Oleh: MAT ZAIN MAT ISA
Akhirnya, Barisan Nasional (BN) Terengganu memperakui
bahawa pembinaan sebegitu banyak masjid di negeri itu oleh kerajaan pimpinannya
bukan kerana memenuhi keperluan masyarakat setempat.
Setelah hampir sedekad PAS mempersoalkan keghairahan luar
biasa kerajaan negeri membina dan terus membina masjid di serata negeri, kini
baru BN mengiyakan bahawa memang pembinaan itu lebih didorong agenda politik
pemimpinnya ketika itu. Kenyataan terbuka seorang anggota Exco kerajaan negeri
dua minggu lalu bagaikan menempelak perancangan tidak teliti itu.
Terengganu memang memiliki jumlah masjid yang agak
banyak, mungkin antara negeri paling banyak masjid di negara ini. Bahkan, jika
dinisbahkan kepada jumlah penduduknya, kemungkinan untuk negeri itu mengungguli
senarai nisbah terkecil penduduk berbanding jumlah masjid amatlah cerah.
Menurut sumber Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu
(Maidam), jumlah masjid direkodkan pihaknya ialah 498 buah, manakala surau
1,838 buah. Itu tidak mengambilkira masjid dan surau persendirian yang
jumlahnya juga bukan kecil.
Masjid-masjid di Terengganu, terutama yang dibina selepas
2004, kebanyakannya sengaja dibina gah dan indah, luaran dan dalamannya.
Keghairahan menambah bilangan masjid dalam masa singkat
di awal BN mengambilalih semula kerajaan negeri daripada PAS sedekad lalu amat
terserlah. Ia bukan sekadar agenda pemulihan atau mengemaskini pentadbiran dan
pengurusannya, malah dijadikan agenda utama kerajaan negeri. Ia diproklamir ke
serata negeri dan dijadikan salah satu slogan yang diratib berulangkali, bukan
sahaja oleh para pemimpin dan pendukung BN, malah oleh menteri besar ketika itu
sendiri.
Tidak cukup sekadar diuar-uarkan lewat media rasmi
kerajaan dan media arus perdana, rakyat dipastikan tidak terlepas “memuji BN”
atas tindakan yang kononnya membuktikan keprihatinan parti itu menegakkan syiar
Islam. Maka, dapat dilihat di serata negeri ketika itu papantanda-papantanda
yang sengaja didirikan dengan penuh gah di tempat-tempat strategik di tepi
jalan memberitahu agenda “satu Dun satu masjid”.
BN menjadikan suatu kemestian bagi kerajaan negeri
pimpinannya untuk membina sebuah masjid baru untuk setiap kawasan Dewan
Undangan Negeri (Dun). Bermakna, dalam tahun pertama pemerintahannya, dirancang
dan dimulakan pembinaan paling kurang 32 masjid baru serata negeri.
Rakyat mempersoalkan apa perlunya dibina masjid baru di
beberapa qaryah. Sedangkan masjid lama masih relevan dengan keperluan masyarakat
setempat, sama ada dari segi struktur bangunan mahu pun kapasitinya.
Bahkan, ada juga masjid baru dibina di lokasi kurang strategik
dan menjadi alasan tidak dikunjungi para jemaah. Hal ini jelas dapat dilihat antaranya
dalam kes Masjid Lak Lok, Besut. Di mana hingga kini selepas beberapa tahun
siap dan digunakan, masjid baru gagal menarik kehadiran jemaah setempat. Sebaliknya,
mereka lebih selesa terus berjamaah di masjid lama yang lebih mudah dikunjungi
dan masih “lega” untuk memuatkan hadirin. Hanya solat Jumaat dibuat di masjid
baru.
Kebanyakan pembinaan masjid baru pula mengutamakan
keindahan rekabentuk dan dekorasi, sesuatu yang tidak sepatutnya
dilebih-lebihkan. Sedangkan sepertimana yang sering diluahkan rakyat, usaha
mengimarah dan memakmurkan masjid-masjid itu tidak seimbang dengan kesungguhan
menghiasinya. Akhirnya, kebanyakan masjid lesu dan sunyi dari aktiviti.
Manakala jumlah anggota jemaah hariannya kadang-kadang tidak melebihi jumlah
tiang masjid.
Sepuluh tahun PAS mempersoalkan keghairahan BN dalam hal
itu. Bahawa selain pembinaan masjid-masjid itu tidak mengambilkira keperluan
sebenar qaryah terbabit, ia juga dihidu mempunyai agenda politik “mengenyangkan
tembolok” para kontraktor kroni pemimpin tertentu BN ketika itu.
Namun, sepuluh tahun itu juga PAS diperlekehkan kembali
oleh BN. Kononnya pemerintahan singkatnya selama sepenggal (1999-2004) gagal
menjulang syiar Islam, antaranya kerana tidak mampu membina banyak masjid.
BN sebaliknya dengan angkuh mendakwa “lebih cakna kepada
Islam” apabila membuktikan kesungguhan membina sebegitu banyak masjid di serata
negeri.
Tanpa diduga, sebuah akhbar harian edisi Terengganu awal
bulan ini membongkar isu ‘Masjid Gah Tapi Suram”. Terjahan media itu bagai
memaksa pemimpin kerajaan negeri memperakui fenomena tersebut.
“Kita tidak lagi bina (masjid) berdasarkan “satu masjid
satu Dun”, tetapi berdasarkan kajian dari sudut keperluan jemaah di kawasan
terbabit. Kalau keperluannya hanya untuk 500 orang, kita tidak akan bina untuk
1,000 orang”, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi
dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib.
Nah! Bukankah itu membenarkan dakwaan PAS sejak sedekad
lalu? Lebih mengejutkan ialah apabila Exco sama turut “memperakui” bahawa ada
sebilangan masjid yang dibina di atas dasar memberikan projek kepada pihak
tertentu semata-mata.
“Kita mahu pastikan ia diimarahkan semaksimum mungkin dan
kita tak akan buat masjid atas sebab memerlukan projek. Kita akan buat atas
keperluan”, tambahnya lagi.
Menurutnya, langkah tersebut berbeza dengan kerajaan sebelumnya
yang mementingkan keindahan binaan, selain tidak mengkaji keperluan sebenar di
kawasan terlibat dan ada kalanya hanya untuk memenuhi permintaan pihak tertentu
(kontraktor kroni?)
(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah Bil:1929, 15-17 Jamadil Awal 1435/17-20 Mac 2014 di ruangan F8 FOKUS dengan tajuk serupa)
No comments:
Post a Comment