Friday, March 16, 2007

Mampukah BN hidup tanpa salah guna kuasa?


oleh: MAT ZAIN MAT ISA

SEPINTAS lalu, tiada apa yang luar biasa pada majlis pelancaran Program Gerak Mesra Perayu Undi Wanita Umno Terengganu awal Februari lalu. Dalam keadaan seluruh negara sedang menduga pilihan raya akan diadakan dalam masa terdekat, langkah mana-mana parti memulakan gerak kerja pilihan raya memang kena pada masanya.

Seperti mana lazimnya, majlis di Stadium Negeri itu disempurnakan parti pemerintah dengan kerjasama kerajaan negeri. Sudah tentu selain melibatkan beberapa pemimpin dengan kapasiti jawatan masing-masing dalam kerajaan, ia turut menggunakan beberapa kemudahan awam.

Walau pun perbuatan itu dikira suatu penyalahgunaan kemudahan awam untuk kepentingan parti, kesalahan sebegitu sudah tidak diambil pusing mana-mana pihak. Salah guna kuasa adalah terlalu lumrah bagi Barisan Nasional (BN), walau pun pantang bagi mana-mana pemimpinnya mengakui hakikat itu.

Hal itulah yang menbezakan majlis Wanita Umno Terengganu tadi dengan majlis-majlis partinya yang lain. Majlis itu dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Seri Idris Jusoh, yang juga Pengerusi Perhubungan Umno negeri. Seramai 3,180 wanita Umno negeri dipilih melaksanakan tugas merayu undi untuk 318 peti undi bagi menarik sokongan pengundi kepada partinya dalam pilihan raya nanti.

Tanpa selindung, Idris mengisytiharkan kerajaan negeri pimpinannya telah memperuntukkan sebanyak RM254,400 bagi memastikan tugasan partinya itu dilaksanakan dengan sempurna.

Keberanian Idris mengakui secara terbuka penyalahgunaan peruntukan kerajaan untuk gerak kerja partinya adalah di luar kebiasaan para pemimpin BN. Tindakan beliau itu sekali gus mengiyakan dakwaan pembangkang selama ini.

Lebih menarik, pengakuan itu dibuat pada saat politik negara masih bersipongang dengan cakap-cakap mengenai ketempangan proses demokrasi dan pilihan raya negara. ‘Demam campak’ yang menghinggapi BN gara-gara pemboikotan parti-parti pembangkang dalam Pilihan Raya Kecil Batu Talam akhir Januari lalu juga masih belum betul-betul sembuh.

Sebab utama mendorong pembangkang memulaukan pilihan raya berkenaan ialah kerana hilang kepercayaan terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam pembasmian penipuan, penyelewengan dan pembohongan parti pemerintah. Kegagalan SPR itu menyebabkan setiap pilihan raya yang diadakan gagal memberikan keadilan dan persaingan yang sama rata.

Itulah yang sering didakwa parti-pari pembangkang. Itulah juga yang akhirnya diakui SPR sendiri. Akhbar-akhbar harian pada 8 Januari lalu menyiarkan kenyataan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman yang mencadangkan agar badan itu distruktur semula. Ia termasuk merombak peraturan dan undang-undang pilihan raya di bawahnya yang sebahagiannya sudah berusia 50 tahun dan dianggap tidak relevan dengan perkembangan semasa.

Abdul Rashid turut menggariskan enam kuasa yang tidak wujud pada SPR yang beliau dakwa menjadi punca kelemahan badan itu pada masa ini. Kuasa-kuasa dimaksudkan ialah kuasa menentukan penubuhan parti politik dan menjamin kebebasan mengambil bahagian bila-bila masa dalam pilihan raya, kuasa mengawal semua keadaan pada musim berkempen dan kuasa mengatur keadilan dan kebebasan melapor bagi semua media cetak dan elektronik.

Tiga lagi ialah kuasa mengawal dan menghukum pihak yang menyalahgunakan kemudahan awam untuk berkempen, kuasa menentukan keadilan dalam hal-hal berkaitan dengan pembiayaan kewangan untuk kempen parti dan kuasa mengawal dan mencegah rasuah dan aktiviti membeli undi pada musim pilihan raya.

Buat masa ini, kesemua kuasa tersebut dimiliki kerajaan. Sebab itu ketika pilihan raya BN turun bukan sekadar sebagai sebuah parti, tetapi sebagai sebuah kerajaan beserta segala kuasa, kemudahan dan peruntukannya. Tanpa kuasa tadi, SPR hanya mampu memerhati.

Boleh anda bayangkan bagaimana rupa BN menghadapi pilihan raya tanpa kuasa-kuasa tadi? Bayangkan, tiada majlis pembahagian geran tanah, penyampaian bonus dan insentif atau penyerahan kunci rumah murah kepada rakyat oleh para pemimpin BN.

Tiada manipulasi jabatan-jabatan kerajaan untuk pelbagai kempen atau aktiviti kebajikan bagi pihak BN. Tiada lori dan jentera membaiki atau membuat jalan di kawasan pilihan raya.

Alangkah meriah dan seimbangnya pilihan raya jika BN dan parti-parti pembangkang sama-sama mendapat hak berceramah di balai raya, dewan orang ramai, sekolah atau padang awam. Macam mana pula agaknya bentuk laporan media-media arus perdana tanpa manipulasi berat sebelah untuk kepentingan BN?

Paling utama, mampukah BN menjalankan gerak kerja membeli undi dan mengumpan rakyat dengan kebendaan tanpa menggunakan peruntukan kerajaan? Soalan ini seakan telah dijawab menerusi penganjuran program Wanita Umno Terengganu tadi.

Barangkali Idris tersasul, atau mungkin dia lupa untuk menyembunyikan penyalahgunaan kuasa pihaknya. Boleh jadi juga beliau rasa hal itu sudah tidak perlu disembunyikan. Ibarat kata orang, “menutup bangkai gajah dengan nyiru”. Kalau disembunyikan pun orang akan nampak juga. Lagi pun, apa ertinya memimpin sebuah kerajaan BN kalau tidak pandai menyalahguna kuasa?

Apa yang pasti, para pemimpin BN sedar laluan memenangi mana-mana kerusi di Terengganu tidak semudah pilihan raya lalu. Apatah lagi tanpa penyalahgunaan kuasa. Di atas premis itu, bagaimana mungkin didambakan sebuah pilihan raya yang adil dan saksama?

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah, 16-31 Mac 2007 dengan tajuk sama)

Wednesday, March 14, 2007

Kontraktor Melayu tak hormat waktu Jumaat


oleh: MAT ZAIN MAT ISA

SOLAT fardu Jumaat di masjid Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (Kusza), Gong Badak, di utara bandar Kuala Terengganu pada 9 Februari lalu tidak sehening biasa. Ia disulami bunyi hentakan dan dentuman jentera pemasak tiang cerucuk di tapak pembinaan di sebuah kem kira-kira 500 meter dari situ.

Pada papan tanda di tapak berkenaan ditulis projek pembangunan semula Kem Batalion 9, Pasukan Gerak Am itu dimajukan sebuah syarikat berpangkalan di Putrajaya. Ia melibatkan pembinaan bangunan pentadbiran, unit-unit kediaman, mes pegawai dan sebagainya.

Kontraktor pelaksana projek ialah sebuah syarikat terkenal dan tidak asing lagi dari Jerteh, Terengganu. Ia diketahui milik keluarga seorang pemimpin utama negeri itu.

Itulah yang menambahkan lagi kejengkelan rakyat. Tergamak sebuah syarikat milik keluarga pemimpin kerajaan mencemar kesucian hari mulia itu? Mereka persoalkan sejauh mana perlunya kerja-kerja tersebut diteruskan sewaktu solat Jumaat sedang disempurnakan.

Hujah mereka agak rasional. Pertama, Jumaat ialah hari cuti mingguan di Terengganu. Pelbagai sektor perniagaan, pejabat kerajaan dan swasta mahu pun sektor pembinaan mematuhi peraturan sedia ada itu tanpa mengira sepenting mana sekali pun fungsi masing-masing. Jadi, amat penting sangatkah projek yang satu ini disiapkan segera sehingga tidak boleh berhenti walau sehari?

Kedua, negeri-negeri yang bekerja pada hari Jumaat pun tidak meneruskan kerja di waktu itu. Pejabat kerajaan dan swasta berehat antara 12:30 hingga 2:30 petang untuk memberi ruang kepada pekerja Islam lelaki bersolat Jumaat, selain makan dan berehat.

Jika pun ada para pekerja yang memang tidak minat bersolat, itu kesalahan individu. Pihak majikan telah menghormati waktu Jumaat dan tidak bersubahat dengan pekerjanya untuk menyediakan alasan bagi mereka ponteng solat yang wajib itu.

Ketiga, katakanlah kerja-kerja di Gong Badak itu tidak melibatkan pekerja beragama Islam. Sekali pun begitu, sekurang-kurangnya tunjukkanlah rasa hormat kepada umat Islam yang sedang beribadat, bukannya menyulami ibadat mereka dengan dentuman yang mengganggu konsentrasi mereka. Bukankah kontraktor terbabit adalah syarikat milik penuh orang Melayu?

Secara logik juga, adalah tidak munasabah jika dikatakan jadual pembinaan keseluruhan akan terjejas teruk sekiranya ia ditangguhkan barang sejam-dua itu.

Keempat, kejadian di tengah-tengah perkampungan umat Islam itu berlaku pada saat kerajaan Terengganu sedang menguar-uarkan hasratnya bertindak terhadap lelaki Islam yang ponteng solat Jumaat. Malah, seminggu sebelum itu pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Terenganu (JHEAT) telah pun membuat operasi menahan golongan yang didapati ponteng daripada menunaikan fardu Jumaat. Dilaporkan 26 notis saman telah dikeluarkan di beberapa lokasi sekitar Batu Burok dan Ladang, Kuala Terengganu.

Amat jelas hasrat kerajaan itu tidak dihayati kontraktor terbabit. Keberaniannya mempamerkan aktiviti pembinaan pada waktu orang Islam bersolat Jumaat bukan sahaja tidak kondusif malah seakan mencabar hasrat kerajaan membendung gejala ponteng Jumaat. Apakah akan ada tindakan oleh JHEAT terhadap syarikat kontraktor terbabit?

Hari Jumaat adalah hari besar orang Islam. Nabi Muhammad saw sangat memuliakan hari Jumaat dan memandangnya sebagai hari yang wajib dihormati dan dibesarkan oleh seluruh umat Islam.

Bahkan, dalam satu hadisnya, Baginda saw menyifatkan hari Jumaat sebagai kemuliaan yang membezakan umat Islam dengan umat-umat lain: “Kita (umat Islam) ialah umat yang terkemudian lahirnya dan terdahulu dapat penyelesaian pada hari Kiamat dan terdahulu pula masuk syurga. Ada pun mereka (Yahudi dan Nasrani) mendapat kitab sebelum kita dan kita mendapat sesudah mereka. Kemudian ahli kitab berselisih dan kita kaum muslimin diberi petunjuk yang benar tentang hari yang diperselisihkan mereka itu. Hari itu ialah hari Jumaat dan ia untuk kita, esoknya (Sabtu) untuk kaum Yahudi dan lusanya (Ahad) untuk kaum Nasrani”. (Riwayat Muslim)

Kelebihan hari Jumaat disenaraikan Rasulullah lewat beberapa hadis. Pada hari Jumaat berlaku beberapa peristiwa penting lagi mulia, seperti Nabi Adam as diciptakan Allah, dimasukkannya ke syurga, diturunkan ke bumi dan diwafatkan. Pada hari Jumaat juga Adam dan Hawa dipertemukan di Padang Arafah.

Pada hari Jumaat Malaikat Israfil meniupkan sangkakala bagi menandakan Kiamat. Jumaat juga dihimpunkan segala makhluk di Padang Mahsyar dan orang-orang Islam yang telah dihisab akan memasuki syurga.

Menjadi amalan para ulama dan orang yang bertakwa untuk menghayati kedatangan Jumaat sedari petang sebelumnya. Sebagai penghulu segala hari, Jumaat adalah hari paling afdal untuk beribadat dan mendekatkan diri kepada Allah. Maka membiarkan diri sibuk dengan aktiviti kerja adalah ibarat melepaskan peluang mengejar nikmat dan kelebihan di sisi Tuhan.

Dibimbangi kecenderungan meneruskan kerja pada saat umat Islam berduyun-duyun ke masjid memberi imej salah tentang kemuliaan saat itu. Tidak mustahil akan ada generasi muda tidak akan tahu kelebihan Jumaat berbanding hari lain dan tidak akan menghayatinya.

Bagaimanakah mereka ini diharapkan bakal menjadi generasi Ulul-Albab, sebagaimana dicita-citakan pemimpin kerajaan yang juga bekas pemilik syarikat kontraktor itu sendiri?

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah, 11-25 Safar 1428/1-15 Mac 2007 dengan tajuk sama)

Sunday, February 4, 2007

Terengganu pelopor perusahaan air ketum


Oleh: Anuwa Jamalullail


Sebuah akhbar harian di minggu pertama tahun ini melaporkan bahawa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut telah menubuhkan lapan pasukan khas bagi membanteras kegiatan mengedar, memproses dan menjual air daun ketum di daerah itu. Langkah pembanterasan itu diambil memandangkan gejala penagihan air ketum semakin menjadi-jadi kebelakangan ini.

Pihak terbabit dengan gejala itu dikatakan tidak serik mengulanginya walaupun telah ditahan dan dikenakan denda. Tambah membimbangkan pihak berkuasa ialah apabila gejala penagihan itu didakwa banyak menyumbang kepada kes-kes jenayah di daerah itu.

Di minggu berikutnya akhbar sama melaporkan pula kejayaan Polis Terengganu merampas 200 paket air ketum bernilai kira-kira RM600 dan menahan tiga lelaki dalam tiga serbuan berasingan dalam tempoh 24 jam di negeri itu. Dua serbuan tersebut dibuat di daerah Kemaman, manakala satu lagi serbuan dilakukan di Besut.

Kesungguhan pasukan keselamatan membanteras gejala penagihan itu wajar dipuji. Bagaimana pun, usaha memeranginya secara berkesan masih terlalu jauh untuk dikatakan berjaya. Cerita serbuan, rampasan dan tangkapan bersabit kegiatan memproses, menjual dan meminum air ketum itu sudah terlalu kerap dilaporkan. Namun apa yang pasti kegiatan itu masih juga berleluasa di serata negeri.

Jabatan Narkotik Terengganu pernah mendedahkan bahawa Setiu adalah daerah paling banyak dikesan pihaknya berlaku kegiatan penjualan dan penyalahgunaan ketum. Di kalangan penggemar minuman itu, Setiu dianggap ‘syurga ketum’. Di sebilangan kampung di daerah itu air ketum dikatakan dijual secara terbuka, termasuk di kedai-kedai kopi.

Permintaan terhadap air ketum dikaitkan dengan dakwaan ia mengandungi pelbagai khasiat.  Meminumnya dikatakan boleh menambah tenaga kelelakian. Tidak kurang juga yang mendakwa ia dapat melicinkan perjalanan darah. Mereka yang menghadapi rutin harian yang berat seperti bersawah dan berkebun pula mendakwa meminum air ketum memberi mereka kelebihan tenaga.

Bagi penagih dadah pula, air ketum adalah alternatif yang murah kepada dadah. Satu paket air rebusannya dijual antara RM1 dan RM2.

Ekoran permintaan yang tinggi, harga daun ketum kini meningkat daripada RM4 kepada RM16 sekilogram. Dikatakan ada pihak yang memperolehi pendapatan RM2,000 sehari hasil penjualan daun dan air ketum.

Pokok ketum hidup subur di kawasan tanah lembah dan boleh mencapai ketinggian sehingga 25 meter. Daunnya dianggap matang dan sesuai dipetik selepas berusia enam bulan. Dikatakan daun yang lebih tua menghasilkan kesan lebih berkualiti kepada pengguna.

Menurut maklumat Bahagian Penguatkuasa Farmasi, Kementerian Kesihatan, tiga negeri paling aktif menjalankan kegiatan penanaman, pemprosesan dan penjualan air dan serbuk daun ketum ialah Perlis, Kedah dan Terengganu. Kegiatan pemprosesan air daun ketum bagaimana pun dipelopori penguasa di Terengganu sebelum diikuti pengusaha di Kedah dan negeri-negeri lain.

Bekalan utama daun ketum kepada penguasa di Kedah dan Perlis dikatakan diperolehi dari Perak manakala pengusaha Terengganu mendapatkan bekalan-bekalan dari daerah masing-masing selain dari Keratong, Pahang dan Rembau, Negeri Sembilan.

Kajian mengatakan daun ketum mengandungi tidak kurang 24 jenis alkaloid dan paling signifikan ialah bahan kimia ‘mitragynine’ yang berupaya memberi kesan rangsangan dan psikotropik. Jika diambil dalam kuantiti yang banyak dan berterusan, ia memberi kesan khayal, muntah, pening dan mengantuk. Lebih buruk lagi mengakibatkan sindrom penagihan. Antara simptom awalnya ialah bibir dan kulit penagih ketum menjadi hitam dan kekeringan.

Bermula Januari 2003, kerajaan telah mewartakan ketum ialah bahan psikotropik di bawah Jadual Ketiga Akta Racun 1952. Perbuatan memiliki air atau daun ketum merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum di bawah akta yang sama dengan denda tidak lebih RM10,000 atau empat tahun penjara atau kedua-duanya.

Dadah dan bahan psikotropik lain termasuk ketum telah diisytiharkan sebagai musuh nombor satu negara. Undang-undang yang ada juga tidak memandang ringan terhadap mereka yang terbabit dengan bahan terlarang ini. Namun, hingga kini belum ada tanda-tanda kita akan membebaskan diri daripada gejala merosakkan ini.

Sudah sampai masanya, selain penguatkuasaan undang-undang usaha membanteras penagihan ini juga perlu menoleh kepada pendekatan rohani dan keagamaan. Dalam konteks Terengganu, negeri itu pernah menubuhkan Kem Seliaan dan Latihan Pemadam Negeri Terengganu (KESIHAT). Ia merupakan satu pusat rawatan dan pemulihan penagihan dadah secara Islam dan beroperasi di Kem Cadur, Marang.

Amat mendukacitakan rakyat Terengganu apabila usaha murni kerajaan PAS itu tidak diteruskan kerajaan Barisan Nasional sekarang.  KESIHAT dihentikan operasinya sebaik kerajaan negeri beralih tangan semata-mata kerana ia ditubuhkan oleh kerajaan PAS. BN juga tidak menubuhkan pusat rawatan yang baru sebagai gantinya.

Soal rawatan penagihan dadah adalah soal negara dan untuk kebaikan semua. Apakah wajar usaha mana-mana pihak ke arah itu dikesampingkan semata-mata atas sentimen politik?

(Artikel ini disiarkan akhbar Mingguan Wasilah, 4 Februari 2007 dengan tajuk sama)

Thursday, February 1, 2007

Senarai “perkara tidak pernah dilihat” di Terengganu


oleh: MAT ZAIN MAT ISA

DI PINGGIR utara bandar Kuala Terengganu terdapat sebuah pekan kecil yang sentiasa sibuk sepanjang hari. Pekan Batu Enam yang sering dianggap ‘pekan koboi’ oleh sebilangan masyarakat Terengganu terkenal sebagai persinggahan para pengguna jalan raya, terutama yang menuju ke arah Kota Bharu.

Walau pun digelar pekan koboi, ia bukanlah merujuk suasana kehidupan penduduknya yang menunggang kuda atau memelihara kawanan lembu. Ia bukan juga ada kena-mengena dengan sebarang insiden tembak-menembak, sebagaimana yang sering berlaku di beberapa pekan di pintu masuk negara jiran di utara tanahair, sehingga melayakkan mereka digelar pekan koboi.

Nadi utama Pekan Batu Enam ialah pasar dan deretan kedainya. Mungkin disebabkan suasana aktiviti harian pekan tersebut yang sentiasa sibuk dan hingar-bingar menjadi asas ia mendapat gelaran tadi.

Apa pun sebab sebenar dan siapa pun yang bertanggungjawab memberikan gelaran itu tiada siapa yang pasti. Malah seluruh penduduknya tidak pun mengambil serius gelaran kepada pekan mereka.

Keadaan bagaimana pun tiba-tiba berubah beberapa bulan lalu. Warga yang sebelum ini tidak pernah ambil pusing soal gelaran tadi mula bercakap mengenai istilah ‘pekab koboi’ itu. Segalanya ekoran satu insiden rompakan bersenjata api yang menggemparkan pekan yang aman damai itu.

Seluruh warga Pekan Batu Enam dikejutkan dengan berita rompakan di sebuah kedai emas di situ. Pemilik kedai cedera ditembak perompak. Kerugian ditaksirkan melebihi RM100,000.

Walau pun insiden itu tidak melibatkan kehilangan nyawa, ia tetap menjadi bahan perbualan. Detik hitam sejarah Pekan Batu Enam itu akan diingati semua warganya. “Ia tidak pernah kami lihat, tak pernah berlaku sebelum ini”, itulah kat-kata paling laris dipertuturkan warga pekan itu.

Kata-kata itu sekali gus mengingatkan mereka kepada ungkapan serupa oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi hampir tiga tahun lalu. Sewaktu berkunjung ke Terengganu untuk kempen Pilihan Raya Umum 2004 lalu, Abdullah antara lain menjanjikan “perkara yang tidak pernah dilihat sebelum ini akan dapat dilihat oleh rakyat Terengganu di bawah BN”.

Kini, rakyat Terengganu mengakui ungkapan “keramat” pemimpin nombor satu BN itu memang semakin menjadi realiti.  Malangnya, ia datang bukan dalam bentuk yang bermanfaat untuk rakyat, sebaliknya mengundang ketakutan dan kebimbangan.

Maaf cakap, tapi itulah antara “keistimewaan” yang diperolehi rakyat Terengganu semenjak diperintah BN hampir tiga tahun lalu. Kes rompakan bersenjata di siang hari di Pekan Batu Enam tempohari bukanlah satu-satunya contoh. Beberapa kes lain turut berlaku sebelumnya.

Cerita pelajar yang biadab terhadap guru dan berkelakuan samseng di sekolah bukan cerita baru. Tetapi belum pernah dalam hayat lebih 40 tahun tinggal di Terengganu penulis mendengar cerita pelajar sebegitu biadab sehingga sanggup menyerang sekolahnya. Percaya atu tidak, itulah yang berlaku di sebuah sekolah menengah dekat Manir, Kuala Terengganu beberapa bulan lalu.

Sekumpulan pelajar yang bermasalah dilaporkan menghujani kawasan sekolahnya dengan bedilan mercun tanpa sedikit pun perasaan takut terhadap sebarang tindakan susulan pihak berkuasa. Serangan dikatakan berlanjutan buat tempoh agak lama sehingga merosakkan landskap dan mengotorkan beberapa bahagian sekolah selain mencemaskan warganya.

Sebelum itu pun sudah ada berbagai cerita luar biasa sebegitu. Antaranya insiden cubaan sekumpulan perompak melarikan mesin ATM sebuah bank di Kuala Terengganu menggunakan jentolak. Demi Allah, kes itu belum pernah dilihat atau didengar berlaku di Terengganu sebelum ini.

Begitu juga cerita pencuri yang terlalu berani sehingga sanggup mencuri bunga besi penghias pagar istana Sultan. Sejahat-jahat rakyat Terengganu selama ini, belum pernah ada yang berani menyentuh mana-mana harta milik Sultan mereka. Tetapi ia berlaku di zaman BN. Amat benarlah kata Abdullah tadi, “perkara yang tidak pernah dilihat sebelum ini akan dapat dilihat oleh rakyat Terengganu di bawah BN”.

Ada lagi! Sebuah masjid yang dibina di atas tanah yang dikurniakan kerajaan secara sah, mengikut perancangan pembangunan yang diluluskan kerajaan, dirobohkan oleh sebuah kerajaan yang mendakwa mahu menegakkan Islam. Bukankah itu juga cerita pelik?

Apa pun perbahasan pro-kontra mengenai status masjid itu, yang pasti ia satu lagi perkara yang tidak pernah dilihat rakyat Terengganu sejak zaman nenek-moyang mereka. Tarikh 26 Mei 2005 akan sentiasa dikenang bukan sahaja oleh penduduk Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Kampung Bujal, Kemaman, malah seluruh umat Islam yang mengabdikan diri kepada Allah. Pada hari itu kerajaan BN Terengganu benar-benar membuktikan serakah politiknya mengatasi rasional bertolak ansur dalam urusan agama.

Selagi hayat kerajaan BN Terengganu masih ada, selagi itulah rakyatnya dirundung kebimbangan apakah lagi “bencana yang tidak pernah dilihat sebelum ini” yang bakal berlaku di negeri mereka. Harap-harap kebimbangan mereka itu akan berakhir selepas pilihan raya umum nanti!

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah, 1-15 Februari 2007 dengan tajuk sama)

Apa Rasional Membantah Peraturan Tudung?


Oleh: Mohd. Nasir Awang

Awal Disember lalu, Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) mengambil keputusan menguatkuasakan peraturan berhubung pakaian wanita yang bekerja di restoran dan pusat-pusat membeli-belah di bandar itu. Di bawah peruntukan Undang-Undang  Kecil Perniagaan itu, mana-mana petugas wanita Islam yang tidak menutup aurat boleh dikenakan denda maksima RM500.

Pengumuman tersebut mengundang reaksi negatif beberapa pihak. Rata-rata yang membantah beranggapan peraturan berkenaan suatu prejudis dan diskriminasi terhadap wanita. Malah ada yang menyifatkannya sebagai mengarut dan tidak masuk akal. Antara pertubuhan yang menyuarakan tentangan ialah Pertubuhan Kebajikan Wanita Kebangsaan (WAO), Pertubuhan Pembangunan Wanita dan Persatuan Tindakan Wanita (Awam).

Jawatankuasa Caucus Parlimen Kesamaan Gender pula menganggap langkah MPKB-BRI itu mengganggu hak asasi kaum wanita. Pengerusinya, Dr. Rozaidah Talib berkata, pakaian merupakan hak individu dan pihak berkuasa tempatan tidak berhak mencampuri atau menentukan fesyen pakaian individu.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika menjelaskan peraturan tersebut menegaskan apa yang dilakukan oleh MPKB-BRI itu adalah untuk menegakkan kesopanan awam. Katanya, peruntukan undang-undang itu dilaksanakan kepada wanita beragama Islam saja. Manakala wanita bukan Islam dinasihatkan berpakaian sopan sebagai suatu usaha membantu mengurangkan keruntuhan akhlak di kalangan anggota masyrakat.

‘Denda ini hanya untuk orang (wanita) Islam saja. Orang bukan Islam kita minta dia berpakaian sopan’, katanya.

Maksud ‘sopan’ itu dihuraikan lebih lanjut oleh Pegawai Perhubungan Awam MPKB-BRI, Azman Mohd Daham. Ia termasuklah bertudung dan menutup badan hingga ke buku lali bagi wanita Islam. Manakala bukan Islam pula dilarang mengenakan skirt, pakaian yang jarang atau sendat sehingga menampakkan susuk tubuh dan seluar ketat.

Isu pakaian wanita diakui suatu yang sangat sensitif. Sebab itu setiap kali ada pihak membangkitkannya, ia berkembang menjadi polemik dan terus diperkatakan pelbagai pihak.

Langkah baru Kerajaan Kelantan ini wajar dinilai berdasarkan beberapa rasionaliti. Pertama, isu utama di sini ialah hak awam mengatasi hak individu.

Kod pakaian ini adalah untuk dikuatkuasakan kepada mereka yang berada di khalayak ramai, bukan yang berada di rumah atau tempat persendirian. Selagi seseorang itu berada di rumah masing-masing tanpa kehadiran bukan mahram (orang yang sah nikah dengannya), dia bebas memakai apa sahaja. Keadaan adalah berbeza apabila dia keluar dari rumah dan terlibat dengan orang ramai.

Sebuah masyarakat perlu ada undang-undang termasuklah cara berpakaian. Kita hidup dalam masyarakat, bukan tinggal seorang diri dalam belantara. Sekiranya berpakaian sesuka hati ia mungkin menyinggung perasaan dan keselesaan orang lain.

Sepatutnya kehidupan bermasyarakat mengajar golongan yang tidak setuju untuk turut menghormati amalan dan pegangan orang yang lebih besar. Untuk kebaikan majoriti, wajarkah dipertahankan hak segelintir?

Kedua, adalah menjadi tugas sebuah kerajaan Islam untuk melindungi kaum wanitanya supaya martabat dan maruah mereka sentiasa terpelihara. Wanita bukan bahan pameran atau barang dagangan untuk menarik perhatian lelaki. Malangnya kecenderungan ke arah itu semakin berleluasa kini. Hal itu memaksa sesebuah kerajaan mengadakan peraturan bagi membendungnya.

Wanita dicipta untuk berkongsi kehidupan dengan lelaki. Bentuk fizikal wanita diciptakan Allah berlainan daripada lelaki bersesuaian dengan beberapa tugasan yang dikhususkan untuknya.  Kewujudan wanita sebenarnya sebagai pelengkap kehidupan.

Di sudut naluri, wanita dijadikan mudah tertarik kepada berbagai perkara seperti pakaian cantik, pinggan mangkuk, bunga, hiasan dan lain-lain. Kaum lelaki sebaliknya mudah tertarik terhadap wanita mengatasi minat terhadap perkara lain, termasuk kereta, rumah, bunga atau pinggan mangkuk.

Wanita diperintahkan Allah menutup aurat sebagai penghalang kepada rangsangan terhadap lelaki. Walau pun secara fizikal lelaki lebih kuat daripada wanita, dalam aspek menepis godaan, lelaki sebenarnya lebih lemah berbanding wanita.

Daya tarikan istimewa wanita itu tidak wajar disalahgunakan, termasuk bagi melariskan perniagaan. Membiarkan wanita memperagakan susuk tubuh dan kecantikan sebenarnya menjatuhkan martabat mereka yang suci.

Namun itulah persis apa yang dilakukan sebilangan premis perniagaan di Kota Bharu. Pihak MPKB-BRI dilaporkan telah menerima aduan dan rungutan orang ramai yang amat tidak selesa dengan cara berpakaian sebilangan pembantu kedai dan pelayan yang sengaja berpakaian seksi konon untuk menarik minat pelanggan lelaki ke premis mereka.

Penguatkuasaan peraturan itu terpaksa dibuat setelah masih ada antara mereka yang berpakaian menjolok mata walau pun telah bertahun-tahun diberikan nasihat mengenainya.

Hukum menutup aurat sebenarnya telah termaktub dalam al-Quran, bukan baru diciptakan mana-mana pihak. Ia berdasarkan firman Allah s.w.t: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (dari memandang yang haram), dan memelihara kehormatan dan jangan memperlihatkan perhiasan tubuh kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka”.  (An-Nur 24:31).

Ketiga, kod berpakaian secara umumnya memang wujud dan diamalkan dalam masyarakat sejak sekian lama. Menganggap peraturan menetapkan kod pakaian sebagai melanggar hak asasi sebenarnya hujah yang amat dangkal. Setiap institusi masyarakat memiliki kaedah berpakaian tersendiri. Beberapa jabatan kerajaan dan sektor swasta mensyaratkan pakaian seragam untuk kakitangannya.

Namun, pernahkah kita dengar seorang anggota polis atau tentera membantah pakaian seragam yang ketat atas nama hak asasi individu memilih fesyen pakaian masing-masing? Seorang ibu tidak sepatutnya bercakap soal hak asasi wanita jika ia tidak dapat meyakinkan pihak sekolah mengapa anaknya tidak perlu memakai seluar hijau dan baju putih sewaktu ke sekolah.

Jika peraturan yang ditetapkan manusia pun kita terpaksa ikut, di mana wajarnya kita membantah peraturan Tuhan?

Keempat, pakaian sopan dan menutup aurat bukan halangan mencapai kejayaan. Masyarakat kita sudah menerima realiti bahawa wanita bertudung juga kelihatan menarik dan beridentiti.  Tudung bukanlah halangan bagi wanita untuk berkerjaya.

Dunia penyiaran yang penuh glamour pun sudah memberikan tempat kepada wanita bertudung.  TV3 pernah melahirkan personaliti terbaik seperti Azura, Norahanani, Ezzah dan Fifi yang bertudung. Malah, pertandingan Pengacara Jemputan Nona (PJN) musim 2002 turut memecahkan tradisi apabila memilih wanita bertudung, Norjuma Habib Mohamad, sebagai pemenangnya.

Terbaru ialah langkah stesen tv swasta, TV9 yang tampil dengan imej pengacaranya yang kemas dan bertudung.

Beberapa artis tetap popular meskipun memilih untuk bertudung. Wardina Safiyyah, Aisyah, Waheeda dan Erma Fatima membuktikan bahawa kecekalan mentaati syariat telah mencelikkan mata sesetengah pihak yang kini akur dengan keputusan yang mereka buat.

Apakah lagi rasional yang ada untuk membantah peraturan bertudung itu? Kalaulah dikatakan bertudung boleh menganggu kecekapan tugas seseorang, bagaimana dengan prestasi pegawai wanita di beberapa jabatan yang terlibat dengan penguatkuasaan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Kastam DiRaja Malaysia (KDRM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS)?

Bukankah pegawai tertinggi polis trafik negara yang saban malam turun padang berhadapan mat rempit juga seorang wanita bertudung? Bagaimana pula dengan doktor dan jururawat yang sering berhadapan saat cemas menyelamatkan nyawa pesakit pun ramai yang bertudung?

Bertudung juga terbukti bukan halangan bagi seorang atlet. Dunia sukan terkenal dengan imej pakaian bercawat dan seksi. Kononnya pakaian yang banyak di badan akan menghalang pergerakan atlet, terutama dalam acara larian.

Hujah itu bagaimana pun dibuktikan meleset apabila ratu pecut Bahrain, Ruqaya al-Ghasara menewaskan pesaingnya di Sukan Doha Disember lalu. Ruqaya mencatat sejarah sebagai pemenang pingat emas pertama memakai tudung ketika berlari apabila memenangi acara 200 meter pada temasya sukan itu. Dua hari sebelum itu beliau telah memenangi pingat gangsa acara 100 meter.

Suatu kebanggaan juga bagi rakyat Malaysia apabila Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Agong juga bertudung. Sultanah Nur Zahirah adalah Permaisuri Agong Kedua yang bertudung selepas Tuanku Siti Aisyah. Jika jawatan wanita paling tinggi dalam negara pun mampu dilaksanakan tanpa gangguan disebabkan memakai tudung, apakah yang wajar dipersoalkan lagi oleh wanita bawahan ini?

Sememangnya usaha mendidik masyarakat bukanlah suatu kerja yang mudah. Sebab itu langkah Kerajaan Kelantan tadi berhadapan rungutan dan bantahan, walau pun ia bertujuan ‘mensopankan’ wanita itu sendiri. Tepat sebagaimana kata Menteri Besar Kelantan, ‘sepatutnya wanita Melayu (Islam) puji (peraturan ini), ini tidak (membantah)!’

(Artikelini disiarkan majalah al-Muslimah, Februari 2007 di ruangan 'reaksi' dengan tajuk sama).