Sunday, August 17, 2008

Cerita politik wang dan wang politik di Terengganu


Oleh: ANUWA JAMALULLAIL

SEORANG rakan penulis yang juga seorang ustaz di Kuala Terengganu pernah menyebut, “wang bukanlah segala-galanya, tetapi segala-galanya memerlukan wang”. Melihatkan perkembangan dunia politik dan ekonomi negara mutakhir ini, tidak sukar untuk kita akui bahawa kata-kata beliau itu ada kebenarannya.

Di sana-sini kini orang bercakap soal wang. Kenaikan kos sara hidup akibat kenaikan mendadak harga minyak menyebabkan rakyat mengeluh kesempitan wang. Segenap aspek hidup memerlukan peruntukan tambahan.

Justeru, ada yang memilih untuk melakukan lebih daripada satu pekerjaan tetap semata-mata untuk menambahkan wang dalam kantung keluarga. Ada pula yang mengambil jalan singkat mendapatkan wang secara mudah dengan mencuri, merompak, menyamun dan mencopet.

Kerajaan pula terpaksa melipatgandakan saluran dan cara menabur wang kepada rakyat. Ada wang dihulurkan menerusi rebat pembayaran cukai jalan kenderaan persendirian. Ada wang yang disalurkan sebagai insentif mengikut kadar jualan hasil tanaman atau penternakan.

Para pengusaha teksi dan kenderaan awam pula mendapat wang mereka dengan cara tersendiri. Begitu juga para nelayan yang mendapat habuan RM200 setiap seorang.

Kesemua perkara disebutkan itu membabitkan wang. Ia secara jelas dihulurkan oleh kerajaan semata-mata bagi meredakan kemarahan rakyat akibat tindakan “bijak” kerajaan menaikkan harga minyak di pasaran.

Sebab itu ada pihak menilai pemberian pelbagai insentif oleh kerajaan itu sebagai “wang politik”. Di sebalik kata-kata kerajaan untuk meringankan bebanan rkayat itu sebenarnya tersemat hasrat meredakan kekecewaan mereka dengan kegagalan kerajaan menjamin keselesaan hidup rakyat. Ertinya, pemberian wang itu adalah bermotifkan politik.

Selain apa yang dihulurkan kerajaan Pusat itu, di Terengganu sudah ada satu lagi bentuk “wang politik” iaitu wang ehsan. Kebetulan pula kini borang permohonan bagi mendapatkan wang ehsan itu sedang giat diagihkan.

Sejak lebih lapan tahun lalu, wang ehsan memang terbukti menjadi “wang politik” sangat popular di Terengganu. Ia menjadi senjata keramat Barisan Nasional (BN) menambat kesetiaan rakyat negeri itu terhadap parti tersbeut.

Sebab itu meski pun para pemimpin BN sentiasa menjanjikan pengagihan wang ehsan secara adil, kesan pengagihannya amat tidak adil, terutama kepada parti pembangkang. Dikatakan wang itu untuk semua pihak tanpa mengira fahaman politik. Namun, praktiknya tidak pernah serupa dengan apa yang diucapkan. Lebih dahsyat lagi, sesiapa sahaja yang termakan wang ehsan bagaikan disintuk limau dan tidak lagi berupaya membuat pertimbangan rasional dalam dua pilihan raya lalu.

Dalam keadaan rakyat amat dahagakan wang, bahkan sebahagian mereka telah pun dimabukkan dengan berbagai saluran taburan wang, datang pula pemilihan Umno di peringkat cawangan. Ia akan disusuli pemilihan peringkat bahagian tidak lama lagi.

Maka rata-rata orang bercakap soal wang lagi. Ia bukan lagi “wang politik” tetapi politik wang pula. Sehinggakan sudah tidak ada pihak yang dapat menafikan bahawa proses perebutan jawatan dalam Umno kini sama pengertiannya dengan amalan politik wang.

“Umno berada dalam zon bahaya”, kata Naib Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, merujuk kepada amalan politik wang yang semakin parah dalam parti itu.

Seminggu sebelumnya, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Syed Hamid Albar telah mendedahkan betapa politik wang dalam partinya sudah sampai ke tahap yang mengancam survival parti itu.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor pula secara terbuka menjemput Badan Pencegah Rasuah (BPR) terlibat secara serius membantu parti itu menangani gejala politik wang yang semakin berakar umbi kini.

Sejak lebih seminggu lalu, beberapa pemimpin kanan Umno Terengganu turut membuat pengakuan terbuka mengenai keparahan amalan politik wang di kalangan ahli akar umbi mereka. Sudah ada dakwaan betapa amalan menggunakan sogokan wang bagi memenangi jawatan penting di peringkat cawangan Umno kini semakin merebak.

Dipercayai akibat terlalu kecewa dengan keparahan amalan politik wang dalam Umno kini mendorong Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said mencabar ahli parti itu agar meninggalkan dunia politik dan menceburi perniagaan.

Hujahnya, jika seseorang ahli Umno itu berhasrat mengumpul kekayaan sehingga sanggup mengamalkan politik wang demi mendapatkan jawatan parti, adalah lebih baik orang itu melabur dalam perniagaan.

“Saya nampak kalau main politik wang, sanggup bayar kepada perwakilan dan ini menjadi politik perniagaan... kalau dah dapat tempat (menang dan ada jawatan politik), lain kali dia akan carilah peluang bagaimana mendapatkan kekayaan, wang untuk dapat balik modal yang dia belanjakan kepada pihak tertentu”, katanya, sebagaimana dipetik akhbar, 11 Ogos lalu.

Anehnya, meski pun amalan poltiik wang disedari dan dikutuk segenap lapisan pemimpin Umno, keadaan tidak bertambah pulih. Pihak-pihak terlibat tidak mengendahkan teguran pemimpin mereka. Ahli-ahli Umno bagaikan seiya sekata merestui amalan tersebut, kerana apa yang pasti ia menguntungkan mereka.

Umno tidak wajar menyalahkan ahlinya jika gagal membendung gejala merosakkan ini. Puncanya ialah kesilapan para pemimpun Umno sendiri yang sangat gemar menjadikan wang sebagai umpan politik. Rakyat terlalu dibiasakan dengan janji dan habuan kebendaan sebagai dorongan dalam membuat pilihan politik.

Apabila mereka sudah kalih dengan wang politik, mereka menilai amalan politik wang semasa pemilihan parti sebagai peluang dan pesta untuk mereka mendapatkan wang.

Ternyata, sama ada wang politik atau pun politik wang, segala-galanya memerlukan wang. Ada benarnya kata-kata rakan penulis tadi.

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah, 17-23 Ogos 2008 dengan tajuk sama)

Percanggahan Zahid-Mashitah kelirukan umat Islam


“Bekas pensyarah itu agak boros, liberal dan mudah terlajak dalam memberikan pertimbangan sebelum membuat sesuatu kenyataan berkaitan hukum agama”

Oleh: Anuwa Jamalullail

AGAK-agak mana satu pandangan yang wajar diterimapakai umat Islam negara ini berkaitan keharusan meminjam untuk mengerjakan haji, sebagaimana yang menjadi pertikaian antara dua pemimpin negara minggu lalu?

Apakah penegasan dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi yang melarang umat Islam berbuat demikian yang menepati hukum syarak? Ataukah pandangan dikemukakan timbalannya, Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim yang mengharuskan perbuatan itu yang sebenarnya disepakati ulama?

Sebenarnya, perbahasan mengenai harus atau tidak bagi umat Islam meminjam bagi mengerjakan haji bukan perkara yang baru ditimbulkan. Saranan agar institusi kewangan menyediakan pinjaman untuk itu telah kedengaran beberapa ketika sebelum ini. Pelbagai pihak, termasuk ilmuan Islam dan tokoh masyarakat telah memberikan pandangan masing-masing.

Isu ini bagaimana pun diperkatakan kembali minggu lalu apabila Mashitah turut mengulas saranan tersebut. Beliau berpandangan umat Islam diharuskan memohon pinjaman untuk membiayai kos menunaikan haji dengan syarat mereka berkemampuan membayar balik pinjaman dalam tempoh ditetapkan.

“Memang ada umat Islam mengambil pinjaman untuk menunaikan haji atas alasan kalau tidak pergi (haji) sekarang, mungkin bila dah tua nanti tak dapat pergi kerana kesihatan tidak mengizinkan”, katanya, sebagaimana dipetik akhbar pada 5 Ogos.

Pandangan itu bagaimana pun amat tidak disenangi oleh Zahid. Dalam satu kenyataan mengulas pendirian Mashitah itu keesokannya, Zahid menegaskan bahawa sebarang kenyataan yang mengharuskan umat Islam memohon pinjaman daripada institusi kewangan untuk membiayai kos bagi menunaikan haji adalah bercanggah dengan hukum syarak.

Katanya, seseorang yang difardhukan menunaikan haji mestilah memenuhi beberapa kelayakan, termasuk berkemampuan dari segi kewangan, sihat tubuh badan dan ada kelapangan.

“Oleh kerana faktor kemampuan tertakluk kepada sumber kewangan, maka tidak menjadi fardhu dan tidak wajib bagi seseorang itu menunaikan haji jika tidak mempunyai kemampuan kewangan”, tegasnya.

Berdasarkan penelitian dan pertimbangan itu, menurut Zahid, Majlis Fatwa Kebangsaan telah menetapkan tiada pinjaman untuk menunaikan haji boleh diberikan oleh mana-mana institusi kewangan kepada umat Islam negara ini.

“Kalau ada kalangan ulama atau mana-mana ahli politik menyatakan bank atau institusi kewangan harus memberi pinjaman, ia bercanggah dengan hukum Islam itu sendiri”, kata Zahid, dipercayai merujuk secara khusus kepada timbalannya itu.

Apa sudah jadi dengan para pemimpin kita ini? Nampak sangat kedua-dua mereka tidak saling berkonsultasi sebelum mengeluarkan kenyataan tersebut. Sedangkan, sebagai pemimpin yang sama-sama menganggotai kabinet, percanggahan kenyataan sebegitu tidak sepatutnya berlaku. Apatah lagi kedua-dua mereka adalah menteri dan timbalan di kementerian yang sama.

Tidak kira siapa pun antara mereka berdua yang mengutarakan hujah yang benar di sisi agama, percanggahan kenyataan mereka sudah cukup untuk mengeliru dan membingungkan umat Islam negara ini.

Apatah lagi apabila Mashitah tampil dengan kenyataan balasnya mempertahankan pandangan beliau itu. Beliau malah menyandarkan hujahnya kepada satu muzakarah ulama yang pernah diadakan di negara ini sebelum ini yang memutuskan demikian.

Mashitah turut menganggap percanggahan antara beliau dengan ketuanya hanya perbezaan pendapat yang diharuskan Islam. Beliau berpegang kepada hujah bahawa perbezaan pendapat di kalangan umat Islam itu satu rahmat yang membolehkan mereka membuat pilihan mana yang lebih bersesuaian untuk diterimapakai. Apatah lagi, katanya, semua pihak boleh mengemukakan ijtihad masing-masing dalam soal agama asalkan untuk kebaikan.

Senator itu mungkin betul dalam pendiriannya kali ini. Bagaimana pun, mengambilkira pendapat yang pernah dilontarkannya berkaitan hukum Islam sebelum ini, tidak semudah itu bagi umat Islam menerima apa yang beliau utarakan. Bagi sebahagian besar kita, terutama kalangan ilmuan Islam dan aktivis wanita, kenyataan Mashitah yang mengharuskan pelacuran bagi wanita yang terdesak dalam kehidupan adalah suatu yang masih dipertikai dan dikesalkan hingga kini.

Menerusi kolumnya dalam sebuah akhbar harian, 21 Jun 2005, Mashitah yang ketika itu menjadi Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri mengatakan bahawa melacur atau menjual diri dimaafkan bagi wanita jika ia terdesak dan darurat, termasuk demi memberi makan dan membesarkan anaknya.

“Perkara dilakukan dalam suasana darurat terlepas daripada hukuman biasa. Dalam keadaan biasa, memang melacur itu haram, tetapi jika terdesak dan darurat, ia dimaafkan”, tulis Mashitah.

Kenyatan yang jelas tidak cermat dan boros berkaitan hukum agama itu mengundang reaksi tidak senang pelbagai pihak. Oleh kerana Mashitah menyandarkan hujahnya atas keadaan darurat, beberapa ulama mengemukakan penghuraian konsep darurat menurut Islam.

Mereka menukilkan pandangan beberapa ulama terkenal seperti Imam Abu Bakar al-Jasas, Imam Abu Zuhrah dan Al-Bazdawi yang menyimpulkan bahawa darurat dimaksudkan di sisi syarak itu ialah satu keadaan ditakuti atau dikhuatiri akan berlaku kemusnahan ke atas nyawa atau beberapa bahagian anggota badan atau pun masahat dharurinya (agama, nyawa, harta, akal, maruah) terancam apabila tidak memakan makanan yang haram.

Dalam kata lain, darurat menurut hukum Islam hanya dihubungkaitkan dengan soal mengambil makanan yang haram. Ia tiada langsung kaitan dengan soal menjual tubuh atau melacur.

Pandangan, atau lebih tepat disebut ‘sanggahan’ beberapa ulama terhadap ‘fatwa’ Mashitah itu ternyata tidak berdaya ditepis atau dibalas semula olehnya. Ia sekaligus membuktikan bekas pensyarah itu agak boros, liberal dan mudah terlajak dalam memberikan pertimbangan sebelum membuat sesuatu kenyataan berkaitan hukum agama.

Sifat tidak cermat itu menyebabkan timbul pertikaian apakah beliau seorang yang layak mengemukakan ijtihad? Justeru, jika dalam keadaan yang tidak menepati hakikat darurat di sisi hukum agama dulu beliau telah tergamak mengharuskan perzinaan yang dikeji agama, maka apakah ada jaminan beliau bercermat dan tidak terbabas sekali lagi dalam mengemukakan pandangannya kali ini?

Nampaknya, kerajaan yang bertanggungjawab melantiknya menganggotai kabinet perlu turut mengambil tanggungjawab melakukan sesuatu agar tokoh yang kerap mengelirukan umat Islam ini disedarkan tentang kesilapan dan keterlanjurannya.

(Artikel ini disiarkan tabloid Mingguan Wasilah, edisi 17-23 Ogos 2008 dengan tajuk sama)

Sunday, August 10, 2008

Ezam elok tumpu usaha banteras rasuah


Oleh: Anuwa Jamalullail

BEKAS Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Ezam Mohd Noor ternyata sukar menyembunyikan naluri politiknya apabila secara terbuka menawarkan diri mewakili Barisan Nasional (BN) bagi berhadapan bekas ketuanya sendiri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di mana-mana kawasan pun sekiranya diadakan pilihan raya kecil dalam masa terdekat.

Jika sewaktu mengumumkan penyertaan semula ke dalam Umno 28 Mei lalu, bekas Pengerusi Gerakan Anti Korupsi (Gerak) itu banyak mengulangsebut bahawa hasrat utamanya menganggotai parti kerajaan itu ialah untuk menyempurnakan agenda pembaharuan dan perjuangannya memerangi rasuah, kini agenda itu nampaknya sudah semakin dikesampingkan.

“Apa yang dilakukan oleh Perdana Mneteri dalam melakukan perubahan ke atas badan kehakiman dan memberi struktur yang agak bebas kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) adalah perkara paling penting bagi saya”, kata Mohamad Ezam dalam wawancara dengan sebuah akhbar mingguan, 1 Jun lalu.

Serentak itu juga beliau menafikan andaian pelbagai pihak bahawa kemasukan semula beliau ke dalam Umno mempunyai agenda politik, termasuk memenangi jawatan dalam parti dan kerajaan.

“Tindakan saya (menyertai Umno) tiada kaitan dengan persoalan pilihan raya mahu pun pemilihan parti. Saya tidak pernah berkira-kira untuk melakukan tindakan politik bergantung kepada kedua-dua suasana itu atau kerana jawatan”, katanya.

Mohamad Ezam sebelum ini memang dikenali sangat komited dengan usahanya memerangi rasuah dan korupsi. Beliau malah pernah ditahan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) kerana mendedahkan dokumen-dokumen rasmi kerajaan bagi membuktikan beberapa dakwaannya. Disebabkan keberaniannya itu juga beliau terlepas daripada menyertai Pilihan Raya Umum 2004 lalu.

Berdasarkan rekod cemerlang beliau dalam membongkar penyelewengan dan rasuah di kalangan penguasa negara, banyak pihak meletakkan keyakinan perjuangannya itu akan lebih berkesan sekiranya beliau berada di dalam kerajaan. Mohamad Ezam sendiri malah turut melahirkan keyakinan tersebut.

“Antara perubahan yang ingin dilakukan oleh pembangkang dan perubahan yang ingin dilakukan oleh orang yang berkuasa, saya akan memilih perubahan yang akan dilakukan oleh orang yang berkuasa. Ini bukan bermakna saya mahu dekat dengan kuasa, tetapi perubahan yang akan dilakukan oleh orang yang berkuasa itu boleh memberi impak kepada rakyat, sedangkan perubahan yang ingin dilakukan oleh pembangkang belum tentu menjadi impak”, katanya.

Ternyata keyakinan Mohamad Ezam mengenai impak itu benar-benar menjadi kenyataan apabila beliau memilih untuk mendedahkan keraguan yang dilakukan kerajaan Pakatan Rakyat berbanding gejala lebih dahsyat yang berlaku di kalangan penguasa negara. Contohnya, pendedahan beliau mengenai kutipan wang derma untuk sambutan 100 hari PR memerintah Selangor hujung Jun lalu segera mengundang siasatan BPR.

Mohamad Ezam mendedahkan apa yang didakwanya penyelewengan wang kutipan derma tersebut apabila ia dimasukkan ke akaun PKR dan bukannya ke akaun kerajaan negeri. Sedangan surat yang dikeluarkan kepada syarikat swasta untuk tujuan kutipan berkenaan dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Besar Selangor. Sambutan berkenaan diadakan di Stadium Shah Alam, pada 20 Jun.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim tiga hari kemudian secara jujur mengakui wang sumbangan beberapa syarikat swasta untuk sambutan itu dimasukkan ke akaun PKR dan bukannya kepada kerajaan negeri seperti yang sepatutnya. Ketelusan Khalid itu bagaimana pun sudah tidak mampu menghalang impak suara Mohamad Ezam dan campurtangan BPR.

Pengarah BPR Selangor, Jaafar Mahad dalam kenyataan media minggu lalu (30 Julai) memaklumkan bahawa kertas siasatan lengkap mengenai dakwaan penyelewengan kutipan sumbangan itu telah dihantar ke Pejabat Pendakwaan BPR di Putrajaya untuk diputuskan. Cukup cepat dan hebat impak suara Mohamad Ezam, bukan?

Berbekalkan keupayaan suaranya memberi impak sebegitu berkesan terhadap siasatan BPR, banyak pihak mengharapkan kelantangan Mohamad Ezam itu turut digunakannya untuk mendedahkan penyelewengan serta penyalahgunaan kuasa dalam kerajaan. Malangnya, hingga kini harapan itu nampaknya semakin pudar.

Jangan diharapkan Mohamad Ezam sendiri mendedah apa-apa kes, untuk mengharapkannya menjadi pendesak kerajaan dan BPR mengambil tindakan sepatutnya ke atas kes dibangkitkan pihak lain pun agak sukar.

Bekas Pengerusi Gerak itu bagaikan tidak lagi berminat mengambil tahu isu-isu rasuah dan penyelewengan dibangkitkan beberapa pihak mutakhir ini. Beliau sebaliknya kelihatan lebih berminat menjadi tukang syarah BN terutama untuk menghentam para pemimpin PR.

Ada tak apa-apa komen dari beliau mengenai pendedahan dan desakan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said baru-baru ini? Pada 20 Julai lalu Ahmad mengumumkan kerajaan negerinya mula menggunakan 14 buah kereta Mercedes Benz model E200 Kompressor sebagai kereta rasmi Menteri Besar, anggota Exco dan pegawai kanan kerajaan. Kenderaan yang dibeli dengan harga tanpa cukai RM245,000 sebuah itu adalah bagi menggantikan Proton Perdana V6 Executive yang menjadi kenderaan rasmi mereka sejak 2004 lalu.

Pembelian melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM3.43 juta itu dikatakan terpaksa dibuat setelah mendapati kos penyelenggaraan dan penggunaan minyak Proton Perdana V6 terlalu tinggi. Tindakan itu bagaimana pun mengundang reaksi negatif beberapa pihak, terutama di peringkat nasional.

Pertikaian itu membuka ruang kepada pendedahan salah laku dan penyelewengan dalam pengurusan kenderaan rasmi kerajaan itu sebelum ini. Proton dan BPR masing-masing melakukan siasatan.

Ahmad kemudiannya turut mendesak BPR agar menyiasat sama pelaksanaan dua projek mega di negerinya, iaitu Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man dan pembangunan Pulau Duyong untuk penganjuran Piala Monsun. Kedua-dua projek yang masing-masing menelan belanja ratusan juta ringgit itu didakwa tidak diurus dengan betul. Malangnya, Mohamad Ezam selaku juara anti-rasuah tidak bersuara mengenai isu itu.

Apa pula kata Mohamad Ezam mengenai pendedahan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor bahawa politik wang dikesannya muncul kembali? Dalam kenyataannya minggu lalu Tengku Adnan malah mengundang kerjasama BPR bagi membendung gejala yang dikatakan semakin terzahir ekoran perebutan jawatan di pelbagai peringkat Umno bermula bulan lalu.

Banyak lagi isu berkaitan rasuah dan penyelewengan yang diutarakan media saban hari. Malangnya, di saat BPR tidak menang tangan menyiasat dan menangani kes-kes berkenaan, tiba-tiba juara anti-rasuah yang seorang ini lebih berminat mendapatkan tiket untuk menyertai pilihan raya.

“Saya ingin tegaskan bahawa saya memang bersedia. Saya tidak gentar langsung untuk berhadapan dengan Anwar sekiranya diminta mewakili BN dalam pilihan raya kecil”, katanya sebagaimana disiarkan kebanyakan media cetak pada 29 Julai lalu.

(Artikel ini disiarkan tabloid Mingguan Wasilah, edisi 10-16 Ogos 2008 dengan tajuk sama)

Sunday, August 3, 2008

Kepahitan silam hantui hubungan PAS-Umno


“Dato’ Onn sendiri kurang menghargai jasa PAS terhadapnya. Pengkhianat utama yang melunturkan kesetiaan mereka terhadap kerajaan PAS ialah Umno”

Oleh: Anuwa Jamalullail

MANA-MANA pihak tidak seharusnya begitu mudah mempersalahkan PAS sekiranya parti itu memilih untuk mengambil sikap terlampau berhati-hati dengan sebarang usaha persahabatan dihulurkan Umno. Mengambil kira beberapa pengalaman dikhianati rakan-rakan, PAS ada sebab sangat munasabah untuk mempertikaikan keikhlasan mana-mana pihak, terutama para pemimpin Umno, menjalinkan sebarang hubungan politik dengan parti itu.

PAS adalah parti Melayu berteraskan Islam. Perjuangan utamanya ialah menegakkan sebuah negara yang terlaksana di dalamnya hukum dan peraturan Allah. Di dalam usaha mencapai matlamat itu, PAS telah mencuba berbagai formula dan pendekatan dalam memenangi hati rakyat negara ini.

Parti itu boleh disifatkan sebagai parti paling terbuka. Ia sanggup bekerjasama dengan mana-mana parti yang bersedia menerima dasar perjuangannya. Sejarah membuktikan di awal kelahirannya, PAS pernah bekerjasama dengan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) pimpinan Dato’ Onn Jaafar. Ia juga menyertai Pakatan Umno-MCA dalam menuntut kemerdekaan negara menerusi National Convention.

Dalam menghadapi tentangan Perikatan pada Pilihan Raya Umum Pertama selepas merdeka, PAS sekali lagi bekerjasama dnegan parti pimpinan Dato’ Onn, iaitu Parti Negara (PN). Hasil kerjasama itu membolehkan bekas Presiden Umno itu menentang satu lawan satu dengan calon Perikatan di Parlimen Kuala Terengganu Selatan.

Ketika itu Pilihan Raya Umum Negeri 1959 telah pun diadakan dan Terengganu sudah pun jatuh ke tangan PAS. Laluan diberikan PAS kepada Dato’ Onn merupakan jasa paling besar membolehkan pengasas Umno itu memasuki Dewan Rakyat. Sebagai timbal balas, empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PN diminta memberikan sokongan kepada kerajaan Terengganu yang dibentuk 13 Adun PAS. Tujuh lagi kerusi dimenangi calon-calon Perikatan.

Sokongan Adun-Adun PN itu bagaimana pun gagal bertahan lama. Dato’ Onn sendiri kurang menghargai jasa PAS terhadapnya. Pengkhianat utama yang melunturkan kesetiaan mereka terhadap kerajaan PAS ialah Umno. Parti seteru PAS itu berusaha membeli, bukan sahaja Adun PN, bahkan beberapa Adun PAS sendiri. Akhirnya, kerajaan PAS Terengganu hanya bertahan sehingga 1961.

Detik itu dianggap banyak pihak sebagai kemuncak kejahatan politik Umno terhadap PAS. Sejak itu terbenihlah kecurigaan melampau para pemimpin dan ahli PAS , bukan sahaja terhadap Umno, bahkan terhadap bekas-bekas pemimpin Umno seperti Dato’ Onn.

Isu perpaduan Melayu dan penyatuan antara PAS dan Umno bagaimana pun tidak terpadam. Ia membuak kembali sejurus selepas Pilihan Raya Umum 1969. Suara-suara mementingkan keutuhan dan kelangsungan bangsa dan agama akhirnya membawa PAS menyertai Kerajaan Campuran dengan Perikatan . Ia kemudian berlanjutan kepada penyertaan PAS ke dalam Barisan Nasional (BN).

Apa yang dialami PAS selepas itu bagaimana pun kekal sebagai pengalaman paling pahit. Parti Islam itu ditendang keluar daripada BN tiga dekad lalu. Serentak itu ia turut kehilangan kerajaan negeri Kelantan menerusi manipulasi kuasa oleh BN diterajui Umno.

Orang PAS merasakan mereka ditipu dan dikhianati lagi. Jasa PAS membantu memulihkan Umno dari keparahan 1969 tidak ubah ibarat melepaskan anjing yang tersepit. Atau ibarat cerita sang kerbau melepaskan buaya yang tersepit. Sebaik merasa bebas dan kembali mendapat kekuatan, Umno tanpa belas kasihan membaham PAS pula.

Meski pun ia pengalaman pahit, PAS bagaimana pun kekal dengan sikap terbukanya. Ia amat mudah menyambut huluran kerjasama dari bekas pemimpin Umno, termasuk “tangan-tangan kotor” yang terlibat secara langsung menjatuhkan kerajaannya di Kelantan. Apabila Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) terserpih keluar daripada Umno dan membentuk Parti Semangat 46 (S46), PAS menyambut beliau dengan rela hati.

Sangkaan baik PAS terhadap bekas pemimpin Umno itu bagaimana pun tidak berpanjangan. PAS sekali lagi dikhianati. Gabungan Angkatan Perpaduan Ummah yang dibentuk PAS-S46 bersama Hamim dan Berjasa akhirnya berkecai pada 1996 apabila Ku Li memilih untuk kembali ke pangkuan Umno.

Sehingga itu, terbukti bahawa sebarang pakatan antara PAS dengan Umno atau dengan parti pimpinan bekas pemimpin Umno tidak dapat bertahan lama. Disebabkan sejarah hubungan pahit antara kedua-dua parti, isu perpaduan antara mereka sering menimbulkan perbahasan hangat setiap kali ia ditimbulkan. Meski pun ada yang mengalu-alukannya, tentangan daripada ahli kedua-dua parti sendiri adalah faktor paling menyukarkan keadaan.

Sepetimana dibuktikan mutakhir ini, hubungan dengan Umno atau parti pimpinan bekas pemimpin Umno boleh mengakibatkan perpecahan dalaman PAS. Orang PAS sangat sensitif terhadap sebarang usaha berbaik-baik dengan musuh tradisi mereka itu. Jika anda seorang ahli PAS yang pernah menjadi mangsa kezaliman, keegoan, penindasan dan pengkhianatan Umno, anda tidak akan sukar memahami bagaimana pendirian tersebut terbentuk.

Perpecahan dalaman PAS pernah dibuktikan apabila parti itu menyertai BN awal 70-an. Keretakan dalaman PAS paling menyerlah di Kelantan. PAS yang menyertai Pilihan Raya Umum 1974 di atas tiket BN menerima tentangan paling hebat daripada bekas-bekas pemimpinnya sendiri.

Fenomena hampir sama berulang lagi pada 1988 apabila Pas menghulurkan persahabatan dengan Team B Umno diketuai Ku Li. Hubungan dengan S46 mendapat tentangan dalaman PAS sehingga lahirnya Kumpulan Islah PAS.

Mengambil kira episod-episod pahit itu, adalah sesuatu yang boleh dirasionalkan apabila Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat baru-baru ini mengeluarkan penegasan agak keras mengenai sebarang kemungkinan hubungan Pas-Umno.

Beliau menegaskan partinya tidak akan sama sekali mengadakan perundingan dengan Umno atas apa juga alasan. Baginya, sebarang langkah mengadakan perundingan dengan parti musuh itu hanya akan mencetusan perpecahan dalam partinya.

Ternyata pengkhianatan silam dibuat Umno terhadap PAS menimbulkan kesan mendalam. PAS merasakan seolah-olah dipermainkan. Keikhlasannya memulihkan kedudukan politik orang Melayu dan Islam pernah dipersiakan Umno.

Ibarat kata orang-orang tua, habis manis sepah dibuang. Madu diberi, tuba yang dibalas. Sudah dapat gading bertuah, tanduk tidak berguna lagi. Kehadiran PAS dalam BN suatu ketika dulu sampai ke tahap ibarat melukut di tepi gantang. Adanya tidak menambahkan kekuatan, tiadanya tidak menjejaskan BN.

Dalam keadaan yang ada kini, banyak pihak mungkin merasakan PAS tidak sepatutnya membangkitkan pengalaman silam itu. Namun, bukan suatu yang mudah bagi PAS melupakannya. Bak kata orang walau pun lukanya telah sembuh, namun parutnya tetap ada.

Lebih wajar dipersoalkan juga, apakah ada jaminan bahawa Umno kini tidak sekhianat dulu? Bahkan, di satu pihak lain ada yang turut mempersoalkan, apakah bekas pemimpin Umno yang kini menerajui parti yang bersahabat dengan PAS tidak akan mengulangi kepahitan dibuat Dato’ Onn dan Ku Li terhadap PAS suatu ketika dulu?

(Artikel ini disiarkan akhbar Mingguan Wasilah, edisi 3-9 Ogos 2008 dengan tajuk sama)

Friday, August 1, 2008

Pejabat di rumah atasi bebanan kos pengangkutan


Oleh: Mohd Nasir Awang

SEORANG jurutera perunding berpejabat di tengah-tengah kotaraya Bangkok, Thailand, telah lama tercari-cari kaedah paling sesuai menyelesaikan masalah dihadapinya saban hari.  Sepertimana lain-lain warga kotaraya yang sangat padat dan sibuk itu, beliau turut terperangkap dengan masalah kesesakan jalan raya yang menjadi fenomena harian di situ.

Meski pun jarak antara tempat tinggal dan pejabatnya hanya kira-kira sembilan kilometer, kesesakan jalan raya di kotaraya itu menyebabkan Abdun Aziz Kadir terpaksa menghabiskan tidak kurang dua jam sehari untuk perjalanan pergi dan balik ke pejabatnya. Dapat dibayangkan berapa lama pula masa dihabiskan warga lain yang tinggal lebih jauh untuk sampai ke pusat bandaraya itu.

Kini, dengan kenaikan harga minyak di pasaran antarabangsa, harga runcit bahan bakar itu di pasaran tempatan seluruh dunia turut dinaikkan kerajaan masing-masing. Ia sekaligus menambahkan satu lagi masalah buat Abdun Aziz, iaitu penambahan kos untuk perjalanannya.

Beliau mengakui apa yang dialaminya tidak seberat bebanan dihadapi majoriti warga kota Bangkok. Pendapatan bulanannya yang agak tinggi masih mampu menampung peningkatan kos tersebut.

Bagaimana pun secara jujur beliau berkongsi kesukaran hidup dengan warga lain yang berpendapatan lebih rendah. Baginya, peningkatan mendadak harga bahan bakar seperti diumumkan kerajaannya bulan lalu menyebabkan rakyat negaranya yang sudah sekian lama hidup dalam kedaifan kini terhimpit.

Akibatnya, sudah ada antara jiran-jirannya yang berpendapatan rendah memilih untuk berhenti kerja. Bagi mereka pendapatan diterima setelah berpenat-lelah berulang alik ke tengah kota saban hari tidak lagi berbaloi. Ia berbaki hanya ratusan baht (mata wang Thai) setelah ditolak segala keperluan tetap bulanan, terutama setelah berlaku kenaikan kos pengangkutan dan lain-lain barangan keperluan harian.

Sebahagian mereka kini terpaksa mencari kerja lain berdekatan tempat tinggal memandangkan kos perjalanan masih tinggi sekali pun mereka beralih menggunakan pengangkutan awam. Caj pengangkutan awam juga telah dinaikkan selaras kenaikan harga minyak.

Sebagai orang penting yang turut bertanggungjawab membantu perjalanan syarikatnya, Abdun Aziz turut dilibatkan majikannya untuk merangka pelan terbaik menangani masalah ini.  Majikannya tidak bersedia kehilangan mana-mana pekerjanya. Apatah lagi sebahagian besar mereka, sama ada di sektor pengurusan atau sokongan telah berkhidmat sejak sekian lama.  Mereka juga telah membuktikan komitmen dan dedikasi masing-masing dalam membantu kemajuan dan kejayaan syarikat.

Akhirnya mereka menemui satu kaedah penyelesaian. Majikan menawarkan pakej istimewa kepada kakitangannya dalam bentuk jadual waktu anjal. Jumlah hari untuk kakitangan datang ke pejabat dalam seminggu dikurangkan mengikut kesesuaian tugas.

Pada hari-hari mereka tidak ke pejabat, mereka dipastikan menyempurnakan tugasan di rumah masing-masing. Berbekalkan komputer peribadi dan talian internet, mereka bekerja secara online dan memasuki sistem pejabat. Rangkaian itu juga memudahkan majikan memantau dan memastikan tugasan diberikan kepada mereka dilaksanakan dengan baik.

Pakej ini bukan sahaja menjimatkan masa perjalanan, bahkan menyelamatkan kos yang sepatutnya dihabiskan untuk pengangkutan ke pejabat. Ia juga secara umumnya membantu mengurangkan jumlah pengguna jalan raya, sekaligus meringankan kesesakan di kotaraya itu saban hari.

Pakej istimewa ini bagaimana pun dilaksanakan penuh teliti. Ia mengambilkira beberapa prasyarat, terutama  di dalam pemilihan kakitangan yang hendak ditawarkan kelonggaran ini.

Pertama, oleh sebab pakej ini bertujuan mengatasi masalah kewangan kakitangan, ia diutamakan kepada kumpulan kakitangan berpendapatan rendah sahaja. Ada pun mereka yang dalam kumpulan berpendapatan tinggi, termasuk Abdun Aziz sendiri, tidak diberikan keistimewaan ini.

Kedua, oleh sebab kerja di rumah melibatkan pengawasan paling minima, hanya kakitangan yang telah membuktikan komitmen dan dedikasi mereka terhadap tugasan akan diberikan kelonggaran ini. Mereka yang memiliki rekod prestasi kerja kurang memberangsangkan tidak dipertimbangkan untuk menikmati pakej ini.

Ketiga, pakej ini melibatkan pakej kerja dan tugasan tertentu sahaja. Tidak semua kategori perjawatan sesuai dilaksanakan sistem kerja sebegini. Kakitangan yang memikul tugas yang hanya dapat dilaksanakan di pejabat adalah tidak sesuai dengan pakej ini. Untuk mereka ini, satu bentuk insentif lain perlu difikirkan.

Meski pun berlainan negara, apa yang dialami warga kotaraya Bangkok itu banyak persamaan dengan masalah yang dihadapi rakyat negara kita. Paling tidak kita berkongsi dua masalah yang mereka hadapi itu, iaitu kesesakan jalan raya dan peningkatan kos pengangkutan akibat kenaikan harga minyak.

Mungkin belum ada kakitangan awam atau pun swasta di ibu kota di negara kita memikirkan hasrat berhenti kerja disebabkan masalah itu. Bagaimana pun suatu yang diakui semua pihak ialah kos sara hidup rakyat kini semakin meningkat.

Kita mungkin masih bernasib baik kerana memiliki sistem pengangkutan awam yang efisyen.  Bagaimana pun tiada pihak yang dapat menjamin cajnya akan kekal tidak dinaikkan.

Ada pula yang merasa masih mampu membuat pengubahsuaian dan bertukar kepada kenderaan berkapasiti lebih kecil. Bagaimana pula dengan mereka yang selama ini memang sudah pun menggunakan motosikal, tetapi tetap dibebani peningkatan kos hidup? Apakah kini mereka terpaksa berbasikal atau berjalan kaki pula?

Mahu tidak mahu, pihak majikan di negara kita juga wajar memikirkan kaedah terbaik menjaga kebajikan kakitangan dan membantu mereka mengatasi kekangan kewangan. Barangkali apa yang dilaksanakan majikan Abdun Aziz di Bangkok tadi boleh dijadikan panduan.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah, Bil: 206, Ogos 2008 di ruangan ‘Pendapat’ dengan tajuk sama)