oleh: MAT ZAIN MAT ISA
SEPINTAS lalu, tiada apa yang luar biasa pada majlis pelancaran Program
Gerak Mesra Perayu Undi Wanita Umno Terengganu awal Februari lalu. Dalam keadaan
seluruh negara sedang menduga pilihan raya akan diadakan dalam masa terdekat,
langkah mana-mana parti memulakan gerak kerja pilihan raya memang kena pada
masanya.
Seperti mana lazimnya, majlis di Stadium Negeri itu disempurnakan parti
pemerintah dengan kerjasama kerajaan negeri. Sudah tentu selain melibatkan
beberapa pemimpin dengan kapasiti jawatan masing-masing dalam kerajaan, ia
turut menggunakan beberapa kemudahan awam.
Walau pun perbuatan itu dikira suatu penyalahgunaan kemudahan awam untuk
kepentingan parti, kesalahan sebegitu sudah tidak diambil pusing mana-mana
pihak. Salah guna kuasa adalah terlalu lumrah bagi Barisan Nasional (BN), walau
pun pantang bagi mana-mana pemimpinnya mengakui hakikat itu.
Hal itulah yang menbezakan majlis Wanita Umno Terengganu tadi dengan
majlis-majlis partinya yang lain. Majlis itu dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Seri
Idris Jusoh, yang juga Pengerusi Perhubungan Umno negeri. Seramai 3,180 wanita
Umno negeri dipilih melaksanakan tugas merayu undi untuk 318 peti undi bagi
menarik sokongan pengundi kepada partinya dalam pilihan raya nanti.
Tanpa selindung, Idris mengisytiharkan kerajaan negeri pimpinannya telah
memperuntukkan sebanyak RM254,400 bagi memastikan tugasan partinya itu dilaksanakan
dengan sempurna.
Keberanian Idris mengakui secara terbuka penyalahgunaan peruntukan
kerajaan untuk gerak kerja partinya adalah di luar kebiasaan para pemimpin BN. Tindakan
beliau itu sekali gus mengiyakan dakwaan pembangkang selama ini.
Lebih menarik, pengakuan itu dibuat pada saat politik negara masih
bersipongang dengan cakap-cakap mengenai ketempangan proses demokrasi dan
pilihan raya negara. ‘Demam campak’ yang menghinggapi BN gara-gara pemboikotan
parti-parti pembangkang dalam Pilihan Raya Kecil Batu Talam akhir Januari lalu
juga masih belum betul-betul sembuh.
Sebab utama mendorong pembangkang memulaukan pilihan raya berkenaan
ialah kerana hilang kepercayaan terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam
pembasmian penipuan, penyelewengan dan pembohongan parti pemerintah. Kegagalan SPR
itu menyebabkan setiap pilihan raya yang diadakan gagal memberikan keadilan dan
persaingan yang sama rata.
Itulah yang sering didakwa parti-pari pembangkang. Itulah juga yang akhirnya
diakui SPR sendiri. Akhbar-akhbar harian pada 8 Januari lalu menyiarkan
kenyataan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman yang mencadangkan
agar badan itu distruktur semula. Ia termasuk merombak peraturan dan undang-undang
pilihan raya di bawahnya yang sebahagiannya sudah berusia 50 tahun dan dianggap
tidak relevan dengan perkembangan semasa.
Abdul Rashid turut menggariskan enam kuasa yang tidak wujud pada SPR
yang beliau dakwa menjadi punca kelemahan badan itu pada masa ini. Kuasa-kuasa
dimaksudkan ialah kuasa menentukan penubuhan parti politik dan menjamin
kebebasan mengambil bahagian bila-bila masa dalam pilihan raya, kuasa mengawal
semua keadaan pada musim berkempen dan kuasa mengatur keadilan dan kebebasan
melapor bagi semua media cetak dan elektronik.
Tiga lagi ialah kuasa mengawal dan menghukum pihak yang menyalahgunakan
kemudahan awam untuk berkempen, kuasa menentukan keadilan dalam hal-hal
berkaitan dengan pembiayaan kewangan untuk kempen parti dan kuasa mengawal dan
mencegah rasuah dan aktiviti membeli undi pada musim pilihan raya.
Buat masa ini, kesemua kuasa tersebut dimiliki kerajaan. Sebab itu
ketika pilihan raya BN turun bukan sekadar sebagai sebuah parti, tetapi sebagai
sebuah kerajaan beserta segala kuasa, kemudahan dan peruntukannya. Tanpa kuasa
tadi, SPR hanya mampu memerhati.
Boleh anda bayangkan bagaimana rupa BN menghadapi pilihan raya tanpa
kuasa-kuasa tadi? Bayangkan, tiada majlis pembahagian geran tanah, penyampaian
bonus dan insentif atau penyerahan kunci rumah murah kepada rakyat oleh para
pemimpin BN.
Tiada manipulasi jabatan-jabatan kerajaan untuk pelbagai kempen atau
aktiviti kebajikan bagi pihak BN. Tiada lori dan jentera membaiki atau membuat
jalan di kawasan pilihan raya.
Alangkah meriah dan seimbangnya pilihan raya jika BN dan parti-parti
pembangkang sama-sama mendapat hak berceramah di balai raya, dewan orang ramai,
sekolah atau padang awam. Macam mana pula agaknya bentuk laporan media-media
arus perdana tanpa manipulasi berat sebelah untuk kepentingan BN?
Paling utama, mampukah BN menjalankan gerak kerja membeli undi dan
mengumpan rakyat dengan kebendaan tanpa menggunakan peruntukan kerajaan? Soalan
ini seakan telah dijawab menerusi penganjuran program Wanita Umno Terengganu
tadi.
Barangkali Idris tersasul, atau mungkin dia lupa untuk menyembunyikan
penyalahgunaan kuasa pihaknya. Boleh jadi juga beliau rasa hal itu sudah tidak
perlu disembunyikan. Ibarat kata orang, “menutup bangkai gajah dengan nyiru”. Kalau
disembunyikan pun orang akan nampak juga. Lagi pun, apa ertinya memimpin sebuah
kerajaan BN kalau tidak pandai menyalahguna kuasa?
Apa yang pasti, para pemimpin BN sedar laluan memenangi mana-mana kerusi
di Terengganu tidak semudah pilihan raya lalu. Apatah lagi tanpa penyalahgunaan
kuasa. Di atas premis itu, bagaimana mungkin didambakan sebuah pilihan raya
yang adil dan saksama?
(Artikel ini disiarkan akhbar
Harakah, 16-31 Mac 2007 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment