Oleh: MAT ZAIN MAT ISA
Diakui atau tidak, pemerintahan singkat PAS di Terengganu
(1999-2004) telah membuktikan kesungguhan parti itu mendaulatkan hukum dan
peraturan menepati syariah. Biar pun hanya berpeluang menerajui kerajaan
sepenggal sahaja, ia telah memanfaatkan sepenuhnya kemenangan bergaya itu untuk
menggubal, melulus dan mewartakan beberapa hukum dan peraturan sepertimana
dituntut Islam.
Di antara legasi terpenting kerajaan PAS Terengganu ialah
kejayaannya mengembalikan kedaulatan sumber hukum Islam ke dalam undang-undang
tubuh negeri. Tarikh 24 April 2003 melakar sejarah bagi rakyat negeri itu
apabila sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu meluluskan Enakmen
Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam (Terengganu) (Pindaan) 2003. Ia bertujuan
mendaulatkan al-Quran, as-Sunnah, ijma ulama dan qiyas sebagai sumber rujukan
hukum tertinggi bagi negeri itu.
Lebih mendapat perhatian, bagaimana pun, ialah pewartaan
hukum Hudud dan Qisas. Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas)
Terengganu 2002 telah diluluskan Dun Terengganu pada 8 Julai tahun itu dan
mendapat perkenaan Ke Bawah Duli Tuanku Al-Sultan Terengganu pada 2 September
2002. Ia kemudiannya diwartakan pada 27 Oktober 2003 bersamaan 1 Ramadhan 1423.
Isu pelaksanaan hukum Islam, khususnya Hudud, sememangnya
senantiasa menjadi mainan politik parti lawan PAS. Sebab itu ketegasan Kerajaan
PAS Terengganu membentang dan meluluskan Kanun Jenayah Syariah termasuk
hukum-hukum Hudud, Qisas dan Taazir memberikan implikasi besar terhadap senario
politik negara. Ia telah menjawab beberapa persoalan atau memperjelaskan lagi
beberapa hakikat sebenar yang wujud.
Di antaranya, ia membuktikan PAS memang ikhlas
melaksanakan hukum dan peraturan Islam dalam pemerintahannya. Pewartaan
hukum-hukum itu di Terengganu menunjukkan bahawa PAS telah mengotakan janjinya
dalam manifesto untuk melaksanakan Islam, termasuk menegakkan hukum Allah.
Kalau dikatakan ianya ‘gimik politik’ semata-mata, maka
dari segi logik politik adalah lebih
baik PAS tidak meneruskan hasrat mewartakan Hudud dan Qisas. Kerana, di
ketika itu hal itu telah menimbulkan perasaan tidak senang di kalangan
rakan-rakan dalam Barisan Alternatif (BA) khususnya golongan bukan Islam.
Namun, walau pun menghadapi kemungkinan kemerosotan sokongan, PAS secara ikhlas
meneruskan juga hasrat melaksanakan hukum itu.
Ketegasan PAS Terengganu itu turut menjadikan cabaran
dibuat Umno kembali ‘memakan diri’ parti sekular itu. Di mana sejak dari awal
pemerintahan PAS, Umno/Barisan Nasional (BN) sering mencabar kerajaan PAS
Terengganu agar melaksanakan hukum Hudud.
“Bila lagi nak laksana Hudud?”, “Mana Hukum Islam?”, dan
banyak lagi pertanyaan disuarakan oleh Umno. Ia sebenarnya lebih berhasrat
mempersenda usaha PAS ketika itu. Apabila PAS nekad mengemukakan enakmen hukum
berkenaan, maka seruan Umno itu kembali memakan dirinya.
Sebaliknya, para pemimpin Umno Terengganu, termasuk empat
wakil rakyatnya berkata pula bahawa Kerajaan Negeri agak gopoh dan tergesa-gesa
membentang rang enakmen berkenaan. Mereka mengambil sikap tidak mengundi ketika
sidang Dun meluluskan enakmen berkenaan.
Apabila Umno tidak menunjukkan sokongan yang sepatutnya
kepada usaha Kerajaan PAS Terengganu melaksanakan Hudud dan Qisas, ia menyebabkan
Umno pula dilanda serangan berbagai pihak.
“Mana Hudud Umno?”, “38 tahun Umno Perintah Terengganu,
Mengapa Tak Laksana Islam?”, dan macam-macam lagi persoalan diajukan kepada
Umno ketika itu. Untuk rekod, Umno menerajui kerajaan Terengganu sebelum itu
antara 1961-1999.
Ia sekaligus membuktikan selama ini Umni gagal membuat
persediaan secukupnya untuk melaksanakan Islam. Sejak isu pelaksanaan Hudud
mula tercetus pada tahun 1993 (di Kelantan) hingga penggubalan enakmen tersebut
oleh kerajaan PAS Terengganu (kira-kira 10 tahun), Umno hanya tahu melabel
hukum tersebut sebagai ‘Hudud PAS’, sedangkan parti itu sendiri masih gagal
mengemukakan apa yang dikatakan ‘Hudud Umno’ itu.
Bukan setakat itu, seorang pemimpin utama Umno Kelantan
ketika itu, Dato’ Mohd Zahid Ibrahim sampai mengemukakan saman di mahkamah
terhadap kerajaan Kelantan dan Terengganu yang mahu melaksanakan hukum
berkenaan. Tindakan beliau turut mendapat sokongan Pejabat Peguam Negara yang
mencabar kesahihan hak Kerajaan Terengganu mewartakan enakmen berkenaan.
Di masa yang sama institusi polis telah dihalang daripada
memberi kerjasama kepada kedua-dua kerajaan dalam pelaksanaan hukum tersebut. Apakah
dengan hal yang demikian itu, Umno masih mahu mendakwa ia berhasrat membela
maruah Islam?
Kini, sudah lebih sedekad kes itu berlalu. Hudud dan
Qisas yang telah pun diwartakan di Terengganu itu tetap kekal sebagai
undang-undang yang sah dan hanya menunggu untuk dilaksanakan. Ia malah
dikatakan telah dijadikan rujukan oleh kerajaan Brunei dalam usahanya
melaksanakan hukum berkenaan secara berperingkat bermula April nanti.
Demikian antara hasil ditemui oleh rombongan seramai 22 wakil Badan
Perhubungan PAS Terengganu yang melawat Brunei, 23-26 Februari lalu. Rombongan
itu dianggotai sepuluh orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan seorang Ahli
Parlimen PAS dari negeri tersebut.
Ertinya, hanya Umno/BN Terengganu yang terus
berdolak-dalih dalam melaksanakannya. Ia tidak pernah serius mengambil langkah
mendaulatkannya. Sebaliknya, hanya selesa menganggap Hudud dan Qisas hanya sebagai
modal politik PAS. Sedangkan, kini semakin ramai rakyat yang tampil ke hadapan
untuk menyuarakan sokongan kepada usaha mendaulatkan hukum Islam sebagai jalan
keluar daripada fenomena jenayah dan kebobrokan sosial yang semakin memburuk.
Tahap kefahaman rakyat terhadap kewajiban melaksanakan
hukum Islam semakin meningkat. Malah ada yang mencabar agar kerajaan pimpinan
Umno turut mencontohi Brunei Darussalam menegakkan hukum tersebut. Sehinggakan
rakyat sudah menerima ungkapan, “hanya penjenayah atau orang yang cenderung
melakukan jenayah sahaja yang tidak sokong Hudud”.
(Artikel ini adalah versi lebih panjang kepada artikel disiarkan akhbar Harakah, Bil:1926, 5-7 Jamadil Awal 1435/7-9 Mac 2014 di ruangan 'F22 KOLUMNIS' dengan tajuk serupa)
Nak tunggu usul hudud dari umno dah berapa lama perintah malaysia ura2 pun tadok.
ReplyDelete