Meneliti
punca sebenar kemalangan dan penyelesaiannya
Oleh: Mohd Nasir Awang
TAHUN baru datang lagi. Selain diikuti tradisi memulakan
penggal baru persekolahan, kedatangan tahun baru juga sering dijadikan tarikh
keramat untuk sesuatu tujuan penting.
Antaranya termasuk bagi memulakan penguatkuasaan sesuatu peraturan atau
undang-undang yang baru diperkenalkan.
Dalam konteks itu, tarikh 1 Januari 2009 akan sentiasa
diingati sebagai bermulanya penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar
belakang bagi penumpang kenderaan persendirian. Undang-undang itu diluluskan
Parlimen pada Februari tahun lalu di atas premis mengurangkan jumlah kes
kemalangan dan kematian jalan raya.
Negara kita memang diketahui mempunyai rekod kemalangan
jalan raya dan kematian di antara yang tertinggi di dunia. Saban tahun kita
mencatatkan sekitar 6,000 kes kemalangan.
Setiap kali musim perayaan, kita sering dikejutkan dengan
laporan kemalangan jalan raya yang ngeri dan meragut ratusan nyawa. Mangsanya
dari penunggang motosikal, pemandu kenderaan persendirian, pengguna
pengangkutan awam dan perdagangan hinggalah pejalan kaki.
Pelbagai usaha dijalankan oleh pihak berkuasa bagi
mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.
Daripada Ops Statik dan Ops Pacak, polis trafik melancarkan pula
Ops Sikap dalam usaha mengubah sikap
pengguna jalan raya supaya sama-sama mengurangkan kemalangan.
Di atas hasrat sama, kerajaan memperkenalkan pemakaian
tali pinggang keledar belakang. Menurut
peruntukan undang-undang itu, penumpang kereta di belakang yang tidak memakai
tali pinggang keledar boleh dikenakan saman maksimum RM300, manakala penalti
tidak melebihi RM2,000 atau maksimum setahun penjara atau kedua-duanya.
Bagi memulakan penguatkuasaan peraturan itu, Jabatan
Pengangkutan Jalan (JPJ) melancarkan operasi serentak di 28 lokasi di seluruh
negara bermula tengah malam menjelang tahun baru. Seramai 242 pemandu kereta disaman apabila
penumpang mereka tidak mengenakan tali pinggang keledar belakang.
Selain mempersoalkan kadar saman yang agak tinggi dan
membebankan pengguna, masyarakat umum juga mempersoalkan sejauh manakah
keberkesanan penguatkuasaan itu dalam mengurangkan jumlah kemalangan. Lebih
spesifik lagi, pihak-pihak bertanggungjawab ke atas keselamatan jalan raya
disaran mengadakan kajian terperinci dan mengemukakan hasil kajian tersebut
bagi membuktikan bahawa punca kemalangan dan kematian memang ada kena-mengena
dengan tidak memakai tali pinggang penumpang.
Hujah-hujah dikemukakan bagi mengukuhkan pertikaian itu
juga agak menarik. Kata mereka, sama ada penumpang memakai tali pinggang
keledar atau tidak, ia tidak memberi kesan atau gangguan kepada pemanduan. Sebuah
kenderaan yang bergerak adalah sepenuhnya bergantung kepada kendalian
pemandunya.
Kesan kepada penumpang yang tidak memakai tali pinggang
keledar hanya dirasai selepas kemalangan berlaku. Penumpang belakang mungkin
terhantuk ke depan atau tercampak keluar.
Ertinya, kesalahan penumpang tidak memakai tali pinggang keledar bukan
punca berlaku kemalangan. Cuma diakui ia boleh menyumbang kepada kesan lebih
buruk setelah kenderaan dinaiki terlibat dalam kemalangan.
Lagi pun, memang dapat dibuktikan sekian banyak kes
kemalangan dan kematian akibatnya turut melibatkan mereka yang memakai tali
pinggang keledar. Kes kemalangan ngeri melibatkan tiga kenderaan dan 10
kematian dekat Gua Musang, Kelantan, awal Januari lalu boleh dijadikan contoh.
Meskipun siasatan awal pihak polis mendakwa penumpang
belakang yang maut tidak mengenakan tali keledar, laporan media juga menyebut
beberapa mayat mati dalam keadaan tersepit di celah kenderan mereka yang remuk.
Hakikat itu menimbulkan tandatanya. Jika benar kematian
mereka disebabkan tidak memakai tali pinggang keledar, apakah dengan memakainya
mereka akan dapat mengelakkan maut, walaupun badan mereka dihimpit sedemikian
rupa?
Begitu juga, kemalangan maut melibatkan penunggang dan
pembonceng motosikal. Bukankah sebahagian kes kematian mereka turut melibatkan
pengguna yang mengenakan topi keledar?
Hakikat itu jelas menunjukkan bahawa pemakaian tali
pinggang keledar dan topi keledar bukan pelindung daripada kemalangan dan bukan
juga jaminan tidak berlaku kematian apabila kenderaan dinaiki pengguna itu
terlibat dalam kemalangan.
Maka, apakah sebenarnya punca utama kemalangan dan
bagaimanakah cara terbaik menyelesaikannya? Mungkin kenyataan Ketua Pengarah
Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Suret Singh, dapat memberikan kita sedikit
panduan mencarinya.
Dalam satu kenyataannya, di tengah kesibukan kempen
pemanduan berhemat sempena Ops Sikap
menjelang sambutan Hari Raya Idul Fitri beberapa bulan lalu, Suret antara lain
menyebut tentang sasaran pihaknya mencapai kematian sifar suatu ketika nanti. Katanya,
sasaran itu hanya akan dapat dicapai setelah kita ada “pemandu bertaraf lima
bintang di dalam kenderaan lima bintang di atas jalan raya lima bintang”.
Kenyataan beliau itu secara tidak langsung menggariskan
tiga faktor utama mengelak (atau mendorong) kemalangan iaitu kondisi jalan
raya, kenderaan dan sikap pemandu. Maka penyelesaian kepada kes kemalangan juga
sepatutnya diasaskan kepada mempertingkatkan pencapaian tahap terbaik
ketiga-tiga faktor itu.
Paling penting ialah memperbaiki sikap pengguna agar
lebih berhemat dan bertimbang rasa kepada pengguna lain. Kesedaran sivik itu
mungkin dirasakan dapat dicapai menerusi saman dan denda. Namun cara terbaik
ialah mempertingkatkan kaedah mendidik masyarakat tentang baik-buruk sikap
mereka semasa memandu, termasuk menyelitkan soal dosa dan pahala dalam setiap
perbuatan manusia.
(Artikel ini
disiarkan majalah bulanan Al-Muslimah, Mac 2009 di ruangan ‘pendapat’ dengan
tajuk sama)
No comments:
Post a Comment