Wednesday, March 14, 2007

Kontraktor Melayu tak hormat waktu Jumaat


oleh: MAT ZAIN MAT ISA

SOLAT fardu Jumaat di masjid Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (Kusza), Gong Badak, di utara bandar Kuala Terengganu pada 9 Februari lalu tidak sehening biasa. Ia disulami bunyi hentakan dan dentuman jentera pemasak tiang cerucuk di tapak pembinaan di sebuah kem kira-kira 500 meter dari situ.

Pada papan tanda di tapak berkenaan ditulis projek pembangunan semula Kem Batalion 9, Pasukan Gerak Am itu dimajukan sebuah syarikat berpangkalan di Putrajaya. Ia melibatkan pembinaan bangunan pentadbiran, unit-unit kediaman, mes pegawai dan sebagainya.

Kontraktor pelaksana projek ialah sebuah syarikat terkenal dan tidak asing lagi dari Jerteh, Terengganu. Ia diketahui milik keluarga seorang pemimpin utama negeri itu.

Itulah yang menambahkan lagi kejengkelan rakyat. Tergamak sebuah syarikat milik keluarga pemimpin kerajaan mencemar kesucian hari mulia itu? Mereka persoalkan sejauh mana perlunya kerja-kerja tersebut diteruskan sewaktu solat Jumaat sedang disempurnakan.

Hujah mereka agak rasional. Pertama, Jumaat ialah hari cuti mingguan di Terengganu. Pelbagai sektor perniagaan, pejabat kerajaan dan swasta mahu pun sektor pembinaan mematuhi peraturan sedia ada itu tanpa mengira sepenting mana sekali pun fungsi masing-masing. Jadi, amat penting sangatkah projek yang satu ini disiapkan segera sehingga tidak boleh berhenti walau sehari?

Kedua, negeri-negeri yang bekerja pada hari Jumaat pun tidak meneruskan kerja di waktu itu. Pejabat kerajaan dan swasta berehat antara 12:30 hingga 2:30 petang untuk memberi ruang kepada pekerja Islam lelaki bersolat Jumaat, selain makan dan berehat.

Jika pun ada para pekerja yang memang tidak minat bersolat, itu kesalahan individu. Pihak majikan telah menghormati waktu Jumaat dan tidak bersubahat dengan pekerjanya untuk menyediakan alasan bagi mereka ponteng solat yang wajib itu.

Ketiga, katakanlah kerja-kerja di Gong Badak itu tidak melibatkan pekerja beragama Islam. Sekali pun begitu, sekurang-kurangnya tunjukkanlah rasa hormat kepada umat Islam yang sedang beribadat, bukannya menyulami ibadat mereka dengan dentuman yang mengganggu konsentrasi mereka. Bukankah kontraktor terbabit adalah syarikat milik penuh orang Melayu?

Secara logik juga, adalah tidak munasabah jika dikatakan jadual pembinaan keseluruhan akan terjejas teruk sekiranya ia ditangguhkan barang sejam-dua itu.

Keempat, kejadian di tengah-tengah perkampungan umat Islam itu berlaku pada saat kerajaan Terengganu sedang menguar-uarkan hasratnya bertindak terhadap lelaki Islam yang ponteng solat Jumaat. Malah, seminggu sebelum itu pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Terenganu (JHEAT) telah pun membuat operasi menahan golongan yang didapati ponteng daripada menunaikan fardu Jumaat. Dilaporkan 26 notis saman telah dikeluarkan di beberapa lokasi sekitar Batu Burok dan Ladang, Kuala Terengganu.

Amat jelas hasrat kerajaan itu tidak dihayati kontraktor terbabit. Keberaniannya mempamerkan aktiviti pembinaan pada waktu orang Islam bersolat Jumaat bukan sahaja tidak kondusif malah seakan mencabar hasrat kerajaan membendung gejala ponteng Jumaat. Apakah akan ada tindakan oleh JHEAT terhadap syarikat kontraktor terbabit?

Hari Jumaat adalah hari besar orang Islam. Nabi Muhammad saw sangat memuliakan hari Jumaat dan memandangnya sebagai hari yang wajib dihormati dan dibesarkan oleh seluruh umat Islam.

Bahkan, dalam satu hadisnya, Baginda saw menyifatkan hari Jumaat sebagai kemuliaan yang membezakan umat Islam dengan umat-umat lain: “Kita (umat Islam) ialah umat yang terkemudian lahirnya dan terdahulu dapat penyelesaian pada hari Kiamat dan terdahulu pula masuk syurga. Ada pun mereka (Yahudi dan Nasrani) mendapat kitab sebelum kita dan kita mendapat sesudah mereka. Kemudian ahli kitab berselisih dan kita kaum muslimin diberi petunjuk yang benar tentang hari yang diperselisihkan mereka itu. Hari itu ialah hari Jumaat dan ia untuk kita, esoknya (Sabtu) untuk kaum Yahudi dan lusanya (Ahad) untuk kaum Nasrani”. (Riwayat Muslim)

Kelebihan hari Jumaat disenaraikan Rasulullah lewat beberapa hadis. Pada hari Jumaat berlaku beberapa peristiwa penting lagi mulia, seperti Nabi Adam as diciptakan Allah, dimasukkannya ke syurga, diturunkan ke bumi dan diwafatkan. Pada hari Jumaat juga Adam dan Hawa dipertemukan di Padang Arafah.

Pada hari Jumaat Malaikat Israfil meniupkan sangkakala bagi menandakan Kiamat. Jumaat juga dihimpunkan segala makhluk di Padang Mahsyar dan orang-orang Islam yang telah dihisab akan memasuki syurga.

Menjadi amalan para ulama dan orang yang bertakwa untuk menghayati kedatangan Jumaat sedari petang sebelumnya. Sebagai penghulu segala hari, Jumaat adalah hari paling afdal untuk beribadat dan mendekatkan diri kepada Allah. Maka membiarkan diri sibuk dengan aktiviti kerja adalah ibarat melepaskan peluang mengejar nikmat dan kelebihan di sisi Tuhan.

Dibimbangi kecenderungan meneruskan kerja pada saat umat Islam berduyun-duyun ke masjid memberi imej salah tentang kemuliaan saat itu. Tidak mustahil akan ada generasi muda tidak akan tahu kelebihan Jumaat berbanding hari lain dan tidak akan menghayatinya.

Bagaimanakah mereka ini diharapkan bakal menjadi generasi Ulul-Albab, sebagaimana dicita-citakan pemimpin kerajaan yang juga bekas pemilik syarikat kontraktor itu sendiri?

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah, 11-25 Safar 1428/1-15 Mac 2007 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment