Tuesday, April 1, 2014

Aurat wanita bukan sekadar tutup kepala


Oleh: MOHD NASIR AWANG

PERSEKUTUAN Persatuan-Persatuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) baru-baru ini telah mengambil keputusan membenarkan para pemain memakai penutup kepala semasa perlawanan. Namun kebenaran itu secara jelas hanya ditujukan kepada pihak-pihak yang “memenuhi tuntutan agama” (religious purposes) sahaja.

Justeru, diperincikan di dalam penjelasan itu bahawa dua pihak yang bakal mendapat manfaat daripada keputusan tersebut ialah wanita Islam dan lelaki Sikh.

“Telah diputuskan bahawa pemain wanita boleh memakai tudung kepala ketika bermain”, media pada 1 Mac lalu memetik kenyataan Setiausaha Agung FIFA, Jerome Valcke.

Difahamkan keputusan itu dicapai dalam satu mesyuarat Lembaga Persatuan Bolasepak Antarabangsa (IFAB), iaitu badan pembuat undang-undang sukan, di Zurich.

“Telah diputuskan bahawa pemain lelaki juga boleh bermain dengan memakai penutup kepala”, katanya lagi, dipercayai merujuk kepada tuntutan oleh masyarakat Sikh agar dibenarkan memakai lilit kepala.

Difahamkan isu pemakaian penutup kepala bagi pemain bolasepak tercetus pada Kejohanan Bolasepak Olimpik Remaja di Singapura pada 2010. FIFA melarang pemakaian tudung oleh para pemain wanita, tetapi membenarkan mereka memakai topi yang menutup kepala hanya ke pangkal rambut, tanpa menutup telinga dan tengkuk.

Ekoran peraturan itu ramai pemain bolasepak wanita, terutama dari Jordan, Palestin, Bahrain dan Iran tidak dibenarkan bermain sepanjang Pusingan Kelayakan Olimpik 2011. Malah ada negara yang menarik penyertaannya tanda protes terhadap larangan tersebut.

Pemakaian penutup kepala oleh pemain bolasepak diharamkan sehingga 2012. FIFA beranggapan ia berisiko menyebabkan kecederaan, terutama kepada kepala atau tengkuk.

Beberapa persatuan dan aktivis bolasepak wanita kemudiannya membuat petisyen menuntut peraturan itu dikaji semula. Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menyokong tuntutan mereka itu. Masyarakat Sikh dari Kanada pula menuntut agar pemain dari kaum itu turut dibenarkan memakai lilit kepala sewaktu perlawanan.

Pihak IFAB lalu membenarkan pemakaian penutup kepala oleh pemain sebagai percubaan, selama dua tahun. Di akhir tempoh itu, percubaan itu dinilai membuahkan hasil positif.

“Ini adalah satu kelebihan buat mereka, mendapat pengesahan daripada IFAB agar wanita boleh bermain (dengan memakai tudung). Ia tuntutan daripada negara-negara (Islam) ini, yang menyebut ia akan membantu menyokong bolasepak wanita di sana”, ujar Valcke lagi.

Beliau bagaimana pun menyatakan syarat tambahan iaitu, “It will be a basic head cover and the colour should be the same as the team jersey."

Banyak pihak, terutama kalangan umat Islam menyambut baik keputusan terbaru FIFA ini. Secara zahirnya mereka beranggapan ia suatu yang positif terhadap keperluan wanita Islam memenuhi tuntutan agama, termasuk ketika beraksi di padang. Bahkan ada juga yang menganggap badan sukan itu semakin memahami dan meraikan ajaran Islam.

Saya kira kita tidak perlu terlalu keghairahan sampai ke tahap itu. Biar pun kita wajar mengalu-alukan peraturan itu, ia tidak sepatutnya melenakan kita daripada tuntutan sebenar penutupan aurat di sisi ajaran Islam.

Pertama, melihatkan kepada gambar-gambar contoh tudung diluluskan FIFA itu, saya bimbang ia menggambarkan kefahaman yang salah pihak penguasa sukan itu (juga mungkin non-Muslim keseluruhannya?) terhadap konsep menutup aurat di sisi agama kita.

“Basic head cover” yang diluluskan itu hanya melibatkan litupan di kepala atau paras telinga. Ia langsung tidak melibatkan bahagian tengkuk. Dalam ertikata lain, ia hanya sedikit lebih “kemas” berbanding pemakaian topi yang telah dibenarkan sebelum ini.

Maka apabila kita umat Islam bersetuju dengan peraturan itu, ia bagai mengesahkan pemahaman mereka (non-Muslim) bahawa menutup aurat bagi wanita Islam ialah dengan menudung kepala/rambut hingga ke paras telinga sahaja.

Ertinya, konsep menutup aurat yang difahami pihak terbabit hanyalah memadai dengan menutup kepala atau rambut, tanpa menutupi tengkuk. Sementelahan pula bahagian dada. Sedangkan, suatu ajaran yang jelas difahami umat Islam berhubung kesempurnaan tudung kepala wanita ialah menutupi bukan sahaja kepala/rambut, tetapi seluruh bahagian tengkuk dan atas dada. Dalam lain perkataan, ia disebutkan dengan istilah “belahan leher baju” (baca An-Nur 24:31).

Kedua, apa yang diluluskan itu mungkin dianggap banyak pihak, termasuk sebahagian umat Islam sendiri sudah memenuhi tuntutan menutup kepala. Sedangkan wajar difahami bahawa konsep menutup aurat di sisi agama kita adalah jauh lebih luas. Ia bukan sekadar memakai tudung atau menutup kepala sahaja. Aurat bagi wanita Islam ialah keseluruhan tubuhnya, kecuali muka dan tapak tangan.

Sebab itu di dalam pembicaraan mengenai aurat wanita Islam seringkali kita terserempak dengan ungkapan “bertudung tetapi masih tidak menutup aurat”. Maknanya, tuntutan menutup aurat bagi wanita Islam dikira masih tidak sempurna walau pun sudah menutup kepala/rambut, sekiranya bahagian tubuh yang lain masih terdedah atau tidak ditutup dengan sempurna.

Dalam kes ini, walau pun sudah dibenarkan bertudung, bagaimana pula dengan gerak-tingkah pemain wanita sepanjang perlawanan? Berpakaian ketat sehingga mempamerkan bentuk tubuh, atau beraksi dengan berbagai lenggok sambil ditonton sekalian yang ajnabi, tentu sekali bukan riadah yang menepati ajaran agama.

Tambahan pula tabiat permainan bolasepak dipenuhi dengan keinginan memperolehi kemenangan. Para pemain dipasak pemikiran memperdaya dan mengalahkan lawan, termasuk secara fizikal. Aksi-aksi lasak dan “tiada belas kasihan” terhadap lawan sebegitu, diselang-seli pula dengan tempik-sorak dan pekik-lolong di kalangan pemain, amat tidak sesuai dengan keperibadian seorang muslimah yang dititik-beratkan Islam.

Justeru, saya cenderung bersetuju dengan kewajaran sebilangan pihak yang mempersoalkan, apakah permainan bolasepak itu sesuai dengan wanita Islam? Memang Islam membolehkan aktiviti riadah dan sukan, termasuk untuk wanitanya. Namun, ia mestilah di dalam batasan persembahan dan interaksi yang tidak melangkaui syarak.

Jika semata-mata di atas hasrat bersukan dan beriadah, wanita Islam tidak semestinya memilih menjadi pemain bolasepak. Apatah lagi sekiranya permainan itu memang dijadualkan untuk menjadi tontonan khalayak umum!

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan ERA Muslimah, Bil. 23 (April 2014) di kolum Coretan Ketua Pengarang dengan tajuk sama)



No comments:

Post a Comment