Oleh: MAT ZAIN MAT ISA
TANGGAL 24 Januari lalu genaplah setengah tahun
berlalunya Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kuala Besut, di
Terengganu. Tempoh itu sebenarnya sudah lebih dari cukup untuk rakyat di situ
melihat “sepak mula” beberapa projek dijanjikan sepanjang kempen pilihan raya
tersebut, terutama oleh Barisan Nasional (BN) selaku parti pemerintah dan
pemenangnya.
Pada PRK yang berakhir 24 Julai lalu itu, BN mengekalkan kerusi
DunKuala Besut menerusi calonnya, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman dengan
catatan majoriti 2,592 undi. Beliau yang mendapat 8,288 undi menewaskan calon
PAS, Azlan @ Endut Yusof a.k.a Che Long yang memperolehi 5,696 undi.
Meski pun menang, ia bukan kejayaan yang layak
dibanggakan BN. Jumlah undi diraih calonnya merosot 521 undi berbanding undi
diperolehi parti itu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lalu. Begitu juga di
pihak PAS, mengurang sebanyak 679 undi berbanding dalam PRU-13 lalu.
Perbezaan kemerosotan itulah, yang lebih besar berlaku
kepada undi PAS, membantu peningkatan majoriti kemenangan BN sebanyak 158 undi.
Itulah saja satu-satunya penambahan angka di pihak BN dalam statistik PRK Kuala
Besut. Sudah tentu ia bukannya suatu kejayaan yang boleh dibanggakannya.
Apatah lagi umum mengetahui betapa parti yang menguasai
pemerintahan Pusat dan Negeri itu turun dengan segala kerahan tenaga, bantuan kewangan
dan taburan segala macam janji, bantuan segera, projek segera dan sebagainya.
Sehinggakan jumlah dicongak pada janji projek-projek ditawarkan sepanjang
kempen tersebut melangkaui RM476 juta.
Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turun sebagai Timbalan
Perdana Menteri merasmikan peletakan batu asas dan pecah tanah projek pembinaan
72 unit pangsapuri empat tingkat, di Kampung Lay Out Tok Saboh.
Dengan kos pembinaan RM10.35 juta, projek itu dikatakan akan
menjadi tempat tinggal 72 keluarga, termasuk 46 keluarga mangsa air pasang dan
ombak besar di Dun berkenaan. Setiap unit bernilai RM100,000 itu akan diberikan
kepada setiap keluarga secara percuma.
Melihatkan kesungguhan BN “memulakan” projek berkenaan,
para pengundi Kuala Besut digambarkan seolah-olah akan memiliki pangsapuri itu
dalam masa tiga atau empat bulan selepas itu. Kini, setelah enam bulan berlalu,
sejauh manakah perjalanan pembinaan projek itu?
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pula
meluluskan pembinaan pasar nelayan di Jeti Kuala Besut, yang sekali gus menjadi
pasar pertama seumpamanya di Terengganu. Menterinya yang turun menabur janji
itu mengatakan kerajaan akan membina pasar dengan kos RM200,000 itu dalam masa
terdekat.
Kini, setelah enam bulan berlalu, apakah sudah dimulakan
proses pembinaan pasar tersebut? Di manakah tapaknya yang telah dikenalpasti?
Ataukah ia sudah dianggap memadai dengan kewujudan pasar nelayan sedia ada di
jeti LKIM di Seberang Kastam itu?
Perlu ditegaskan bahawa jeti sedia ada itu terletak di
dalam Dun Kota Putera, dan bukannya Dun Kuala Besut. Lagi pun, urusniaga runcit
oleh nelayan dan peraih di situ sudah pun wujud berdekad lamanya. Justeru ia
tidak sepatutnya dikaitkan dengan janji BN dalam PRK Kuala Besut. Dalam
ertikata lain, janji membina pasar nelayan masih tinggal janji!
Penduduk Kuala Besut, yang sebahagiannya merupakan
pesawah dan petani, turut dijanjikan dengan pembinaan Empangan Lowvier di
Pengkalan Nangka. Seluas lebih 20 hektar sawah di kawasan tersebut sudah
terbiar sekian lama akibat ketiadaan sistem pengairan yang diperlukan untuk
tanaman padi.
Dalam kempennya BN menyerlah keprihatinannya yang sangat
tinggi terhadap nasib para pesawah terbabit. Seolah-olah tergambar ketika itu
bahawa dalam masa tidak sampai sebulan selepas BN menang, sistem pengairan di
situ akan dibalikpulih dan sawah terbiar itu akan dapat dihidupkan semula
selewatnya bermula musim menanam bulan lalu.
BN mengumumkan peruntukan segera untuk projek tersebut
sebanyak RM35 juta. Kini setelah enam bulan berlalu, jangan dikatakan ia sudah
siap, riak-riak awal bagi membayangkan projek itu akan dimulakan pun tidak
kelihatan. Apakah pesawah-pesawah di Pengkalan Nangka belum sedar mereka
menjadi mainan janji palsu BN lagi?
Ya, Masjid Terapung di Pulau Perhentian dengan peruntukan
RM12 juta sudah hampir siap. Tetapi pembinaannya sebenarnya sudah pun bermula
lama sebelum PRK dan tidak sepatutnya dimasukkan ke dalam senarai janji kempen
BN.
Begitu juga dengan projek pembinaan Sekolah Menengah Alor
Peroi bernilai RM28 juta. Ia juga dikatakan telah pun diluluskan, dan tapaknya
telah dikenalpasti, lama sebelum ditakdirkan berlakunya PRK di Kuala Besut.
Ada pun projek mendalamkan muara Sungai Besut yang
diisytiharkan peruntukan sejumlah RM250 juta adalah suatu yang luar biasa. Ia
dikatakan memang pengumuman yang semata-mata dibuat bagi memenangi hati para
pengundi Kuala Besut, khususnya golongan nelayan.
Bagi mereka ini, Sungai Besut adalah nadi kehidupan
mereka. Kecetekan muara sungai itu adalah “musuh tradisi” bot-bot mereka
sepanjang tahun. Justeru, janji mengadakan projek mega memastikan tahap
kedalaman muara yang menjadi laluan harian mereka itu amat menakluki hati
mereka.
Malang lagi, setakat ini “sepak mula” projek besar itu
belum juga berlaku. Ya, sudah ada “kapal korek” yang menyedut pasir di muara
beroperasi beberapa bulan lalu. Tetapi menurut para penduduk di situ,
kerja-kerja itu hanyalah penerusan jadual asal. Sejak puluhan tahun lalu,
kehadiran “kapal korek” itu sudah lumrah di setiap hujung tahun. Ia bukanlah
projek RM250 juta yang dimaksudkan pemimpin tertinggi BN semasa kempen PRK
Kuala Besut dulu.
Enam bulan bukanlah tempoh yang singkat. Macam-macam
sudah boleh berlaku dan dilakukan jika benar ia mahu dilaksanakan. Kalau segala
projek diumumkan itu memang “benar-benar mahu dilaksanakan” dan bukannya
“sekadar janji memenangkan BN”, maka gerangan apakah yang menangguhkan
pelaksanaannya?
(Artikel ini adalah versi lebih panjang (sebelum potong) kepada artikel disiarkan akhbar Harakah Bil:1919, 10-13 Rabiul Akhir 1435/10-13 Februari 2014 di ruangan KOLUMNIS F21 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment