Saturday, March 15, 2014

Doakan kebaikan Shalwati-Azizul Raheem


Oleh: MOHD NASIR AWANG

SOLAT adalah tiang agama. Demikian mafhum hadith Rasulullah saw yang sangat masyhur. Justeru, seorang muslim yang mendirikan solat dianggap mendirikan agamanya. Sebaliknya, sesiapa yang mengabaikan kewajiban solat samalah seperti meruntuhkan agamanya.

Banyak sekali ayat al-Quran dan hadith Baginda saw yang menerangkan tuntutan ke atas umat Islam menunaikan solat. Pujian dan sanjungan agama terhadap orang yang melaksanakan rukun Islam kedua ini juga banyak dirakamkan dalam dua sumber hukum tertinggi agama itu.

Tidak kurang juga diperturunkan amaran keras dari Allah dan Rasul-Nya ke atas perbuatan mengabaikan solat. Selain mafhum hadith dicoretkan di atas banyak lagi hadith yang meletakkan solat sebagai batas pembeza antara iman dan kufur.

Bahawa meninggalkan solat dengan sengaja menjadikan seorang muslim itu kafir dan tercela. Ini kerana, berbeza dengan rukun Islam lain, solat tidak ada uzur samasekali untuk ditinggalkan. Wa imma sakit atau bermusafir, yang mengharuskan seorang muslim untuk meninggalkan puasa dan haji contohnya, umat Islam tetap tidak terlepas dari kefardhuan solat.

Sebab itu Islam memperincikan kaifiyat solat untuk orang sakit. Walau pun qiyam (berdiri tegak) itu asalnya antara tuntutan mendirikan solat, mereka yang tidak mampu berdiri dibolehkan solat secara duduk. Yang tidak mampu bangun pula disuruh solat secara berbaring. Bahkan, yang tidak mampu menggerakkan tangan sekali pun, tetap diwajibkan solat walau pun hanya dengan menggunakan isyarat mata.

“Keringanan” serupa disyariatkan juga kepada mereka yang musafir, termasuk “hadiah” dalam bentuk solat jamak dan qasar. Sekira-kira tiada alasan lagi bagi seorang muslim untuk menidakkan kewajiban solat ini.

Mengambilkira ketegasan Islam agar umatnya menjaga solat, maka agama ini menetapkan bahawa proses asuhdidik untuk seorang muslim memahami tanggungjawab paling berat ini perlu dimulakan sedari usia mumbang lagi. Hal ini terkandung di dalam hadith Rasulullah saw bermaksud:

“Suruhlah kanak-kanak mengerjakan solat apabila dia berumur tujuh tahun, dan apabila sudah sampai 10 tahun, maka pukullah dia atas solat (yang dia tinggalkan). (HR Abu Daud)

Dalam hal ini saya tersentuh dengan komentar tegas Imam Habib Abdullah Haddad di dalam kitabnya Nasihat Agama dan Wasiat Iman. Bahawa menjadi tugas dan tanggungjawab sangat besar bagi ibubapa memastikan anak-anak mereka tidak membesar bersama tabiat memandang ringan atau mengingkari perintah mendirikan rukun agama ini. Berikut saya petik sebahagian coretan beliau:
“Jika wajib anda (para bapa) memelihara sembahyang dan haram melalaikannya, maka wajib juga anda menganjurkan anak-isteri anda dan sesiapa di dalam tanggungan anda untuk mendirikan solat, dan jangan berikan apa-apa uzur pun untuk meninggalkannya.

“Siapa yang tidak patuh kepada perintah sembahyang itu, maka hendaklah anda ancam dan kerasinya. Hendaklah anda marah terhadapnya dengan sesangat marah, lebih dari marah anda jika ia merosakkan hartabenda anda. Jika anda tidak lakukan seperti itu, nescaya anda akan dikira sebagai orang yang meringankan hak-hak Allah, atau orang yang memandang ringan terhadap agama Allah.

Ulama besar ini malah menyifatkan orang yang meninggalkan solat itu sebagai “SYAITAN”, justeru mengesyorkan agar umat Islam menyisih diri daripada orang sebegini. Saya memetik tulisannya:
“Jika sesudah anda marah dan anda kerasi, ia masih juga tidak mahu sembahyang, malah menentangmu, maka hendaklah anda jauhkan diri daripadanya, kerana ia adalah SYAITAN, tidak ada guna dan tidak ada berkat padanya, haram menurutkan kemahuannya dan haram bercampur-gaul dengannya. Sepatutnya ia ditentang dan diputuskan hubungan, kerana ia telah menjadi orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya.”

Ya, sangat keras celaan Islam terhadap orang yang tidak solat, bukan? Bahkan, sangat tegas juga herdikan kepada ibu atau bapa yang membiarkan anak-anak membesar tanpa menghayati kewajiban solat ini.

Sebab itu saya kira ramai di kalangan kita amat tersentuh dengan kes menimpa pasangan Malaysia di Sweden baru-baru ini, yang ditahan dan didakwa di mahkamah negara itu atas tuduhan memukul anak-anak mereka yang tidak solat. Di bawah undang-undang negara itu, perbuatan sedemikian dianggap suatu kesalahan kerana melanggar integriti seseorang.

Pengarah Tourism Malaysia di Stockholm, Azizul Raheem Awaluddin dan isterinya, Shalwati Norshal, didakwa melakukan kesalahan itu secara berulang antara 15 Disember 2010 hingga 17 Disember 2013.

Shalwati, seorang guru yang sedang bercuti tanpa gaji dan suaminya ditahan reman sejak 18 Disember lalu atas tuduhan asal memukul tangan seorang daripada anak lelakinya kerana tidak bersolat. Kertas pertuduhan yang dikeluarkan mahkamah pada 10 Februri lalu pula memetik keempat-empat anak mereka dipukul dengan objek, antaranya pengangkut baju, kayu dan tali pinggang.

Semua anak mereka, Aishah, 15, Ammar (12), Adam (11) dan Arif (tujuh) dijaga oleh ibu saudara mereka di Kelantan selepas dibawa pulang ke tanah air, 31 Januari lalu. Sebelum itu, sejak penahanan ibubapa mereka, empat beradik itu ditempatkan di bawah jagaan keluarga angkat bukan beragama Islam di Sweden.

Kes ini mendapat perhatian umum. Berbagai pihak telah melontarkan pandangan masing-masing. Ada yang turut mengkritik dan menyalahkan pasangan ini, konon atas anggapan mereka melakukan penderaan terhadap anak-anak.

Namun lebih ramai yang bukan sahaja bersimpati, malah menganggap apa yang dibuat mereka adalah kebiasaan sebagai memenuhi tuntutan tanggungjawab sebagai ibubapa muslim. Bahkan pendirian itu turut dikongsi abang Shalwati, Badrul Hisham Makhzan.

“Dalam budaya kita, tindakan memukul tangan apabila disuruh sembahyang adalah kebiasaan dan sekiranya tidak dilakukan demikian, masyarakat menganggap kita melakukan kesalahan kerana tidak bertindak supaya anak sembahyang”, katanya, sebagaimana dipetik akhbar harian, 11 Februari lalu.

Beliau mengakui adiknya (Shalwati) seorang ibu dan guru yang baik dan begitu sayang kepada anak-anaknya.

Sehingga rencana ini ditulis, perbicaraan yang dijangka berlangsung selama 10 hari belum bermula. Ketika rencana ini dibaca, kemungkinan keputusannya telah diketahui. Ia mungkin memihak kepada pasangan Malaysia itu, mungkin juga sebaliknya.

Namun, menurut undang-undang negara itu juga, jika pun didapati tidak bersalah atas tuduhan tadi, pasangan itu tidak pula secara automatik boleh mendapatkan semula anak-anak mereka. Mereka perlu membuat permohonan khusus kepada mahkamah untuk mendapatkan hak penjagaan itu.

Justeru, ada baiknya kita sama-sama doakan semoga Allah Ta’ala mempermudahkan segala urusan itu buat pasangan Shalwati-Azizul Raheem!

(Artikel ini disiarkan majalah Era Muslimah Edisi 22 (Mac 2014) di kolum Coretan Ketua Pengarang dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment