oleh: MAT ZAIN MAT ISA
DI PINGGIR utara bandar Kuala Terengganu terdapat sebuah pekan kecil
yang sentiasa sibuk sepanjang hari. Pekan Batu Enam yang sering dianggap ‘pekan
koboi’ oleh sebilangan masyarakat Terengganu terkenal sebagai persinggahan para
pengguna jalan raya, terutama yang menuju ke arah Kota Bharu.
Walau pun digelar pekan koboi, ia bukanlah merujuk suasana kehidupan penduduknya
yang menunggang kuda atau memelihara kawanan lembu. Ia bukan juga ada
kena-mengena dengan sebarang insiden tembak-menembak, sebagaimana yang sering berlaku
di beberapa pekan di pintu masuk negara jiran di utara tanahair, sehingga
melayakkan mereka digelar pekan koboi.
Nadi utama Pekan Batu Enam ialah pasar dan deretan kedainya. Mungkin disebabkan
suasana aktiviti harian pekan tersebut yang sentiasa sibuk dan hingar-bingar
menjadi asas ia mendapat gelaran tadi.
Apa pun sebab sebenar dan siapa pun yang bertanggungjawab memberikan
gelaran itu tiada siapa yang pasti. Malah seluruh penduduknya tidak pun
mengambil serius gelaran kepada pekan mereka.
Keadaan bagaimana pun tiba-tiba berubah beberapa bulan lalu. Warga yang
sebelum ini tidak pernah ambil pusing soal gelaran tadi mula bercakap mengenai
istilah ‘pekab koboi’ itu. Segalanya ekoran satu insiden rompakan bersenjata api
yang menggemparkan pekan yang aman damai itu.
Seluruh warga Pekan Batu Enam dikejutkan dengan berita rompakan di sebuah
kedai emas di situ. Pemilik kedai cedera ditembak perompak. Kerugian ditaksirkan
melebihi RM100,000.
Walau pun insiden itu tidak melibatkan kehilangan nyawa, ia tetap
menjadi bahan perbualan. Detik hitam sejarah Pekan Batu Enam itu akan diingati
semua warganya. “Ia tidak pernah kami lihat, tak pernah berlaku sebelum ini”,
itulah kat-kata paling laris dipertuturkan warga pekan itu.
Kata-kata itu sekali gus mengingatkan mereka kepada ungkapan serupa oleh
Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi hampir tiga tahun lalu. Sewaktu
berkunjung ke Terengganu untuk kempen Pilihan Raya Umum 2004 lalu, Abdullah
antara lain menjanjikan “perkara yang tidak pernah dilihat sebelum ini akan
dapat dilihat oleh rakyat Terengganu di bawah BN”.
Kini, rakyat Terengganu mengakui ungkapan “keramat” pemimpin nombor satu
BN itu memang semakin menjadi realiti. Malangnya,
ia datang bukan dalam bentuk yang bermanfaat untuk rakyat, sebaliknya mengundang
ketakutan dan kebimbangan.
Maaf cakap, tapi itulah antara “keistimewaan” yang diperolehi rakyat
Terengganu semenjak diperintah BN hampir tiga tahun lalu. Kes rompakan
bersenjata di siang hari di Pekan Batu Enam tempohari bukanlah satu-satunya
contoh. Beberapa kes lain turut berlaku sebelumnya.
Cerita pelajar yang biadab terhadap guru dan berkelakuan samseng di
sekolah bukan cerita baru. Tetapi belum pernah dalam hayat lebih 40 tahun
tinggal di Terengganu penulis mendengar cerita pelajar sebegitu biadab sehingga
sanggup menyerang sekolahnya. Percaya atu tidak, itulah yang berlaku di sebuah sekolah
menengah dekat Manir, Kuala Terengganu beberapa bulan lalu.
Sekumpulan pelajar yang bermasalah dilaporkan menghujani kawasan
sekolahnya dengan bedilan mercun tanpa sedikit pun perasaan takut terhadap
sebarang tindakan susulan pihak berkuasa. Serangan dikatakan berlanjutan buat
tempoh agak lama sehingga merosakkan landskap dan mengotorkan beberapa bahagian
sekolah selain mencemaskan warganya.
Sebelum itu pun sudah ada berbagai cerita luar biasa sebegitu. Antaranya
insiden cubaan sekumpulan perompak melarikan mesin ATM sebuah bank di Kuala
Terengganu menggunakan jentolak. Demi Allah, kes itu belum pernah dilihat atau
didengar berlaku di Terengganu sebelum ini.
Begitu juga cerita pencuri yang terlalu berani sehingga sanggup mencuri
bunga besi penghias pagar istana Sultan. Sejahat-jahat rakyat Terengganu selama
ini, belum pernah ada yang berani menyentuh mana-mana harta milik Sultan mereka.
Tetapi ia berlaku di zaman BN. Amat benarlah kata Abdullah tadi, “perkara yang
tidak pernah dilihat sebelum ini akan dapat dilihat oleh rakyat Terengganu di
bawah BN”.
Ada lagi! Sebuah masjid yang dibina di atas tanah yang dikurniakan
kerajaan secara sah, mengikut perancangan pembangunan yang diluluskan kerajaan,
dirobohkan oleh sebuah kerajaan yang mendakwa mahu menegakkan Islam. Bukankah itu
juga cerita pelik?
Apa pun perbahasan pro-kontra mengenai status masjid itu, yang pasti ia
satu lagi perkara yang tidak pernah dilihat rakyat Terengganu sejak zaman
nenek-moyang mereka. Tarikh 26 Mei 2005 akan sentiasa dikenang bukan sahaja
oleh penduduk Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Kampung Bujal, Kemaman, malah seluruh
umat Islam yang mengabdikan diri kepada Allah. Pada hari itu kerajaan BN
Terengganu benar-benar membuktikan serakah politiknya mengatasi rasional
bertolak ansur dalam urusan agama.
Selagi hayat kerajaan BN Terengganu masih ada, selagi itulah rakyatnya
dirundung kebimbangan apakah lagi “bencana yang tidak pernah dilihat sebelum
ini” yang bakal berlaku di negeri mereka. Harap-harap kebimbangan mereka itu
akan berakhir selepas pilihan raya umum nanti!
(Artikel ini disiarkan akhbar
Harakah, 1-15 Februari 2007 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment