umno kerana hanya Umno yang perjuangkan kemerdekaan negara.

“Dulu Umnolah yang memperjuangkan kemerdekaan negara hingga bebas dari penjajah. Tak ada PAS masa itu, tak ada DAP, tak ada Keadilan,” kata dia.

Dari mana menteri besar ini ambil fakta ini? Kita akui bila Malaysia merdeka tahun 1957, DAP belum ditubuhkan. Parti KeADILan pula memang belum ada. Ia hanya wujud selepas Tun Dr Mahathir Mohamad dan seluruh rank-and-file Umno menzalimi Dato’ Seri Anwar Ibrahim, 1998.

Namun semua orang yang mengaji sejarah tahu PAS sudah ada sejak tahun 1951. Bahkan dalam pilihan raya umum pertama 1955, PAS sudah meletakkan calonnya di beberapa negeri hampir seluruh negara. Sudah ada kerusi dimenangi PAS ketika itu, di Parlimen Krian, Perak. Wakil tunggal PAS itu jadi pembangkang tunggal di Parlimen. Rasanya budak mumbang di sekolah menengah pun tahu fakta itu. Masakan seorang menteri besar tidak tahu?

Kebetulan atau tidak, di hari sama juga seorang menteri kabinet, juga dari Kemaman (satu daerah dengan menteri besar) turut bercakap tanpa fakta mengenai PAS. Dia mendakwa waktu PAS memerintah Terengganu dulu, parti itu berjanji untuk meminda perlembagaan negeri bagi membolehkan dilantik Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada kaum Cina.

Malangnya, kata Dato’ Ahmad Shabery Cheek, PAS tidak pernah mengotakan janji itu. Lalu dia membuat kesm[impulan mudah berdasarkan kejahilan fakta itu, kononnya PAS memang tidak pedulikan kepentingan kaum Cina.

Ini juga satu lagi kes pemimpin yang perlu diajar tentang fakta sejarah politik negara. Sedangkan perkara itu memang telah disempurnakan kerajaan PAS dulu.

Melalui Sidang Dun pada 24 April 2003, kerajaan Terengganu di bawah PAS telah meluluskan Enakmen Bagi Meminda Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu (Bab Yang Pertama) (Pindaan) 2003 yang dikemukakan Adun PAS-Batu Burok, Dato’ Wan Abdul Muttalib Embong.

Enakmen ini bagi membolehkan DUN Terengganu melantik Adun dari kalangan wanita dan bukan Islam, apakala tiada antara mereka yang terpilih melalui pilihan raya. Syarat lantikan tersebut ialah dengan mendapat sokongan daripada sekurang-kurangnya tujuh Ahli Dewan.

Itu faktanya. Ia sekaligus membuktikan kerajaan pimpinan PAS sentiasa prihatin mengenai perjuangan nasib kedua-dua sektor masyarakat tersbeut (wanita dan bukan Islam) dan mahu suara mereka diwakili sebaik-baiknya di peringkat tertinggi dalam negeri (sidang Dun).

Malang sungguh bagi Terengganu. Ada menteri besar pun, buta sejarah. Satu-satunya menteri kabinet yang ada pun, dua kali lima saja!

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah, 16 Januari 2009 dengan tajuk sama. Ia dikesan turut dipetik laman SiasahDaily, (pada 10 Januari?) tetapi dengan membuat sedikit ubahsuai dan meletakkan nama Penulis Khas (tanpa merujuk penulis asal)).