Sunday, February 1, 2009

JKKK “Jong Kucar-Kacir Kampung?” Dah lama dah!


Oleh: ANUWA JAMALULLAIL

ADA benarnya kata-kaya yang sering diucapkan Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu, dalam banyak ceramahnya bahawa pemikiran para pemimpin Umno dan Barisan Nasional sentiasa ketinggalan berbanding saingan mereka dalam PAS. Sama ada dalam menanggapi isu-isu semasa mahu pun melaksanakan pembaharuan dan perubahan positif dalam pemerintahan, apa yang diulas dan dilaksanakan PAS selalunya mendahului kemampuan daya fikir pemimpin parti lawannya itu.

Tidak keterlaluan jika ditegaskan bahawa isu salah laku dan penyelewengan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Terengganu, sebagaimana digemariuhkan kalangan pemimpin Umno sendiri minggu lalu, menyerlahkan lagi hakikat itu.

Ekoran kekalahan memalukan BN dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari, pelbagai pihak mengemukakan analisis dan hasil kajian masing-masing. Para pemimpin BN negeri yang merasa amat terpukul apabila parti mereka ditolak rakyat Kuala Terengganu bagaikan tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa. Masing-masing cuba mencari sebab-musabab dan saling salah-menyalahkan antara sesama mereka.

Selain calon BN yang dipersalahkan atas keperibadiannya yang tidak ‘mesra rakyat’ dan gagal menandingi kewibawaan calon PAS, pihak seterusnya dipersalahkan ialah pemimpin BN dan Umno peringkat akar umbi. Mereka juga didakwa tidak ‘mesra rakyat’ dan banyak melakukan perkara-perkara yang menyebabkan pengundi semakin muak dengan BN.

“Kita percaya antara punca menyebabkan rakyat menolak Umno dan BN adalah disebabkan sikap pengerusi JKKK yang tidak dapat diterima rakyat”, tegas Timbalan Ketua Penerangan Umno Terengganu, Che Azmi Abdul Rahman, Sabtu (24 Januari) lalu.

Katanya, sekiranya JKKK benar-benar berkhidmat memenuhi keperluan dan menjaga kebajikan rakyat, sokongan terhadap Umno di setiap kawasan tidak akan menunjukkan kelemahan ketara, walau pun tidak kesemuanya menyokong kerajaan.

Komen terbuka Che Azmi itu mengundang reaksi Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, dua hari kemudian. Beliau mengakui memang wujud kes salah guna kuasa di kalangan pengerusi JKKK dan berjanji akan melakukan siasatan terperinci mengenainya, termasuk hubung kait dengan kurangnya sokongan rakyat terhadap BN.

“Kadang-kadang persaingan politik berlaku. Sebab itu ada kalangan JKKK kalau orang itu pernah bertanding menentang dia, bantuan tidak akan diberi walau pun individu itu orang Umno”, akui Ahmad.

Pengakuan itu sekaligus mengiyakan apa yang selama ini didakwa. Bahawa amalan diskriminasi dan pilih kasih oleh JKKK, terutama terhadap penyokong PAS adalah lumrah. Logiknya, kalaulah dengan sesama Umno pun, pengerusi JKKK sanggup menindas dan pilih kasih, apatah lagi terhadap anggota parti lawan?

Di Terengganu, institusi JKKK sekian lama sinonim dengan Umno cawangan. Tidak akan ada mana-mana anggota JKKK melainkan dia ahli parti pemerintah itu. Malah pengerusinya selalunya adalah ketua Umno cawangan berkenaan.

Seorang penulis politik pernah membuat kaji selidik mengenai perpecahan masyarakat di Terengganu pada akhir 70-an dan awal 80-an dulu. Abdul Razak Ayub mengabadikan hasil kajiannya itu dalam buku ‘Perpecahan Bangsa Melayu’. Ia diterbitkan Dewan Pustaka Fajar pada 1985.

Setelah menyaksikan dan meneliti sendiri pergolakan masyarakat di Terengganu, beliau tidak teragak menyimpulkan bahawa JKKK adalah antara faktor utama yang memecah belah masyarakat, terutama di atas garisan fahaman politik mereka.

“Ini adalah kerana, dalam banyak hal, keputusan-keputusan dan kegiatan-kegiatan JKKK dipengaruhi oleh orang-orang politik pemerintah. JKKK kadang kala bertindak seolah-olah ia adalah sebahagian dari sayap parti pemerintah dan dalam konteks Terengganu, bergerak sebagai satu unit Umno. Secara tidak langsung ia meruncingkan lagi masalah (perpecahan politik) yang sedia ada”, tulisnya.

Di antara tugas JKKK Terengganu yang ditemui kajiannya ialah melaporkan kegiatan-kegiatan parti lawan (PAS) yang dianggap tidak sihat dan mencurigakan. JKKK adalah “watch dog” kerajaan.

Melantik penyokong-penyokong Umno menganggotai JKKK bukanlah salah, tetapi masalah yang timbul ialah bila mana keputusan-keputusan yang dibuat oleh JKKK kerap kali berat sebelah dan menguntungkan penyokong-penyokong parti pemerintah, sekali gus mengenepikan serta menafikan hak-hak penyokong parti pembangkang.

“Penyokong-penyokong PAS sering mengadu tentang ketidakadilan dan diskriminasi politik yang dilakukan oleh JKKK. Kontroversi ini banyak berkait dengan pemberian subsidi-subsidi”, hurai Abdul Razak lagi.

Akibatnya, institusi JKKK di Terengganu sinonim dengan pembolotan projek, autokrasi, diskriminasi, kronisme dan nepotisme. Perlakuan negatif mereka itu menyebabkan suasana kampung menjadi kucar-kacir.

Di situlah timbul istilah “Jong Kucar Kacir Kampung” sebagai akronim lain untuk JKKK. “Jong” dalam bahasa Terengganu bermaksud “orang yang melakukan sesuatu kerja” atau “tukang”.

Istilah ini telah lama dilaungkan para pemimpin dan penyokong PAS, terutama di Terengganu. Sebagai pihak yang menjadi mangsa paling utama akibat diskriminasi dan penindasan politik oleh JKKK, luahan itu bukan sekadar dakwaan. Ia adalah manifestasi rasa keterasingan mereka akibat salah guna kuasa dan kerakusan pemimpin Umno.

Malangnya, baru hari ini para pemimpin Umno/BN mahu mengakui bahawa memang JKKK antara punca masalah berlakunya suasana kucar-kacir di kampung-kampung. Dah lama dah orang PAS sebut perkara itu. Namun parti itu (Umno/BN) nampaknya nak tunggu kalah pilihan raya baru nak sedar dan akuinya.

Hakikat itu sekali gus membenarkan apa yang telah lama disebut Mohamad Sabu dan para pemimpin PAS lain bahawa pemikiran orang Umno/BN sentiasa terlewat dan ketinggalan. Dalam kes JKKK ini, tempoh kelewatan itu hampir 30 tahun!

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah, 1-7 Februari 2009 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment