Oleh: Mohd Nasir Awang
DUNIA semakin maju dan membangun. Seiringan itu, tahap pemikiran dan taraf kehidupan penghuninya juga semakin meningkat.
Bagaimana pun, tidak semua manusia berkeupayaan menyesuaikan diri dengan tuntutan perubahan persekitaran. Arus pemodenan sebaliknya menghasilkan kesan-kesan yang sukar ditangani dalam kehidupan mereka.
Bagi golongan sebegini, usaha memenuhi tuntutan hidup sudah bertukar menjadi bebanan. Akibatnya tidak sedikit juga yang gagal menangani tekanan hidup lalu memilih kaedah penyelesaian tersendiri.
Justeru agak kerap kita dengar atau baca berbagai kes melibatkan tindakan agresif yang dikaitkan sebagai kesan kegagalan itu. Ada suami nekad membunuh diri apabila terlampau bosan dileter isteri gara-gara kesempitan hidup, sedangkan si suami sudah putus asa mendapatkan kerja.
Ada pula kes di mana si isteri yang mengambil tindakan serupa. Kes seorang surirumah bersama dua anak kecilnya yang terjun ke landasan di waktu keretapi sedang bergerak laju di Stesen Sungai Gadut, Seremban beberapa tahun lalu adalah contoh paling menggemparkan.
Tekanan hidup tidak hanya berlaku disebabkan himpitan kewangan. Kes seorang suami yang membakar rumah mentuanya di Kuala Terengganu, misalnya, adalah disebabkan masalah rumahtangga. Begitu juga beberapa kes pelajar menggantung diri, yang lebih dikaitkan dengan kegagalan dalam akademik.
“Sebenarnya terlalu banyak kes dipaparkan akhbar, hampir setiap hari di’highlight’kan benad-benda (tindakan agresif) macam ini. Saya sendiri tak bagi anak-anak baca paparan sebegini sebab benda ini (boleh menyebabkan) dia jadi takut dengan kehidupan,” ulas Encik Mohd Syafiq Densen Abdullah.
Sikap berhati-hati Pegawai Psikologi di Jabatan Psikiatri Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu ini sekaligus menggambarkan betapa paparan media turut mempengaruhi tindakan seseorang.
Sebagai seorang kaunselor yang mengendalikan banyak kes melibatkan kejadian yang seram, keadaan trauma dan fobia, beliau secara profesional berharap kes-kes sebegitu tidak dijadikan tatapan utama dalam masyarakat.
Pun begitu, beliau mengakui faktor lebih penting menangani tekanan hidup atau ‘stress’ ialah persepsi diri seseorang itu sendiri. Bagi lulusan Sarjana Muda Kaunseling dari Universiti Malaysia Terengganu ini, keupayaan diri mengurus persepsi memainkan peranan amat penting menangani ‘stress’.
“Perangai ini hasil daripada persepsi kita, tanggapan kita terhadap benda yang berlaku. Contohnya kalau kita ada masalah kewangan yang serius, menyebabkan kita agresif, malah berhenti kerja dan sebagainya. So, bukan kewangan, bukan gaji itu yang kita kena tambah. Kita kena sesuaikan pandangan kita, penerimaan kita terhadap gaji.
“Misal kata, dia bergaduh dengan isteri sebab kewangan tak cukup. Jadi kita ‘highlight’ di situ masalah kewangan. Adakah kita kata, ‘oh... kita kutip derma, kita bagi dia duit’. Kalau orang derma pun, adakah masalah selesai? Tak akan selesai juga sebab itu melibatkan tabiat dan perangai dia”, hurainya lagi.
Ertinya, bagi anak muda Iban berasal dari Serian, Sarawak ini, dalam kes-kes sebegitu adalah amat penting individu terbabit mengubah persepsinya terhadap duit. Dia perlu membina tanggapan bahawa duit bukanlah segala-galanya, tetapi hanya benda sampingan.
Mohd Syafiq malah membawakan analogi menarik mengenai kesederhanaan hidup tok-tok guru pondok di Kelantan.
“Tok Guru pondok, dia tak melihat peredaran zaman, kemajuan moden sebagai ancaman kepada dia. Tapi bagi kita yang duduk dalam kemodenan ni, kalau ‘aku’ tak macam orang lain, dah rasa kurang. Jadi (ada) perlumbaan membandingkan diri dengan orang lain.
“Di sinilah psikologi dia, persepsi dia melihat kemajuan itu. Kita kena maju juga, kalau tak maju, ‘stress’. Ada pun tok guru kita, dia tak. Maju tak maju pun, dia sentiasa bertahan. Jadi dia tak akan ‘stress’, ulasnya dengan yakin.
Ertinya persepsi hidup positif sebegitu tidak sukar dibentuk, malah telah pun dipraktikkan sebilangan anggota masyarakat. Namun keupayaan seseorang membina kekuatan diri ke tahap itu diakui tidak semudah diharapkan.
Apatah lagi menjadi kebiasaan masyarakat kita untuk memendam perasaan dan tidak gemar meluahkan masalah peribadi kepada pihak lain. Kesedaran mereka untuk menyelesaikan masalah yang menekan pemikiran melalui saluran yang sepatutnya masih terlalu rendah.
“Masyarakat perlu kembali kepada pendirian orang tua-tua dulu, ‘respect’ orang yang ada ilmu, ada autoriti dalam masyarakat. Contohnya, zaman tradisional, pak imam. Kalau zaman sekarang yang ada autoritinya siapa? Kita mesti jumpa dengan konsultan, pegawai psikologi ke, kaunselor ke, atau pun badan yang boleh memberi sumbangan kepada kita, dari segi idea dan juga penilaian terhadap kehidupan kita,” jelasnya lagi.
Beliau turut mengakui kesedaran masyarakat untuk membuat pertimbangan bijak sebegitu masih rendah. Beliau membawakan perbandingan mudah bagi menggambarkan sikap berbeza orang kita dalam menangani kecederaan fizikal berbanding mental.
“Bila kita sakit tangan, sakit perut, kita jumpa doktor. Kalau kita serabut (fikiran) kita jumpa siapa? Itu masalah sekarang. Kita nak pergi psikiatri kita malu, kan? Kita nak pergi jumpa kaunselor kita malu. Tekanan semakin hari semakin banyak.
“Jadi itulah kita nak timbulkan kesedaran di kalangan masyarakat, hilangkan stigma malu jumpa kaunselor. Sebab (kononnya) orang yang bermasalah saja jumpa kaunselor, malu pergi psikiatri sebab orang pergi psikiatri ni orang gila, itu stigma kita kena buang. Sebab hakikatnya kita mengalami benda tu, kita mengalami tekanan, masalah mental,” tegasnya.
Justeru, beliau amat berharap agar anggota masyarakat tampil memanfaatkan khidmat-khidmat kaunseling dan psikologi yang disediakan kerajaan. Beliau yakin menerusi sesi kaunseling seseorang itu boleh ‘highlight’ potensi diri masing-masing. Hal itu banyak membantu meransang fikiran seseorang supaya bersikap positif kepada diri, sekali gus memadamkan rasa ‘stress’ yang membelenggu perasaan.
(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah Bil. 228 Edisi Februari 2011 di ruangan TOPIK dengan tajuk serupa).
artikel yang bagus! thumbs up!
ReplyDelete