Sunday, February 13, 2011

Teraju sekadar banyakkan ‘pinggan mangkuk’?

oleh: Mat Zain Mat Isa

Kerajaan Barisan Nasional (BN) seakan ketandusan idea mengisi agenda pemerintahan apabila sekali lagi terpaksa memanipulasi keterbelakangan bumiputera di sektor ekonomi untuk manfaat politiknya. Malah langkah parti itu memperkenalkan pakej demi pakej dan modul demi modul dalam beberapa tahun kebelakangan ini seolah-olah diatur semata-mata untuk dilihat ia sentiasa ada perancangan baru untuk rakyat.

Penilaian awal terhadap pelancaran Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) minggu lalu serta fakta-fakta melatari penubuhannya tidak terkecuali dari andaian sedemikian. Dalam keadaan wibawanya memacu pembangunan dan mengurus kewangan negara semakin dipertikai rakyat, BN semakin terdesak memperbaiki imej itu.

Sedangkan cakap-cakap mengenai pilihan raya umum baru semakin rancak kedengaran. Banyak pihak menjangkakan dalam masa tidak berapa lama lagi BN bakal berhadapan dengan mahkamah rakyat. Justeru, sudah tentu ia tidak mahu diadili bersama tanggapan kegagalannya atau tahap pencapaian pemerintahannya yang tidak memberangsangkan.

Selaku tunjang BN, Umno pula kini dipaksa keadaan untuk kembali kepada agenda bumiputera, khususnya hal-hal berkaitan Melayu. Demi mempertahankan kepercayaan pengundi Melayu selaku tonggak kekuatannya, parti itu perlu secara berterusan menonjolkan agenda yang menampakkan kesungguhannya membela kaumnya sendiri.

Maka mahu tidak mahu orang Melayu sekali lagi perlu diperdengarkan dendangan terbaru berlirikkan agenda mempertingkatkan pencapaian ekonomi bumiputera. Kita menilai penubuhan Teraju dilancarkan Perdana Menteri, Selasa (8 Februari), tidak terlepas dari perkiraan politik itu.

Walau pun kemunculan unit baru itu pada zahirnya semata-mata bersifat ekonomikal, kata sambutan dari pelbagai badan dan pertubuhan serta cara gaya manipulasi media arus perdana talibarut BN berhubung kewujudannya menjurus menjadikan Teraju satu lagi modal politik pemerintah.

Apa pun harapan dilontarkan kerajaan menerusi kelahiran unit itu, ia telah mengundang beberapa pemerhatian. Selain menampakkan keadaan terdesak Umno memaut sokongan Melayu, ia sebenarnya turut menyerlahkan kegagalan agenda perjuangan parti itu selama ini.

Umno adalah parti Melayu. Perjuangannya, saf kepimpinannya dan segala yang ada padanya dikatakan Melayu. Tidak ada yang tidak Melayu, melainkan semuanya Melayu.

Bayangkan betapa malangnya nasib orang Melayu dengan tahap pencapaian ekonomi mereka kini. Sudah lebih separuh abad mereka meletakkan kepercayaan kepada Umno untuk menyelesaikan kepentingan bangsa.

Alih-alih kita dikejutkan dengan penubuhan satu unit baru bertujuan menerajui dan memacu penyertaan bumiputera di sektor ekonomi. Apakah Teraju perlu diwujudkan sekiranya orang Melayu sudah mampu bersaing dan mencapai kejayaan?

Tempoh diberikan kepada Umno untuk merealisasikan matlamat itu sebenarnya sudah terlalu panjang. Ia lebih dari cukup bagi sebuah parti yang tidak pernah putus dari menerajui kerajaan untuk menjayakan agenda perjuangannya, jika ia benar-benar mahu. Justeru, selepas diberi peluang lebih 50 tahun Umno sepatutnya malu untuk berterusan bergayut pada agenda yang tidak kunjung selesai.

Lagi pun kita bimbang, oleh kerana Umno mengambil masa sepanjang itu membuahkan idea penubuhan Teraju, tidak mustahil nantinya rakyat perlu menunggu tempoh sama juga untuk melihat hasil atau keberkesanan pelaksanaannya. Jangan-jangan selepas ini Umno sekali lagi akan memaksa rakyat menerima rayuan basinya, “perjuangan belum selesai”?

Teraju ditubuhkan antara lain bertujuan mempertingkatkan nilai modal pasaran dimiliki bumiputera. Bukankah soal pemilikan ekuiti ini sudah jenuh diperkatakan? Ya, sudah hampir tepu telinga rakyat diterjah dengan berbagai perancangan dan modul ekonomi dikemukakan kerajaan.

Kita pernah laksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang antara lain untuk mencapai matlamat sama. Kemudian ada berbagai lagi unit dan inisiatif diperkenalkan bagi memantapkan pelaksanaan DEB. Namun selepas berdekad ia dilaksanakan dan setelah entah berapa bilion duit rakyat dibelanja menjayakannya, sasaran DEB gagal dicapai.

Lalu diperkenalkan pula Model Baru Ekonomi (MBE). Berbagai unit dan institusi turut diwujudkan, terutama di bawah beberapa kementerian terbabit sektor ekonomi.

Serentak itu juga kumpulan demi kumpulan tokoh Melayu mewujudkan beberapa pertubuhan dengan berbagai nama. Semuanya seakan berkongsi matlamat sama, memikir dan merencana tindakan lebih mantap dan efektif ke arah mempertingkat pencapaian ekonomi bumiputera.

Melihatkan sebegitu banyak badan dan institusi sedia yang bercakap dan bertindak ke arah sama, tidakkah penubuhan Teraju sekadar menambahkan satu lagi ‘pinggan mangkuk’? Ia seakan-akan mengambilalih fungsi entiti sedia ada atau mengulangi agenda sama yang pernah diajukan entiti terbabit.

Kebimbangan ini bukan sekadar pesimisme atau didorong sentimen menilai segala yang didatangkan BN secara negatif. Ia malah turut tergambar menerusi aspek dan dimensi pelaksanaan Teraju, sepertimana dimaklumkan Perdana Menteri.

Antara lain katanya, unit baru itu berfungsi mengkaji sebarang kemungkinan terdapat pertindihan dengan pelbagai badan dan institusi sedia ada, terutama yang ditubuhkan kerajaan sebelum ini.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil. 1614, 14 Februari 2011 di ruangan 'kolumnis F21' dengan tajuk sama).

No comments:

Post a Comment