Friday, March 6, 2009

Iktibar dari mi udang di Bukit Gantang


Oleh: Mat Zain Mat Isa

BEBERAPA hari lalu penulis menumpang rombongan PAS Kawasan Besut berwisata ke Bukit Gantang, Perak. Tempat dituju itu akan menyaksikan pilihan raya kecil, 7 April nanti ekoran kematian Ahli Parlimennya dari PAS, Haji Roslan Shaharum akibat serangan jantung, 9 Februari lalu.

 PAS Besut diputuskan membantu gerakerja pilihan raya di Unit Peti Undi (UPU) Pekan Bukit Gantang. Di samping membuat tinjauan awal dan bertaaruf dengan para aktivis tempatan, rombongan itu juga mengenalpasti beberapa keperluan asas untuk pasukannya berkampung di situ mulai pertengahan bulan ini.

Kerja-kerja persiapan awal, terutama mendirikan pos dan mempersiapkan markas pilihan raya kelihatan sudah bermula di kedua-dua pihak bakal bertanding. Kelihatan juga di sana sini deretan bendera Barisan Nasional (BN) dan PAS menghiasi laluan.

Namun agak di luar jangkaan, selain pameran beberapa helai pemidang menyentuh isu kemelut politik negeri itu, lain-lain reaksi agak hambar.

“Orang Melayu kat sini nampaknya dah tak makan isu. Bagi mereka, derhaka ke tak derhaka, kami macam ni juga,” jelas Ustaz Abdullah Hussin, dalam taklimat ringkasnya kepada rombongan PAS Besut, Ahad (1 Mac) lalu.

Beliau adalah antara tenaga penggerak utama jentera pilihan raya PAS di UPU Pekan Bukit Gantang. Juga salah seorang aktivis peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun) Changkat Jering dan Kawasan Bukit Gantang.

Daerah Mengundi Pekan Bukit Gantang mempunyai lebih seribu pemilih berdaftar, termasuk hanya tujuh orang dari kaum Tionghua.

Kami dimaklumkan, UPU itu telah pun dimenangi PAS pada 2004 lalu. Meski pun majoritinya tidak sampai 100 undi, kelebihan itu berjaya dikekalkan dan turut membantu kemenangan Allahyarham Roslan, tahun lalu.

Ustaz Abdullah menjangkakan keadaan itu tidak akan banyak berubah awal bulan depan. Beliau menyifatkan pengundi kawasan itu sebagai pengundi tegar. Masing-masing telah ada pilihan dan sudah sekian lama menyokong parti-parti pilihan mereka.

Sebab itu baginya apa isu sekali pun yang berlaku, sama ada peringkat negeri mahu pun negara, orang BN akan tetap berkarat dengan BN dan orang PAS sudah tentu kekal memilih PAS.

Berbekalkan kelebihan yang telah memihak PAS, keadaan tegar itu tidak menyukarkan parti itu mengekalkan kemenangan di daerah mengundi berkenaan.

UPU Pekan Bukit Gantang mungkin bukan sampel terbaik untuk keseluruhan parlimen berkenaan. Namun potensi kemenangan PAS diramal lebih besar jika diambilkira peratus pengundi bukan Melayu lebih tinggi di daerah-daerah mengundi lain. Diakui kumpulan pengundi bukan Melayu jauh lebih sensitif terhadap isu semasa berbanding pemilih Melayu.

Di kalangan pengundi Melayu pula, golongan muda lebih terbuka dalam pemikiran dan pergaulan, serta peka terhadap perkembangan semasa. Analisis terhadap keputusan pilihan raya sebelum ini juga membuktikan saluran-saluran pengundi bawah 45 tahun cenderung memihak parti-parti pembangkang.

Sebab itu manipulasi dan pengolahan isu masih ada peranan mencorakkan kecenderungan dua sektor pengundi ini. Sedangkan isu-isu politik dan sosio-ekonomi mutakhir ini tidak memihak BN.

Justeru, apabila para pemimpin parti itu kerap mengulangsebut mengenai hasrat memilih anak tempatan Bukit Gantang sebagai calonnya, ia dinilai sebagai usaha BN menjadikannya isu pilihan raya.

Kata orang, cakap orang politik selalunya ‘ada udang di sebalik batu’. Atau dalam ungkapan moden yang diubahsuai sebagai ‘ada udang di sebalik mi’. Barangkali suara BN itu saraf terhadap PAS yang mengura-urakan seorang tokoh muda dari luar kawasan berkenaan sebagai calonnya.

“Pengundi di Bukit Gantang ni sebenarnya sudah mangli dengan calon luar. Kami dah tak kisah. Selama ini pun semua wakil rakyat kami adalah orang luar,” jelas Ustaz Abdullah lagi.

Menurut rekod, dua bekas Ahli Parlimen BN sebelum ini adalah dari Kinta (wakil Umno) dan Sungai Siput (Gerakan). Sebab itu Allahyarham Roslan diterima baik, meski pun beliau juga ‘orang luar’ Bukit Gantang.

Hakikat itu dijangka menggagalkan sebarang usaha BN memanipulasi isu calon luar. Maka strategi udang di sebalik mi tadi mungkin tidak akan menjadi.

Menariknya, di kesempatan wisata itu juga penulis dan rakan-rakan turut menikmati mi udang yang tersohor di situ. Istimewanya mi udang Bukit Gantang, anda perlu menyelak udang bagi mendapatkan minya.

Lebih tepat lagi, ia sudah jadi ‘ada mi di sebalik udang’ dan bukan lagi ‘ada udang di sebalik mi’.

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah, 6 Mac 2009 dengan tajuk sama. Ia turut dipaparkan laman detikdaily.net  pada Khamis, 5 Mac)

No comments:

Post a Comment